Jual Balik:

Kit Biasiswa:

Koleksi Biasiswa Malaysia 2010

Rahsia Anak Pintar:

Rahsia Anak Soleh:

Jimat elektrik:

mmm

Belajar Bahasa Inggeris:

Nak Berhenti Merokok?

Pertolongan Cemas:

Perfect Slim Diet:

Saturday, August 22, 2009

Bahaya Berdengkur

TIDUR bukan satu pilihan. Ia satu keperluan dan sangat penting kepada kesihatan manusia. Tidak cukup tidur menjejaskan kehidupan seseorang dan ini sebabnya kita perlu memberi perhatian serius terhadap kualiti tidur. Namun adakah selama ini kita mampu mengecap tidur yang nyenyak seumpama bayi tanpa gangguan?

Tidak ramai tahu bahawa berdengkur, terutama dengkuran kuat, bukan petanda seseorang itu tidur nyenyak, sebaliknya ia satu bentuk gangguan yang menjejaskan kualiti tidur dan rehat seseorang. Dengkuran kuat sebenarnya antara gejala utama apnea tidur (OSA) iaitu keadaan di mana nafas terhenti beberapa saat ketika tidur dan ia gangguan lazim yang dialami lebih tujuh peratus penduduk Malaysia berusia 25 hingga 45 tahun.

Kebanyakan orang gagal mendapatkan diagnosis perubatan bagi gangguan tidur mereka dan individu yang mengalami OSA selalunya memiliki beberapa gejala seperti dengkuran kuat, tersedak ketika tidur dan mengantuk pada siang hari. Ketika tidur, otak mengarahkan otot pernafasan untuk bernafas. OSA terjadi apabila proses ini tidak dapat dijalankan kerana saluran pernafasan terganggu dan menghalang aliran udara.

Dengkuran adalah bunyi yang terhasil apabila saluran pernafasan tersekat ketika tidur. Jika seseorang berdengkur, ia menandakan saluran pernafasannya terhalang seketika. Ketika tidur, otot pada lelangit lembut (bahagian tisu lembut pada hujung lelangit yang kelihatan tergantung dan berhampiran dengan tekak, dipanggil uvula), lidah dan kerongkong akan berehat.

Jika tisu dalam kerongkong dalam keadaan terlalu rehat, ia bergetar. Getaran ini menghalang serta menyempitkan laluan udara. Apabila keadaan ini berlaku, tekanan dalam kerongkong menjadi tinggi. Semakin tinggi tekanan, semakin kuat getaran tisu dalam kerongkong dan keadaan ini menyebabkan bunyi dengkur. Dengkuran menjadi lebih kuat jika tekanan dalam saluran pernafasan semakin tinggi.

Untuk mengatasi perkara ini, mulut secara automatik terbuka bagi membolehkan lebih banyak udara masuk. Di Malaysia, 8.8 peratus lelaki dan 5.1 peratus wanita berusia antara 30 hingga 70 tahun mengalami OSA. Ini adalah dua kali ganda lebih tinggi daripada tahap apnea di negara Asia lain. Kajian terbaru yang dikendalikan Philips di lima pasaran di seluruh dunia mendapati, walaupun OSA dianggap penyakit yang boleh dirawat, hanya satu pertiga daripadanya menganggap berdengkur sebagai masalah peribadi dengan dua pertiga daripada responden menyifatkan berdengkur sebagai masalah kecil yang tidak perlu dibimbangkan.

Kajian itu mengukuhkan keperluan pendidikan mengenai apnea dan lain-lain gangguan tidur yang lazimnya tidak diambil serius di kalangan individu berdengkur kerana OSA sebenarnya masalah serius yang boleh mengancam nyawa. Individu OSA yang tidak mendapatkan rawatan berisiko lebih tinggi mengalami masalah kesihatan serius yang boleh memberi impak negatif kepada produktiviti dan kualiti hidup; selain meningkatkan risiko penyakit diabetes, tekanan darah tinggi, serangan jantung dan angin ahmar. Menurut Presiden Persatuan Permasalahan Tidur Malaysia yang juga Pensyarah Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Syed Hassan Ahmad, OSA berbeza dengan dengkuran biasa kerana seseorang itu berhenti bernafas selama 10 saat atau lebih dalam tidurnya.

Aliran pernafasan yang normal pada waktu tidur adalah 70 hingga 100 peratus tetapi jika OSA berlaku, seseorang itu berhenti bernafas atau hanya bernafas 25 peratus daripada kadar biasa.

“Individu yang alami OSA berdepan risiko dua atau tiga kali lebih tinggi untuk menghidap hipertensi dan risiko serangan jantung berbanding tanpa OSA.

“Di Malaysia peningkatan usia, obesiti, merokok dan penggunaan sedatif dikaitkan dengan masalah berdengkur. Kita berdepan masalah penjagaan kesihatan serius jika tidak menganggap gangguan tidur sebagai sesuatu yang perlu diberi rawatan.

Dalam kes OSA, pesakit sentiasa terjaga seketika daripada tidur untuk menyambung pernafasan yang menyebabkan tidurnya terganggu. “Dalam kes lebih teruk, seseorang mungkin terjaga lebih 30 kali ketika tidur disebabkan OSA berulang-ulang,” katanya ketika kempen Philips mengenai apnea tidur. Bagaimanapun, golongan berisiko mengalami OSA ialah yang memiliki Indeks Jisim Badan (BMI) lebih daripada 28 (dalam kategori gemuk) dan masalah ini lebih banyak terjadi pada lelaki berbanding wanita, dengan kelaziman dua peratus perempuan dan empat peratus lelaki.

Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Eksekutif Penjagaan Kesihatan Philips Asia Pasifik, Wayne Spittle, turut menyatakan OSA masih boleh diperbaiki apabila seseorang itu menambah baik tidur mereka dan paling penting meningkatkan kualiti hidup. Antara cara memperbaiki kualiti tidur ialah menghentikan tabiat merokok, pengambilan alkohol atau menurunkan berat badan, tetapi jika masalah OSA tetap tidak berkurang, individu berkenaan memerlukan rawatan lain. Sehingga kini rawatan yang ada belum mampu menyembuhkan 100 peratus penyakit ini.

Jika seseorang itu didiagnosis dengan OSA, biasanya ia boleh dirawat dengan berkesan melalui terapi Tekanan Saluran Udara Positif Berterusan (CPAP) iaitu kaedah rawatan yang lebih digemari untuk merawat OSA. Melalui CPAP, tekanan udara menjadi lebih baik berbanding udara di persekitaran yang membolehkan bahagian atas aliran udara terbuka dan menghalang berlakunya OSA dan dengkur, selain membolehkan pesakit OSA bernafas bebas ketika tidur.

Menurut Syed Hassan, secara keseluruhannya pengurangan berat badan dan riadah dapat membantu OSA yang lemah, manakala OSA dalam kategori sederhana hingga serius memerlukan rawatan CPAP. “Terapi CPAP boleh secara dramatik meminimumkan impak OSA. Ia juga menawarkan manfaat tambahan seperti pertambahan tenaga, tekanan darah lebih rendah serta penurunan risiko serangan jantung dan angin ahmar. “Jika memerlukan pembedahan, tisu yang menyekat saluran pernafasan akan dibuang kerana dalam OSA, salur nafas menjadi kecil,” katanya.

Pembedahan untuk masalah gangguan tidur adalah untuk mengeluarkan lebihan tisu hidung dan kerongkong yang mungkin bergetar menyebabkan dengkur atau menghalang bahagian atas saluran pernafasan. Antara pembedahan yang ada ialah Uvulopalatopharyngoplasty (UPPP) dan Maxillomandibular advancement dan Tracheostomy.


Komplikasi OSA

> OSA menyebabkan kualiti tidur kurang baik kerana kekerapan terbangun daripada tidur untuk bernafas
> Pada siang atau awal pagi pesakit mengalami sakit kepala dan tekak kering
> Rasa mengantuk yang bahaya untuk pemanduan
> Lelaki mengalami OSA kurang subur
> Penyakit kardiovaskular


Simptom OSA

> Kerap berdengkur (50 peratus pesakit OSA berdengkur)
> Pening apabila bangun pagi
> Mengantuk pada waktu siang kerana kerap terbangun malam
> Kurang ingatan
> Kurang fokus
> Mudah alami kemalangan
> Tekak kering
> Produktiviti rendah

Sumber: www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment

Rahsia Anak Pintar:

Rahsia Anak Soleh:

Belajar Bahasa Inggeris:

Kit Biasiswa:

Koleksi Biasiswa Malaysia 2010

Jimat Elektrik:

Perfect Slim Diet:

Kerja Kerajaan:

Pertolongan Cemas:

Nak Berhenti Merokok?:

Jual Balik:

Artikel Yang Sering Dibaca Pelawat KEKAL SIHAT: