Jual Balik:

Kit Biasiswa:

Koleksi Biasiswa Malaysia 2010

Rahsia Anak Pintar:

Rahsia Anak Soleh:

Jimat elektrik:

mmm

Belajar Bahasa Inggeris:

Nak Berhenti Merokok?

Pertolongan Cemas:

Perfect Slim Diet:

Saturday, January 23, 2010

Penjagaan Vagina

PERBINCANGAN mengenai bahagian ‘sulit’ baik pada lelaki atau wanita dianggap sensitif dan memalukan. Malah bagi sesetengah wanita, untuk menyebut perkataan vagina atau faraj seolah-olah satu ‘dosa’, apatah lagi mahu membincangkan pelbagai isu mengenainya secara terbuka. PERBINCANGAN mengenai bahagian ‘sulit’ baik pada lelaki atau wanita dianggap sensitif dan memalukan. Malah bagi sesetengah wanita, untuk menyebut perkataan vagina atau faraj seolah-olah satu ‘dosa’, apatah lagi mahu membincangkan pelbagai isu mengenainya secara terbuka.

Sebenarnya tiada apa perlu dimalukan apabila membincangkan soal ini kerana ia sebahagian daripada organ badan seperti mata, telinga atau kulit. Namun untuk lebih manis, kita boleh gunakan perkataan vagina.

Ramai menganggapnya sebagai perkataan ‘kotor’ atau lucah dan tidak hairan jika ada wanita tidak tahu bahagian mana yang dirujuk sebagai vagina, sedangkan ia memainkan peranan penting dalam kehidupan mereka.

Vagina ialah satu tiub atau saluran panjang yang tertutup apabila tidak digunakan (contohnya mengadakan hubungan seks, bersalin atau dimasukkan tampon).

Ia adalah tisu lembut (seperti tisu dalam mulut) yang berlipat-lipat dan berkedut. Tujuannya untuk menambah jumlah luas permukaan supaya ia boleh berkembang ke saiz tertentu. Vagina berasal daripada perkataan Latin ‘sheath’ yang bermakna anjal dan mempunyai banyak otot kecil serta bersifat sedikit berasid bagi mencegah jangkitan.

Vagina boleh dibahagikan kepada tiga lapisan iaitu membran mukus, lapisan berotot dan tisu berserat. Pada hujung saluran ini terletaknya hampir 90 peratus hujung saraf. Ini menyebabkan vagina sangat sensitif terhadap sentuhan. Vagina sebenarnya bersambung dengan rahim tetapi bukaan yang menyambungkan dua organ ini sangat kecil iaitu hanya dua atau tiga milimeter.

Orang anggap fungsi vagina hanya untuk hubungan seks dan melahirkan anak, tetapi ia juga menjadi laluan untuk pengeluaran darah haid setiap bulan, kata Perunding Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Pantai Cheras, Dr Ho Choon Moy.

“Vagina juga menjadi laluan untuk cecair yang dirembeskan bahagian lain. Vagina tidak mempunyai kelenjar, oleh itu ia tidak menghasilkan atau merembeskan cecair tetapi ada banyak salur darah.

“Cecair atau lelehan pada vagina sebenarnya berasal daripada salur darah yang menjadikannya lembap ketika dalam keadaan terangsang yang bertindak sebagai pelincir dan mengelak rasa sakit ketika mengadakan hubungan seks.

“Apabila seseorang wanita menopaus (putus haid), dinding vagina menjadi nipis akibat kekurangan hormon estrogen dan kurang bekalan darah. Akibatnya, ia mudah menjadi kering yang menyebabkan rasa sakit dan kadangkala berdarah apabila mengadakan hubungan seks.

Ini sebabnya wanita menopaus sering berasa tidak selesa dan menolak apabila suami mengajak untuk ‘bersama’. Keadaan ini perlu difahami suami dan jangan menjadikan ia alasan untuk mencari pasangan baru,” katanya.
Selain menambah zuriat, vagina ada banyak fungsi lain, terutama membabitkan rawatan. Rawatan melalui vagina bukan perkara baru kerana ia diamalkan sejak abad ke-19 Sebelum Masihi.

Bagaimanapun, ia mulai popular pada 1981 apabila pakar perubatan mendapati sesetengah rawatan dan ujian pemeriksaan melalui vagina lebih berkesan dan jelas.

Antaranya ialah ujian imbasan bunyi bagi memeriksa keadaan rahim. Sebelum ini ujian imbasan bunyi dilakukan pada abdomen (perut) tetapi kaedah ini kurang sensitif untuk mengesan kehadiran kanser pada ovari.

Meskipun kes kanser ovari tidak sebanyak kanser payu dara atau serviks (pangkal rahim) tetapi di kalangan kanser yang membabitkan bahagian peranakan wanita, ia kanser paling berbahaya dan lebih cepat menyebabkan kematian.

Ini kerana sebagaimana kanser lain, kanser ovari tidak mempunyai sebarang tanda hinggalah ia mencapai peringkat ketiga (menjadi serius) dan sukar dikesan melalui ujian imbasan bunyi melalui abdomen.

Imbasan bunyi melalui vagina boleh mengesan kanser ovari pada peringkat awal yang membolehkan pesakit dirawat secepat mungkin.

“Dalam ujian ini doktor boleh melihat keadaan ovari dengan jelas dan sebarang keadaan tidak normal boleh dikesan ketika itu juga. Pada masa sama doktor boleh mengesan kanser pangkal rahim atau kehadiran polip atau sista dalam rahim dengan mudah,” katanya.

Bagi sesetengah keadaan, pemberian ubat melalui vagina juga lebih berkesan, terutama untuk:
• Antibiotik atau anti kulat — Apabila ada jangkitan pada bahagian kemaluan. Banyak kajian menunjukkan pemberian ubat antibiotik atau anti kulat melalui vagina lebih berkesan dengan kadar penyembuhan lebih cepat
• Rawatan masalah kesuburan
• Rawatan untuk keguguran atau bersalin tidak cukup bulan
• Terapi hormon untuk wanita menopaus
• Rawatan untuk pencegahan kehamilan
• Rawatan untuk masalah prolaps (rahim jatuh dan terkeluar dari vagina) Rawatan untuk semua yang disenarai di atas ada pelbagai bentuk seperti cecair, tablet, krim, balsam, gel, cincin (untuk masalah proplaps supaya rahim dapat ‘ditolak ke atas balik), cincin berhormon, alat dalam rahim (untuk pencegahan kehamilan) atau tampon berubat.

Apa kelebihan ubat yang diberi melalui vagina berbanding ubat makan? Ubat makan perlu melalui banyak peringkat kerana akan masuk ke dalam perut dan sistem pencernaan (usus kecil) terlebih dulu. Dari sini, ubat berkenaan diserap masuk ke dalam aliran darah dan dibawa ke hati untuk ditapis dan diuraikan sebelum sampai ke tempat atau organ sasaran. Jadi dos ubat makan biasanya lebih tinggi supaya dos yang sampai ke organ sasaran adalah tinggi.

Apabila ubat perlu melalui saluran pencernaan, ia boleh memberi kesan sampingan seperti rasa mual, perut tidak selesa atau muntah. Masalah ini tidak berlaku pada ubat yang terus diberi pada vagina kerana tidak perlu melalui hati (boleh mengelak masalah hati — sangat baik untuk pesakit Hepatitis B) dan pada masa sama mengurangkan gejala embolisme (pergerakan ketulan darah beku, lemak atau gelembung udara dalam darah dari satu organ ke organ lain) yang dialami sesetengah wanita yang mengambil ubat hormon secara oral. Bagaimanapun keadaan ini jarang berlaku.

“Permukaan dalaman vagina yang berlipat dan berkedut bertujuan menambah luas permukaan yang akan meningkatkan penyerapan ubat. Justeru, ubat boleh diberi dalam dos rendah dan ini secara tidak langsung mengurangkan kesan sampingan ubat.

“Biasanya ubat diberi melalui vagina adalah untuk jangka panjang kerana kebanyakannya direka untuk mengeluarkan dos rendah secara perlahan-lahan. Jadi kekerapan untuk mengambil ubat boleh dikurangkan dan kadar kepatuhan kepada pengambilan ubat jauh lebih baik berbanding ubat makan.

“Walaupun kaedah pemberian ubat melalui vagina banyak manfaatnya, ia kurang popular kerana ramai wanita tidak faham atau kurang selesa dengan cara ini. Namun, kini banyak jenis rawatan boleh dilakukan sendiri di rumah tetapi yang paling penting, ia selamat dan berkesan,” katanya.

Oleh itu wanita perlu sentiasa menjaga kesihatan vagina dengan:
• Amalkan pemakanan seimbang dan sihat; kerap bersenam iaitu sekurang-kurangnya 30 minit sehari, tiga hingga empat kali seminggu
• Pastikan kawasan kemaluan sentiasa bersih iaitu pada bahagian luar saja. Vagina adalah organ yang mempunyai sistem pembersihan sendiri. Jadi anda tidak perlu ‘menjolok’ jari ke dalam atau menggosok saluran ini dengan sabun untuk membersihkannya.

Tindakan ini hanya mengganggu persekitaran semula jadi kerana dalam vagina ada bakteria baik iaitu bakteria laktobasilus yang menghasilkan asid laktik yang bertindak sebagai benteng pertahanan terhadap jangkitan.

Mencuci vagina sama ada dengan sabun atau memancutkan air ke dalam saluran ini menyingkir bakteria laktobasilus dan akibatnya anda lebih mudah mendapat jangkitan.

• Pakai seluar dalam dibuat daripada kain kapas untuk pengudaraan baik dan mengurangkan kelembapan. Bagi wanita yang menggunakan tampon, sila buat catatan bila anda memasukkan dan mengeluarkannya. Ini penting kerana ada wanita terlupa mengeluarkan tampon. Tampon ini bagaimanapun tidak hilang atau masuk ke dalam rahim kerana vagina adalah sistem tertutup (bukaan ke rahim sangat halus) cuma ia boleh menyebabkan jangkitan dan Sindrom Kejutan Toksik yang mungkin membawa maut.

• Jangan guna penyembur atau sabun wangi bagi membersihkan vagina kerana saluran ini sensitif. Air sudah memadai.

• Jalani pemeriksaan kesihatan dengan pakar sakit puan secara berkala.

• Elak memakai seluar denim yang terlalu ketat kerana anggota istimewa ini perlukan pengudaraan baik, terutama apabila anda mengalami jangkitan.

Sumber:http://www.hmetro.com

Pelbagai Punca Sakit Dada

SAKIT dada, sakit jantung. Ini telah menjadi satu pemahaman dan ketakutan di kalangan masyarakat negara ini sehinggakan banyak drama atau filem di negara ini menjadikannya satu klise untuk menunjukkan bencana dan tragedi keluarga. Setelah bertahun-tahun masyarakat didedahkan kepada ‘kefahaman’ ini, tidak hairanlah ramai yang bergegas mencari doktor apabila mengalami sakit dada kerana khuatir diserang sakit jantung.

Tidak boleh disangkal bahawa penyakit jantung menjadi pembunuh utama di negara ini dan banyak negara lain lagi. Memandangkan semakin ramai golongan muda yang diserang sakit jantung, tidak menghairankan juga golongan yang cemas ini terdiri daripada semua peringkat umur.
Tidak mengira usia...

Namun, orang ramai perlu pandai membezakan antara serangan jantung dengan penyakit lain supaya perasaan cemas ketika mengalami sakit dada tidak membawa kepada kemudaratan lain.
Pakar Perunding Gastroenterologi dan Ketua Jabatan Perubatan Hospital Putrajaya, Datuk Dr. Ahmad Shukri Md. Salleh menjelaskan, serangan jantung biasanya menyebabkan kesakitan pada bahagian kiri atau tengah dada tetapi kadangkala boleh berlaku pada bahagian kanan dada juga.

“Rasa sakit ini seperti dada ditindih (ditekan), berat atau dibelit (sempit), dan boleh merebak dari dada ke leher, rahang atau lengan kiri. “Selain itu, rasa sakit akibat serangan jantung turut dikaitkan dengan simptom lain seperti berpeluh, rasa mual, sesak nafas dan rasa berdebar-debar (palpitation),” jelas beliau. Kata beliau, rasa sakit ini juga datang dan pergi dan cuma bertahan untuk beberapa saat atau beberapa minit sahaja, serta dapat dikurangkan dengan berehat. Tambahnya, serangan jantung juga dikaitkan dengan aktiviti fizikal berat seperti senaman terlalu kuat, mengangkat barang yang berat atau naik banyak anak tangga. Jika stres ditambah dengan perasaan marah yang membuak-buak, terdapat juga kemungkinan serangan jantung berlaku secara mendadak.

Jantung vs reflux

Perkara pertama dalam mengelakkan kekeliruan dan rasa cemas akibat sakit dada adalah mengenali simptom ketika berlakunya serangan jantung. Perasaan cemas adalah normal jika kesakitan timbul di tempat yang sebelum ini tidak pernah berasa sakit.
Tetapi jangan terlalu risau atau cemas sehingga memudaratkan lagi keadaan dan menyebabkan rasa sakit itu semakin kuat.

Antara punca sakit dada bukan akibat serangan jantung yang biasa ditemui adalah masalah reflux asid perut yang menyebabkan radang dan bengkak kepada esofagus serta rasa pedih hulu hati. “Sistem badan manusia telah diatur untuk berfungsi dengan elok, dari atas turun ke bawah, yang mengalir pula dalam satu arah. Jika fungsi sistem badan terganggu sehingga menjadi songsong, itu mungkin tanda hadirnya penyakit tertentu dan rasa sakit itu pula sebagai petanda daripada badan, memaklumkan terdapat kepincangan dalam fungsi sistem berkenaan,” kata Dr. Ahmad Shukri.

Penyakit yang dikenali Reflux Gastroesophageal (GERD) ini merupakan sejenis penyakit yang disebabkan oleh reflux asid dari perut yang menghakis struktur salur penghadaman. Dr. Ahmad Shukri menjelaskan, rasa pedih hulu hati yang berhampiran dengan kedudukan jantung ini mungkin menyebabkan kekeliruan di kalangan orang ramai.
“Selalunya reflux berlaku selepas makan terutama bila individu berkenaan mengambil makanan dalam jumlah yang banyak,” kata beliau. Beliau menyatakan reflux juga menyebabkan rasa mual, rasa asid (masam) di dalam mulut dan tidak melibatkan simptom seperti serangan jantung (sesak nafas, rasa berdebar) serta tidak dikaitkan dengan aktiviti fizikal. Tambahnya, reflux juga boleh menyebabkan simptom batuk yang kering pada waktu malam, serangan asma (lelah) disebabkan kekejangan bronkiol atau menyebabkan pesakit bangun mengejut pada waktu malam akibat sakit di bahagian dada.
Rasa pedih hulu hati berbeza dengan sakit jantung kerana melibatkan perasaan seperti terbakar (heart burn) yang berpanjangan. Makanan pedas atau berlemak boleh menyebabkan simptom ini berlaku atau menjadi bertambah teruk.

Saringan dan rawatan

Selain simptom, perlu juga diketahui ujian saringan bagi menentukan keadaan kesihatan anda serta menentukan rasa sakit pada dada berpunca daripada masalah jantung atau sebaliknya. Bukan sahaja ujian saringan, malahan cara rawatan untuk serangan jantung dan reflux juga berbeza.

Menurut Dr. Ahmad Shukri, doktor akan menjalankan ujian elektrikal kardiogram (ECG) jika pesakit disyaki mempunyai masalah jantung atau mengalami serangan jantung.
“Selain ECG, ujian darah juga dijalankan untuk menentukan kandungan kolesterol dan gula di dalam darah. “Doktor juga akan mengambil tekanan darah pesakit dan menguji kehadiran enzim jantung yang dikeluarkan jika jantung mengalami kecederaan,” kata beliau. Jika ECG adalah normal tetapi masih disyaki masalah jantung, Dr. Ahmad Shukri memaklumkan doktor akan melakukan ujian ECG tekanan (stres) yang memerlukan pesakit berlari di atas mesin treadmill bagi menguji kesannya terhadap jantung.
Beliau menjelaskan jantung akan memerlukan lebih banyak oksigen ketika menghadapi tekanan atau berlari dan perubahan pada bacaan ECG akan berlaku jika terdapat salur darah yang tersumbat. Bagaimanapun, ujian ECG tekanan tidak memberikan bacaan yang 100 peratus tepat dan kadangkala boleh memberikan bacaan positif atau negatif yang salah. Ini merupakan antara batasan terhadap ujian saringan ini yang kadangkala boleh menunjukkan pesakit yang mempunyai masalah jantung sebagai sihat. Dr. Ahmad Shukri memaklumkan pesakit boleh menjalani ujian koronari angiogram jika ujian stres ECG juga normal sedangkan doktor masih mengsyaki masalah jantung. “Ujian koronari angiogram boleh menunjukkan bilangan dan tahap salur darah koronari jantung yang tersumbat dengan lebih tepat. Selain angiogram, pesakit juga boleh menjalani ujian angiogram MultiSlice Computer Tomography (MSCT) yang hanya memerlukan suntikan di tangan dan lebih cepat,” jelas beliau. Selain itu, beliau turut menyatakan rawatan masalah jantung berbeza mengikut keadaan dan tidak semestinya memerlukan pembedahan besar.

Sekiranya doktor mengesan tanda positif pada ECG, Stres ECG atau MSCT, maka kaedah seterusnya yang terbaik adalah koronari angiogram yang membolehkan rawatan dilakukan pada saluran darah yang tersumbat melalui belon angioplasti dan stenting. Pembedahan pintasan jantung mungkin perlu dilakukan sekiranya bilangan dan tahap saluran koronari tersumbat terlalu serius. Selain itu, pesakit juga perlu meneruskan rawatan yang melibatkan penggunaan ubat bagi mengelakkan serangan jantung berulang.
Dalam pada itu, Dr. Ahmad Shukri memaklumkan masalah reflux pula dapat ditentukan dengan ujian endoskopi (OGDS) bagi menentukan sama ada terdapat radang atau luka di saluran penghadaman esofagus, atau hiatal hernia yang menjadi punca masalah berkenaan.

“Ujian lain untuk masalah reflux adalah kajian pH saluran penghadaman esofagus selama 24 hingga 48 jam.“Rawatan untuk masalah reflux pula lebih mudah dengan bertumpu kepada mengurangkan penghasilan asid perut,” jelas beliau.
Menurut Dr. Ahmad Shukri, penghasilan asid perut boleh dikawal menggunakan ubat tertentu yang perlu diambil secara berkala oleh pesakit. Dr. Ahmad Shukri menasihatkan sesiapa yang menghadapi sakit dada untuk berjumpa dengan doktor untuk menjalani ujian lanjut dan juga untuk dirujuk kepada doktor pakar perut, jantung atau paru-paru mengikut penyakit yang disyaki. “Perlu diingat sakit dada itu bukan hanya petanda sakit jantung tetapi mungkin juga melibatkan masalah kesihatan lain yang perlu dikenalpasti dengan segera untuk mendapatkan rawatan secepat mungkin.
“Jangan ambil mudah walaupun jika bukan disyaki serangan jantung dan dapatkan nasihat serta pandangan doktor anda dengan segera,” tegas beliau.
Sebarang pertanyaan mengenai sakit dada boleh diajukan kepada Datuk Dr. Ahmad Shukri Md. Salleh melalui e-mel ashukris@yahoo.co.uk

Risiko dan pencegahan

Terdapat dua jenis faktor risiko serangan jantung iaitu faktor tidak boleh ubah dan boleh ubah. Faktor tidak boleh ubah termasuk umur lebih 40 tahun, jantina lelaki dan mempunyai sejarah keluarga sakit jantung pada usia muda. Faktor boleh ubah pula lebih melibatkan gaya hidup yang boleh dikawal seperti merokok, kolesterol tinggi, darah tinggi, diabetes, obesiti dan stres.

Serangan jantung juga boleh berlaku seawal usia 20-an akibat amalan pemakanan dan gaya hidup tidak sihat. Bagi mereka yang aktif dalam sukan dan boleh berlari dalam jarak dua kilometer dengan mudah, rasa sakit dada berkemungkinan bukan akibat serangan jantung. Namun bagi mereka yang bermain sukan kurang tekanan seperti golf, sakit dada berkemungkinan menandakan serangan jantung terutamanya jika mereka kurang berjalan dan banyak menaiki kereta buggy sepanjang bermain golf. Senaman, diet rendah lemak dan tidak merokok menjadi antara kaedah utama yang dicadangkan untuk mengurangkan risiko dan mengelak mengalami serangan jantung.

Antara kumpulan yang berisiko menghidap reflux asid pula adalah perokok, berat badan berlebihan, mempunyai masalah hiatal hernia dan kuat minum kopi. Merokok dan tabiat sering minum kopi boleh melemahkan cerut atau spinkter esofagus dan akan memudahkan asid perut naik ke dalam saluran esofagus. Pesakit yang menghidap reflux perlu menjaga pemakanan dan mengamalkan pengambilan makanan dalam hidangan kecil dengan kekerapan lebih tinggi, atau makan sedikit-sedikit, banyak kali setiap hari.
X-ray...

Punca-punca lain sakit dada


Aneurisme aorta yang bocor atau pecah

Masalah ini melibatkan salur darah yang membengkak dan lebih berbahaya daripada serangan jantung kerana boleh menyebabkan kematian mengejut pesakit. Masalah ini biasanya berlaku di kalangan mereka yang sudah lanjut usia dan antara punca utamanya adalah tekanan darah tinggi. Selain itu, pesakit yang dijangkiti kuman siflis ketika masih muda juga menghadapi risiko aneurisme yang lebih tinggi selepas melewati umur 50 tahun.

* Pleuritis
Masalah ini melibatkan radang pada lapisan pleura iaitu membran yang melitupi paru-paru. Pesakit biasanya berasa sakit ketika menarik nafas akibat paru-paru yang mengembang menyentuh lapisan pleura. Pleuritis mungkin berlaku akibat jangkitan kuman dan cara rawatannya adalah dengan merawat jangkitan tersebut.

* Costochondritis (Sindrom Tietze)
Masalah ini melibatkan keradangan dan bengkak pada satu atau lebih tulang rawan costal pada tulang rusuk pesakit. Antara puncanya adalah trauma atau batuk yang berpanjangan. Kesakitan akibat masalah ini turut melibatkan tulang rusuk dan pesakit akan berasa lebih sakit jika kawasan terbabit ditekan. Rasa sakit pada dada akibat masalah ini juga berpanjangan dan boleh mencecah berhari-hari lamanya.
Selain tulang rusuk dan rawan costal, kesakitan pada otot dada juga diletakkan di bawah kumpulan ini. Antara punca kepada masalah ini adalah senaman keras atau terlalu berat yang mencederakan struktur tulang, otot atau rawan pada dada. Kebanyakan pesakit yang mengalami masalah ini menyangkakan mereka, mengalami serangan jantung tetapi costochondritis mudah dibezakan dengan sakit jantung atau reflux asid memandangkan kedua-dua keadaan berkenaan tidak menyebabkan kesakitan bertambah jika dada ditekan.

Pesakit selalunya hanya perlu mengambil ubat penahan sakit untuk masalah ini dan akan pulih selepas satu masa tertentu, bergantung kepada punca masalah berkenaan.

* Tekanan pada saraf
Masalah ini berpunca daripada tekanan pada saraf tunjang akibat dihimpit tulang belakang ‘cervical’ yang semakin rapat. Kesakitan yang mulanya dirasakan pada leher boleh beralih ke dada dan boleh berlaku kepada golongan muda ataupun yang berusia. Walaupun jarang berlaku, masalah ini mungkin dihadapi mereka yang mengalami kecederaan teruk pada leher.

Masalah ini boleh dikesan melalui imbasan Sinar-X atau imbasan MRI (Magnetic resonance imaging) ke atas tulang belakang pesakit. Rawatan untuk masalah ini biasanya melibatkan ubat dan fisioterapi tetapi pembedahan mungkin diperlukan untuk pesakit dengan masalah yang lebih serius.
Sumber: http://www.utusan.com.my

Ancaman Tulang Reput

KEBANYAKAN wanita Malaysia hanya mendapat 50 peratus keperluan kalsium harian mereka. Penemuan fakta terbaru itu diperoleh daripada kajian bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) dan University of Otago, New Zealand.

Berdasarkan fakta itu antara perkara yang membimbangkan ialah kekurangan kalsium mungkin mengakibatkan tulang rapuh atau osteoporosis.

Hakikatnya, pengambilan kalsium secara optimum adalah penting untuk mengekalkan kesihatan tulang kerana tulang seseorang itu mengalami kemerosotan berterusan bermula seawal usia 30-an. Justeru, penjagaan kesihatan tulang perlu dimulakan dari awal lagi dan adalah penting supaya semua masyarakat Malaysia menjalankan pemeriksaan kesihatan tulang bagi mencegah osteoporosis.

Sebagai galakan kepada orang ramai supaya memeriksa kesihatan tulang mereka, rangkaian produk tenusu yang dirumus khas untuk kesihatan tulang, Anlene menganjurkan kempen, Dengar Tulang Anda dan dilancarkan di pusat beli-belah Sunway Pyramid, baru-baru ini.

Pelancaran kempen itu disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr Mohd Nasir Mohd Ashraf. Kempen yang juga program perkhidmatan komuniti itu dibawakan oleh Fonterra Brands Malaysia dan antara tujuannya ialah mendidik rakyat di negara ini mengenai pentingnya penjagaan kesihatan tulang mereka.

Pengarah Urusan Fonterra Brands Sdn Bhd, John Mckay, berkata kesihatan tulang yang kurang baik adalah isu kesihatan serius dan perlu ditangani dari sekarang, lebih-lebih lagi kajian menunjukkan, kesan akibat osteoporosis akan meningkat di Asia, manakala menjelang 2050 dijangkakan lebih 50 peratus daripada keretakan tulang pinggul akan berlaku di rantau ini.

Mckay berkata, apa yang lebih membimbangkan osteoporosis adalah penyakit yang senyap dan serius. Kebanyakan orang tidak menyedari mengenainya sehingga individu berkenaan mengalami keretakan tulang.

“Osteoporosis adalah penyakit yang boleh dicegah, tetapi tidak boleh diubati. Oleh itu penjagaan kesihatan tulang perlu dimulakan dari awal lagi,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran kempen berkenaan.

Kempen yang turut disokong oleh Kementerian Kesihatan itu turut menawarkan pemeriksaan kesihatan tulang yang akan dapat memberitahu tahap kesihatan tulang seseorang. Cara pemeriksaan kesihatan tulang ditawarkan adalah mudah dan pantas melalui pengimbasan ultra bunyi pada tulang tumit serta hanya mengambil masa dua minit serta tidak menyakitkan.

Selepas pengimbasan, pakar pemakanan memberikan nasihat mengenai keputusan ujian dan cara pemakanan yang betul serta pengamalan gaya hidup untuk memastikan tulang sentiasa kuat.

Mckay berkata, melalui kempen itu rakyat Malaysia diingatkan supaya membekalkan nutrisi penting bagi kesihatan tulang kerana tulang terdiri daripada tisu-tisu hidup yang mengalami kemerosotan dan penumbuhan semula. Semua individu berisiko

mendapat osteoporosis, apatah lagi jika mereka mengamalkan gaya hidup kurang sihat.

Malah, pakar kesihatan kini mengklasifikasikan osteoporosis sebagai epidemik global yang mengancam semua orang, terutama warga emas di seluruh dunia dengan kadar kelaziman satu kes bagi setiap tiga wanita dan setiap lapan lelaki. Ini bermakna, di kalangan lapan lelaki, seorang akan mendapat masalah osteoporosis.

Sumber: Berita Harian

Rahsia Anak Pintar:

Rahsia Anak Soleh:

Belajar Bahasa Inggeris:

Kit Biasiswa:

Koleksi Biasiswa Malaysia 2010

Jimat Elektrik:

Perfect Slim Diet:

Kerja Kerajaan:

Pertolongan Cemas:

Nak Berhenti Merokok?:

Jual Balik:

Artikel Yang Sering Dibaca Pelawat KEKAL SIHAT: