Jual Balik:

Kit Biasiswa:

Koleksi Biasiswa Malaysia 2010

Rahsia Anak Pintar:

Rahsia Anak Soleh:

Jimat elektrik:

mmm

Belajar Bahasa Inggeris:

Nak Berhenti Merokok?

Pertolongan Cemas:

Perfect Slim Diet:

Sunday, October 20, 2013

Ketagih kafein


Apakah anda seorang yang ketagih dengan minuman berkafein? Kalau tidak dapat dalam sehari, rasa macam tak lengkap hari itu. Sebahagian daripada kita selalunya mengambil kafein untuk mengelak diri daripada mengantuk, tidak kiralah ketika mengulangkaji pelajaran, kerja syif malam atau sekadar berjaga tengok bola.


Namun sedarkah anda keburukan yang sering dikaitkan dengan kafein? 

Kafein kebiasaannya diambil waktu pagi sebelum ke kelas atau ke pejabat. Bagaimanapun kafein haruslah diambil dalam kuantiti yang kecil jika ingin mengambilnya lebih kerap. Cukup secawan kopi atau teh. Ada juga yang mengambilnya dua kali dalam seminggu untuk mengurangkan rasa ketagihan.


Sebenarnya kafein tidaklah membawa padah jika sentiasa dikawal pengambilannya. Malah mengikut satu kajian menunjukkan bahawa kafein mampu mengurangkan penyakit Parkinson sehingga 80 peratus. Namun jumlah peratusannya berbeza bergantung kepada pesakit.


Minuman berkafein memang tidak digalakkan oleh ibu bapa buat anak-anak kecil terutama ketika proses pembesaran mereka. Sesetengah ibu bapa bimbang ia akan membuatkan mereka ketagih. Kafein adalah bahan semula jadi yang dikeluarkan pada bahagian daun dan biji tumbuhan. Kafein juga dihasilkan secara tiruan untuk ditambah dan digunakan dalam proses pembuatan makanan tertentu.

Kafein berfungsi merangsang sistem saraf utama yang membuatkan individu akan berasa diri lebih cergas dan tidak mengantuk. Namun harus diingatkan, pengambilan kafein yang terlampau boleh menyebabkan seseorang itu sakit perut, pening, sukar untuk tidur, tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya dan peningkatan degupan jantung.

Ramai pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) mengamalkan minuman kafein ketika mengulang kaji pelajaran. Rata-rata golongan remaja yang ditemui berkata, untuk mengelakkan diri daripada tertidur ketika membaca buku, jalan penyelesaian terbaik adalah mencari kopi atau minuman kafein. Makanan atau minuman seperti kopi, teh, coklat, ­aiskrim dan beberapa jenis ubat-ubatan antara yang mengandungi kafein.


Seksa bila ketagih

Pelik bila melihat ada remaja hari ini yang terlalu ketagih minuman kafein. Tidakkah mereka bimbang dengan tahap kesihatan apabila umur meningkat ke fasa senja?

Mungkin sekarang kesan buruk itu belum lagi kelihatan namun bagaimana kesan untuk masa hadapan yang boleh memudaratkan kesihatan jantung dan sistem saraf seseorang itu?

Memang satu penyeksaan ketika mula-mula untuk berhenti daripada mengambil minuman berkafein dan harus mendapatkan sokongan daripada pakar perubatan, ibu bapa, keluarga dan rakan-rakan.

Mereka yang ketagih akan mengalami ‘withrawal ­symptoms’ seperti gejala sakit kepala. Jika tidak tahan dengan rasa sakit itu, penggemar minuman kafein terpaksa ‘rehat seketika ‘ daripada minum kafein.


Alasan keletihan

Keletihan dijadikan alasan utama untuk mengambil minuman berkafein. Terutama apabila penat bekerja seharian dan ingin menghabiskan kerja yang lain di rumah.

Golongan muda akan mengambil kafein untuk menguatkan tenaga sehingga menyebabkan badan akan menjadi lemah keesokannya kerana tidak mendapat rehat yang cukup.

Tidak salah untuk mengambil kopi atau minuman kafein yang lain, namun haruslah dalam kuantiti sederhana yang sesuai dengan penerimaan tubuh badan seseorang itu. Cukup sekadar secawan kopi sehari sudah memadai dan amalkan minuman air kosong yang lebih berkhasiat.


Sumber: http://www.hmetro.com.my

Kasih anak sulung



Biasanya anak pertama dalam keluarga menerima kasih sayang melimpah daripada ibu bapa. Tambahan pula kehadirannya dinantikan bertahun-tahun lamanya. Kini anak itu sudah semakin membesar dalam usia remaja. Sebagai kakak atau abang sulung, tanggungjawabnya bukan saja sebagai seorang anak, lebih berat lagi perlu menjaga tingkah laku adik-adik yang lain.
Dalam konteks ini, anak sulung adalah ketua dalam susunan adik beradik, walaupun bapa sebagai ketua keluarga. Oleh demikian, anak sulung mempunyai hak untuk untuk mengawasi pergerakan adik-adik.

Difahamkan, kebanyakan ibu bapa inginkan anak sulung lelaki kerana boleh bertindak menjaga adik-adik di bawahnya nanti, malah boleh menjadi ‘wali’ bagi adik beradik perempuan sebagai ganti jika ayah tiada nanti.


Sebagai anak sulung, segala keinginan dan impian ada ketikanya mereka sanggup abaikan demi menjaga perasan adik dan mendahulukan mereka dalam setiap hal.


Pengorbanan yang dicurahkan adalah semata-mata untuk melihat adik-adiknya menggapai impian, seterusnya membanggakan ibu bapa.

Sebahagian kes yang berlaku dalam keluarga kurang berkemampuan di mana anak sulung berhenti sekolah untuk keluar bekerja bagi mencari sesuap nasi buat adik-adik.

Meskipun nampak mereka mampu menggalas tanggungjawab itu, pasti akan terasa ‘beban’ terutama ketika usia yang masih mentah. Ketika ini mereka seharusnya menyambung pelajaran bukan bersengkang mata mencari wang.


Terkena tempias

Secara zahirnya, dalam satu tandan pisang pasti ada yang busuk. Begitu juga dalam keluarga, sebagai anak sulung tentu ada rasa tekanan dengan kenakalan sikap adik yang tak mahu mendengar kata.

Jika ada kesalahan yang dilakukan si adik, mereka turut terkena tempiasnya dan dianggap tak pandai jaga adik walaupun kesalahan itu bukan berpunca daripadanya.

Sudut positifnya, anak pertama menjadi contoh kepada adik-adik dengan keperibadian yang baik. Selain menjadi kebanggaan buat adik-adik untuk mengikut jejak langkah abang dan kakak yang sudah berjaya.

Penulis sempat bertemu seorang anak sulung perempuan, berumur 22 tahun, yang masih menuntut di sebuah institut pengajian tinggi di ibu negara. Biarpun meminta untuk merahsiakan identiti dirinya daripada tatapan pembaca lain, namun kisahnya dapat dijadikan teladan.

“Saya anak sulung daripada enam orang adik beradik. Oleh itu, saya harus menunjukkan contoh yang baik kepada adik-adik yang lain terutama mereka yang masih bersekolah.

“Disebabkan saya dilahirkan dalam keluarga yang sederhana, saya tekad untuk tekun belajar semasa di bangku sekolah sehingga berjaya melangkah ke universiti tempatan.

“Namun ada ketikanya diri rasa tertekan dengan kenakalan adik-adik terutama mereka yang tak minat untuk sambung belajar ke peringkat lebih tinggi.

“Banyak masa mereka habiskan dengan benda yang tak mendatangkan kebaikan seperti melepak, ponteng sekolah dan cuba untuk menghisap rokok, walaupun masih bersekolah.


Melawan kata-kata

“Sebagai anak sulung, saya berperanan menjalankan tanggungjawab menjaga perilaku adik-adik. Bila ada saja barang yang mereka perlukan, saya ambil tahu.

“Pernah suatu ketika, adik bongsu curi-curi hantar mesej kepada teman lelakinya. Jadi saya rasa aneh dan syak sesuatu yang tak baik. Ketika dia leka keluar dengan kawan-kawan sehingga tertinggal telefon di rumah, saya ambil untuk teliti gajet itu.

“Saya sedih dan terkejut bila membaca setiap baris ayat yang dihantar kepada teman lelaki menggunakan perkataan yang kurang baik lebih-lebih lagi datangnya daripada gadis remaja yang masih bersekolah.

“Jadi sebagai kakak sulung, saya menasihati dia agar sentiasa menjaga maruah diri dan tak sesekali melakukan perbuatan buruk terutama bila berkawan dengan mereka yang hanya nak ambil kesempatan semata-mata.

“Namun nasihat itu tak diendahkan malah melawan kata-kata saya. Katanya, saya tak harus campur urusan peribadinya sedangkan saya beri nasihat yang berguna. Bimbang dia menyesal kemudian hari.

“Saya hanya manusia biasa dan kesabaran saya ada hadnya. Bila ditengking dengan adik sendiri, kesabaran saya hilang sehingga tangan saya melayang ke pipinya dan akibatnya, dia tak mahu bertegur sapa dengan saya sampai sekarang.

“Begitu juga adik-adik yang lain menganggap saya perasan bagus dan melempar tuduhan bahawa saya dengki dengan kehidupan mereka. Sebagai anak sulung, memang saya sedih dengan sikap adik-adik yang begitu.

“Kini saya jarang lagi menegur adik-adik, cuma memantau dari jauh agar mereka tak terus hanyut dalam landasan kehidupan. Bagi remaja luar yang dilahirkan sebagai anak sulung curahkan kasih sayang anda itu dalam pelbagai cara agar dirasai oleh adik-adik bahawa pengorbanan seorang anak sulung tak ada batasnya,” katanya.


Sumber: http://www.hmetro.com.my

Aura makan angin



Melancong ibarat terapi diri. Mengisi masa cuti dengan sesuatu yang lain daripada aktiviti seharian boleh menghilangkan tekanan. Pemilihan tempat bercuti antara faktor penting untuk kita ‘enjoy’ dengan percutian itu selain mampu memberi ketenangan diri. Jika memilih bercuti di tengah bandar, mungkin perasaan berbeza berbanding cuti di luar kota.

Pengalaman berbeza

Istilah bercuti sering dikaitkan dengan menjauhkan diri daripada kesibukan kota. Berada di kawasan pedalaman ataupun lokasi yang belum pernah dikunjungi memberi perasaan berbeza kepada pelancong. Justeru, kita akan memilih untuk pergi ke tempat yang belum pernah dikunjungi bagi merasai perasaan itu.

Percutian dirancang dan percutian hari minggu adalah dua situasi berbeza. Apa yang ingin dibincangkan di sini lebih terarah kepada percutian dirancang di mana pemilihan lokasi lebih tertumpu kepada destinasi luar negara berbanding tanah air sendiri. Kenapa?


Mereka yang gemar melancong ke negara luar berpendapat, lokasi dan tempat cantik di sana menjadi daya penarik pelancong asing kerana tidak terdapat di negara sendiri. Sebagai contoh, melancong ke negara empat musim iaitu musim salji, luruh, panas dan sejuk dengan merasai sendiri pengalaman berada di negara orang menjadi impian setiap orang, oleh itu keinginan terbabit dipenuhi apabila peluang tiba.


Selain itu, melihat kehidupan penduduk luar yang berbeza latar belakang budaya menjadi inspirasi dan membuka minda untuk kita bersyukur dan mempelajari sedikit sebanyak mengenai cara hidup masyarakat luar.


Ada bajet

Ramai yang mengimpikan untuk bercuti di negara luar terutama Eropah. Namun yang menjadi penghalang adalah isu kewangan. Bagi mereka yang mampu, tak kisahlah sama ada duit hasil tabungan atau ditaja syarikat, pasti tidak akan lepaskan peluang keemasan jika dapat tawaran.

Bukan saja faktor tempat cantik dan suasana persekitaran berbeza, bajet juga antara elemen penting untuk bercuti ke luar negara. Jika kurang bajet, maka bercuti sajalah dalam negara.

Melihat kepada ‘trend’ bercuti ke luar negara semakin menggalakkan, syarikat penerbangan juga tidak putus-putus membuat promosi bagi merealisasikan impian kita.

Kos penerbangan yang agak murah turut menjadi sebab utama yang membakar semangat untuk menabung dan bercuti di luar negara.

Destinasi luar negara tidak semestinya Eropah, Amerika dan destinasi lain yang jauh, namun Indonesia, Kemboja serta negara Asia lain juga kerap menjadi destinasi pilihan anak muda untuk berjalan meneroka tempat baru. Asalkan ada bajet, destinasi melancong impian pasti boleh dijejaki.


Tarikan negara sendiri

Bagi mereka yang kurang bersetuju dengan isu ini berpendapat, ramai melancong ke luar negara kerana tidak tahu Malaysia mempunyai banyak destinasi diiktiraf dunia.

Sebagai contoh taman negara yang terletak di Sarawak menjadi daya penarik pelancong luar untuk datang ke sini tetapi ia gagal menarik rakyat sendiri menerokainya. Terdapat banyak tempat peranginan menarik dengan daya tarikan tersendiri menjadikan Malaysia antara pilihan pelancong luar.

Selain itu, bercuti di negara sendiri bukan saja menjimatkan kos perbelanjaan malah secara tak langsung dapat memajukan industri pelancongan negara. Dari segi persekitaran, pastilah ia lebih selesa dan menyenangkan kerana kita sudah biasa dengan cuaca panas, hujan dan lembap negara sendiri.


Sayangi Malaysia

Jika generasi muda yang gemar melancong ke negara luar berpendapat melihat dunia luar mampu membuka minda, begitu juga dengan golongan yang memilih untuk bercuti di tanah air. Semakin kita meneroka keindahan negara sendiri semakin menebal rasa cintakan negara.

Keindahan flora dan fauna negara menjadi tunjang utama kitaran alam dengan membekalkan oksigen kepada dunia. Apabila kita mendalami perihal negara sendiri, pelbagai info menarik berkaitan keistimewaan tanah air tercinta dapat dipelajari sekali gus memupuk rasa sayang dan bangga menjadi rakyat Malaysia.

Namun, minat setiap orang berbeza. Tak salah untuk melancong dan meneroka tempat baru di dunia kerana ia nyata dapat beri gambaran baru dan inspirasi kepada diri untuk terus menjejak destinasi menarik seluruh dunia. Walau sejauh mana pun kita pergi, jangan sesekali lupakan tanah air kerana bak kata pepatah, ‘hujan emas di negara orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri’, bermaksud walaupun seribu kelebihan di negara orang, tetap negeri sendiri lebih baik lagi.


Sumber: http://www.hmetro.com.my

Malas mandi

Tidak kiralah jejaka atau gadis, sikap malas akan wujud dalam diri setiap insan. Malas juga akan buatkan kehidupan seharian kucar-kacir. Lebih teruk apabila ia berkaitan kebersihan tubuh badan yang sepatutnya diberi lebih perhatian. Rutin mandi seharian yang dipandang remeh segelintir individu menjadi kupasan isu hari ini.
Ramai yang tidak mengambil serius hal ini, apa yang penting bagi mereka adalah penampilan dinilai di mata, bukannya hidung.

Jika kita melepak di pusat beli-belah, datang ke pejabat atau keluar bersiar bersama rakan, apa yang dapat dilihat hanyalah penampilan luaran. Semua orang mahu kelihatan bergaya, pandai berfesyen tetapi pernahkah anda terfikir adakah penjagaan kebersihan badan dititikberat setaraf dengan gayanya?
Hanya sekali sehari

Tak dinafikan, rutin harian yang sibuk dan jadual padat sedikit sebanyak mendorong kepada sikap malas. Seharian penat menyiapkan kerja bertimbun di pejabat atau letih dengan kuliah membuatkan kita akan terbaring lesu ketika pulang ke rumah. Dalam proses menenangkan otak dengan bermalas-malasan di depan televisyen itu, selalunya ia akan berakhir dengan tertidur hingga ke pagi.

Tubuh menjadi lesu kerana dibiarkan melekit dengan peluh dan akan menyebabkan kita menjadi lemah dan malas untuk bangun pagi. Itulah situasi sebenar yang diakui beberapa geng Gen Y yang ditemui penulis, baru-baru ini.

Rata-rata mereka mengakui hanya mandi sekali sehari iaitu sebelum keluar rumah sama ada mahu ke tempat kerja atau ke kuliah. Lebih mengejutkan apabila ada yang terus terang memberitahu hanya mandi sekali dalam dua hari apatah lagi pada cuti hujung minggu.

Benarlah, mata hanya dapat melihat apa yang terhidang depan mata. Walaupun sekali pandang luaran nampak kemas tetapi apabila diteliti, rambut dan muka si malas mandi akan kelihatan berminyak. Jangan mudah tertipu dengan pandangan mata. Inilah ‘penyakit’ sebenar yang menghantui remaja masa kini.


Mandi tak sabun

Kebiasaannya, kita akan mandi dua kali sehari iaitu sebelum dan selepas pulang kerja. Bagi mereka yang rajin, mungkin akan menjadi tiga kali atau lebih. Bagi mereka yang ‘takutkan’ air pula, mandi satu kali sehari sudah memadai.





Apabila ditanya, kebanyakan mereka memberitahu hanya akan mandi ketika pagi. Ia boleh dikatakan ‘wajib’ hanya kerana tidak mahu diejek rakan sepejabat atau ditertawakan kerana kelihatan kusut dan ‘serabai’.

Sebilangan yang ‘elak’ mandi pagi, akan cuba memaksa diri untuk segarkan tubuh badan pada waktu tengah hari sama ada selepas kuliah atau sengaja mandi lewat. Mereka berpendapat, sekali sehari sudah memadai untuk buang daki di badan. Lebih teruk apabila ada yang hanya mandi sekadar basahkan badan dengan air tanpa sabun. Mandi sekadar ‘cukup syarat’ untuk buatkan rambut basah tanpa syampu kemudiannya dialas dengan minyak wangi sebelum keluar antara taktik golongan pemalas ini.

Tabiat ini bukan hanya sinonim dengan golongan lelaki tetapi sikap malas membuatkan ia turut membabitkan wanita. Meskipun wanita sering dilabel pembersih berbanding lelaki, tetapi tidak bermakna secara keseluruhannya dijaga rapi.


Pencemaran bau

Bau badan selalunya dikaitkan dengan orang yang berbadan besar apatah lagi jika si dia malas mandi. Bukan rakan saja yang menjauhi tetapi orang sekeliling juga akan beri pandangan penuh makna kerana bau badan yang tengik dapat dihidu dengan jelas.

Si pemalas mandi tidak akan merasai apa yang dialami orang sekeliling kerana dia berada di zon selesa. Jarang sekali mereka akan bau badan sendiri, oleh sebab itulah masalah ini tidak selesai sekiranya tidak ditegur.

Penyiksaan hidung akan lebih teruk apabila kita terpaksa berdepan dengan si pemalas mandi yang badannya mudah berpeluh. Secara tak langsung, bau badan akan menjadi makin kuat sehingga ada kes menyebabkan mereka hilang kawan. Siapa yang sanggup berdiri sambil tersenyum apabila dibiarkan sendirian di loji kumbahan? Mungkin ada yang sabar tetapi akan wujud batasnya. Itulah perumpamaan untuk menggambarkan situasi ini.


Pasangan boleh lari

Memang benar, kita kena terima seadanya pasangan kita. Tapi ada sesetengah perempuan yang pembersih dan menjaga penampilan amat prihatin terhadap penjagaan tubuh badan. Mandi adalah elemen utama yang harus diutamakan.

Walaupun rupa pasangan sekacak Aaron Aziz atau secantik Maya Karin, apa gunanya gah paras rupa tetapi bau badan boleh hancurkan kebahagiaan? Jadi, kepada si pemalas mandi, paksa diri untuk ubah rutin harian anda supaya pasangan akan tetap setia dan tidak cari pengganti baru. Berubah ke arah kebaikan tak salah walaupun ia dugaan terhebat pada permulaannya.


Tak bahaya mandi malam

Ramai yang berpendapat, mandi malam boleh mendatangkan penyakit kronik. Sejauh mana kebenarannya?

Pada 2012, seorang doktor perubatan di hospital swasta, Dr Anies Tan berkata, kajian menunjukkan mandi bukan saja boleh membersihkan badan daripada kotoran tetapi juga boleh menghilangkan stres.

Katanya, kebanyakan penyakit kronik antaranya diabetes, hipertensi, kegagalan buah pinggang dan masalah kardiovaskular muncul daripada kegagalan sistem dalam badan, cara pemakanan dan gaya hidup. Tiada bukti yang mengatakan mandi pada waktu malam boleh mendatangkan penyakit ini.

“Negara mempunyai iklim tropika di mana cuacanya panas dan lembab, oleh itu mandi malam tidak mendatangkan kemudaratan. Lainlah kalau anda menghidapi pneumonia (jangkitan dari satu atau dua paru-paru yang biasanya disebabkan bakteria dan virus) dan tinggal di negara yang beriklim musim sejuk. Mandi malam adalah baik kerana ia membersihkan badan daripada bakteria dan virus,” katanya.

Jelas, ia satu amalan kebersihan yang baik bila kita kerap basuh tangan terutama sebelum makan, sama juga bila kita mandi walaupun pada waktu malam.


Sumber: http://www.hmetro.com.my

Pengganti kaca mata



Suatu ketika dulu, cermin mata dianggap alat bantuan kepada individu yang mengalami masalah rabun jauh dan dekat. Malah ada yang selesa bertahun-tahun menggunakan cermin mata untuk membantu dalam segenap aktiviti dan urusan pekerjaan. Bagaimanapun, kehadiran kanta lekap memberi alternatif kepada yang sudah bosan dengan kaca mata. Ini peluang kedua mereka untuk bergaya tatkala rimas ketika kaca mata melorot ke bawah. Malah untuk menjaga cermin mata juga bagi sesetengah pemakai ia melecehkan. Apa itu kanta lekap? Alat pembetulan, kosmetik atau kanta terapeutik yang diletakkan pada kornea mata. Ia direka khas ahli kimia Republik Czech, Otto Wichterle.

Kini dengan kepelbagaian warna dan corak, membuatkan mata individu yang memakainya kelihatan cantik dan lebih besar daripada mata asal. Pun begitu, jangan mudah tertipu jika ada yang mengatakan itu adalah mata sebenar mereka. Mungkin sekadar menjaga penampilan diri.


Sejak kebelakangan ini, disebabkan ‘keinginan’ itu melebihi daripada aspek lain, membuatkan sebilangan anak muda tak peduli untuk berjumpa pakar mata atau optometris bertauliah bagi merawat mata, sebelum memakai kanta lekap.


Nak cantik punya pasal, penjagaan dan kebersihan harus juga dititikberatkan. Kanta lekap perlu dibilas menggunakan ubat khas bagi membantu mengurangkan bakteria daripada melekat di situ.

Bagaimanapun, perubahan ketara membuatkan ia dianggap fesyen dan gaya remaja kini, sekali gus seperti menolak fungsi asal kanta lekap. Sehingga ada antara mereka yang tidak kisah untuk mendapatkan kanta lekap yang murah asalkan boleh dibeli de­ngan banyak dan dapat tukar-tukar warna mengikut pakaian.

Perlu diingat, pemakaian kanta lekap tiruan boleh menyebabkan seseorang mengalami masalah teruk di kelopak mata. Malah ada yang melarat menjadi buta akibat memakainya tanpa mendapatkan nasihat pakar.

Persoalannya, adakah mereka yang memakainya benar-benar rabun atau sekadar untuk cantik?

Pun begitu tidak ada salahnya, sekiranya ada remaja menggunakan cara ini untuk cantik asalkan berjumpa pakar bertauliah dan memilih kanta yang bersesuaian agar tak ada kesan buruk kelak.


Komen

Bakteria merebak


“Jika diberi pilihan, saya akan memilih kaca mata berbanding kanta lekap kerana sedia maklum bahawa, ia akan menjejaskan mata jika memakai terlalu lama.

“Jika mereka yang mengalami rabun mata, sebaiknya menggunakan kaca mata walaupun penyembuhan rabun itu berlaku secara perlahan namun ia tak memberikan kesan negatif terhadap mata.

“Walaupun secara zahirnya, pemakaian kanta lekap ini akan menampakkan seseorang itu cantik dan bergaya, namun kita harus tahu implikasi jika tak menjaga kebersihan,” katanya.

Nama: Farhana Suhada Jamaludin, 21
Lokasi: Perak


Sekadar menunjuk

“Pemakaian kanta lekap ini bukannya kehendak dan keperluan individu tetapi sekadar untuk menunjuk bahawa mereka ada mata cantik. Sedangkan mereka yang memakainya tak tahu risiko jika berterusan memakai kanta lekap yang boleh membahayakan mata.

“Saya ada juga terbaca dan mendengar ceramah motivasi berkaitan dengan bahayanya pemakaian kanta lekap ini sehingga saya takut untuk memakainya,” katanya.

Nama: Suraya Mohd Tarmizi, 24
Lokasi: Perak



Sumber: http://www.hmetro.com.my

Rumah Sardin



Kebanyakan individu yang berasal dari bandar mungkin bernasib baik kerana boleh tinggal di rumah keluarga sendiri apatah lagi jika statusnya sebagai pelajar. Selain dapat kurangkan bajet bulanan untuk bayar sewa rumah, makan dan minum sudah tidak menjadi masalah. Tetapi bagaimana pula dengan golongan muda dari luar bandar yang melanjutkan pengajian di ibu kota?

Mahu atau tidak, mereka perlu menyewa rumah untuk dijadikan tempat tinggal. Mungkin jika berstatus pelajar baru, kemudahan asrama akan disediakan tetapi apabila lanjut ke tahun pengajian seterusnya, pasti perlu menyewa kediaman baru. Tak kisah jika terpaksa bersesak-sesak namun itulah hakikat yang perlu dihadapi demi mengurangkan tekanan ekonomi di bandar besar.

Ramai lagi bagus


Alasan mahu berjimat atau perbelanjaan bulanan tidak mencukupi, kedua-duanya alasan serupa bagi golongan pelajar perantauan untuk bersesak dalam satu rumah tanpa memikirkan keselesaan diri sendiri. 

Disebabkan perbelanjaan bulanan terhad apatah lagi dengan bebanan kos tugasan kuliah seharian, keputusan untuk tinggal di sebuah rumah dalam bilangan penghuni yang ramai dianggap antara langkah terbaik untuk berjimat. Apatah lagi berada dalam dunia pengajian, bagi mereka lebih ramai lebih bagus kerana sewa rumah semakin ringan.

Setiap langkah di kota besar menuntut wang ringgit. Tol, parkir, makan minum malah minyak motosikal juga perlu diperincikan. Berbanding di kawasan luar bandar, hidup di bandar raya umpama ‘membakar’ sekurang-kurangnya RM30 setiap hari bagi seseorang penuntut untuk melangkah keluar dari pintu rumah.


Lebih selamat

Apapun masalah yang jelas wujud di depan mata dek ‘rumah sardin’, ramai pula golongan pelajar yang menyangkal masalah berkenaan, sebaliknya menganggap keselamatan lebih terjamin kerana tidak tinggal berseorangan.

Malah kata mereka, duduk beramai-ramai lebih berkesan dalam mengurangkan tekanan kerana dapat kongsi masalah selain mengulangkaji pelajaran bersama teman serumah berbanding tinggal bersendirian.

Hal ini diakui penuntut wanita yang lebih setuju untuk berkongsi bilik lebih daripada seorang. Asalkan rakan sebilik ‘sekepala’ dan tahu tanggungjawab masing-masing, tidak salah sekiranya sebuah rumah tiga bilik didiami lebih enam orang.


Pilih rumah

Peruntukan maksimum RM100 hingga RM150 sebulan untuk membayar sewa rumah dianggap sebagai angka terbaik yang perbelanjaan bulanan yang diperoleh daripada pinjaman PTPTN atau duit poket diberikan ibu bapa digunakan untuk tujuan lain seperti kos pergi balik kuliah, duit makan seharian, peralatan rumah dan bilik mandi, serta duit kopi untuk melepak.

Jenis rumah yang sering menjadi pilihan tentunya flat kerana kadar sewa lebih murah. Menurut mereka, kadarnya lebih mampu dibayar berbanding rumah teres atau kondominium. Namun, ada juga yang memilih apartmen kos rendah dan rumah kedai, semuanya bergantung kepada kemahuan dan cita rasa masing-masing. Asalkan ia berdekatan dengan kuliah dan mudah akses pengangkutan awam, sudah memadai.


Masalah biasa

Berdasarkan rekod Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sehingga akhir 2011, separuh iaitu 800,728 daripada 1.67 juta penduduk Kuala Lumpur adalah golongan belia berumur 15 hingga 40 tahun. Jadi, bayangkan betapa ramai golongan muda di ibu kota ketika ini.

Isu rumah sardin adalah masalah biasa dialami sesiapa saja terutama ketika zaman pengajian. Namun tahukah anda, dari segi luaran, mereka mungkin kelihatan tenang dan berupaya menyesuaikan diri dengan cara hidup sedemikian tetapi di sebalik ketenangan itu, golongan penuntut ini pasti pernah mengimpikan ruang peribadi khusus untuk diri, setidak-tidaknya bilik sendiri.

Di rumah lelaki khususnya, perkara biasa yang sering kelihatan adalah ruang tamu dipenuhi tilam dan meja komputer. Di situlah mereka bermain permainan komputer dan di situ juga mereka tidur.

Kunjungan ke beberapa rumah perempuan pula mendapati kebersihan lebih terjaga, namun kesesakan ruang tiada bezanya. Pantang ada saja bucu yang boleh digantungkan penyangkut baju (hanger), pakaian yang baru dicuci pasti digantung di situ, termasuk di dapur sekalipun. Itu hakikatnya.


Sumber: http://www.hmetro.com.my

Rahsia Anak Pintar:

Rahsia Anak Soleh:

Belajar Bahasa Inggeris:

Kit Biasiswa:

Koleksi Biasiswa Malaysia 2010

Jimat Elektrik:

Perfect Slim Diet:

Kerja Kerajaan:

Pertolongan Cemas:

Nak Berhenti Merokok?:

Jual Balik:

Artikel Yang Sering Dibaca Pelawat KEKAL SIHAT: