Jual Balik:

Kit Biasiswa:

Koleksi Biasiswa Malaysia 2010

Rahsia Anak Pintar:

Rahsia Anak Soleh:

Jimat elektrik:

mmm

Belajar Bahasa Inggeris:

Nak Berhenti Merokok?

Pertolongan Cemas:

Perfect Slim Diet:

Thursday, February 25, 2010

Risiko Mati Awal

Kajian WHO mendapati perokok usia 35 tahun ke atas mudah berhadapan kemungkinan diserang sakit jantung

IA bukan lagi sesuatu yang luar biasa apabila anda mendengar mengenai kematian mereka yang masih muda akibat serangan jantung.

Ini disebabkan, biarpun pada usia seawal 26 tahun sekali pun, individu itu berpotensi untuk diserang masalah jantung. Malah wanita muda yang masih sihat dan pada usia produktif, pula tidak terkecuali menjadi penghidap penyakit ini.
Ketua Unit Kardiologi, Pusat Jantung dan Paru-Paru, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Madya Dr Oteh Maskon, turut mengingatkan, masalah jantung di kalangan orang muda jauh lebih terus berbanding dengan warga emas atau orang tua.

Ini katanya, jika individu berusia 80 tahun yang kena serangan jantung, ia lebih bersifat semula jadi apabila saluran darahnya sudah tidak lagi berupaya untuk bertahan akibat faktor usia lanjutnya.

“Faktor risiko paling biasa adalah diabetes dan tekanan darah tinggi. Tetapi di kalangan orang muda, faktor atau punca masalah pembunuh senyap ini adalah disebabkan merokok, kolesterol yang tinggi, bekerja dalam suasana yang tertekan serta diet yang tidak seimbang,” katanya.
Dr Oteh berkata, selagi tidak membuat pemeriksaan kesihatan yang terperinci, seseorang itu tidak akan mengetahui keadaan kesihatannya. Lebih menyukarkan keadaan, ada kalanya simptom awal masalah jantung ini tidak disedari.

“Jangan tunggu hingga usia anda 40 tahun untuk buat pemeriksaan kesihatan. Ini perlu dilakukan apatah lagi jika keluarga anda memiliki sejarah masalah jantung,” katanya.

Beliau berkata, bagi wanita yang belum putus haid terdedah kepada ancaman serangan jantung jika tidak mengamalkan gaya hidup sihat.

“Perempuan yang belum menopaus dilindungi hormon daripada serangan jantung. Tetapi perlu diingat, jika tidak bersenam, merokok dan tidak menjaga pemakanan, wanita ini boleh diserang masalah jantung apatah lagi jika dia berhadapan dengan penyakit lain seperti diabetes,” katanya.
Dr Oteh turut mengingatkan, masalah jantung di Malaysia sememangnya lazim dan serius. Malah, setiap orang memiliki kemungkinan diserang sakit jantung sehingga 50 peratus jika tidak mengamalkan cara hidup yang sihat.

Di PPUKM saja, 8,000 pesakit yang mengalami simptom masalah jantung dirawat sebagai pesakit luar setiap tahun. Manakala 4,000 menjalani ECG - echocardiography (ujian anatomi jantung) manakala 5,000 menjalani ujian tekanan (stress test).

Angka ini secara keseluruhannya amat besar dan sewajarnya mendapat perhatian semua.

Selain melakukan pemeriksaan kesihatan, usaha mengubah gaya hidup adalah antara cara mengurangkan faktor risiko. Bersenam, memilih diet seimbang dan tinggalkan tabiat merokok.

Merokok dan serangan jantung memang sudah diketahui saling berkait. Satu kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) membabitkan 121 negara, mendapati perokok dalam usia 35 ke 39 tahun berhadapan dengan lima kali risiko diserang serangan jantung berbanding individu sebaya yang tidak merokok.

Kajian yang disiarkan dalam Jurnal Kawalan Tembakau itu turut menyebut, merokok adalah faktor risiko utama kejadian serangan jantung di kalangan orang muda.



Bagaimana mengesan serangan jantung?

Kebanyakan serangan jantung terjadi secara perlahan-lahan. Ia menyebabkan ada pesakit yang tidak pasti, adakah mereka patut mendapatkan pertolongan atau tidak?

Namun umumnya, jika anda merasakan ketidakselesaan di bahagian dada (rasa tertekan, senak atau dipicit) yang berlangsung beberapa minit dan kerap berulang, dapatkan rawatan segera.

Selain itu anda mungkin merasa sakit di bahagian atas badan misalnya lengan, bahagian belakang, rahang atau perut. Ada kala rasa sakit itu disertai nafas pendek dan sakit dada.

Jika anda berhadapan dengan mereka yang diserang sakit jantung tiba-tiba, satu jam pertama selepas serangan jantung adalah masa yang cukup penting. Membantu mangsa dalam masa itu boleh menyelamatkan nyawa.

Terdapat pelbagai simptom masalah jantung. Justeru serangan jantung yang dialami oleh individu mungkin berbeza. Misalnya di kalangan pesakit wanita, mungkin mengalami rasa sakit di bahu berbanding lelaki yang rasa dada seakan remuk.

Ada kala, serangan jantung kali pertama boleh anda harungi. Namun, ada yang tidak bernasib baik, serangan jantung kali pertama menyebabkan kematian.

Justeru, jalani pemeriksaan kesihatan untuk mengetahui situasi semasa kesihatan anda dan mengamalkan gaya hidup sihat.

FAKTA: Simptom awal serangan jantung
• Rasa sakit di dada (senak, seakan dipicit/ditekan) selama dua minit atau lebih.
• Sakit di bahu, tengkuk, rahang, lengan atau bahagian belakang
• Pening, berpeluh, muntah, nafas pendek atau lemah.
Sumber:Berita Harian.

Vitamin Terbaik Untuk Anak

Pastikan si kecil nikmati diet seimbang, elak makanan ringan

ADAKAH anak anda memerlukan vitamin tambahan dalam diet sehariannya? Apakah beliau cukup khasiat untuk membesar sebagai anak yang sihat dan cerdas?

Inilah persoalan yang sering melingkari minda ramai ibu bapa yang ragu-ragu mengenai keupayaan sendiri dalam memantau pembesaran anak-anak.

Justeru, tidak hairan apabila anak-anak zaman ini disogokkan dengan pelbagai pil bagi menambah kecergasan dan kecerdasan. Tetapi, adakah ini perlu? Tidakkah terlalu awal mendedahkan anak-anak dengan pelbagai vitamin tambahan?

Pakar Runding Kanak-Kanak, Pusat Perubatan Pantai Bangsar, Dr Azam Mohd Noor, berkata cara terbaik untuk memastikan anak-anak mendapat vitamin dan mineral adalah dengan memberinya peluang menikmati pelbagai jenis makanan.

Selain susu, buah-buahan dan sayur-sayuran, masukkan juga kekacang, ikan dan produk tenusu dalam dietnya.

“Memang mudah menyebut diet yang sihat, tetapi kanak-kanak tidak makan seperti mana kita mahu mereka makan. Anak-anak yang cerewet dalam soal pemakanan tidak akan memperoleh vitamin, mineral dan nutrisi penting yang lain,” jelasnya.

Malah ada juga kanak-kanak langsung tidak makan makanan berkhasiat atau sihat. Ada yang lebih cenderung memilih makanan yang diproses dan makanan ringan kurang sihat dan kurang khasiatnya berbanding gula dan kalori.

Dr Azam berkata, anak-anak yang memilih makanan juga tidak mendapat khasiat secukupnya bagi membantu pembesaran mereka. Vitamin dan mineral yang amat penting bagi pembesaran kanak-kanak, secara umumnya boleh diperoleh dalam diet pemakanan seimbang. Tetapi ini sudah pasti menimbulkan masalah kepada kanak-kanak yang suka memilih makanan.

“Kanak-kanak yang tidak mengambil mengambil vitamin dan mineral secukupnya mungkin berhadapan dengan kadar IQ yang rendah berbanding kanak-kanak yang mendapat mineral dan vitamin mencukupi,” katanya.

Jelas Dr Azam, fakta penting yang perlu diketahui ramai adalah usaha meningkatkan tahap IQ kanak-kanak bukan bergantung pada jenis atau vitamin tertentu tetapi gabungan pelbagai vitamin seperti zink, vitamin A dan C.

Bagaimanapun pengambilan makanan tambahan juga harus sesuai dengan keperluan anak-anak kerana pengambilan makanan tambahan yang terlalu banyak sebaliknya boleh menjadi toksik kepada tubuh kanak-kanak.

“Apa yang perlu diketahui, vitamin dan mineral tidak merawat penyakit kecuali jika kanak-kanak mengalami masalah kekurangan vitamin atau mineral,” katanya.

Jika dilihat, makanan tambahan bukan lagi dalam bentuk pil atau kapsul. Ia juga tidak lagi terhad kepada vitamin dan mineral, sebaliknya asid lemak, Omega 3 dan minyak ikan. Ada juga sebahagian makanan tambahan ini dimasukkan dalam susu tepung.

Misalnya, susu formula mengandungi rumusan DHA (asid docasaHexanenoic, sejenis omega 3) yang membantu perkembangan otak kanak-kanak.

Bagaimanapun jelas Dr Azam, vitamin dan mineral dalam susu formula tidak setanding dengan kandungan DHA dalam susu ibu. Tetapi, perlu diingat, jika ibu menyusukan anak tidak mengambil diet yang betul, ini pasti menjejaskan kualiti susu.

“Ramai ibu yang mahu segera kurus selepas pantang dan tidak makan dengan betul. Mungkin mereka akan cepat mendapat bentuk badan asal selepas bersalin tetapi tindakan itu menjejaskan khasiat susu ibu,”

Dr Azam berkata satu lagi makanan tambahan yang mungkin membantu dalam proses pembesaran kanak-kanak adalah probiotik. Anak-anak yang lahir melalui pembedahan kurang terdedah pada bakteria usus yang baik berbanding anak-anak yang dilahirkan nomal.

Pendedahan kepada bakteria usus yang baik membantu dalam proses pencernaan dan melindungi usus sekali gus mengurangkan simptom cirit birit.

INFO: Diet sihat si kecil

# Selain susu, buah-buahan dan sayur-sayuran, masukkan juga kekacang, ikan dan produk tenusu dalam makanan anak

# Makanan tambahan bukan setakat vitamin dan mineral, tetapi asid lemak, Omega 3 dan minyak ikan

# Kanak-kanak kurang vitamin dan mineral secukupnya mungkin berdepan kadar IQ yang rendah

# Usaha tingkat tahap IQ bergantung kepada gabungan pelbagai vitamin seperti zink, vitamin A dan C

# Awasi pengambilan makanan tambahan. Jika berlebihan boleh menjadi toksik kepada tubuhnya.
Sumber:Berita Harian.

Rahsia Anak Pintar:

Rahsia Anak Soleh:

Belajar Bahasa Inggeris:

Kit Biasiswa:

Koleksi Biasiswa Malaysia 2010

Jimat Elektrik:

Perfect Slim Diet:

Kerja Kerajaan:

Pertolongan Cemas:

Nak Berhenti Merokok?:

Jual Balik:

Artikel Yang Sering Dibaca Pelawat KEKAL SIHAT: