Jual Balik:

Kit Biasiswa:

Koleksi Biasiswa Malaysia 2010

Rahsia Anak Pintar:

Rahsia Anak Soleh:

Jimat elektrik:

mmm

Belajar Bahasa Inggeris:

Nak Berhenti Merokok?

Pertolongan Cemas:

Perfect Slim Diet:

Thursday, February 25, 2010

Risiko Mati Awal

Kajian WHO mendapati perokok usia 35 tahun ke atas mudah berhadapan kemungkinan diserang sakit jantung

IA bukan lagi sesuatu yang luar biasa apabila anda mendengar mengenai kematian mereka yang masih muda akibat serangan jantung.

Ini disebabkan, biarpun pada usia seawal 26 tahun sekali pun, individu itu berpotensi untuk diserang masalah jantung. Malah wanita muda yang masih sihat dan pada usia produktif, pula tidak terkecuali menjadi penghidap penyakit ini.
Ketua Unit Kardiologi, Pusat Jantung dan Paru-Paru, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Madya Dr Oteh Maskon, turut mengingatkan, masalah jantung di kalangan orang muda jauh lebih terus berbanding dengan warga emas atau orang tua.

Ini katanya, jika individu berusia 80 tahun yang kena serangan jantung, ia lebih bersifat semula jadi apabila saluran darahnya sudah tidak lagi berupaya untuk bertahan akibat faktor usia lanjutnya.

“Faktor risiko paling biasa adalah diabetes dan tekanan darah tinggi. Tetapi di kalangan orang muda, faktor atau punca masalah pembunuh senyap ini adalah disebabkan merokok, kolesterol yang tinggi, bekerja dalam suasana yang tertekan serta diet yang tidak seimbang,” katanya.
Dr Oteh berkata, selagi tidak membuat pemeriksaan kesihatan yang terperinci, seseorang itu tidak akan mengetahui keadaan kesihatannya. Lebih menyukarkan keadaan, ada kalanya simptom awal masalah jantung ini tidak disedari.

“Jangan tunggu hingga usia anda 40 tahun untuk buat pemeriksaan kesihatan. Ini perlu dilakukan apatah lagi jika keluarga anda memiliki sejarah masalah jantung,” katanya.

Beliau berkata, bagi wanita yang belum putus haid terdedah kepada ancaman serangan jantung jika tidak mengamalkan gaya hidup sihat.

“Perempuan yang belum menopaus dilindungi hormon daripada serangan jantung. Tetapi perlu diingat, jika tidak bersenam, merokok dan tidak menjaga pemakanan, wanita ini boleh diserang masalah jantung apatah lagi jika dia berhadapan dengan penyakit lain seperti diabetes,” katanya.
Dr Oteh turut mengingatkan, masalah jantung di Malaysia sememangnya lazim dan serius. Malah, setiap orang memiliki kemungkinan diserang sakit jantung sehingga 50 peratus jika tidak mengamalkan cara hidup yang sihat.

Di PPUKM saja, 8,000 pesakit yang mengalami simptom masalah jantung dirawat sebagai pesakit luar setiap tahun. Manakala 4,000 menjalani ECG - echocardiography (ujian anatomi jantung) manakala 5,000 menjalani ujian tekanan (stress test).

Angka ini secara keseluruhannya amat besar dan sewajarnya mendapat perhatian semua.

Selain melakukan pemeriksaan kesihatan, usaha mengubah gaya hidup adalah antara cara mengurangkan faktor risiko. Bersenam, memilih diet seimbang dan tinggalkan tabiat merokok.

Merokok dan serangan jantung memang sudah diketahui saling berkait. Satu kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) membabitkan 121 negara, mendapati perokok dalam usia 35 ke 39 tahun berhadapan dengan lima kali risiko diserang serangan jantung berbanding individu sebaya yang tidak merokok.

Kajian yang disiarkan dalam Jurnal Kawalan Tembakau itu turut menyebut, merokok adalah faktor risiko utama kejadian serangan jantung di kalangan orang muda.



Bagaimana mengesan serangan jantung?

Kebanyakan serangan jantung terjadi secara perlahan-lahan. Ia menyebabkan ada pesakit yang tidak pasti, adakah mereka patut mendapatkan pertolongan atau tidak?

Namun umumnya, jika anda merasakan ketidakselesaan di bahagian dada (rasa tertekan, senak atau dipicit) yang berlangsung beberapa minit dan kerap berulang, dapatkan rawatan segera.

Selain itu anda mungkin merasa sakit di bahagian atas badan misalnya lengan, bahagian belakang, rahang atau perut. Ada kala rasa sakit itu disertai nafas pendek dan sakit dada.

Jika anda berhadapan dengan mereka yang diserang sakit jantung tiba-tiba, satu jam pertama selepas serangan jantung adalah masa yang cukup penting. Membantu mangsa dalam masa itu boleh menyelamatkan nyawa.

Terdapat pelbagai simptom masalah jantung. Justeru serangan jantung yang dialami oleh individu mungkin berbeza. Misalnya di kalangan pesakit wanita, mungkin mengalami rasa sakit di bahu berbanding lelaki yang rasa dada seakan remuk.

Ada kala, serangan jantung kali pertama boleh anda harungi. Namun, ada yang tidak bernasib baik, serangan jantung kali pertama menyebabkan kematian.

Justeru, jalani pemeriksaan kesihatan untuk mengetahui situasi semasa kesihatan anda dan mengamalkan gaya hidup sihat.

FAKTA: Simptom awal serangan jantung
• Rasa sakit di dada (senak, seakan dipicit/ditekan) selama dua minit atau lebih.
• Sakit di bahu, tengkuk, rahang, lengan atau bahagian belakang
• Pening, berpeluh, muntah, nafas pendek atau lemah.
Sumber:Berita Harian.

Vitamin Terbaik Untuk Anak

Pastikan si kecil nikmati diet seimbang, elak makanan ringan

ADAKAH anak anda memerlukan vitamin tambahan dalam diet sehariannya? Apakah beliau cukup khasiat untuk membesar sebagai anak yang sihat dan cerdas?

Inilah persoalan yang sering melingkari minda ramai ibu bapa yang ragu-ragu mengenai keupayaan sendiri dalam memantau pembesaran anak-anak.

Justeru, tidak hairan apabila anak-anak zaman ini disogokkan dengan pelbagai pil bagi menambah kecergasan dan kecerdasan. Tetapi, adakah ini perlu? Tidakkah terlalu awal mendedahkan anak-anak dengan pelbagai vitamin tambahan?

Pakar Runding Kanak-Kanak, Pusat Perubatan Pantai Bangsar, Dr Azam Mohd Noor, berkata cara terbaik untuk memastikan anak-anak mendapat vitamin dan mineral adalah dengan memberinya peluang menikmati pelbagai jenis makanan.

Selain susu, buah-buahan dan sayur-sayuran, masukkan juga kekacang, ikan dan produk tenusu dalam dietnya.

“Memang mudah menyebut diet yang sihat, tetapi kanak-kanak tidak makan seperti mana kita mahu mereka makan. Anak-anak yang cerewet dalam soal pemakanan tidak akan memperoleh vitamin, mineral dan nutrisi penting yang lain,” jelasnya.

Malah ada juga kanak-kanak langsung tidak makan makanan berkhasiat atau sihat. Ada yang lebih cenderung memilih makanan yang diproses dan makanan ringan kurang sihat dan kurang khasiatnya berbanding gula dan kalori.

Dr Azam berkata, anak-anak yang memilih makanan juga tidak mendapat khasiat secukupnya bagi membantu pembesaran mereka. Vitamin dan mineral yang amat penting bagi pembesaran kanak-kanak, secara umumnya boleh diperoleh dalam diet pemakanan seimbang. Tetapi ini sudah pasti menimbulkan masalah kepada kanak-kanak yang suka memilih makanan.

“Kanak-kanak yang tidak mengambil mengambil vitamin dan mineral secukupnya mungkin berhadapan dengan kadar IQ yang rendah berbanding kanak-kanak yang mendapat mineral dan vitamin mencukupi,” katanya.

Jelas Dr Azam, fakta penting yang perlu diketahui ramai adalah usaha meningkatkan tahap IQ kanak-kanak bukan bergantung pada jenis atau vitamin tertentu tetapi gabungan pelbagai vitamin seperti zink, vitamin A dan C.

Bagaimanapun pengambilan makanan tambahan juga harus sesuai dengan keperluan anak-anak kerana pengambilan makanan tambahan yang terlalu banyak sebaliknya boleh menjadi toksik kepada tubuh kanak-kanak.

“Apa yang perlu diketahui, vitamin dan mineral tidak merawat penyakit kecuali jika kanak-kanak mengalami masalah kekurangan vitamin atau mineral,” katanya.

Jika dilihat, makanan tambahan bukan lagi dalam bentuk pil atau kapsul. Ia juga tidak lagi terhad kepada vitamin dan mineral, sebaliknya asid lemak, Omega 3 dan minyak ikan. Ada juga sebahagian makanan tambahan ini dimasukkan dalam susu tepung.

Misalnya, susu formula mengandungi rumusan DHA (asid docasaHexanenoic, sejenis omega 3) yang membantu perkembangan otak kanak-kanak.

Bagaimanapun jelas Dr Azam, vitamin dan mineral dalam susu formula tidak setanding dengan kandungan DHA dalam susu ibu. Tetapi, perlu diingat, jika ibu menyusukan anak tidak mengambil diet yang betul, ini pasti menjejaskan kualiti susu.

“Ramai ibu yang mahu segera kurus selepas pantang dan tidak makan dengan betul. Mungkin mereka akan cepat mendapat bentuk badan asal selepas bersalin tetapi tindakan itu menjejaskan khasiat susu ibu,”

Dr Azam berkata satu lagi makanan tambahan yang mungkin membantu dalam proses pembesaran kanak-kanak adalah probiotik. Anak-anak yang lahir melalui pembedahan kurang terdedah pada bakteria usus yang baik berbanding anak-anak yang dilahirkan nomal.

Pendedahan kepada bakteria usus yang baik membantu dalam proses pencernaan dan melindungi usus sekali gus mengurangkan simptom cirit birit.

INFO: Diet sihat si kecil

# Selain susu, buah-buahan dan sayur-sayuran, masukkan juga kekacang, ikan dan produk tenusu dalam makanan anak

# Makanan tambahan bukan setakat vitamin dan mineral, tetapi asid lemak, Omega 3 dan minyak ikan

# Kanak-kanak kurang vitamin dan mineral secukupnya mungkin berdepan kadar IQ yang rendah

# Usaha tingkat tahap IQ bergantung kepada gabungan pelbagai vitamin seperti zink, vitamin A dan C

# Awasi pengambilan makanan tambahan. Jika berlebihan boleh menjadi toksik kepada tubuhnya.
Sumber:Berita Harian.

Saturday, February 20, 2010

Dengkur Petanda Sakit Kronik

Penghidap gangguan tidur Obstructive Sleep Apnea berisiko serangan jantung, strok

RAMAI beranggapan dengkur hanyalah gangguan tidur yang jika memudaratkan dan sekadar menjejaskan tidur pasangan. Tidak kurang yang memandang ringan dengan menganggap masalah dengkur itu berlaku akibat getaran tisu di atas laluan pernafasan.

Bagaimanapun, dengkur bukan lagi masalah biasa, sebaliknya serius apabila anda berhenti bernafas selama 10 saat atau lebih setiap kali berdengkur. Keadaan itu dikenali gangguan tidur (Obstructive Sleep Apnea - OSA).
Sejauh manakah serius atau kroniknya masalah ini? Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak, Hospital Pantai Ampang, Dr Raymond Tan Suo Kuan, berkata OSA ialah masalah kesihatan yang kronik. Ia menyebabkan seseorang itu berhenti bernafas dalam tidur secara berulang kali iaitu antara lima hingga 30 kali atau lebih dari sejam.

"Setiap kali selepas pernafasan terhenti, pesakit akan cuba kembali bernafas. Cubaan itu menghasilkan bunyi yang kuat dan seakan tercekik," katanya.

Kata Dr Tan, bukan semua orang berdengkur mengalami OSA, tetapi semua yang mengalami OSA sememangnya berdengkur. Ia lebih kerap berlaku di kalangan lelaki yang obes atau terlalu gemuk, tanpa mengira umur. Bagaimanapun, katanya, ada perbezaan antara dengkur biasa dan dengkur simptom OSA.
Berdengkur umumnya mengganggu tidur pasangan tetapi dengkur biasa disusuli dengan petanda lain seperti berasa letih setiap pagi, sakit kepala, sakit tekak dan mulut yang kering.

Namun, apa yang membimbangkan, dengkur yang dikaitkan dengan simptom OSA disusuli masalah hipertensi atau darah tinggi, angin ahmar dan masalah kardiopulmanori.

Dr Tan berkata, mereka yang berisiko mengalami OSA memiliki jisim berat badan (BMI) lebih dari 28. Malah, OSA itu lebih ketara di kalangan lelaki berbanding wanita dengan kelaziman empat peratus di kalangan lelaki jika dibandingkan dengan wanita, sebanyak dua peratus.

"OSA selalunya berlaku di kalangan lelaki berusia 25 ke 45 tahun dan dianggap masalah biasa di kalangan lelaki berusia 55 tahun ke atas. Bagi wanita, walaupun insiden OSA lebih rendah berbanding lelaki, tetapi selepas putus haid, kekerapan itu sama dengan lelaki.
"Mereka yang mengalami OSA berhadapan dengan masalah saluran pernafasan yang sempit. Malah, salur nafas itu boleh tertutup untuk beberapa saat," katanya.

Kata Dr Tan, keadaan ini disebabkan ketika tidur, udara tidak boleh melalui paru-paru dan hidung walaupun pesakit cuba untuk bernafas. Apabila ia terjadi, jumlah oksigen dalam darah menurun. Pernafasan normal bermula dengan bunyi dengkur dan bunyi seakan-akan tercekik yang kuat.

"Justeru, pesakit seakan-akan meronta-ronta dalam tidur untuk mendapatkan pernafasannya kembali. Jika pernafasannya terhenti secara berterusan dan tertutup 100 peratus, maka ia dinamakan apnea. Lazimnya, apabila sukar bernafas, pesakit akan terjaga daripada tidur kerana paru-paru yang bergerak dan kadar oksigen yang kian menurun.

Dr Tan berkata, OSA kerap dialami mereka yang gemuk, merokok dan mengambil alkohol. Apa yang menyedihkan, sering kali juga, mereka yang mengalaminya tidak mengetahui masalah yang dihadapi.

Berikutan itu, kerap kali OSA dikesan secara tidak sengaja ketika penghidapnya menjalani rawatan di hospital atau dimaklumkan oleh pasangan.

Apakah yang boleh berlaku jika OSA tidak dirawat? Antara risiko utama termasuk mengalami tekanan darah tinggi, masalah jantung dan serangan jantung, angin ahmar dan merosotnya kualiti hidup.

Bagaimana merawat OSA?

Rawatan paling umum OSA ialah 'tekanan berterusan laluan udara' atau CPAP (Continuous Positive Airway Pressure). Rawatan lain termasuk menurunkan berat badan, ubat-ubatan secara oral, terapi dan pembedahan.

Berat badan yang bertambah sememangnya menjadi faktor risiko berlakunya OSA. Namun, ia tidak pula bermaksud apabila anda mencapai tahap berat badan ideal, masalah itu akan selesai, sebaliknya berbincang dengan doktor untuk mendapatkan rawatan terbaik.

INFO:
• Berlaku jika anda berhenti bernafas selama 10 saat atau lebih setiap kali berdengkur

Simptomnya termasuk:
o Mengantuk pada siang hari atau keletihan
o Mulut kering atau sakit tekak apabila terjaga dari tidur
o Sakit kepala pada waktu pagi
o Sukar memfokus dan mudah lupa
o Berpeluh pada waktu malam
o Rasa gelisah ketika tidur
o Tidak berfungsi secara seksual
o Berdengkur
o Kerap terjaga dari tidur secara mengejut kerana berasa tercekik
Sumber: Berita Harian

Rawatan Parkinson

Ubat bantu hadkan masalah tubuh terketar-ketar, tingkatkan kualiti hidup pesakit

MASA depan anda tidak semestinya gelap andainya disahkan menghidap Parkinson. Biarpun ia bukan penyakit yang dapat dipulihkan, masih ada beberapa cara untuk mengubatinya dengan lebih berkesan bagi mengurangkan simptom penyakit ini.

Kebanyakan simptom ini disebabkan kekurangan dopamine dan ubat yang lazimnya digunakan pula cuba mengambil alih atau meniru fungsi dopamine yang bertindak membantu mengurangkan gerak tubuh terketar-ketar dan memperlahankan masalah pergerakan badan.
Ada beberapa jenis ubat-ubatan baru yang kini dikaji kemampuannya, termasuk dipercayai dapat memperlahankan penularan penyakit itu. Kebanyakannya menjanjikan peluang cerah memperbaiki kualiti hidup pesakit yang menghidapinya.

Dalam usaha mengubati Parkinson, ada beberapa kelas ubat-ubatan berbeza digunakan bagi peringkat penyakit berlainan sama ada digabung atau secara sendiri. Ini bergantung kepada tahap penyakit, usia pesakit dan toleransi terhadap rawatan perubatan. Malah rawatan awal bergantung kepada individu.

Kelas ubat-ubatan yang digunakan termasuk levodopa, dopamine agonists, COMT-inhibitors, MAO-B-inhibitors dan ubat anticholinergic. Ada beberapa jenis ubat-ubatan baru yang masih pada peringkat kajian yang mampu memperlahankan penyakit ini. Kebanyakannya mampu mempertingkatkan kualiti hidup pesakit yang menghidap penyakit ini.
Levodopa misalnya, menjadi ubat paling kerap digunakan untuk Parkinson dan cukup berkesan dalam usaha mengurangkan tiga simptom utama penyakit ini - pergerakan yang perlahan, ketegangan dan terketar-ketar.

Dopamine agonist bertindak dengan mempertingkatkan aktiviti dopamine dalam otak. Ia bertindak dengan meniru fungsi dopamine yang berkurangan bagi pesakit Parkinson. Kajian menunjukkan rawatan awal menggunakan dopamine agonist mampu mengurangkan insiden komplikasi motor.

Ubat Penyekat COMT pula berfungsi menyekat tindakan catechol-O-methyl transferase (COMT) - sejenis enzim yang memetabolismakan lepodova sebelum sampai ke otak. Ubat ini biasa digunakan bersama levodopa, membantu memanjangkan tindakan lepodova bagi memastikan dos lebih kuat dibekalkan kepada pesakit - lebih menambahkan kadar dopamine dan meningkatkan mobiliti fizikal.

Penyekat-MAO-B turut digunakan bersama kombinasi levodopa dan dikatakan sangat berkesan pada peringkat awal Parkinson kerana dapat melengahkan penyakit daripada serius. Penyekat MAO-B membantu mengurangkan simptom Parkinson dengan menyekat monoamine oxidase-B (MAO-B) yang merosakkan dopamine.
Akhir sekali, anticholinergic iaitu ubatan sokongan yang digunakan untuk mengurangkan kimia semula jadi dalam otak - acetylcholine yang mengaktifkan otot. Bagaimanapun, anticholinergics membantu menurunkan kadar kimia dalam apa disifatkan ‘pemancar’ saraf ini bagi mengurangkan simptom Parkinson. Ia berguna bagi merawat pesakit yang mengalami simptom seperti masalah terketar-ketar.

Oleh itu, pemantauan tetap oleh pakar saraf, pesakit dan penjaga cukup penting bagi memastikan dos betul dan jenis ubat-ubatan (secara kombinasi) untuk merawat kerana setiap kes adalah unik.

Kita juga perlu tahu ubatan yang disarankan kepada pesakit Parkinson ada kesan sampingannya seperti loya, muntah dan pening. Kesan sampingan paling serius ialah gerakan tubuh secara tiba-tiba yang biasanya tidak dapat dikawal pesakit atau menjangka gerakan tubuh yang tersentak akibat rawatan levodopa yang berterusan.

Masalah ini tidak boleh dipulihkan kerana akan hadir sepanjang hayat. Keadaan ini juga penyebab utama timbulnya stigma sosial, menyebabkan pesakit Parkinson malu untuk berhadapan dengan masyarakat. Oleh itu, rawatan menggunakan levodopa dielakkan pada peringkat awal Parkinson (5-10 tahun), bertujuan mengelak perkembangan gerakan tubuh tiba-tiba atau dyskinesia pada peringkat seterusnya.

Ubat jenis Dopamine agonist juga boleh menyebabkan kesan sampingan seperti loya, pening, mengantuk, kekeliruan dan tekanan darah rendah. Mujur, dengan kemunculan ubat-ubatan baru seperti Ropinirole, kekerapan kesan sampingan berkurangan dan diharapkan ubatan yang bakal muncul di masa depan mengurangkan lagi kekerapan kesan sampingan.

Perlu diingat, hidup dengan Parkinson bermaksud memahami keadaan dan peka kepada setiap simptom yang ada bagi memudahkan doktor menjalankan rawatan dengan lebih efektif.

Penulis ialah Pakar Runding Neurologi, Hospital Pantai Cheras. Untuk maklumat lanjut mengenai Parkinson, lawati www.lloydtan-trust.com.
Sumber: Berita Harian

Migrain Boleh Diwarisi

Sakit kepala tiada penawar ini turut dialami kanak-kanak seawal 10 tahun

SEBUT saja migrain, ramai dapat membayangkan betapa azabnya berdepan masalah sakit kepala ini. Apa tidaknya, bukan sekadar kepala yang berdenyut, tetapi mata terasa perit untuk dibuka, pandangan kabur, sukar berdiri dan ada ketikanya seperti hendak pitam. Malah, sakit kepala ini juga boleh menyebabkan mood yang pada awalnya baik, boleh berubah menjadi marah dalam sekelip mata.

Hakikatnya, migrain bukan sekadar sakit kepala. Kerap kali ia dirujuk sebagai masalah neurologi yang biasa menyerang khususnya wanita. Serangan migrain selalunya berlaku pada sebelah bahagian kepala, rasa sakit yang seakan dicengkam, loya, muntah dan sensitif pada cahaya, bunyi, bau malah pergerakan. Dari segi perubatan, migrain terjadi apabila kombinasi saluran darah yang mengembang dan membebaskan bahan kimia daripada saraf fiber yang melingkari sekitar saluran darah itu. Pembebasan bahan kimia itu menyebabkan radang, rasa sakit dan seterusnya arteri membengkak.

Pegawai Perubatan Kanan, Hospital Pusrawi Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, Dr Zainordin Md Noor, berkata migrain adalah masalah yang biasa ditemui dengan anggaran antara tiga hingga 29 peratus penduduk.

“Kerap kalinya migrain menyerang mereka yang berusia 16 tahun ke atas. Namun, kanak-kanak seawal usia 10 tahun boleh diserang migrain tetapi ia sedikit berbeza,” katanya. Dr Zainordin berkata, migrain kanak-kanak ini mempunyai simptom seperti muntah atau loya. Ia bagaimanapun tidak membabitkan sakit kepala.

Migrain di kalangan dewasa pula biasanya menyerang pada sebelah kiri atau kanan kepala. Rasa sakitnya pula berbeza-beza bagi setiap pesakit. Ada yang berasa sedikit kesakitan dan tidak kurang yang mengalami rasa sakit keterlaluan.

Bagi sesetengah individu, rasa sakit yang menyerang itu boleh hilang dalam tempoh tiga jam tetapi ada yang perlu menanggung kesakitan sehingga tiga hari lamanya.

Berbanding lelaki, wanita lebih kerap mengalami migrain yang dipercayai berkaitan dengan perubahan hormon, terutama ketika waktu haid. Bagi seorang perempuan yang kerap diserang migrain, serangan itu akan berhenti apabila dia hamil. Namun, migrain kembali menyerang selepas melahirkan anak.
Ramai percaya migrain bukan penyakit yang diwarisi secara genetik. Bagaimanapun jika ada ahli keluarga anda mengalami migrain, anda berkemungkinan turut mengalaminya.

Migrain terbahagi kepada dua jenis

1) Migrain biasa (tanpa aura)

Rasa sakit yang mencengkam dan selalunya pada sebelah kepala saja. Ada kala diikuti dengan rasa sakit perut, hilang selera makan, loya, muntah, sembelit dan cirit birit. Biasanya terjadi pada sembilan daripada 10 pesakit. sensitif pada bau, cahaya dan kebisingan.

2) Migrain klasik (dengan aura)

Sebelum serangan, biasanya pandangan pesakit terganggu dengan gambaran bintang-bintang, cahaya atau garisan bengkang bengkok. Secara puratanya, serangan migrain jenis ini berlaku dalam tempoh 22 jam.

Punca

1) Tekanan - ada kala serangan migrain berlaku akibat komplikasi tekanan. Apabila tekanan hilang, pesakit diserang migrain.

2) Terdedah kepada sinaran lampu, bunyi bising atau kepanasan yang melampau.

3) Tidak cukup tidur atau terlebih tidur.

4) Perubahan hormon.

Pencetus migrain

Jelas Dr Zainordin, ada sesetengah makanan berpotensi menjadi pencetus migrain. Walaupun bukan pada semua orang, tetapi bagi sesetengah pesakit, mereka akan diserang migrain apabila mengambil coklat, keju, buah-buahan sitrus, ais krim atau minuman kafein.

“Ada bezanya antara migrain dengan sakit kepala biasa. Serangan sakit kepala setiap hari adalah sakit kepala biasa. Migrain sebaliknya membabitkan serangan seminggu sekali atau sebulan sekali. Migrain ini biasanya berdenyut dan kesakitannya pada sebelah bahagian kepala saja,” katanya.

Walaupun ada kes pesakit migrain yang mengalami kesakitan pada kedua-dua belah kepala, tetapi ia jarang berlaku.

Migrain tidak boleh disembuhkan tetapi boleh dielak dengan mengurangkan tekanan, mengelak makanan yang boleh menjadi mencetus serangan. Selain itu jika anda menyedari tanda-tanda awal migrain, ia boleh dicegah dengan mengambil ubat tahan sakit seperti aspirin, paracetemol atau ubat khusus untuk migrain.

Namun, mengambil ubat terlalu kerap tanpa nasihat doktor akan menyebabkan komplikasi penyakit lain seperti gastrik.

Rawatan


Berdasarkan keadaan anda, doktor akan memberi ubat-ubatan yang bersesuaian. Ada pelbagai jenama ubat yang boleh anda beli di pasaran. Bagaimanapun, berjumpa doktor untuk mendapatkan diagnosis yang tepat adalah cara paling baik.

Memandangkan ia adalah masalah yang sehingga kini belum dapat ditangani, anda perlu bijak menguruskan migrain, termasuk menjauhi makanan-makanan yang boleh mencetuskan masalah itu selain mengawal tekanan dengan baik.

INFO: Makanan pencetus migrain
• coklat
• keju
• buah-buahan sitrus
• ais krim
• minuman kafein
Sumber: Berita Harian

Mulut Berbau

Halitosis disebabkan sisa makanan di celah gigi, gusi bermasalah

MASALAH mulut atau nafas berbau sememangnya memalukan. Namun, ia pasti lebih memalukan jika mereka yang mengalami tidak menyedarinya atau membiarkannya tanpa sebarang tindakan.

Ini kerana masalah yang juga dikenali halitosis ini bukan setakat membabitkan individu tetapi juga boleh menyebabkan seseorang itu dijauhi. Apakah puncanya masalah ini? Faktor utamanya adalah disebabkan sisa makanan yang tertinggal di celah gigi. Sisa yang tidak dibersihkan pula akan mereput dan akhirnya menyebabkan nafas berbau. Masalah gusi juga mungkin boleh menyebabkan mulut berbau.

Justeru, memastikan mulut sentiasa bersih adalah tanggungjawab kita sepanjang masa. Mulut tidak hanya membantu fungsi mengunyah makanan, tetapi pada masa sama menjadi rumah kepada ratusan dan mungkin utaan jenis bakteria. Keseimbangan antara jenis-jenis bakteria ini memastikan mulut sentiasa segar.

Perlu diingat, punca mulut berbau tidak sama bagi setiap orang. Pemeriksaan dengan doktor gigi akan memastikan punca sebenar masalah anda.
INFO: Tanda-tanda mulut anda berbau
• Anda sering berasa ada bau busuk atau rasa kurang enak dalam mulut
• Rakan atau orang di sekeliling menutup mulut atau mengalihkan pandangan apabila anda bercakap
• Ada rakan yang menegur atau menghulurkan gula-gula kepada anda
• Ada kesan atau calitan berwarna kuning atau putih pada lidah anda.
Ada beberapa langkah pencegahan yang boleh diambil bagi mengatasi masalah ini. Kerap kali, menggosok gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari dan perbuatan flos gigi setiap hari juga membantu menghilangkan bau mulut.

Langkah lain boleh diambil bagi mengurangkan masalah bau mulut:

1) Minum teh
Kajian mendapati bahan kimia dalam teh hijau dan teh hitam dikenali sebagai ‘polyphenols’ membantu menghentikan pertumbuhan bakteria yang bertanggungjawab dalam masalah mulut berbau.

2) Minum banyak air

Minum banyak air membantu mulut kekal lembap. Dalam kepercayaan perubatan Cina, mulut berbau disebabkan kepanasan yang berlebihan dalam perut. Air, sup atau buah-buahan seperti timun membantu menyeimbangkan tubuh. Sementara minuman seperti kopi, susu, makanan bergoreng atau makanan pedas dipercayai hanya menambah masalah. Apa saja jenis minuman terutama air kosong membantu membuang partikel kecil makanan dan lebihan mukus daripada mulut. Ia juga membantu mengelakkan mulut kering.

3) Penggunaan herba

Selain mengunyah gula-gula getah, amalan mengunyah herba seperti pudina, rosemary dan selasih dapat membantu mengurangkan bau mulut.

4) Belajar mengawal tekanan

Sesetengah orang terutama lelaki muda memiliki rejim kebersihan gigi yang baik tetapi mungkin ramai tidak menyedari yang tekanan meningkatkan penghasilan bau mulut.

5) Berhenti merokok

Merokok bukan saja membuatkan mulut berbau tetapi juga mengeringkan mulut.
Sumber: Berita Harian

Bahaya Lemah Otot

Myasthenia Gravis yang lazim dialami wanita bawah 40 tahun dan lelaki berusia boleh bawa maut jika dibiarkan tanpa rawatan

PENYAKIT Myasthenia Gravis (MG) mungkin asing bagi kita yang sebaliknya lebih biasa melihat kesannya dalam bentuk masalah otot lemah, sebelah mata layu dan hampir tertutup serta kesukaran bernafas.

Hakikatnya, MG adalah sejenis penyakit yang menyebabkan otot menjadi lemah. Malah mengikut statistik antarabangsa, pada bila-bila masa saja, satu bagi setiap 20,000 orang, boleh mengalami MG.
Bagaimanapun ia bukanlah penyakit keturunan dan boleh dirawat secara berkesan untuk membantu pesakit menikmati kehidupan yang berkualiti dan normal jika mereka peka dengan kehadiran tanda-tanda atau simptomnya. Ini seperti kesukaran bercakap, payah menelan makanan, sebelah mata layu dan penglihatan terjejas.

Tidak kurang juga yang berdepan masalah seperti kesukaran bertutur atau sengau serta otot leher lemah yang menyebabkan bahagian tengkuk itu menjadi lemah. Apa yang membahayakan, jika dibiarkan tanpa rawatan, pernafasan boleh terhenti terus dan membawa maut.

Namun, perlu diingat, tanda-tanda penyakit MG berbeza mengikut pesakit. Tetapi biasanya ia bermula apabila otot-otot menjadi lemah. Semakin kerap otot itu digunakan, pesakit terasa semakin lemah dan masalah ini boleh dikurangkan dengan merehatkan otot berkenaan. Andai dibiarkan, gejala ini boleh menjadi lebih teruk.
Penyakit MG ini juga lazimnya menyerang wanita berusia kurang daripada 40 tahun dan lelaki berusia lebih 60 tahun.

Pakar Runding Neurologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Dr Goh Khean Jin, menjelaskan MG, adalah penyakit autoimun yang mana sistem imun tubuh yang sepatutnya berfungsi melawan jangkitan dan bendasing, mengenal pasti reseptor ototnya sendiri (receptor acetylcholine) sebagai bahan asing dan menyerangnya dengan mengeluarkan antibodi.

“Antibodi ini menyekat reseptor acetylcholine daripada bertindak balas seperti biasa dan seterusnya akan mengganggu pengecutan otot,” katanya.

Antibodi yang selalu dikaitkan dengan MG adalah antibodi reseptor acetylcholine yang kebanyakannya dihasilkan dalam kelenjar timus yang terletak di bawah tulang dada (sternum).
Kelenjar timus ada kena mengena dengan transmisi saraf untuk menggerakkan tangan dan kaki. Ketika bayi, kelenjar timus menghasilkan antibodi. Kelenjar ini bagaimanapun semakin kecil apabila bayi membesar. Atas alasan ini, kebanyakan pesakit MG pada tahap tertentu boleh pulih selepas membuang kelenjar timus.

Begitupun sehingga kini pakar perubatan masih belum faham mengapa antibodi ini bertindak sedemikian.

Pakar Runding Kanan Neurologi PPUM, Dr Nortina Shahrizaila pula berkata, kumpulan otot yang terjejas oleh MG adalah seperti otot mata (kelopak mata layu (ptosis), penglihatan menjadi kabur atau berganda apabila otot yang berkaitan dengan pergerakan mata terjejas); otot di muka leher dan tekak (susah menelan, susah bercakap dan leher lemah).

Otot lain termasuk otot di lengan (susah mengangkat lengan melebihi paras kepala); otot paha (susah bangkit dari duduk, susah menaiki tangga); kelemahan otot dada (sesak nafas apabila menggunakan banyak tenaga dan rasa mengah apabila berbaring terlentang.

“Kelemahan yang menyerang setiap penyakit adalah berbeza dan sesetengah pesakit mendapati hanya otot mata mereka yang terjejas sementara otot anggota lain kekal normal,” katanya.

Antara ujian yang boleh dilakukan untuk mengenalpasti penyakit ini adalah ujian darah untuk mengesan antibodi terhadap reseptor acetylcholine, ujian elektrodiagnostik, imbasan dada untuk melihat kelenjar timus dan ujian pernafasan bagi pesakit yang mengalami lemah otot pernafasan.

Jenis rawatan yang diberikan pula bergantung kepada sifat dan tahap penyakit antaranya Perubatan Anticholinesterase, steroid dan immunosuppressant

Bagi sesetengah kes yang serius, pesakit perlu dimasukkan ke hospital kerana otot perlu dikuatkan serta merta. Pesakit begini perlu menjalani terapi pertukaran plasma (dengan mengeluarkan antibodi tidak normal daripada aliran darah) atau rawatan immunoglobulin.

Apa yang menarik, menerusi rawatan yang betul, pesakit MG boleh menjalani kehidupan yang normal dengan syarat mereka perlu mendapatkan rawatan sebelum dirujuk kepada pakar saraf.

Fakta: Simptom MG
• Otot lemah
• Sukar bercakap
• Payah menelan
• Sebelah mata layu
• Sukar mengangkat lengan
• Sukar bangun, menaiki tangga
• Sesak nafas

INFO: Forum MG

Satu forum umum khusus membincangkan mengenai Myasthenia Gravis akan diadakan jam 11 pagi hingga 2 petang pada 14 Mac ini di First Half Grand Ballroom, The Gurney Resort Hotel, Pulau Pinang. Forum secara percuma ini menampilkan Prof Dr Goh Khean Jin dan Prof Dr Nortina Shahrizaila, sebagai panel. Untuk maklumat lanjut hubungi Lewis di 016 482 3950 atau Rianne Tan 012 916 6218.

Ubat yang dilarang
• D-penicillamine

Ubat yang perlu dielakkan
• Aminoglycosides (gentamycin, kanamycin, neomycin, streptomycin, tobramycin)
• Toksin Botulinum
• Curare dan ubat berkaitan
• Fluoroquinolones (ciprofloxacin, levofloxacin, norfloxacin)
• Interferon-alfa
• Macrolides (erythromycin, azithromycin)
• Garam Magnesium (penggantian magnesium secara intravena)
• Quinine, quinidine, procainamide
Sumber: Berita Harian

Tulang Belakang Bengkok

Skoliosis penyebab kaki pendek, sakit belakang kronik, selain jejaskan pernafasan

TULANG belakang yang membengkok atau skoliosis, bukanlah satu penyakit. Ia sebaliknya rujukan yang digunakan bagi menjelaskan keadaan bengkok yang berlaku pada tulang belakang.

Secara umumnya, tulang belakang secara semula jadi sememangnya bengkok sedikit bagi membantu bahagian atas badan mengekalkan keseimbangan jajaran pelvik. Bagaimanapun, apabila terlalu bengkok, inilah yang dimaksudkan sebagai skoliosis.
Remaja perempuan lebih kerap dikesan dengan masalah skoliosis, terutama jenis idiopathik skoliosis iaitu satu keadaan tulang belakang yang membengkok tanpa diketahui sebabnya dan berlaku sejak kecil lagi. Tulang belakang yang membengkok ini pula membentuk seakan-akan huruf C atau pun S.

Lazimnya, ia membabitkan kawasan bahagian atas belakang atau bahagian antara atas belakang dan bawah belakang badan. Bagaimanapun, ia juga mungkin hanya berlaku pada bawah belakang.

Pakar Runding Ortopedik Hospital Pakar Shah Alam, Dr Ariff Sukimin Mohd Shukri, berkata dalam beberapa jenis kes skoliosis, idiopatik skoliosis adalah yang paling biasa dikesan.
“Ia kerap kali dikesan di kalangan kanak-kanak berusia 10 hingga 16 tahun. Walaupun lelaki dan perempuan memiliki kecenderungan yang sama untuk berdepan dengan skoliosis, tetapi remaja perempuan lebih kerap dikesan dengan idiopathik skoliosis,” katanya.

Untuk remaja lelaki, masalah tulang belakang yang membengkok memerlukan pemeriksaan lanjut, malah skoliosis di kalangan lelaki ada kalanya memaparkan komplikasi daripada masalah lain.

Dr Ariff berkata, andai dibiar tanpa rawatan, waktu paling berisiko bagi pesakit ialah ketika mencecah usia akil baligh, kerana ketika itu pertumbuhan tulang pesakit sangat pantas.

Walaupun skoliosis umumnya mudah dikesan, tetapi bagi kes yang tidak teruk, seseorang itu hanya menyedari kelainan pada tulang belakangnya selepas membuat imbasan sinar-X ketika pemeriksaan kesihatan.
“Bagi kes yang tidak teruk, skoliosis mungkin boleh ditangani dengan terapi tetapi bagi kes serius, individu yang bermasalah itu perlu menjalani pembedahan,” katanya.

Kata Dr Arif, bagi kebanyakan kes yang membabitkan kanak-kanak perempuan, masalah tulang bengkok yang tidak dirawat akan menjadi semakin teruk. Tulang akan semakin membengkok apabila pesakit itu semakin membesar sekali gus menjejaskan penampilan dan pergaulan sosial penghidapnya.

“Mengesan skoliosis mudah. Apabila pesakit membongkok, belakang badannya tidak selari. Tulang belakang yang membengkok akan menonjol,” katanya.

Selain itu, mereka yang berhadapan dengan masalah skoliosis mengalami masalah sakit belakang yang kronik, kaki pendek sebelah, selain bahu juga tinggi sebelah dan pinggul yang tidak selari.

Pesakit yang tidak mendapat rawatan akan-akan semakin menderita seiring usianya. Tulang belakang bengkok menjejaskan jantung dan paru-paru dan menyukarkan pernafasan. Skoliosis yang progresif akan menjejaskan bahagian bawah tulang belakang (lumbar spine).

Pembedahan selalunya jalan terakhir apabila tulang belakang yang membengkok itu tidak boleh dipulihkan dengan terapi. Bagaimanapun, kosnya sangat mahal kerana memerlukan implan dipasang pada hampir sepanjang tulang belakang.

INFO: Skoliosis
• Kerap dialami kanak-kanak dan remaja 10-16 tahun
• Remaja perempuan kerap alami jenis idiopathik skoliosis
• Mudah dikesan apabila membongkok, belakang badan tidak selari dan tulang belakang menonjol
• Kes tidak teruk dirawat dengan terapi dan yang serius perlu dibedah.
Sumber: Berita Harian

Hidupan Laut Hasil Minyak Aktif Anti Keradangan

PENYAKIT arthritis atau radang sendi sering dianggap masalah kesihatan biasa. Sifatnya yang mula menunjukkan kesan pada usia 40 ke atas menjadikan tahap kesedaran terhadapnya masih rendah. Ada lebih 150 jenis penyakit radang sendi yang mengakibatkan rasa sakit, kemerahan, kekejangan otot dan hilang fungsi tubuh.

Arthritis dikaitkan dengan pelbagai penyakit antaranya osteoarthritis, rheumatoid arthritis, gout, lupus erythematosus, penyakit Lyme,

psoriasis, scleroderma, dan sindrom Reiter, sindrom Sjogren dan ankylosing spondylitis. Walaupun penyakit ini tidak boleh pulih sepenuhnya, tetapi ia sebaliknya boleh dikawal dengan mengurangkan derita kesakitannya.

Perunding dan Pelatih Kesihatan Naturopath, Blackmores (Malaysia) Sdn Bhd, Monitar Tan menjelaskan jenis arthritis yang sering dihidapi pesakit di Malaysia adalah osteoarthritis (OA).

“Dianggarkan 30 peratus penduduk negara ini yang berusia lebih 65 tahun menderita arthritis jenis osteoarthritis. Radang sendi jenis ini disebabkan sendi yang sudah haus akibat penggunaan, kecederaan dan kecacatan yang diwarisi dalam protin yang membentuk rawan.
“Kebanyakannya akibat faktor usia yang meningkat, diet dan gaya hidup. Faktor penyumbang lain termasuk kegemukan, penggunaan sendi yang keterlaluan ketika usia muda seperti sukan atau pekerjaan yang berat serta trauma,” katanya.

Selain osteoarthritis, jenis radang sendi yang sering dihidapi golongan dewasa adalah rheumatoid (sering menyerang wanita), arthritis akibat jangkitan kuman dan gout. Tanda-tanda arthritis adalah sakit sendi (tangan, pergelangan tangan, jari, pergelangan kaki, punggung, di bahagian bawah tulang belakang) serta sendi bengkak dan kekejangan sendi.

Penghidapnya juga sukar untuk bergerak seperti kesakitan apabila menggerakkan badan, perubahan pada sendi, bunyi geseran tulang di lutut bagi penyakit osteoarthritis lutut, otot betis menjadi kecut bagi penyakit osteoarthritis lutut dan sakit di sekeliling sendi apabila ditekan.

Ada pelbagai jenis rawatan dan ubat-ubatan termasuk pembedahan untuk membantu mengurangkan sakit yang dideritai. Kaedah bukan ubatan yang turut menjadi pilihan adalah pengambilan makanan tambahan antikeradangan semula jadi yang dipanggil Lyprinol keluaran Blackmores (Malaysia) Sdn Bhd.
“Makanan tambahan yang sudah hampir setahun berada di pasaran ini diperoleh daripada ekstrak minyak asid berlemak daripada sejenis kupang hijau (Perna canaliculus) yang hanya ditemui di pesisiran pantai yang terlindung di selatan Pulau Utara, New Zealand.

Makanan tambahan ini unik kerana ia adalah ekstrak lipid kupang hijau yang selamat dan sesuai kepada pesakit alah makanan laut. Ini kerana, protin yang menjadi punca utama alahan dikalangan pesakit arthritis dikeluarkan secara saintifik. Malah Lyprinol terhasil dari kupang yang berasal dari keluarga moluska, jadi alahan makanan laut bukanlah masalah utama. Kupang hijau ini mengurangkan kandungan air, mengurangkan radang, kesakitan dan memberikan mobiliti sendi yang lebih baik.

Lyprinol dicetuskan hasil pemerhatian amalan gaya hidup masyarakat orang asli Maori di pesisiran pantai New Zealand. Selama lebih 50 tahun, pemerhatian mendapati tiada insiden arthritis dilaporkan di kalangan masyarakat ini. Amalan diet orang Maori yang banyak makan makanan laut terutama kupang hijau mengesahkan lagi hasil kajian pakar yang menemui sejenis minyak yang mengandungi bahan aktif antikeradangan yang sangat tinggi.

Lyprinol boleh diambil bersama-sama ubat-ubatan konvensional yang lain, namun pengambilan perlu berselang dua jam. Makanan tambahan ini terbukti mampu mengurangkan kesakitan sendi, bengkak sendi dan keradangan.

Apa yang penting, pengidap arthritis haruslah peka dan menambah pengetahuan mengenai penyakit ini kerana ia antara faktor yang bakal menjamin kualiti kehidupan yang lebih baik.

“Bayangkan ada antara pesakit arthritis yang tidak mampu menyikat rambut sendiri dan selepas mengambil Lyprinol selama dua bulan bersama ubat konvensional, mereka mampu mengembalikan motivasi diri dan kualiti hidup yang hampir tinggal sejarah,” katanya.

Tan turut menyarankan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengurangkan berat badan, menjalani program senaman yang membolehkan sendi mereka bergerak dengan lebih lancar dan otot mereka menjadi lebih kuat.

Selain senaman sendi, pesakit juga harus mengamalkan sistem pemakanan yang seimbang dan sesuai dengan keperluan tubuh badan.
Sumber: Berita Harian

Ketidakmampuan Mengawal Rasa Takut

Secara am, ramai orang yang tidak memahami apa yang dimaksudkan dengan penyakit mental atau psikiatri. Bila seseorang itu dikatakan sedang menghadapi masalah mental, masyarakat dengan mudah mengatakan bahawa orang itu gila. Dengan kata lain, masyarakat memandang serong terhadap orang yang menghadapi penyakit mental.
Sebenarnya terdapat 300 kategori penyakit mental. Satu hingga dua peratus dikatakan menghadapi penyakit psikotik atau gila. Sementara 98 peratus lagi tidak ada kena mengenai dengan penyakit tersebut.

Terdapat dua blok paling besar mengenai penyakit mental, iaitu murung dan keresahan. Fobia dikategorikan dalam penyakit keresahan atau anxiety disorder. Simptom utama yang terdapat pada orang yang mengalaminya ialah perasaan resah.
Fobia bukanlah kategori besar dalam penyakit mental tetapi ia menarik dan mendapat perhatian.

Fobia merupakan perasaan yang amat takut terhadap sesuatu benda atau situasi. Orang yang menghadapi masalah tersebut sedar bahawa ketakutan yang dialaminya adalah keterlaluan berbanding dengan orang lain.

''Orang ini tahu bahawa fobianya itu tidak setanding dengan benda yang dia takut. Namun dia tidak berdaya melawan. Kerana terlalu takut, dia akan cuba mengelakkan diri daripada berdepan dengan objek atau situasi tersebut. Jika tidak dirawat, dengan melihat gambar atau mendengar cerita pun dia akan berasa takut.

''Simptom fizikal yang dapat dilihat pada orang yang fobia adalah ketara seperti sesak nafas dan jantung berdegup deras. Ini akan menjurus pada sakit dada, tangan dan badan menggeletar. Rasa tercekik, berpeluh, rasa loya daripada dalam perut dan kepala pening seperti hendak pitam.Orang yang fobia ini seterusnya akan tertanya-tanya adakah dia diserang serangan jantung atau strok dan sebagainya. Dia mula hilang kawalan, semakin cemas dan terasa macam hendak mati,'' kata pakar psikiatri Hospital Pusrawi, Dr. Daniel Zainal Abdul Rahman yang ditemui baru-baru ini.

Tambahnya, jika kesemua simptom itu muncul serentak dan berlaku berterusan, orang itu akan cuba mengelak daripada berhadapan dengan objek atau mengelakkan daripada pergi ke tempat yang ditakutinya.Beliau berkata, terdapat perbezaan antara fobia dan rasa takut biasa. Perasaan takut merupakan perkara biasa kepada manusia normal.
''Adalah perkara biasa bagi kanak-kanak mempunyai perasaan takut. Sebanyak 90 peratus kanak-kanak yang berumur dua hingga 14 tahun mesti takutkan sesuatu sementara yang berumur di antara 0 hingga dua tahun takut kepada orang yang tidak dikenali, bunyi bising, bila terpaksa berpisah dengan ibu bapa seperti apabila dihantar ke rumah pengasuh dan sebagainya.

''Kanak-kanak yang berumur tiga hingga enam tahun pula lebih suka berkhayal atau takut kepada benda yang kita tidak nampak seperti hantu, raksasa dan gelap.Daripada umur tujuh hingga 16 tahun pula mempunyai perasaan takut yang lebih realistik seperti apabila perlu berpidato, menghadapi peperiksaan dan takutkan kemalangan.Ada banyak jenis ketakutan dan jika ibu bapa tidak bijak mengawalnya maka ia akan menjadi fobia yang serius setelah anak dewasa kelak. Ibu bapa memainkan peranan yang penting dan jangan mengugut anak dengan meletakkan benda yang ditakuti di hadapan anak. Cara respons anak semasa kecil memberi kesan kepadanya setelah dewasa,'' ujar Daniel Zainal lagi.

Menurut beliau, antara jenis fobia yang biasa ialah:
- Fobia terhadap binatang tertentu.
- Fobia terhadap alam sekeliling seperti ketinggian, menaiki lif, tangga, air dan gelap.
- Fobia terhadap sesuatu situasi tertentu seperti doktor gigi, memandu, membuat persembahan di depan khalayak ramai, lalu di bawah jambatan atau terowong dan menaiki tangga bergerak.
- Fobia sosial iaitu takut diperhatikan dan orang ini akan cuba mengelak daripada bergaul atau bercakap dengan orang lain.
- Agoraphobia - orang yang sudah ada serangan panik dan akan rasa takut di mana-mana saja dia pergi. Dia sentiasa berfikir jika sesuatu terjadi padanya siapa yang akan menolongnya. Ini akan menyebabkannya tidak mahu keluar rumah.

Daniel Zainal berkata, orang yang terlalu fobia hingga menjejaskan jadual harian boleh dirawat menggunakan kaedah tingkah laku dan kognitif (cognitive behaviour therapy) dan terapi pendedahan.Ujarnya, orang yang fobia juga akan diajar teknik bertenang seperti pernafasan, meditasi (orang Islam boleh berzikir) dan merehatkan otot-otot. Cara ini boleh mengawal dan mendapatkan keyakinan.Beliau memberi amaran supaya tidak mengambil ubat penenang secara sewenang-wenangnya. Ubat-ubatan sebegini hanya bertindak untuk sementara waktu. Bagaimanapun ia dibolehkan jika diambil mengikut peraturan dan nasihat doktor.

Sumber:Utusan Malaysia.

Friday, February 12, 2010

Vitamin dan mineral – penjamin kesihatan badan

“Hidup bukan setakat untuk hidup tetapi hidup mesti sihat” — Martial

Vitamin dan mineral adalah khasiat pemakanan utama yang diperlukan untuk mengekalkan kesihatan yang baik. Zat makanan atau nutrien ini memainkan peranan penting dalam pelbagai proses tubuh dan membantu menyokong pertumbuhan dan perkembangan, menguatkan sistem imun dan mencegah penyakit kronik.

Apakah vitaman dan mineral?

Vitamin biasanya dibahagikan kepada dua kategori berdasarkan kepada keterlarutannya: larut lemak dan larut air. Vitamin larut lemak – A, D, E, dan K – memerlukan lemak diet betul-betul diserap dan diangkut di dalam tubuh. Vitamin larut lemak disimpan dalam bahagian sel lemak dan tisu badan.

Vitamin larut air – C dan vitamin B kompleks (seperti vitamin B6, B12, niasin, riboflavin, dan folat) diserap di dalam usus perut dan tidak disimpan dengan jumlah yang besar di dalam tubuh. Vitaman C atau B yang tidak digunakan oleh badan dibuang (kebanyakannya menerusi air kencing). Jadi, kita memerlukan bekalan baru setiap hari.

Vitamin adalah bahan organik (dihasilkan oleh tumbuhan dan haiwan) dan mineral pula adalah elemen bukan organik yang berasal dari tanah dan air dan diserap oleh tumbuh-tumbuhan atau dimakan oleh haiwan. Sesetengah mineral diperlukan dalam jumlah yang besar (lebih daripada 100
mg/hari) seperti zat kalsium dan fosforus. Mineral lain seperti kromium, kuprum, iodin, besi, selenium dan zink, yang dinamakan mineral surih, hanya diperlukan dalam jumlah yang sedikit setiap hari (kurang daripada 15mg/hari atau dalam mikrogram sahaja).

Perubahan berlaku
Kajian diet di kalangan penduduk Malaysia mendapati bahawa kebanyakan kita tidak mengambil vitamin dan mineral tertentu secukupnya terutamanya vitamin B, kalsium, zat besi dan iodin.
Kita juga harus sedar bahawa apabila umur meningkat, tubuh kita mungkin mengalami kesukaran untuk menyerap dan menggunakan sesetengah nutrien yang wujud semula jadi dalam makanan.
Kalsium juga menunjukkan penurunan yang berkaitan dengan usia di kalangan wanita selepas menopaus (putus haid), sebagai tambahan kepada penurunan yang berlaku semasa menopaus.

Vitamin dan mineral utama
Berikut adalah ringkasan beberapa vitamin dan mineral utama dan sumber makanan masing-masing.

Vitamin A
Vitamin A, yang mengelakkan masalah mata dan menggalakkan sistem imun yang sihat, penting untuk pertumbuhan dan perkembangan sel dan mengekalkan kesihatan kulit. Vitamin A juga dikenali sebagai vitamin antijangkitan, kerana ia diperlukan untuk fungsi sistem imun yang normal.
Sumber yang kaya vitamin A termasuk produk tenusu, organ dalaman, keledek, minyak ikan kod dan bijirin yang diperkuat. Sayur-sayuran hijau juga mengandungi karotenoid, walaupun pigmennya dilindungi oleh pigmen hijau daripada klorofil. Oleh itu, lobak merah, tomato, labu, mangga, betik, tembikai, cekur manis, cili merah, pucuk paku, kailan dan sawi kaya vitamin A.

Vitamin C
Vitiamin C diperlukan untuk membentuk kolagen, iaitu tisu perantara yang menghubungkan sel-sel. Vitamin C penting untuk kesihatan tulang, gigi dan gusi serta saluran darah. Ia membantu tubuh menyerap zat besi dan kalsium, menyembuhkan luka dan untuk fungsi otak. Vitamin C selama ini dipercayai mampu mencegah atau mengubati selesema, tetapi umumnya, vitamin C dalam dos yang tinggi tidak membawakan kesan yang ketara dalam kejadian selesema yang biasa.
Sumber vitamin C yang baik termasuk cili hijau, brokoli, betik, oren, mangga, jambu batu dan banyak lagi buah-buahan lain. Mengambil dua hidangan buah-buahan sehari pasti akan memberi anda vitamin C yang secukupnya. Perokok pula mungkin memerlukan jumlah vitamin C yang lebih banyak berbanding individu biasa.

Vitamin D
Kekurangan vitamin D mungkin boleh menyebabkan riket, reumatoid artritis, sklerosis berbilang dan kanser. Nutrien ini melindungi kita daripada terjatuh dan patah tulang, di samping menggalakkan penyerapan kalsium untuk mengelakkan osteoporosis. Vitamin D didapati daripada kuning telur, ikan laut dalam, minyak ikan dan makanan diperkuat seperti susu dan marjerin.

Vitamin E
Vitamin E adalah antioksidan yang membantu melindungi sel badan daripada kerosakan. Ia juga penting untuk kesihatan sel darah merah. Vitamin E boleh didapati dalam banyak makanan seperti olein sawit, kekacang dan sayur berdaun hijau. Begitu juga dengan bijirin dan roti gandum penuh.

Tiamina (B1), riboflavin (B2) & niasin (B3)
Kumpulan vitamin B yang penting ini membantu badan menukar karbohidrat menjadi tenaga dan diperlukan untuk membolehkan kulit, jantung, otot dan sistem saraf berfungsi dengan sempurna. Makanan yang kaya dengan vitamin B termasuk roti, nasi, mi dan bijirin, khususnya jenis bijian penuh. Selain itu, daging, pis, lentil, kekacang, produk tenusu dan sayuran berdaun hijau juga banyak vitamin B.

Vitamin B6 (Piridoksina)
Vitamin B6 diperlukan untuk fungsi otak dan saraf yang normal. Ia juga membantu badan memecahkan protein dan menghasilkan sel darah merah. Pengambilan vitamin B6 yang rendah dikaitkan dengan kecacatan fungsi imun, terutamanya dalam golongan yang berusia. Vitamin B6 mungkin membantu menangani kemurungan dan keresahan dan dengan gabungan folat boleh mengurangkan risiko penyakit jantung. Pilihan makanan yang pelbagai mengandungi vitamin B6, dan ini termasuklah kentang, pisang, sayur kacang, bijian, kekacang, daging merah, daging ayam dan itik, telur, ikan, bayam dan bijirin bijian penuh.

Saturday, February 6, 2010

Petua Lama Penjagaan Zakar

1. Buang air besar jangan serentak dengan buang air kecil. Semasa nak buang air besar, air kecil perlu ditahan dan nafas ditarik, dan begitulah sebaliknya. Elakkan buang kedua-duanya serentak.

2. Semasa mula makan, amalkan nasi sebesar ibu jari dikepalkan dan kemudian ditelan.

3. Ketika minum elakkan menghembus nafas tetapi tahan nafas tersebut. Ini menolong dari senang lelah semasa berjimak.

4. Kepak ayam jangan dimakan kerana ia akan melemahkan zakar.

5. Jangan suka makan makanan yang bersifat sejuk, telah disejuk mahupun disejukkan. Ia boleh mengakibatkan gejala terpancut awal dan air mani cair.
Sumber:petuamelayu.com

Rahsia Anak Pintar:

Rahsia Anak Soleh:

Belajar Bahasa Inggeris:

Kit Biasiswa:

Koleksi Biasiswa Malaysia 2010

Jimat Elektrik:

Perfect Slim Diet:

Kerja Kerajaan:

Pertolongan Cemas:

Nak Berhenti Merokok?:

Jual Balik:

Artikel Yang Sering Dibaca Pelawat KEKAL SIHAT: