Kebanyakan individu yang berasal dari bandar mungkin bernasib baik kerana boleh tinggal di rumah keluarga sendiri apatah lagi jika statusnya sebagai pelajar. Selain dapat kurangkan bajet bulanan untuk bayar sewa rumah, makan dan minum sudah tidak menjadi masalah. Tetapi bagaimana pula dengan golongan muda dari luar bandar yang melanjutkan pengajian di ibu kota?
Mahu atau tidak, mereka perlu menyewa rumah untuk dijadikan tempat tinggal. Mungkin jika berstatus pelajar baru, kemudahan asrama akan disediakan tetapi apabila lanjut ke tahun pengajian seterusnya, pasti perlu menyewa kediaman baru. Tak kisah jika terpaksa bersesak-sesak namun itulah hakikat yang perlu dihadapi demi mengurangkan tekanan ekonomi di bandar besar.
Ramai lagi bagus
Alasan mahu berjimat atau perbelanjaan bulanan tidak mencukupi, kedua-duanya alasan serupa bagi golongan pelajar perantauan untuk bersesak dalam satu rumah tanpa memikirkan keselesaan diri sendiri.
Disebabkan perbelanjaan bulanan terhad apatah lagi dengan bebanan kos tugasan kuliah seharian, keputusan untuk tinggal di sebuah rumah dalam bilangan penghuni yang ramai dianggap antara langkah terbaik untuk berjimat. Apatah lagi berada dalam dunia pengajian, bagi mereka lebih ramai lebih bagus kerana sewa rumah semakin ringan.
Setiap langkah di kota besar menuntut wang ringgit. Tol, parkir, makan minum malah minyak motosikal juga perlu diperincikan. Berbanding di kawasan luar bandar, hidup di bandar raya umpama ‘membakar’ sekurang-kurangnya RM30 setiap hari bagi seseorang penuntut untuk melangkah keluar dari pintu rumah.
Lebih selamat
Apapun masalah yang jelas wujud di depan mata dek ‘rumah sardin’, ramai pula golongan pelajar yang menyangkal masalah berkenaan, sebaliknya menganggap keselamatan lebih terjamin kerana tidak tinggal berseorangan.
Malah kata mereka, duduk beramai-ramai lebih berkesan dalam mengurangkan tekanan kerana dapat kongsi masalah selain mengulangkaji pelajaran bersama teman serumah berbanding tinggal bersendirian.
Hal ini diakui penuntut wanita yang lebih setuju untuk berkongsi bilik lebih daripada seorang. Asalkan rakan sebilik ‘sekepala’ dan tahu tanggungjawab masing-masing, tidak salah sekiranya sebuah rumah tiga bilik didiami lebih enam orang.
Pilih rumah
Peruntukan maksimum RM100 hingga RM150 sebulan untuk membayar sewa rumah dianggap sebagai angka terbaik yang perbelanjaan bulanan yang diperoleh daripada pinjaman PTPTN atau duit poket diberikan ibu bapa digunakan untuk tujuan lain seperti kos pergi balik kuliah, duit makan seharian, peralatan rumah dan bilik mandi, serta duit kopi untuk melepak.
Jenis rumah yang sering menjadi pilihan tentunya flat kerana kadar sewa lebih murah. Menurut mereka, kadarnya lebih mampu dibayar berbanding rumah teres atau kondominium. Namun, ada juga yang memilih apartmen kos rendah dan rumah kedai, semuanya bergantung kepada kemahuan dan cita rasa masing-masing. Asalkan ia berdekatan dengan kuliah dan mudah akses pengangkutan awam, sudah memadai.
Masalah biasa
Berdasarkan rekod Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sehingga akhir 2011, separuh iaitu 800,728 daripada 1.67 juta penduduk Kuala Lumpur adalah golongan belia berumur 15 hingga 40 tahun. Jadi, bayangkan betapa ramai golongan muda di ibu kota ketika ini.
Isu rumah sardin adalah masalah biasa dialami sesiapa saja terutama ketika zaman pengajian. Namun tahukah anda, dari segi luaran, mereka mungkin kelihatan tenang dan berupaya menyesuaikan diri dengan cara hidup sedemikian tetapi di sebalik ketenangan itu, golongan penuntut ini pasti pernah mengimpikan ruang peribadi khusus untuk diri, setidak-tidaknya bilik sendiri.
Di rumah lelaki khususnya, perkara biasa yang sering kelihatan adalah ruang tamu dipenuhi tilam dan meja komputer. Di situlah mereka bermain permainan komputer dan di situ juga mereka tidur.
Kunjungan ke beberapa rumah perempuan pula mendapati kebersihan lebih terjaga, namun kesesakan ruang tiada bezanya. Pantang ada saja bucu yang boleh digantungkan penyangkut baju (hanger), pakaian yang baru dicuci pasti digantung di situ, termasuk di dapur sekalipun. Itu hakikatnya.
Sumber: http://www.hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment