SESETENGAH orang masih menganggap kemoterapi dan radioterapi sebagai racun yang membuatkan mereka lebih rela mencari rawatan alternatif termasuk tradisional apabila disahkan menghidap kanser terutama pada peringkat awal meskipun ia belum terbukti mampu mengawal dan menyembuhkan penyakit.
Apa itu kemoterapi dan radioterapi?
Kemoterapi ialah ubat anti kanser yang diberi untuk memusnahkan sel kanser, manakala radioterapi pula ialah rawatan radiasi yang menggunakan sinar-X bertenaga tinggi untuk merawat pesakit kanser.
Bagaimana kemoterapi bekerja?
Kemoterapi bertindak dengan memberhentikan atau memperlahankan pertumbuhan sel kanser yang membahagi dan bertambah dengan cepat. Kemoterapi juga boleh mengancam dan merosakkan sel sihat yang membahagi dengan cepat seperti sel pada lapisan dalam mulut atau rambut.
Inilah sebabnya pesakit yang menjalani kemoterapi sering mengalami kesan sampingan mulut kering dan keguguran rambut. Namun kesan sampingan ini hanya untuk sementara dan apabila rawatan tamat, keadaan akan kembali kepada asal. Malah rambut mungkin jadi lebih sihat dan cantik.
Apa yang kemoterapi lakukan?
Tindakan kemoterapi tertakluk pada jenis dan tahap (peringkat) kanser. Ia bertindak untuk:
> Menyembuhkan penyakit - apabila kemoterapi memusnahkan sel-sel kanser dan doktor mengesahkan mereka tidak lagi dapat mengesan kehadiran sel kanser dalam badan pesakit.
> Mengawal kanser - kemoterapi menahan kanser daripada merebak dengan memperlahankan pertumbuhan atau memusnahkan sel kanser yang sudah merebak ke lain bahagian badan. Kini ada ubat kemoterapi bersasaran iaitu tindakannya khusus pada satu-satu bahagian. Selain pertumbuhan sel yang tidak normal, kanser juga boleh menyebabkan pembentukan salur darah baru (yang bercabang daripada salur darah sedia ada) untuk membekalkan oksigen dan zat kepada sel kanser. Ubat bersasaran ini akan bertindak ke atas salur darah baru untuk menghentikan bekalan oksigen dan zat; yang lama kelamaan akan menyebabkan sel kanser mati.
> Membunuh sel kanser yang tertinggal selepas pembedahan atau radioterapi.
> Membantu meningkatkan keberkesanan radioterapi.
> Membunuh kanser yang datang balik (berulang) atau sudah merebak ke lain bahagian badan.
Adakah kemoterapi satu-satunya kaedah merawat kanser?
Secara umumnya rawatan kanser mempunyai tiga peringkat iaitu pembedahan, kemoterapi dan radioterapi. Rawatan diberi mengikut keadaan dan peringkat kanser ketika dikesan. Ada yang hanya memerlukan pembedahan, terutama bagi kanser benigna (tidak merebak) dan dikesan pada peringkat awal. Dalam sesetengah keadaan, pesakit mungkin diberi rawatan radioterapi iaitu radiasi menggunakan sinar bertenaga tinggi.
Ada kalanya pesakit hanya dirawat dengan kemoterapi saja tetapi biasanya dimulakan dengan pembedahan dan kemoterapi. Ada juga yang memerlukan ketiga-tiga kaedah (pembedahan, kemoterapi dan radioterapi). Kemoterapi bertanggungjawab mengecilkan saiz ketumbuhan (kanser) sebelum pembedahan atau radioterapi.
Radioterapi adalah rawatan setempat sama seperti pembedahan iaitu pada anggota terbabit saja. Keperluan radioterapi juga bergantung kepada beberapa keadaan seperti jenis kanser atau ketumbuhan, lokasi, peringkat penyakit dan tahap kesihatan keseluruhan pesakit. Ia boleh diberi bersama kemoterapi atau selepas sesi kemoterapi tamat.
Kanser darah seperti leukemia, hanya boleh dirawat dengan kemoterapi. Begitu juga dengan kanser payu dara. Hingga kini rawatan terbaik untuk kanser payu dara ialah kemoterapi, sama ada dengan atau tanpa hormon.
Kaedah rawatan gabungan (pembedahan dan kemoterapi) memberi manfaat kepada semua pesakit sehingga berumur 70 tahun dan kesannya lebih ketara pada pesakit yang berumur kurang 50 tahun. Kemoterapi dengan hormon pula mampu mengurangkan serangan semula kanser sehingga 50 peratus dan merendahkan kadar kematian sebanyak 28 peratus.
Adakah semua ubat kemoterapi sama?
Tidak. Ada yang bentuk cecair (diberi secara suntikan) dan pil (oral atau makan). Jenis ubat kemoterapi yang digunakan di negara kita ialah:
> Vinorelbine (dalam bentuk suntikan dan oral untuk merawat kanser payu dara dan paru-paru)
> Etoposide (ubat suntikan dan oral bagi pelbagai jenis kanser seperti paru-paru dan kanser tisu lembut (sarkoma)
> Capecitabine (ubat oral untuk merawat kanser payu dara dan kanser usus peringkat awal)
> UFT (ubat oral - bagi kanser usus dan paru-paru)
> Temozolamide (ubat oral untuk kanser otak)
> Cyclophosphomide (ubat suntikan dan oral bagi kanser payu dara, tetapi jarang digunakan)
> Methotrexate (ubat lama tetapi masih digunakan)
Keberkesanan ubat suntik atau oral adalah sama. Jika ubat diperlukan ada dalam kedua-dua bentuk, doktor akan membuat pertimbangan berdasarkan keadaan pesakit. Jika pesakit takut jarum atau keadaannya tenat, dia boleh diberi ubat oral.
Mana lebih baik, ubat oral atau suntik?
Keberkesanan ubat oral atau suntik intravenus (disuntik ke dalam salur darah) adalah sama. Jika ubat diperlukan ada dalam kedua-dua bentuk, doktor akan membuat pertimbangan berdasarkan keadaan pesakit. Jika pesakit takut jarum atau keadaannya tenat, dia boleh diberi ubat oral.
Ubat suntikan hanya boleh diberi di hospital dan ini memaksa pesakit berulang alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Kelemahan ubat suntik pula ialah ia menyebabkan kesakitan pada bahagian disuntik, ubat terkeluar dari salur darah, sukar mencari salur darah, risiko jangkitan, pendarahan (apabila suntikan tidak dilakukan dengan berhati-hati) dan pesakit perlu datang ke hospital. Pun begitu ubat suntikan masih memainkan fungsi penting dalam rawatan kanser kerana lebih murah, banyak pilihan dan doktor dapat memastikan pesakit menerima ubat pada waktu tepat.
Ubat oral bukan saja memudahkan pesakit mengambil ubat, malah menjimatkan masa dan kos perjalanan kerana ia boleh diambil di rumah. Bagaimanapun pesakit perlu memastikan ia dimakan mengikut jadual dan tahu apa yang perlu dilakukan jika mengalami kesan sampingan.
Ubat oral juga ada kesan psikologi positif kepada pesakit kerana hospital biasanya membuatkan seseorang berasa lebih ‘sakit’. Pengambilan ubat oral di rumah bukan saja memudahkan pesakit, tetapi menenangkan fikirannya daripada terlalu memikirkan dia adalah pesakit kanser.
Kumpulan yang tidak sesuai menjalani kemoterapi:
> Pesakit yang ada alahan
> Pesakit yang ada masalah kurang darah kerana kemoterapi akan menyebabkan jumlah sel darah merah dan putih menurun. Jadi kemoterapi tidak diberi kepada pesakit yang ada masalah kekurangan platelet (komponen darah yang penting).
Dalam keadaan ini, rawatan akan ditangguhkan sehingga paras platelet pesakit mencapai tahap tertentu. Inilah sebabnya darah pesakit perlu diuji setiap kali sebelum diberi ubat kemoterapi bagi memastikan mereka benar-benar kuat untuk menerima rawatan dan mengelak sebarang kemungkinan.
Adakah anda boleh bekerja dalam tempoh rawatan kemoterapi?
Ya, kebanyakan pesakit boleh bekerja jika mereka berasa selesa. Bagaimanapun ia bergantung kepada jenis pekerjaan anda. Berbincanglah dengan majikan mengenai perkara ini.
Adakah kesan sampingan menandakan rawatan (kemoterapi) berkesan?
Tidak. Anda tidak boleh memberitahu sama ada kemoterapi berkesan berdasarkan kesan sampingan. Sesetengah orang fikir kesan sampingan yang teruk menandakan kemoterapi itu baik atau tiada kesan sampingan bermakna rawatan tidak berkesan. Hakikatnya, kesan sampingan tiada kaitan dengan keberkesanan rawatan.
Apa yang anda perlu tahu sebelum menerima sebarang rawatan kanser?
> Peluang kejayaan setiap jenis rawatan.
> Sasaran kemo atau radioterapi bagi kanser yang dihidapi.
> Kaedah rawatan lain untuk mendapatkan kesan sama.
> Bagaimana untuk mengetahui sama ada terapi itu berkesan.
> Jika tidak berkesan, apa kaedah rawatan lain.
> Kesan sampingan dan bandingkan dengan rawatan lain.
> Kaedah, kekerapan dan tempoh rawatan.
> Persediaan untuk menerima rawatan dan mengurangkan kesan sampingan.
> Adakah anda perlu menjalani pembedahan, kemoterapi, radioterapi atau semuanya sekali? Jika perlu, mengapa?
> Keputusan yang dijangkakan bagi setiap rawatan.
> Kosnya dan adakah ia termasuk dalam perlindungan insurans?
Sumber:www.hmetro.com.my