Jual Balik:

Kit Biasiswa:

Koleksi Biasiswa Malaysia 2010

Rahsia Anak Pintar:

Rahsia Anak Soleh:

Jimat elektrik:

mmm

Belajar Bahasa Inggeris:

Nak Berhenti Merokok?

Pertolongan Cemas:

Perfect Slim Diet:

Saturday, October 17, 2009

Pertolongan Cemas Di Rumah

Pertolongan cemas merupakan satu aspek penting dalam sesebuah rumah tangga. Ia merujuk kepada tindakan awal atau pertama yang dilakukan dalam keadaan kecemasan. Dengan perkataan lain, ia merupakan pertolongan cemas terhadap individu tertentu yang cedera atau tidak berupaya, sementara menunggu ketibaan pegawai perubatan ataupun sebelum di hantar ke klinik atau hospital terdekat. Ia mungkin dapat membantu memperbaiki keadaan mangsa atau dapat menyelamat dan menyembuhkan kesakitan yang dialaminya. Walau bagaimanapun, pertolongan cemas tidak boleh dijadikan penggantian kepada penjagaan perubatan sebenar. Ia hanyalah merupakan suatu pertolongan yang dapat diberi sementara bantuan sebenar tiba.

ALAT PERTOLONGAN CEMAS

Alat pertolongan cemas perlu mengandungi beberapa peralatan yang penting untuk digunakan ketika kecemasan.
Ia lazimnya mengandungi:
• Pengesat kain kasa yang steril
• Pembalut kain kasa yang steril dan gulungan kapas
• Plaster pelekat
• Pembalut kenyal
• Pembalut segi tiga
• Termometer (Jangka suhu) klinikal
• Gunting
• Penyepit dengan hujung yang tajam
• Klip atau pin keselamatan
• Ubat sapu seperti krim antigatal, losyen antiseptik dan sebagainya
• Ubat-ubatan untuk penyembuhan dalaman seperti antasid, ubat penghilang kesakitan, ubat melawan demam.

Terdapat pelbagai bahaya dan kecederaan yang mungkin berlaku di dalam sesebuah rumah sekiranya kita tidak berhati-hati seperti luka terbakar, gigitan dan sengatan serangga atau binatang berbisa, tercekik, kekejangan, tulang patah dan sebagainya.

LUKA TERBAKAR DAN MELECUR

Luka terbakar ialah kecederaan pada tisu yang disebabkan oleh suhu tinggi, bahan kimia atau sinaran. Melecur pula terjadi akibat pendedahan terhadap haba lembap seperti wap atau cecair panas.
• Alihkan atau buangkan punca kecederaan tersebut
• Tanggalkan perlahan-lahan pakaian, barang kemas, tali pinggang atau jam dari bahagian yang tercedera kecuali jika ia melekat pada kulit.
• Sejukkan bahagian yang tercedera secepat mungkin dengan merendamkannya ke dalam air sejuk selama 10 - 15 minit.
• Balut bahagian yang tercedera dengan longgar menggunakan pembalut steril atau kain nipis yang serupa dengannya.
• Jangan sapukan sebarang krim, losyen, minyak, salap, mentega atau bahan lemak pada bahagian yang tercedera.
• Jangan pecahkan lepuh yang timbul atau melakukan apa-apa di bahagian berkenaan.
• Jangan menggunakan sebarang pembalut yang melekat atau wul kapas pada luka.

PENDARAHAN

Prinsip asas pengawalan pendarahan ialah menghadkan pengaliran darah ke bahagian yang luka dengan meninggikan bahagian tersebut dan memberi tekanan ke bahagian yang terlibat.
• Tekankan semampatnya kain pembalut yang bersih dan yang boleh menyerap pada luka untuk selama 20 minit. Jika terdapat serpihan benda asing dalam luka, tekan di bahagian kelilingnya.
• Jika tiada tulang yang patah, retak atau terkehel, tinggikan bahagian tersebut sementara mengekalkan tekanan untuk mengurangkan pendarahan.
• Jika pendarahan berterusan, tekan arteri yang berdekatan dengan bahagian luka.
• Cuci bahagian sekeliling luka dengan air sejuk selama 10 - 15 minit dan lapkannya di bahagian tepi luka menggunakan pad atau kasa yang bersih. Pendarahan dari sesetengah luka kecil akan terhenti jika dibasuh dan dibalut dengan kemas.
• Tutup atau balut luka tersebut dengan segera.
• Bungkus mana-mana bahagian yang terputus dalam beg khas dan seboleh-bolehnya masukkannya ke dalam ais.
• Suntikan tetanus mungkin perlu diberi kepada mangsa.
• Jika hidung berdarah, picitkan hidung di bahagian bawah tulang hidung untuk selama 5 minit. Pastikan kepala sentiasa terdongak.
• Jangan berikan sebarang makanan atau minuman.
• Jangan sentuh atau menarik keluar objek atau benda asing yang menusuk luka kerana dikhuatiri akan menyebabkan pendarahan bila dikeluarkan.

GIGITAN DAN SENGATAN

Tanda-tanda dan gejala yang mungkin dilihat ialah bekas gigitan, bengkak dan kesan kemerahan, sakit di bahagian yang terlibat, loya dan muntah, kesukaran bernafas dan menelan, reaksi alahan seperti renjatan dan sebagainya.
• Cuci bahagian yang tercedera dengan air suam dan sabun, atau bahan antiseptik yang lembut.
• Keringkan bahagian berkenaan dengan cermat dengan mengelapkannya bermula dari bahagian luka dan ke luar.
• Jika perlu sapukan losyen Calamine untuk menghilangkan rasa gatal. Tutupkan luka berkenaan dengan pembalut yang bersih dan letakkan plaster.
• Tuamkan dengan ais untuk mengurangkan kesakitan dan bengkak.
• Untuk gigitan berbisa, jangan sekali-kali mencuci, memotong atau menghisap bisa dari bahagian gigitan. Sebaliknya, cuba kurangkan pengaliran darah ke bahagian tersebut.
• Elakkan dari memicit kantung racun kerana ini akan menyebarkan racun berkenaan ke bahagian lain dalam badan.

CEKIKAN

Cekikan berlaku apabila saluran udara tersekat sepenuhnya atau sebahagian sahaja disebabkan tertelan sesuatu objek atau benda. Mangsa biasanya tidak dapat bercakap, batuk atau bernafas. Tujuan utama rawatan adalah untuk melapangkan saluran udara yang tersekat.
• Minta mangsa batuk dengan kuat untuk mengeluarkan objek yang tersekat.
• Jika objek berkenaan dapat dilihat dan mungkin boleh dikeluarkan, cuba keluarkannya dengan menggunakan jari yang bersih.
• Jika mangsa tidak dapat bercakap, batuk atau bernafas, cuba gunakan teknik tepukan belakang. Tepuk belakang mangsa menggunakan tapak tangan dengan 3 atau 4 tepukan yang padu di bahagian antara tulang kipas mangsa.
• Jika mangsa merupakan kanak-kanak kecil, tonggengkannya semasa memberi tepukan.
• Untuk kanak-kanak yang lebih dewasa, semasa memberikan tepukan, sokongkan kepalanya dengan peha dan biarkan mukanya tertunduk ke bawah.
Lonjakan abdomen merupakan satu lagi kaedah yang boleh digunakan untuk merawat cekikan.
• Berdiri di belakang mangsa dan peluk pinggangnya
• Letakkan bahagian ibu jari genggaman tangan anda di tengah-tengah abdomen mangsa.
• Dengan tangan yang sebelah lagi memegang genggaman tersebut, tekannya ke dalam dan luar abdomen dengan cepat dan mampat.
• Untuk mangsa yang tidak sedarkan diri, palingkan mukanya ke atas, duduk melutut dengan mangsa di tengah-tengah dan letakkan pangkal genggaman tangan anda di tengah abdomen dan atas sedikit dari pusat.
• Tekan genggaman tangan tersebut dengan tangan yang sebelah lagi secara naik turun menghala ke kepala mangsa.
• Beri mangsa menyedut air perlahan-lahan selepas halangan tersebut dikeluarkan.
• Jangan gunakan lonjakan abdomen ini pada mangsa yang hamil atau mempunyai berat badan yang berlebihan.

CEKIKAN KERACUNAN

Racun ialah sebarang bahan yang boleh menyebabkan kerosakan jika memasuki ke dalam tubuh. Racun boleh ditelan, disedut, disuntik atau diserap melalui kulit.
Hubungi Khidmat Maklumat Racun dan beritahu mereka jenis racun, jumlah dan bila racun berkenaan diambil.
• Jika mangsa tidak bernafas, berikannya bantuan pernafasan dengan melakukan mampatan dada. Resusitasi (teknik A.B.C) perlu dilakukan sekiranya mangsa masih bernafas, tetapi denyutan jantungnya telah berhenti.
• Jika mangsa tidak sedarkan diri tetapi masih bernafas, baringkannya mengiring dalam kedudukan pemulihan.
• Untuk racun yang disedut, alihkan mangsa dari bahaya ke kawasan yang berudara segar.
• Untuk racun yang diserap, basuh semua sisa-sisa kimia yang tertinggal pada kulit.
• Untuk racun yang ditelan, jangan cuba mencetuskan muntah kerana ini mungkin membahayakan lagi keadaan pesakit.

TERKENA ARUS ELEKTRIK

Pengaliran arus elektrik menerusi badan boleh menyebabkan degupan jantung terhenti, luka terbakar dan renjatan.
• Tutup bekalan elektik
• Putuskan hubungan mangsa dengan sumber elektrik menggunakan kain yang tidak mengalirkan arus elektrik sementara berdiri di atas bahan penebat yang kering.
• Jika perlu mulakan resusitasi atau letakkan mangsa dalam kedudukan pemulihan.
• Rawat sebarang luka terbakar atau renjatan yang berlaku.

PENGSAN

Pengsan ialah keadaan tidak sedarkan diri untuk seketika berpunca dari pengurangan pengaliran darah ke otak yang sementara.
• Jika mangsa telah pengsan tetapi masih bernafas seperti biasa, baringkannya dengan kaki ditinggikan sedikit dari paras kepala.
• Longgarkan pakaian mangsa di bahagian leher, dada dan pinggang untuk memudahkan pernafasan.
• Mangsa patut terus berbaring untuk beberapa minit selepas pulih.

RENJATAN

Gejala-gejala renjatan termasuklah:
• Kulit kelihatan pucat
• Kabur penglihatan
• Kulit lembap atau dingin
• Loya atau muntah
• Pernafasan yang pendek tetapi cepat
• Dahaga
• Denyutan nadi yang lemah dan cepat.
• Keresahan
• Pening atau rasa hendak pitam.

Rawatan
• Baringkan mangsa dan rawat sebarang kecederaan yang ketara atau keadaan-keadaan lain yang telah menyebabkan renjatan
• Tenangkan mangsa
• Longgarkan pakaian mangsa di bahagian leher, dada dan pinggang
• Selimutkan mangsa dengan kain nipis seperti kot atau selimut
• Jika boleh, tinggikan kaki mangsa untuk mempercepatkan pengaliran darah balik ke otak.
• Jika mangsa merasa dahaga, lembapkan bibirnya tetapi jangan memberi mangsa sebarang minuman.
• Berikan mangsa minum teh panas untuk kes-kes renjatan emosi.
Akhirnya, bagi kesemua kes renjatan, dapatkan bantuan perubatan dengan segera selepas memberikan pertolongan cemas. Bagaimanapun, jangan biarkan mangsa bersendirian.

Sumber:infosihat.gov.my

No comments:

Post a Comment

Rahsia Anak Pintar:

Rahsia Anak Soleh:

Belajar Bahasa Inggeris:

Kit Biasiswa:

Koleksi Biasiswa Malaysia 2010

Jimat Elektrik:

Perfect Slim Diet:

Kerja Kerajaan:

Pertolongan Cemas:

Nak Berhenti Merokok?:

Jual Balik:

Artikel Yang Sering Dibaca Pelawat KEKAL SIHAT: