Jual Balik:

Kit Biasiswa:

Koleksi Biasiswa Malaysia 2010

Rahsia Anak Pintar:

Rahsia Anak Soleh:

Jimat elektrik:

mmm

Belajar Bahasa Inggeris:

Nak Berhenti Merokok?

Pertolongan Cemas:

Perfect Slim Diet:

Friday, December 18, 2009

Akne / Jerawat

Apa itu akne?
Akne juga dikenali sebagai jerawat.

Bagaimana akne terjadi?
Akne terjadi apabila:
• Liang roma tersumbat dengan penebalan kulit di pembukaan liang, minyak daripada bahan kosmetik atau tar
• Terdapat peningkatan pengeluaran minyak daripada kelenjar minyak (sebaceous gland). Keadaan ini bergantung kepada hormon serta ditentukan oleh gen seseorang
• Terdapat jangkitan bakteria pada dukta liang roma (disebabkan oleh bakteria Propionebacterium acnes)

Adakah akne disebabkan oleh beberapa makanan tertentu?
Ini merupakan satu mitos.
Akne tidak disebabkan oleh makanan berminyak seperti kacang atau coklat. Ia juga bukan disebabkan oleh resdung.

Apakah rupa akne?
Terdapat beberapa jenis akne iaitu :
• Bintik putih atau bintik hitam (comedones)
• Bonjol merah yang bernanah atau tidak
• Bintil (nodul) dan pembentukan cista (berair) yang mungkin mengakibatkan parut

Apakah yang menyebabkan akne semakin teruk?
Antara perkara yang boleh mengakibatkan akne semakin teruk adalah:
• Perubahan hormon pada remaja perempuan semasa datang haid
• Alat solek yang berasaskan minyak
• Gel rambut
• Memicit jerawat
• Tekanan hidup
• Mengandung
• Ubat seperti streroid, phenytoin (Dilantin) atau Lithium

Siapa yang boleh mendapat akne?
Akne boleh terjadi kepada sesiapa sahaja.
• Biasanya ia menjadi bertambah teruk di kalangan remaja, terutama remaja lelaki
• Kita boleh mendapat akne pada bila-bila masa atau usia walaupun melebihi 50 tahun
• Jika ibu bapa anda mempunyai masalah akne, berkemungkinan besar anda juga boleh mendapatnya.

Apa yang boleh saya lakukan apabila mendapat akne?
Akne yang ringan boleh dirawat dengan ubat yang boleh dibeli dari farmasi. Pada lazimnya adalah memadai untuk menggunakan ubat seperti:
• Benzoyl peroxide 2.5%, 5%, 10% krim/gel pada waktu malam atau 2 kali sehari
• 2% - 6% Sulfur dalam losen calamine

Bilakah saya perlu mendapatkan rawatan?
Jika akne bertambah teruk, anda perlu berjumpa dengan doktor. Doktor akan memberi pelbagai jenis krim seperti Retinoids, Azelaic Acid atau antibiotik (Clindamycin).
Untuk akne yang sederhana.
• Seseorang itu perlu makan antibiotik selama 4 hingga 6 bulan
• Pil perancang keluarga yang tertentu juga berkesan bagi remaja perempuan tetapi bukan untuk remaja lelaki

Bagi akne yang teruk (nodulocystic acne), anda perlu dirujuk kepada pakar kulit untuk mendapatkan rawatan Isotretinoin (Roaccutane). Preskripsi bagi ubat ini hanya boleh diberi oleh Pakar Perunding Kulit (Dermatologist):
• Isotretinoin mempunyai kesan sampingan yang teruk seperti kecacatan kelahiran. Remaja perempuan tidak boleh mengandung semasa mengambil Isotretinoin dan sehingga sekurang-kurangnya sebulan selepas berhenti mengambil ubat tersebut
• Mereka juga perlu dipantau untuk kesan-kesan sampingan Isoteretinoin yang lain


Adakah akne boleh meninggalkan parut?
Akne yang ringan sembuh dengan meninggalkan kesan gelap (pigment) yang akan hilang. Pada lazimnya ia tidak akan meninggalkan parut kecuali akne tersebut dicungkil atau dipicit.
Akne yang teruk dan nodulocystic akan meninggalkan parut yang cetek di bahagian permukaan dan/atau parut yang dalam di kulit.
Terdapat golongan yang cenderung terhadap pembentukan keloid (parut tebal).

Bolehkan parut akne dirawat?
Selepas beberapa bulan, biasanya parut akan hilang sedikit demi sedikit.
Beberapa kaedah boleh digunakan untuk merawat parut seperti:
• Bagi parut yang cetek, bahan kimia seperti glycolic atau asid trikloroasetik digunakan untuk menggelupaskan permukaan kulit
• Teknik laser resurfacing
• Bagi parut yang besar, boleh menggunakan suntikan collagen atau implan matrik gelatin
• Pembedahan pembetulan (Surgical repair)
• Penggunaan kosmetik bagi menutup parut

Bolehkah saya mencegah akne?
Ya, boleh. Anda boleh menghindari atau mengawal akne melalui:
• Mencuci muka sekurang-kurangnya 2 kali sehari dengan menggunakan pencuci muka yang lembut
• Mengelak daripada menggunakan kosmetik yang berasaskan minyak. Pilih kosmetik yang non-comedogenis
• Mengamalkan pemakanan yang sihat. Makanan boleh memberi kesan kepada kulit anda. Ambil lebih banyak sayur-sayuran dan buah-buahan
• Lebihkan minum air kosong
• Bersenam untuk membaiki perjalanan darah dan nutrien ke kulit
• Mengurangkan tekanan dan mengamalkan teknik relaksasi

Kebimbangan dan Ketakutan

Bilakah kanak-kanak berasa bimbang dan takut?

• Resah, bimbang dan takut adalah sesuatu yang biasa di kalangan kanak-kanak dan biasanya ia tidak akan berterusan untuk jangka masa yang panjang.
• Perasaan resah terhadap orang-orang asing dan resah bila berpisah dari penjaga adalah dua perasaan yang biasa di alami oleh kanak-kanak. Ini adalah satu perkembangan yang biasa.
• Keresahan terhadap orang-orang asing
o Bermaksud bahawa kanak-kanak merasa takut bila berhadapan dengan orang yang tidak dikenali.
o Terjadi pada peringkat umur 4 - 5 bulan dan akan memuncak hingga ke usia 12 bulan.
• Keresahan terhadap perpisahan
o Reaksi yang dipamerkan oleh kanak-kanak apabila dipisahkan dari pengasuhnya.
• Faktor -faktor yang menyebabkan keresahan terhadap orang asing dan perpisahan:
o Usia kanak-kanak.
o Suasana masa itu.
o Pengalaman lampau.
o Keakraban kanak-kanak dengan penjaganya.

Bilakah bantuan perlu dicari?

• Adalah dinasihatkan untuk dibantu sekiranya perasaan resah, bimbang atau takut itu:-
o Semakin memuncak
o Menjejaskan fungsi kanak-kanak tersebut di rumah dan di sekolah
o Berlanjutan

Apakah jenis-jenis kecelaruan keresahan yang sering dialami?

• Jenis kecelaruan kebimbangan yang biasa:-
o Kecelaruan keresahan perpisahan
o Kecelaruan menyeluruh
o Kecelaruan fobia
o Kecelaruan keresahan sosial
o Kecelaruan Stres Pasca-trauma
o Kecelaruan panik

Bagaimana takut dan resah ini dapat dikenali?

1. Kelakuan yang luar biasa seperti:-
o Mengelakkan diri dari aktiviti luar seperti riadah bersama keluarga
o Mengelakkan diri dari tempat seperti taman permainan
o Mengelakkan diri dari seseorang seperti guru
o Kelakuan seolah-olah di dalam kesusahan seperti sebelum tidur
o Kelakuan melekap kepada penjaga yang luar biasa
o Perubahan tabiat seperti mula menghisap jari
o Berkelakuan gelisah

2. Kemurungan perasaan/emosi/fikiran:
o Perasaan bimbang atau ketakutan
o Penantian yang berlebihan akan bencana dan kemusnahan yang teruk seperti
 Penolakan
 Ejekan dan cemuhan
 kemalangan
 Kecederaan
 Gagal dalam peperiksaan

3. Aduan fizikal:
o Pening kepala
o Sakit perut
o Rasa tercekik
o Sesak nafas
o Berpeluh
o Menggeletar

Mengapa anda perlu mengambil tahu?

Rasa bimbang dan takut boleh menjurus kepada:
• Gangguan dalam proses pembesaran yang normal
• Gangguan dalam fungsi seperti:-
o Pembelajaran
o Perhubungan dengan ahli keluarga, rakan atau guru
• Boleh menyebabkan masalah perlakuan yang serius seperti kecelaruan tingkah laku
• Boleh terjerumus kepada penyalahgunaan dadah seperti tembakau, arak dan dadah
• Risiko mencederakan diri sendiri
• Risiko untuk membunuh diri

Apa yang boleh dilakukan untuk membantu kanak-kanak ini?

• Dengar apa yang diperkatakan oleh kanak-kanak itu dan fahami tingkah lakunya
• Berikan perangsang dan pujian
• Bantu kanak-kanak untuk mengetahui akan kekuatan dan kelebihan dirinya.
• Bantu kanak-kanak menerima akan kelemahannya dan bagaimana mengatasinya.
• Bantu kanak-kanak untuk bertenang menggunakan teknik relaksasi seperti dengan cara menarik nafas, membayangkan pemandangan yang nyaman dan hijau.
• Berikan sokongan moral supaya kanak-kanak dapat:-
o Belajar berfikir secara positif
o Menerima segala perubahan, ketakutan, kemarahan, kekecewaan dan sebagainya
o Membina kemahiran sosial yang positif seperti sifat ketegasan
• Berikan kaunseling kepada:-
o Kanak-kanak secara individu
o Ahli keluarga kanak-kanak
o Sekolah - beritahu guru mengenai masalahnya supaya mereka dapat memberi kerjasama dan sokongan
• Berikan ubatan sebagaimana yang dinasihatkan oleh Pakar Psikiatri

Apa yang boleh dilakukan untuk mengurangkan perasaan bimbang dan takut yang berlebih lebihan?
• Bantu kanak-kanak untuk membentuk kemahiran emosi dan sosial.
• Bantu kanak-kanak menghadapi cabaran hidup dengan positif.
• Jalinkan perhubungan mesra, responsif dan saling percaya mempercayai.
• Wujudkan suasana yang aman dan selesa.
• Pastikan amalan harian yang dapat dijangkakan.

Perkembangan Psikososial Yang Normal

Apakah yang dimaksudkan dengan kesihatan mental kanak-kanak ?

Kesihatan mental kanak-kanak yang normal di definisikan sebagai seseorang itu dapat :
• Memulakan dan mengekalkan perhubungan peribadi yang memberi kepuasan kepada kedua-dua belah pihak.
• Meneruskan kemajuan perkembangan psikososial.
• Bermain dan belajar untuk mendapat pencapaian yang setaraf dengan umur dan tahap intelek.
• Merasakan apa yang betul dan salah dari segi normalnya
Gangguan psikososial berlaku antara 12%-29% di kalangan kanak-kanak sedunia,dan lebih kurang 13% di Malaysia mengikut The National Health & Morbidity Survey, 1996.
( Mental Health Problem in Children )

Apakah maksud perkembangan psikososial yang normal?

Perkembangan psikososial ialah proses sepanjang hayat, tetapi apa yang dipelajari semasa 5 tahun pertama akan membentuk perkembangan ini. Perkembangan ini boleh dibahagikan kepada :
• Kognitif ( proses mental ) – memahami , membuat perkiraan, membuat pertimbangan menyelaras fungsi motor,persepsi dan sebagainya.
• Emosi- perkembangan pantas sewaktu pra- sekolah, tugasan ini termasuk :
o Mengenal pasti kepentingan dan jenis-jenis emosi
o Belajar mengawal emosi
o Memahami kesan emosi terhadap tingkah laku
• Sosial - Dipengaruhi oleh suasana dan bentuk pergantungan kepada ibu bapa atau penjaga utama.
• Moral - Melibatkan isu-isu betul atau salah.

Apakah keperluan bagi kesihatan mental kanak-kanak ?

Keperluan kesihatan mental terbahagi kepada dua:

1. Keperluan asas kehidupan
o Tempat berlindung dan keselamatan
o Makanan
o Penjagaan fizikal
o Penjagaan Kesihatan

2. Keperluan psikososial dan rohani
o Keyakinan kepada tuhan
o Kasih sayang yang tidak berbelah bahagi
o Keselamatan dan kestabilan
o Rangsangan yang sewajarnya dan pengalaman baru
o Bermain di bawah pengawasan yang mantap
o Pendidikan
o Bimbingan yang betul
o Ketegasan dan disiplin yang diatur
o Kebiasaan harian yang boleh dijangka
o Sikap keibubapaan yang sihat

Jika keperluan-keperluan asas ini dapat dipenuhi kanak-kanak akan dapat membina harga diri yang positif. Sekiranya tidak dipenuhi kemungkinan masalah kesihatan mental akan timbul.

Masalah Seksual

Pengenalan

Masalah seksual timbul apabila seseorang itu gagal untuk menikmati kepuasan dalam aktiviti seksual. Masalah ini menjadi lebih ketara apabila seseorang itu telah berusia atau mempunyai pelbagai penyakit fizikal.

Antara punca kepada masalah seksual termasuk:
• Penyakit fizikal seperti kencing manis, penyakit ginjal, penyakit di sekitar kawasan organ peranakan dan kemaluan serta kecederaan.
• Penyakit mental seperti kemurungan, resah dan takut, selepas trauma, tekanan dan sebagainya.
• Penggunaan arak, dadah atau merokok
• Faktor sosial
• Kesan sampingan ubat
• Putus haid

Gejala dan tanda-tanda amaran

Antara masalah seksual yang sering dialami termasuk:
1. Hilang nafsu syahwat
2. Lelaki:
o Mati pucuk
o Pancutan pramatang
3. Perempuan:
o Sakit semasa melakukan persetubuhan
o Gagal mencapai kemuncak

Kesan dan akibat

Masalah seksual boleh memberi kesan yang mendalam kepada perhubungan suami isteri. Ia boleh mengakibatkan perasaan rendah diri, hilang keyakinan diri, resah-gelisah yang boleh merencatkan lagi keintiman hubungan seksual pasangan berkenaan. Ramai pasangan menjadi murung akibat daripada masalah seksual yang dialami.

Rawatan

Langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengatasi masalah seksual
• Mendapatkan bantuan pakar
• Doktor boleh menjalankan beberapa pemeriksaan bagi menentukan punca masalah seksual.
• Kaedah rawatan yang diberikan banyak bergantung kepada punca masalah seksual yang dialami.
• Penglibatan positif pasangan amat penting di dalam menentukan kejayaan mengatasi masalah seksual yang dialami

Pencegahan

Masalah seksual boleh dicegah melalui beberapa pendekatan berikut:
• Amalkan gaya hidup yang sihat - hindari rokok atau menyalah guna dadah atau arak; kawal berat badan; elakkan sebarang kecederaan pada anggota badan.
• Patuhi nasihat dan rawatan yang diberikan bagi merawat penyakit fizikal atau mental.
• Amalkan kehidupan seksual yang sihat dan selamat
• Kendali stres atau tekanan secara berkesan (Pengurusan stres)

Dementia (nyanyuk)

Pengenalan

Dementia adalah sejenis penyakit otak yang progresif. Ia boleh membawa kepada penurunan dalam menjalankan aktiviti harian dan boleh menyebabkan pesakit memerlukan penjagaan masa panjang.
Sebahagian dari pesakit dementia kurang/tidak berupaya melakukan aktiviti-aktiviti harian. Mereka juga sukar untuk menyelesaikan masalah atau mengawal emosi.

Berapa kerap berlakunya dementia?

Kadar kekerapan dementia berlaku adalah di antara 2% hingga 20%. Ianya berganda setiap 5 tahun peningkatan usia bagi mereka yang berumur 65 tahun ke atas. Lebih dari separuh pesakit dementia mengalami penyakit Alzheimer.

Siapakah yang mempunyai lebih tinggi risiko mendapat dementia?
• Setengah jenis dementia lebih tinggi di kalangan wanita.
• Mereka yang mengalami masalah tekanan darah yang tak terkawal, penyakit kencing manis, penyakit jantung, paras lemak dalam darah yang tinggi
• Pesakit yang mengalami penyakit Parkinson.
• Mereka yang terencat akal atau tahap pembelajaran yang rendah.
Ada juga terdapat fakta genetik/ keturunan yang didapati meninggikan risiko tanpa menyebabkan penyakit berlaku.

Tanda-tanda dan gejala


• Hilang daya ingatan yang menyebabkan masalah dalam pekerjaan atau perjalanan kehidupan harian.
• Masalah dengan aktiviti yang biasa dilakukan, seperti memasak, mandi dan mengenakan pakaian.
• Sukar mencari perkataan yang mudah, sukar menerangkan sesuatu, atau kerap mengulangi percakapan (echolalia).
• Masalah dalam orientasi, contohnya kerap hilang arah walaupun di kawasan yang biasa dilalui
• Hilang keupayaan membuat penilaian
• Masalah dalam pemikiran abstrak, misalnya mengalami masalah menentukan apa yang ingin di beli semasa keluar membeli belah.
• Meletak barang di tempat lain atau kerap tertinggal barang.
• Perubahan emosi secara tiba-tiba, biasanya dengan tidak bersebab. Mereka mungkin mengalami perubahan dalam tingkah laku.
• Perubahan dalam perwatakan, daripada seseorang yang peramah kepada seseorang yang cepat marah, cemburu atau penakut (timid)
• Hilang minat dan kecenderungan dalam pekerjaan dan hobi mereka.
Anda boleh mencuba ujian ini (SDS, Mundt et al,) untuk mendapati adakah anda atau mana-mana ahli keluarga anda mungkin mengalami dementia

Komplikasi

Jika dementia tidak dikesan awal, beberapa akibat mungkin terjadi, seperti:
• Peningkatan dalam penyakit fizikal atau penyakit mental
• Peningkatan dalam kadar kematian.
• Dementia boleh membawa kepada kemasukan dalam institusi penjagaan dengan lebih awal.
• Ia boleh menimbulkan tekanan kepada penjaga dan menimbulkan penyakit fizikal dan mental di kalangan penjaga.
• Ia boleh menyebabkan penderaan ke atas pesakit.

Bolehkah dementia dirawat?

Pada masa ini dementia tidak boleh diubati, tetapi pembelajaran dan sokongan kepada pesakit dan penjaga pesakit dementia dapat membantu dalam mengawal sesetengah gejala penyakit. Ada terdapat beberapa jenis ubatan yang boleh menolong dalam mengawal gejala dan meningkatkan fungsi kognitif. Ada juga ubatan yang digunakan untuk merawat psikosis, kemurungan dan masalah emosi.

Pencegahan

Kajian mendapati bahawa aktiviti yang merangsang intelek seperti bermain catur, membaca dan sebagainya dapat mengurangkan risiko berlakunya dementia. Amalan cara hidup sihat boleh juga mengurangkan risiko mendapat dementia.

Rehabilitasi

Terdapat banyak terapi psikososial yang memberi manfaat kepada pesakit dementia. Ini termasuk memberi sokongan kepada pesakit dalam menjalani aktiviti harian mereka, menggalakkan aktiviti yang merangsang fungsi mental dan pancaindera mereka serta banyak lagi Kumpulan sokongan yang berdekatan anda dapat membantu anda dalam memberi cadangan tentang aktiviti yang berkesan.

Rahsia Anak Pintar:

Rahsia Anak Soleh:

Belajar Bahasa Inggeris:

Kit Biasiswa:

Koleksi Biasiswa Malaysia 2010

Jimat Elektrik:

Perfect Slim Diet:

Kerja Kerajaan:

Pertolongan Cemas:

Nak Berhenti Merokok?:

Jual Balik:

Artikel Yang Sering Dibaca Pelawat KEKAL SIHAT: