Jual Balik:

Kit Biasiswa:

Koleksi Biasiswa Malaysia 2010

Rahsia Anak Pintar:

Rahsia Anak Soleh:

Jimat elektrik:

mmm

Belajar Bahasa Inggeris:

Nak Berhenti Merokok?

Pertolongan Cemas:

Perfect Slim Diet:

Friday, September 3, 2010

Ubat Tidur

Pengenalan

Ubat tidur merupakan kategori ubat sedatif yang bertindak pada sistem saraf pusat dan menolong mengatasi masalah kesukaran untuk tidur. Terdapat beberapa jenis ubat yang boleh memberikan kesan sedatif. Contoh : ubat antikemurungan, barbiturates dan benzodiazepines. Benzodiazepines merupakan ubat yang selalu digunakan untuk merawat keresahan dan masalah kesukaran untuk tidur. Sesetengah benzodiazepine digunakan untuk melegakan keresahan , 'alcohol withdrawal', 'panic disorders' dan sawan.

Kebanyakan ubat antikeresahan (Contoh: alprazolam, clonazepam, diazepam, lorazepam) boleh membantu masalah kesukaran untuk tidur apabila diberikan pada waktu malam. Kebanyakan ubat hipnotik pula ( Contoh: midazolam, zolpidem) akan memberikan kesan sedatif pada waktu siang.

Komplikasi
Kesan sampingan yang biasa dialami apabila mengambil ubat tidur adalah mengantuk dan rasa pening, hilang tumpuan untuk melakukan kerja dan percakapan yang tidak jelas. Jangan memandu kenderaan jika masih mengalami kesan dari ubat tidur.

Kebanyakan ubat tidur boleh menyebabkan pergantungan pada ubat apabila diambil dalam dos yang tinggi dan pada jangkamasa yang panjang. Apabila keadaan ini berlaku, ia menyukarkan pemberhentian rawatan ubat tidur tersebut. Ubat tidur tidak boleh diberhentikan secara mengejut. Doktor akan menasihatkan bagaimana untuk memberhentikan ubat secara berkala.

Rawatan
Ubat tidur hanya boleh diambil untuk jangka masa yang pendek sahaja. Kesan ubat tersebut akan berkurangan kerana badan anda telah menyesuaikan diri dengan ubat ini.

Langkah Berjaga-jaga
Masalah kesukaran untuk tidur dapat diatasi dengan merawat tingkahlaku secara kognitif
Berikut adalah cara yang boleh digunakan untuk mengatasi kesukaran untuk tidur.

* Pastikan tidur pada waktu yang telah ditetapkan.
* Jauhi minuman berkafein seperti kopi atau teh pada waktu malam.
* Tetapkan waktu yang sesuai untuk bangun pagi.
* Pastikan tempat tidur adalah selesa (tidak terlalu sejuk atau terlalu panas)
* Membaca adalah lebih baik daripada menonton televisyen.
* Masalah sukar untuk tidur adalah masalah yang kerapkali berlaku. Oleh itu, cuba tidur hanya jika benar-benar mengantuk.

Jangan tidur ketika bertugas...
Lain-lain

* Simpan ubat pada tempat yang bersesuaian dan jauhkan daripada kanak-kanak.
* Sila beritahu doktor jika anda mempunyai sejarah ketagihan alkohol dan dadah .
* Beritahu doktor jika anda mengandung kerana sesetengah benzodiazepine (chlordiazepoxide dan diazepam) dilaporkan boleh menyebabkan kecacatan pada anak yang dilahirkan jika diambil pada peringkat awal mengandung ( 3 bulan pertama).
* Beritahu doktor jika anda menyusukan anak kerana ubat ini akan menyebabkan rasa mengantuk dan kesukaran untuk menyusukan anak.

Sumber:http://www.infosihat.gov.my

Anti Kemurungan

Pengenalan
Ubat antikemurungan (antidepresi) ialah ubat yang digunakan untuk melegakan tanda-tanda kemurungan. Ia juga mempunyai kesan penenang. Terdapat empat jenis ubat anti kemurungan iaitu:
  • Trisiklik (Tricyclic)
  • RIMAs (Reversible Inhibitors of Monoamine Oxidase type A)
  • SSRIs (Selective Serotonin Reuptake Inhibitors)
  • SNRIs (Serotonin and Noradrenaline Reuptake Inhibitors)
Bagaimana ia bertindak?
Kemungkinan besar ubat ini menambah aktiviti bahan kimia di dalam otak yang dikenali sebagai pemancar neuro. Pemancar neuro menghantar isyarat dari satu sel otak kepada sel otak yang lain. Bahan kimia yang terbabit dengan kemurungan dikenali sebagai Serotonin dan Noradrenalin.
Bagaimana anda mengambil ubat ini?
  • Ambil ubat setiap hari seperti yang diarahkan. Jangan ubah dos ubat sendiri.
  • Kesan terapeutik ubat hanya boleh dilihat selepas dua minggu, jadi menunggu adalah penting.
  • Kesan sampingan ubat akan berkurangan setelah beberapa lama diambil.
  • Rujuk kepada doktor anda sekiranya kesan sampingan tidak disenangi. Doktor mungkin mencadangkan ubat dari jenis yang lain.
Kesan Mudarat
Trisiklik
Kesan sampingan ubat trisiklik yang biasa adalah kering mulut, menggeletar, peningkatan degupan jantung, sembelit, mengantuk dan kenaikan berat badan. Di kalangan warga emas, ubat ini mungkin menyebabkan kekeliruan, kesukaran untuk membuang air kecil, rasa hendak pitam dan jatuh. Elak dari menggunakan trisiklik sekiranya anda mempunyai masalah jantung. Bagi kaum lelaki, mereka mungkin mengalami mati pucuk atau ejakulasi yang lambat.
RIMAS
Elakkan mengambil ubat RIMAs dengan makanan yang mengandungi Tyramine (contoh: keju, minuman beralkohol, cokelat, dadih, sos soya) kerana ia boleh menyebabkan tekanan darah tinggi. Jika anda mengambil ubat RIMA, doktor atau ahli farmasi akan memberikan anda senarai makanan yang perlu dielakkan.
SSRIs
Kesan sampingan pada perut adalah biasa dan ianya berkait rapat dengan dos ubat. Ini termasuklah rasa mual, muntah, perut tidak selesa (dyspepsia), sakit perut, cirit birit, sembelit, tiada selera makan dan kehilangan berat badan. Terdapat juga kesan sampingan lain yang berkaitan dengan ubat ini.
Sekiranya anda rasa kesan sampingan ini adalah disebabkan oleh SSRI yang anda ambil, sila sahkan dengan doktor atau ahli farmasi.
SNRIs
Kesan sampingan ubat ini adalah serupa dengan SSRIs.
Langkah Berjaga-jaga
  1. Memandu atau menggunakan jentera
Terdapat ubat antikemurungan yang menyebabkan kesan mengantuk dan melambatkan tindakbalas anda. Sila rujuk kepada doktor anda sekiranya pekerjaan anda melibatkan pengendalian mesin atau pemanduan.
  1. Gejala gian
Ubat antikemurungan selalunya tidak menyebabkan ketagihan tetapi sesetengah orang mungkin mengalami gejala gian apabila mereka berhenti menggunakan ubat SSRIs or SNRIs. Kesannya termasuklah perut tidak selesa, gejala selsema, keresahan, pening, mimpi ngeri pada waktu malam dan mengalami sensasi seperti terkena kejutan elektrik. Bagi mengurangkan kesan sampingan ubat ini, doktor akan menurunkan dos ubat secara berkala. Jangan berhenti mengambil ubat ini secara mendadak.
  1. Golongan remaja
Jika mendapat preskripsi doktor, Ubat SSRIs boleh diambil oleh golongan yang berumur di bawah 18 tahun, tetapi dengan lebih berhati-hati.
  1. Kehamilan
Elakkan daripada menggunakan sebarang jenis ubat antikemurungan sewaktu hamil, terutamanya dalam tempoh 3 bulan pertama kehamilan kerana ia menyebabkan risiko kecacatan pada bayi yang bakal dilahirkan. Pada kebiasaannya rawatan alternatif akan dipertimbangkan kecuali dalam keadaan kemurungan yang teruk dan boleh mengancam nyawa ibu atau anak, penggunaan ubat anti kemurungan tidak dapat dielakkan.
Kaedah Penyimpanan
Simpan ubat anda di dalam bekas asal dan ditutup ketat. Simpan pada suhu bilik dan jauhkan daripada kanak-kanak, keadaan panas dan kelembapan yang melampau.

Sumber:www.infosihat.gov.my

Tuesday, August 31, 2010

Ujian Paras Gula Dalam Darah

Pengenalan

Adalah penting bagi anda menjalani ujian paras gula darah sekiranya:

• Anda mempunyai berat badan yang berlebihan
• Anda mengalami kehilangan berat badan mendadak walaupun anda berselera makan
• Ibu atau bapa anda penghidap diabetes
• Anda kerap merasa dahaga, keletihan dan kerap kencing
• Anda kerap kali mendapat kudis dan jangkitan
• Anda mengandung

Sekiranya keputusan ujian paras gula darah anda tinggi, anda berkemungkinan seorang penghidap Diabetes. Diabetes boleh terjadi di kalangan kanak-kanak atau remaja walaupun ia lebih kerap berlaku di kalangan orang dewasa.

Ramai penghidap Diabetes berasa sihat dan hanya menyedari mereka mengidap penyakit Diabetes apabila mereka menjalani ujian paras gula dalam darah.

Bagaimana ujian ini boleh dijalankan?

Terdapat dua cara ujian ini boleh dilakukan:

• Satu tusukan kecil jarum di hujung jari anda akan menghasilkan setitis dua darah. Titisan darah ini akan diletakkan di atas jaluran kertas khas dan dimasukkan ke dalam mesin kecil yang dipanggil glucometer. Dalam beberapa saat sahaja anda akan mengetahui keputusan paras gula darah

• Ujian kedua memerlukan pengambilan beberapa mililiter darah dari salur darah vena di lengan dengan menggunakan jarum yang lebih besar. Darah ini akan dimasukkan ke dalam botol khas dan dihantar ke makmal untuk ujian. Anda boleh memperoleh keputusan ujian ini dalam masa beberapa jam ataupun dalam masa sehari

Anda boleh melakukan ujian ini pada bila-bila masa mengikut keselesaan anda. Ia boleh dilakukan sebelum atau selepas makan.

Di mana saya boleh menjalani ujian?

Anda boleh menjalani ujian ini di:
• Klinik panel keluarga anda
• Di mana-mana poliklinik kerajaan atau pusat kesihatan
• Di farmasi
• Di semua hospital
• Di makmal swasta

Apa keputusan yang teruk?

 Jika keputusan paras gula darah di bawah 7mmol/l itu bermakna anda bukanlah penghidap diabetes. Walau bagaimanapun anda berkemungkinan mendapat Diabetes kemudian hari. Adalah menjadi amalan yang baik jika anda melakukan ujian paras gula darah setahun sekali

 Sekiranya keputusan darah anda melebihi 7mmol/l kemungkinan anda seorang penghidap Diabetes. Doktor anda akan meminta ujian seterusnya dilakukan untuk tujuan pengesahan

Apa yang perlu saya lakukan sekiranya saya mengidap Diabetes?

Ramai penghidap Diabetes boleh hidup dengan normal, sihat dan hidup dalam jangka hayat yang panjang. Belajarlah berkenaan Diabetes dan berjumpalah dengan doktor anda secara berkala. Dengan cara ini anda dapat menguruskan keadaan anda dengan betul.

Bolehkah diabetes dicegah?

Terdapat 2 jenis Diabetes:

Jenis I: Diabetes jenis ini sering terjadi semasa anda masih muda dan mereka yang terlibat perlu mengambil suntikan insulin sepanjang hayat mereka. Buat masa sekarang keadaan ini tidak dapat dicegah.

Jenis II: Jenis ini lebih banyak terjadi dan ianya berkait rapat dengan corak kehidupan seseorang. Mengamalkan cara hidup yang sihat dapat melengahkan terjadinya Diabetes dan mungkin mencegahnya:

• Lakukan senaman setiap hari
• Kurangkan makanan yang manis atau cuba elakkannya
• Dapatkan berat badan yang unggul

Sumber: http://www.infosihat.gov.my

Saturday, August 28, 2010

Khasiat Betik

Buah betik adalah buah yang baik sekali dimakan ketika kita sakit mahupun sihat. Selain dari menjadi sumber makanan yang murah buah betik juga mengandungi khasiat yang tinggi. Boleh dikatakan buah betik mengandungi hampir semua zat makanan yang diperlukan bagi kesihatan tubuh kita.

Betik kaya dengan zat vitamin C. Malahan kandungan vitamin C dalam buah betik adalah lebih tinggi dari yang terdapat di dalam buah limau. Setengah biji buah betik yang sederhana saiznya dapat membekalkan kita 100% keperluan vitamin C dalam sehari.

Buah betik juga mengandungi zat vitamin A dan berbagai jenis zat vitamin B seperti Riboflavin, zat folate dan cryptoxanthin. Zat ini adalah sejenis carotene yang menghasilkan warna bagi isi buah betik. Unsur ini amat penting sekali bagi kesihatan jantung kita kerana ia dapat melindunginya daripada kerosakan.
Selain zat vitamin, buah betik juga mengandungi serat, zat protein dan enzim papain. Enzim papain adalah unsur yang amat berkesan dalam proses penghadaman makanan.

Kebaikan Betik

1) Sebagai tonik tambahan
Memakan betik setiap hari dapat menambahkan tenaga badan dan menjadi sumber pembersih perut yang amat berkesan. Ia amat mujarab bagi menyembuhkan berbagai-bagai gangguan perut dan penghadaman makanan. Jus buah betik ranum, jika dicampur dengan susu dan madu boleh menjadi tonik yang tinggi khasiatnya bagi kanak-kanak yang sedang membesar, wanita yang sedang hamil, wanita yang menyusukan dan kepada mereka yang lemah tenaga kerana sakit.

2) Ubat bagi sembelit dan bawasir
Jika mengalami sembelit cubalah memakan betik. Ia murah lagi selamat. Betik juga penawar yang ideal bagi penyakit bawasir berdarah, Malah menurut para doktor dengan mengamalkan memakan beberapa potong betik selepas makan, bukan saja dapat membantu penghadaman makanan serta membekalkan berbagai-bagai vitamin, zat galian dan serat yang kita perlukan, bahkan dapat menjauhkan kita daripada cacing pita dan kerawit di dalam perut. Ini kerana betik mengandungi unsur yang disebut ‘ anthelmintic’ yang dapat membunuh kuman.

3) Mencegah terjadinya batu di dalam pundi kencing
Sebahagian doktor dan pakar pemakanan mengatakan bahawa buah betik ranum jika dicampur dengan madu asli adalah baik bagi sesiapa yang tidak lawas kencing dan menghidap berbagai-bagai masalah pada sistem kencingnya. Dengan membuang air kecil secara baik, dapat menghindarkan kita dari mendapat masalah batu pada pundi kencing kita.

Pendek kata, betik adalah tonik ideal serta murah jika kita ingin mengekalkan kesihatan jantung, hati, otak, saraf dan darah kita.

Tuesday, August 24, 2010

Ikuti tips sihat dan ceria..


+ Ikuti pola hidup sihat dengan rehat yang mencukupi dan amalan bersenam dengan teratur.

+ Jauhi makanan yang banyak mengandungi lemak atau makanan ringan dan lebihkan buah-buahan dan sayur-sayuran.

+ Minum air putih yang banyak sekurang-kurangnya 4 liter sehari, ianya baik untuk metabolisme dan menghindari penyakit gangguan ginjal.

+ Jauhkan stress. Belajar menenangkan diri. Tarik nafas dengan kiraan 1..2..3..4… simpan dan hembuskan nafas dengan kiraan 1..2..3..4..5..6..7..8 dan ulangi.

+ Ambil vitamin sampingan yang sesuai dengan tubuh agar anda tetap fit.

Monday, August 23, 2010

Kegunaan dan Khasiat Halia


Halia dikatakan ditanam di China sejak berkurun-kurun lamanya. Malah, tanaman itu dikatakan berkemungkinan berasal dari negara tersebut.

Masyarakat di China dipercayai telah menggunakan halia dalam amalan perubatan sejak 2,500 tahun lalu. Mereka bergantung kepada khasiat halia untuk mengatasi pelbagai penyakit seperti masalah kesejukan anggota badan terutama di bahagian tangan dan kaki. Gejala itu berpunca daripada gangguan atau masalah pengaliran darah.
  
Perubatan Moden

Khasiat halia dalam merawat pelbagai penyakit bukan saja diketahui menerusi kaedah tradisional malah dibuktikan oleh pakar-pakar perubatan moden.

Menurut satu laporan, kandungan aktif dalam halia yang dikenali sebagai gingeroles memberi kesan apabila ia meresap ke dalam badan.

Halia atau nama saintifiknya Zingiber officinale dari keluarga zingiberaceae kaya dengan kandungan kalium (125 miligram), fosforus (63mg) dan kalsium tenaga (52 kilokalori) selain protein, karbohidrat, gentian, vitamin C dan niasin.

Perisa Masakan

Di kalangan masyarakat Malaysia, halia bukan saja berkhasiat malah menjadi perisa atau sebahagian daripada ramuan masakan.

Selain berbau harum, campuran halia dalam masakan menjadi pembuka selera makan. Selalunya halia ditumbuk atau dimayang halus, ditumis bersama perencah lain untuk masakan sup, kari, sambal, rendang dan tomyam.



Buang Angin

Dalam perubatan alternatif, halia yang ditumbuk atau air rebusannya digunakan sebagai ubat minum atau sapu.

Seperti yang diketahui umum, air rebusan halia yang dicampur lada hitam boleh menghilangkan angin di perut. Air rebusan ini sesuai untuk wanita yang baru bersalin dan mereka yang mengalami masalah angin seluruh badan.


Banyak Kegunaan

Bagi mereka yang terseliuh anggota badan, halia tua yang ditumbuk halus dan dipupuk di tempat tersebut boleh mengelakkan angin memasuki bahagian berkenaan.

Halia juga boleh mengubati penyakit sendi, cirit-birit, kekurangan tenaga, pening kepala dan demam panas. Selain itu, halia membantu menghadam makanan, mengawal hati daripada kesejukan dan menghilangkan bau busuk mulut.



Pengambilan halia juga mencegah rasa pening dan mual atau motion sickness semasa menaiki kenderaan serta membuang kahak dan lendir yang melekat di halkum.

Halia juga membantu menguatkan tenaga batin iaitu menambahkan air mani.

Sumber: www.sihatselalu.com.my

Kebaikan Halia

Walaupun cuaca di negara sememangnya tidak bersalji, tetapi menikmati teh halia yang panas dan beraroma tatkala hujan lebat sememangnya dapat memanaskan badan di samping memberikan seribu satu ketenangan.

Teh halia sememangnya terkenal dengan segala kebaikan dan juga sebagai penambah perisa kepada banyak hidangan. Walaupun pada dasarnya kelihatan seperti biasa, namun herba ini telah digunakan semenjak sekian lama. Seteguk teh halia pastinya memberikan sensasi dan rasa panas ke seluruh tubuh anda. Sifat panas yang terdapat pada akar halia memberikan lebih banyak fungsi perubatan - sama ada dalam keadaan kering ataupun mentah. Akar halia bertindak sebagai pemanas, salap, julap, pembuka selera makan, perangsang, dan juga penawar yang baik untuk ketidakhadaman. Inilah sebabnya akar halia kering ditanam dan digunakan untuk memulihkan pelbagai penyakit seperti batuk, selesema, loya, muntah - muntah, cirit- birit, radang sendi, senak perut, mabuk laut, kolik, kolera, asma, sakit kepala dan juga anoreksia.

Halia juga digunakan secara meluas di dalam bidang aromaterapi - dengan mengekstrak esen daripada akar halia yang kering, belum dikupas dan masih tertanam. Minyak halia yang telah diekstrak kemudiannya digunakan dengan mencampurkannya dengan minyak kayu cedar, cendana dan patchouli yang menghasilkan bau campuran haruman kayu - kayuan dan herba. Dapatkah anda bayangkan kenikmatan bauan ini sambil mendapatkan urutan belakang yang melegakan?

Salah satu bahan utama di dalam minyak halia adalah oleoresin dan terpenes, yang berfungsi membersihkan limfa, antiseptik, masalah sembelit yang ringan, dan memperbaiki kualiti rangsangan. Menurut kajian, halia telah dibuktikan dapat menurunkan kadar penyerapan kolesterol di dalam hati dan darah, ini bermakna ia mengurangkan kadar kolesterol dalam darah. Kajian juga menunjukkan halia juga dapat mengubati penyakit migrain dan sakit kepala. Kandungan shogoals dan gingerols yang terdapat di dalam halia juga dapat meneutralkan asid di dalam perut, merangsang pengeluaran jus penghadaman dan juga membantu memperbaiki otot - otot penghadaman.

Lain kali jika anda berasa kurang sihat atau menghidapi selesema, cubalah minum segelas teh halia. Menurut kepercayaan masyarakat Cina, tenaga yangyang terdapat pada halia dapat memanaskan paru - paru dan perut. Di bawah adalah resipi teh halia untuk anda cuba:

4 gelas air
2 inci halia segar
Hirisan lemon dan madu ( sebagai penambah perisa )

Kupas dan hiris akar halia. Isikan air ke dalam periuk dan biarkan ia mendidih. Tambahkan sehiris halia ke dalam air yang mendidih. Kecilkan api, tutup periuk dan biarkan selama lebih kurang 15-20 minit, Tapiskan air tersebut, dan tambahkan lemon dan madu sebagai penambah perisa.

Sunday, August 22, 2010

Makanan Rapu Punca Obes

KAJIAN yang dijalankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan pada tahun 2015, kira-kira 2.3 bilion penduduk di seluruh dunia akan mempunyai lebihan berat badan.Manakala 700 juta daripadanya akan mengalami masalah kegemukan yang berlebihan atau obesiti.Namun lebih membimbangkan, kajian juga membuktikan, masalah obesiti di kalangan kanak-kanak semakin menular tahun demi tahun di negara-negara membangun.

Di Malaysia, sehingga tahun lalu, peningkatan kes obesiti yang direkodkan di kalangan keseluruhan kanak-kanak berumur antara 7 hingga 12 tahun adalah sebanyak 10 peratus.Kanak-kanak yang mengalami masalah kegemukan dikatakan berisiko mendapat obesiti dan ini akan menjurus kepada beberapa masalah kesihatan kronik antaranya kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung, kegagalan sistem pernafasan dan perkumuhan serta kanser. Apakah faktor yang menyumbang kepada masalah besar ini di kalangan kanak-kanak?

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan) Kementerian Pelajaran, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim berkata, faktor utama penyumbang masalah obesiti kanak-kanak adalah pengambilan nutrisi tidak seimbang atau makanan dengan kadar banyak atau kurang.

Katanya, kanak-kanak sememangnya gemarkan makanan rapu (junk food) terutama keropok, jeruk dan coklat kerana mereka terpengaruh dengan rasa, pembungkusan dan promosi iklan atau jualannya yang dilakukan pengeluar dan penjual.Noor Rezan berkata, ketika beliau bertugas sebagai guru besar di sebuah sekolah di ibu negara beberapa tahun lalu, beliau melarang keras penjualan makanan ringan di kantin dan pelajar tidak dibenarkan membawanya ke dalam kawasan sekolah.Bagaimanapun, ujarnya, apabila mereka keluar daripada pagar sekolah, mereka masih dapat membelinya kerana ia dijual secara berleluasa di luar."Makanan ringan adalah sejenis makanan yang secara jelas tidak mempunyai nutrisi dan mengandungi banyak perisa tambahan yang menyebabkan seseorang kanak-kanak mengalami obesiti."Pulang ke rumah, ada ibu bapa terutama yang sibuk bekerja akan menyediakan pula makanan segera atau memasak makanan mengandungi gula dan lemak tinggi tetapi rendah vitamin, mineral serta nutrisi penting untuk perkembangan tubuh dan minda anak."Saya nasihatkan ibu bapa sentiasa bertanya kepada anak apa yang mereka makan di sekolah, pantau pemakanan anak, sediakan menu berkhasiat, amalkan diet sepatutnya dan paling penting jangan tanya apa yang anak ingin makan tetapi anda yang menentukannya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Kesihatan Kanak-Kanak Malaysia di The Royal Bintang, Damansara, baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Hal Ehwal Korporat Kumpulan Nestle, Zainun Nur Abdul Rauf dan Presiden Persatuan Nutrisi Malaysia (NSM), Dr. Tee E Siong.Menurut Zainun Nur, program itu dilancarkan sebagai satu usaha bagi menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan kanak-kanak sekolah rendah berusia antara 7 hingga 12 tahun.

Kempen tersebut membabitkan aktiviti seperti kesedaran nutrisi, aktiviti fizikal dan perbincangan, kelas panduan bagaimana meningkatkan pengetahuan, sikap dan amalan nutrisi selain ditunjukkan demonstrasi penyediaan masakan berkhasiat oleh Chef Florence Tan."Pada pelancaran hari ini, kami turut mengadakan bengkel eksperimen iaitu percubaan untuk melihat sejauh mana beberapa ibu bapa dan pelajar yang menyertainya dapat berbincang serta bertukar-tukar pendapat mengenai pemakaran dan gaya hidup anak mereka."Kejayaan bengkel hari ini akan menguatkan usaha kami atau membantu kami memperkemaskan aktiviti sebelum melebarkannya ke sekolah seluruh negara."Program ini pertama kali diadakan di Malaysia tetapi ia sudah dijalankan di beberapa buah negara seperti Argentina, China, Thaiwan, Korea, Singapura, Pakistan, Filipina, India, Mauritius, Jerman, Malta dan Belanda," ujarnya.
Sumber:Utusan Malaysia

Ulser Mulut Boleh Menyebabkan Barah

Kebanyakan daripada kita mesti pernah menghidap ulser. Ia boleh dialami oleh sesiapa sahaja tanpa mengira umur dan jantina tetapi golongon wanita mungkin lebih berisiko kerap menghidapinya terutamanya bagi wanita yang mengandung dan datang haid. Ulser ini biasanya akan pulih dengan sendirinya dan kalau berulang pun tidaklah serius dan juga tidak berjangkit kepada sesiapa di sekeliling.


Ulser ini terjadi adalah kerana jangkitan bakteria di dalam mulut dan selain itu ia juga adalah disebabkan oleh kecederaan fizikal pesakit seperti tergigit bibir, pipi atau tercucuk benda yang tajam. Ulser juga terjadi akibat kekurangan zat makanan, tekanan, kurang rehat atau keadaan mulut yang kotor.

Ulser ialah tompokan putih di dalam mulut. Ia mungkin luka atau kudis yang terdapat di bahagian mulut iaitu di bahagian pipi, mulut dan lidah. Bagi yang pernah menghidap penyakit ini tentunya tahu betapa sakitnya untuk menguyah makanan kerana rasa perit dan sakit bila makanan terkena luka ulser tadi.

Tanda-tanda Ulser

Tanda-tanda anda sedang menghidap ulser mulut :

* Kawasan yang terkena jangkitan atau cedera bewarna merah dan membengkak
* Rasa pedih dan sakit di bahagian yang luka terutama apabila anda sedang menguyah makanan pedas, masin atau panas
* Rasa sakit apabila anda sedang mengosok gigi dan susah untuk membuka mulut
* Hilang selera makan akibat pedih dan sakit di bahagian luka

Langkah Pencegahan

Langkah-langkah awal perlu diambil untuk mencegah/menyembuhkan ulser :

* Minum air yang secukupnya dan kurangkan air yang berasid
* Jauhi makanan yang banyak mengandungi rempah
* Letakkan sedikit ais di tempat luka untuk melegakan sakit
* Elakkan daripada tekanan perasaan


Jika ulser mulut anda masih tidak sembuh malah semakin merebak dalam masa kurang dari 3 minggu, anda mesti segera berjumpa doktor kerana mungkin ulser mulut yang lambat sembuh adalah tanda-tanda awal anda sedang menghidap barah mulut. Pemeriksaan lanjut perlu dilakukan apabila ulser yang dialami agak besar saiz dari biasa iaitu lebih 2 mm, ulser berdarah dan tidak sembuh dalam masa 3 minggu.

Migrain Dan Herba

Migrain ialah satu keadaan di mana sakit kepala terjadi disebabkan oleh aliran darah dan perubahan kimia diotak. Perubahan ini akan menyebabkan arteri yang membekalkan darah ke otak tersekat dan menimbulkan sakit kepala diikuti oleh rasa tidak selesa pada perut, loya dan pening. Ia juga kadangkala menimbulkan kesan pada pandangan dan menimbulkan satu fenomena pada pemandangan yang dipanggil aura.Ia adalah satu keadaan neurologikal yang biasa dialami oleh penduduk negara maju dan membangun. Ia biasa menyerang pada peringkat usia selepas baligh.Migrain ialah sejenis penyakit keturunan dan mempunyai kecenderungan untuk berulang.Wanita mempunyai kecenderungan mengidap migrain yang lebih tinggi berbanding lelaki(75%), kebiasaan sebelum haid dan selepas menopaus.

Adakah anda pengidap migrain? Jika anda mempunyai dua dari simptomsimptom dibawah , bermakna anda juga tergolong dalam golongan domina yang mengidap migrain. Biasakah anda mengalami gejala gangguan saraf seperti gangguan pada pandangan seperti titik buta dan melihat motif seperti zig zag sebelum mengalami sakit kepala?Atau anda seperti melihat sinar cahaya yang amat terang hingga terasa seperti hampir buta dan sesekali melihat objek di hadapan anda mempunyai aura disekelingnya? selalunya gejala ini akan berlaku selama 15 hingga 20 minit dan diikuti oleh sakit kepala yang teruk. Adakah anda biasa mengalami sakit kepala yang teruk dan berdenyut-denyut disebelah atau satu bahagian kepala sahaja? Atau anda biasa mengalami diikuti oleh muntah atau cirit-birit? Biasakah anda merasa amat sensitif dan takut pada cahaya yang terang(fotofobia), merasa amat sensitif pada bunyi(fonofobia) dan merasa amat sensitif pada bau (osmofobia)? Jika anda memang mengalami dua dari gejala diatas bermakna anda berkemungkinan mengalami migrain. Walaubagaimanapun anda perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan atau kesimpulan.

Walaupun begitu sukar untuk menemui penawar yang benar-benar boleh mengubati migrain , keadaan masih boleh dikawal. ubat-ubat dan penawar migraine selalunya membantu pesakit untuk mengurangkan kesakitan dan gejala yang dialami ketika diserang migrain.Artikel ini akan menjurus pada penggunaan herba untuk menangani masalah migrain.

Antara herba yang biasa digunakan untuk merawat migrain atau sakit kepala ialah pokok sembung (blumea balsamifera) dari famili compositae. Bahagian yang digunakan ialah daun dan bahagian atas bunganya.Sejenis bunga yang dipanggil feverfew atau nama saintifiknya chrysanthemum parthenium dari famili compositae juga sesuai dijadikan teh dan di minum dua kali sehari. Selain itu pokok lemuni atau nama saintifiknya vitex trifolia var negundo dari famili verbenaceae boleh digunakan dengan cara merebus enam sudu besar daunya yang telah dipotong halus dan juga bunganya dengan 2 gelas air selama 15 minit. Air ini disejukkan dan ditapis untuk diminum setengah daripadanya dalam selang masa antara 3 hingga empat jam.

Rosemary atau nama saintifiknya rosmarinus offiicinalis dari famili labiatae boleh dijadikan teh dengan cara merebus daunnya yang telah dikeringkan dan biarkan terendam selama 10 minit sebelum diminum. teh ini tidah boleh diminum oleh pengidap epilepsi dan wanita hamil.St john’s wort atau nama saintifiknya Artemisia vulgaris, juga dikenali dengan nama damong maria di Filipina.

Sumber:www.melur.com

Saturday, August 21, 2010

Fungsi Kemoterapi

SESETENGAH orang masih menganggap kemoterapi dan radioterapi sebagai racun yang membuatkan mereka lebih rela mencari rawatan alternatif termasuk tradisional apabila disahkan menghidap kanser terutama pada peringkat awal meskipun ia belum terbukti mampu mengawal dan menyembuhkan penyakit.


Apa itu kemoterapi dan radioterapi?
Kemoterapi ialah ubat anti kanser yang diberi untuk memusnahkan sel kanser, manakala radioterapi pula ialah rawatan radiasi yang menggunakan sinar-X bertenaga tinggi untuk merawat pesakit kanser.


Bagaimana kemoterapi bekerja?
Kemoterapi bertindak dengan memberhentikan atau memperlahankan pertumbuhan sel kanser yang membahagi dan bertambah dengan cepat. Kemoterapi juga boleh mengancam dan merosakkan sel sihat yang membahagi dengan cepat seperti sel pada lapisan dalam mulut atau rambut.

Inilah sebabnya pesakit yang menjalani kemoterapi sering mengalami kesan sampingan mulut kering dan keguguran rambut. Namun kesan sampingan ini hanya untuk sementara dan apabila rawatan tamat, keadaan akan kembali kepada asal. Malah rambut mungkin jadi lebih sihat dan cantik.

Apa yang kemoterapi lakukan?
Tindakan kemoterapi tertakluk pada jenis dan tahap (peringkat) kanser. Ia bertindak untuk:


> Menyembuhkan penyakit - apabila kemoterapi memusnahkan sel-sel kanser dan doktor mengesahkan mereka tidak lagi dapat mengesan kehadiran sel kanser dalam badan pesakit.
> Mengawal kanser - kemoterapi menahan kanser daripada merebak dengan memperlahankan pertumbuhan atau memusnahkan sel kanser yang sudah merebak ke lain bahagian badan. Kini ada ubat kemoterapi bersasaran iaitu tindakannya khusus pada satu-satu bahagian. Selain pertumbuhan sel yang tidak normal, kanser juga boleh menyebabkan pembentukan salur darah baru (yang bercabang daripada salur darah sedia ada) untuk membekalkan oksigen dan zat kepada sel kanser. Ubat bersasaran ini akan bertindak ke atas salur darah baru untuk menghentikan bekalan oksigen dan zat; yang lama kelamaan akan menyebabkan sel kanser mati.
> Membunuh sel kanser yang tertinggal selepas pembedahan atau radioterapi.
> Membantu meningkatkan keberkesanan radioterapi.
> Membunuh kanser yang datang balik (berulang) atau sudah merebak ke lain bahagian badan.

Adakah kemoterapi satu-satunya kaedah merawat kanser?
Secara umumnya rawatan kanser mempunyai tiga peringkat iaitu pembedahan, kemoterapi dan radioterapi. Rawatan diberi mengikut keadaan dan peringkat kanser ketika dikesan. Ada yang hanya memerlukan pembedahan, terutama bagi kanser benigna (tidak merebak) dan dikesan pada peringkat awal. Dalam sesetengah keadaan, pesakit mungkin diberi rawatan radioterapi iaitu radiasi menggunakan sinar bertenaga tinggi.

Ada kalanya pesakit hanya dirawat dengan kemoterapi saja tetapi biasanya dimulakan dengan pembedahan dan kemoterapi. Ada juga yang memerlukan ketiga-tiga kaedah (pembedahan, kemoterapi dan radioterapi). Kemoterapi bertanggungjawab mengecilkan saiz ketumbuhan (kanser) sebelum pembedahan atau radioterapi.

Radioterapi adalah rawatan setempat sama seperti pembedahan iaitu pada anggota terbabit saja. Keperluan radioterapi juga bergantung kepada beberapa keadaan seperti jenis kanser atau ketumbuhan, lokasi, peringkat penyakit dan tahap kesihatan keseluruhan pesakit. Ia boleh diberi bersama kemoterapi atau selepas sesi kemoterapi tamat.

Kanser darah seperti leukemia, hanya boleh dirawat dengan kemoterapi. Begitu juga dengan kanser payu dara. Hingga kini rawatan terbaik untuk kanser payu dara ialah kemoterapi, sama ada dengan atau tanpa hormon.

Kaedah rawatan gabungan (pembedahan dan kemoterapi) memberi manfaat kepada semua pesakit sehingga berumur 70 tahun dan kesannya lebih ketara pada pesakit yang berumur kurang 50 tahun. Kemoterapi dengan hormon pula mampu mengurangkan serangan semula kanser sehingga 50 peratus dan merendahkan kadar kematian sebanyak 28 peratus.

Adakah semua ubat kemoterapi sama?
Tidak. Ada yang bentuk cecair (diberi secara suntikan) dan pil (oral atau makan). Jenis ubat kemoterapi yang digunakan di negara kita ialah:
> Vinorelbine (dalam bentuk suntikan dan oral untuk merawat kanser payu dara dan paru-paru)
> Etoposide (ubat suntikan dan oral bagi pelbagai jenis kanser seperti paru-paru dan kanser tisu lembut (sarkoma)
> Capecitabine (ubat oral untuk merawat kanser payu dara dan kanser usus peringkat awal)
> UFT (ubat oral - bagi kanser usus dan paru-paru)
> Temozolamide (ubat oral untuk kanser otak)
> Cyclophosphomide (ubat suntikan dan oral bagi kanser payu dara, tetapi jarang digunakan)
> Methotrexate (ubat lama tetapi masih digunakan)
Keberkesanan ubat suntik atau oral adalah sama. Jika ubat diperlukan ada dalam kedua-dua bentuk, doktor akan membuat pertimbangan berdasarkan keadaan pesakit. Jika pesakit takut jarum atau keadaannya tenat, dia boleh diberi ubat oral.

Mana lebih baik, ubat oral atau suntik?
Keberkesanan ubat oral atau suntik intravenus (disuntik ke dalam salur darah) adalah sama. Jika ubat diperlukan ada dalam kedua-dua bentuk, doktor akan membuat pertimbangan berdasarkan keadaan pesakit. Jika pesakit takut jarum atau keadaannya tenat, dia boleh diberi ubat oral.

Ubat suntikan hanya boleh diberi di hospital dan ini memaksa pesakit berulang alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Kelemahan ubat suntik pula ialah ia menyebabkan kesakitan pada bahagian disuntik, ubat terkeluar dari salur darah, sukar mencari salur darah, risiko jangkitan, pendarahan (apabila suntikan tidak dilakukan dengan berhati-hati) dan pesakit perlu datang ke hospital. Pun begitu ubat suntikan masih memainkan fungsi penting dalam rawatan kanser kerana lebih murah, banyak pilihan dan doktor dapat memastikan pesakit menerima ubat pada waktu tepat.

Ubat oral bukan saja memudahkan pesakit mengambil ubat, malah menjimatkan masa dan kos perjalanan kerana ia boleh diambil di rumah. Bagaimanapun pesakit perlu memastikan ia dimakan mengikut jadual dan tahu apa yang perlu dilakukan jika mengalami kesan sampingan.

Ubat oral juga ada kesan psikologi positif kepada pesakit kerana hospital biasanya membuatkan seseorang berasa lebih ‘sakit’. Pengambilan ubat oral di rumah bukan saja memudahkan pesakit, tetapi menenangkan fikirannya daripada terlalu memikirkan dia adalah pesakit kanser.

Kumpulan yang tidak sesuai menjalani kemoterapi:
> Pesakit yang ada alahan
> Pesakit yang ada masalah kurang darah kerana kemoterapi akan menyebabkan jumlah sel darah merah dan putih menurun. Jadi kemoterapi tidak diberi kepada pesakit yang ada masalah kekurangan platelet (komponen darah yang penting).

Dalam keadaan ini, rawatan akan ditangguhkan sehingga paras platelet pesakit mencapai tahap tertentu. Inilah sebabnya darah pesakit perlu diuji setiap kali sebelum diberi ubat kemoterapi bagi memastikan mereka benar-benar kuat untuk menerima rawatan dan mengelak sebarang kemungkinan.

Adakah anda boleh bekerja dalam tempoh rawatan kemoterapi?
Ya, kebanyakan pesakit boleh bekerja jika mereka berasa selesa. Bagaimanapun ia bergantung kepada jenis pekerjaan anda. Berbincanglah dengan majikan mengenai perkara ini.

Adakah kesan sampingan menandakan rawatan (kemoterapi) berkesan?
Tidak. Anda tidak boleh memberitahu sama ada kemoterapi berkesan berdasarkan kesan sampingan. Sesetengah orang fikir kesan sampingan yang teruk menandakan kemoterapi itu baik atau tiada kesan sampingan bermakna rawatan tidak berkesan. Hakikatnya, kesan sampingan tiada kaitan dengan keberkesanan rawatan.

Apa yang anda perlu tahu sebelum menerima sebarang rawatan kanser?
> Peluang kejayaan setiap jenis rawatan.
> Sasaran kemo atau radioterapi bagi kanser yang dihidapi.
> Kaedah rawatan lain untuk mendapatkan kesan sama.
> Bagaimana untuk mengetahui sama ada terapi itu berkesan.
> Jika tidak berkesan, apa kaedah rawatan lain.
> Kesan sampingan dan bandingkan dengan rawatan lain.
> Kaedah, kekerapan dan tempoh rawatan.
> Persediaan untuk menerima rawatan dan mengurangkan kesan sampingan.
> Adakah anda perlu menjalani pembedahan, kemoterapi, radioterapi atau semuanya sekali? Jika perlu, mengapa?
> Keputusan yang dijangkakan bagi setiap rawatan.
> Kosnya dan adakah ia termasuk dalam perlindungan insurans?
Sumber:www.hmetro.com.my

Sakit Tengkuk Kronik

JIKA sakit tengkuk anda berlarutan melebihi enam bulan, anda mungkin mengalami sakit tengkuk yang kronik. Awas, jangka masa yang panjang ini memberi isyarat bahawa anda sedang mengalami penyakit yang serius. Serius kerana kesakitan kronik ini bakal membunuh kehidupan anda. Kesakitan kronik bakal menjejaskan produktiviti dan fungsi harian anda.
• Sakit otot dan fasia yang kronik (sindrom miofasia)
• Saraf leher yang tersepit
• Artritis dari sendi faset
• Cakera tergelincir
• Saraf tunjang yang tersumbat (stenosis spinal)
• Tulang belakang (vertebra)
• Urat/ligamen

Apakah penyebab kesakitan tengkuk yang kronik?
• Proses penuaan seperti spondilosis, cakera tergelincir dan stenosis spinal
• Penyakit artritis atau sindrom sendi faset
• Postur yang salah ketika bekerja
• Kecederaan pada masa lampau seperti kemalangan jalan raya
• Osteoporosis
• Penyakit kanser pada tulang belakang
• Struktur tulang belakang yang abnormal (skoliosis)
• Tekanan dan kebimbangan yang berpanjangan

Penyebab sakit tengkuk kronik yang paling kerap berlaku ialah cakera tergelincir, stenosis spinal dan sindrom sendi faset. Walaupun penyakit ini dikategorikan oleh penuaan, tapi trend sekarang menunjukkan penyakit ini sudah mula dihidapi orang muda. Maknanya orang sekarang mengalami proses penuaan yang cepat tanpa kita tahu puncanya.

Biasanya kesakitan ini akan disusuli dengan sakit otot sindrom miofasia yang menambah kesengsaraan dan rasa sakit pada leher. Bagi doktor yang mahir beliau boleh menganggarkan peratus yang disumbangkan oleh punca yang berbeza ini.
Punca sakit yang berbeza memberi rasa sakit yang berlainan. Rawatan khusus untuk penyakit diatas sudah pun saya bincangkan dalam artikel keluaran lepas.

Apakah gejala yang mungkin anda alami?
Jenis kesakitan pada leher berbeza-beza bergantung pada penyebab atau diagnosis kesakitan. Ia boleh bermula dengan rasa tidak selesa sehinggalah kepada kejang, mencucuk, berdenyut atau panas yang menjejaskan pergerakan ketika memusing, mendongak atau menunduk pada sendi leher.

Selain sakit tengkuk, gejala sampingan lain ialah pening yang berpunca dari belakang kepala yang naik ke ubun-ubun biasanya berlaku dalam penyakit sindrom sendi faset. Ramai pesakit saya yang menerima rawatan migrain disebabkan diagnosis yang salah oleh doktor terdahulu. Gejala sampingan lain seperti rasa hanyut, bengang telinga dan kabur mata biasanya disebabkan sindrom miofasia otot leher atau tengkuk serius.

Sakit otot miofasia biasanya membabitkan otot tengkuk, bahu dan belikat yang amat sakit apabila dipicit. Gejala sindrom miofasia ini sukar dikenal pasti dan dirawat doktor biasa. Anda mungkin mengalami gejala sakit mencucuk atau kebas yang turun bahu, lengan atau tangan. Rasa sakit yang mencucuk, renjatan elektrik, kebas atau panas pada leher yang turun ke tangan adalah sakit yang berpunca dari saraf yang tercedera atau tersepit.

Ini selalu berlaku dalam cakera tergelincir, stenosis spinal atau sindrom 'thorasic outlet'. Dalam keadaan yang lain penyakit sindrom miofasia pada otot leher juga kerap memberikan gejala sakit yang menjalar turun ke tangan; menyerupai sakit cakera tergelincir.

Anda juga mungkin akan mengalami gejala kelumpuhan atau lemah pada otot tangan atau bahu anda jika penyakit ini sudah mencapai tahap yang serius. Sudah pastinya keadaan ini akan menjejaskan produktiviti dan fungsi harian anda.

Apakah isyarat bahaya berkait dengan sakit tengkuk yang kronik?
Tidak kira apa punca kesakitan anda, berikut adalah gejala yang biasanya dirasai oleh pesakit jika keadaan yang serius. Ini bermakna anda perlu mendapatkan pemeriksaan dan rawatan doktor pakar dengan segera.
• Tangan dan jari yang tiba-tiba jadi lemah. Contohnya tidak mampu menyidai kain di ampaian.
• Tangan dan jari yang mulai rasa sejuk dan kebiruan.
• Rasa sakit yang bertambah kuat dan tidak dapat dikawal dengan ubat tahan sakit atau ubat saraf.
• Pening yang serius atau selalu pitam.
• Kabur mata, telinga berdengung, loya dan muntah.
• Kurang berat badan secara mendadak

Apa yang anda dapat lakukan?
• Sentiasa aktif dan bergerak, tapi jangan paksa pergerakan jika terlalu sakit.
• Jangan berurut yang membabitkan manipulasi tulang atau sendi tengkuk
• Pakai alat sokongan kolar leher jika diberikan doktor. Tapi jangan pakai semasa memandu kereta kerana ianya mengehadkan pergerakan kepala.
• Berjumpa doktor pakar seperti pakar kesakitan kronik, ortopedik atau pakar saraf. Ini penting untuk memastikan punca kesakitan anda. Saya nasihatkan anda dapatkan pendapat kedua jika mahukan kepastian diagnosis dan pelan rawatan.
• Rawatan fisioterapi dan terapi cara kerja juga memainkan berperanan dalam mengawal rasa sakit dan mengelak kecederaan berterusan pada leher anda. Anda juga akan diberitahu tentang aktiviti yang patut dibuat dan dielak bergantung pada jenis penyakit anda.
• Senaman regangan dan kekuatan otot leher dan bahu. Ini boleh dipelajari jika anda berjumpa pakar sakit kronik atau fisioterapi.
• Makan ubat penahan sakit, ubat saraf atau ubat penenang seperti yang diarahkan doktor.
• Rawatan suntikan oleh pakar kesakitan kronik. Pelbagai kaedah suntikan boleh diberikan bergantung jenis penyakit anda. Contohnya suntikan epidural steroid, suntikan epiduroplasti, suntikan gelombang radio, suntikan rangsangan titik pada otot yang sakit. Sebahagian rawatan suntikan ini adalah pilihan kepada rawatan pembedahan tulang tengkuk.
Sumber:www.hmetro.com.my

Friday, August 20, 2010

8 Tips Keluarga Bahagia

1. PUJI - Setiap pasangan perlu saling memuji antara satu sama lain dalam semua aspek kehidupan seperti masakan atau ucapan terima kasih apabila diberi pertolongan.

2. PELUK- Pasangan suami isteri hendaklah selalu peluk memeluk antara satu sama lain sekerap mungkin pada setiap hari kerana pelukan itu adalah belaian penuh kasih sayang.

3. PENGHARGAAN- Amalan memberi hadiah boleh menambah kasih sayang.

4 PERHATIAN- Mesti diambil berat kerana kekurangan perhatian boleh mengakibatkan pasangan terasa diabaikan.

5. PERSEFAHAMAN- Memerlukan pasangan lebih bertolak ansur dan memahami kerjaya masing-masing.

6. PERGAULAN- Pasangan suami isteri mesti menjaga pergaulan masing- masing dengan orang lain bagi mengelakkannya daripada melampaui batas, menimbulkan cemburu seterusnya membawa kepada pembabitan orang ketiga.

7. PERCUTIAN- Perlu merancang percutian berdua-duaan dengan pasangannya di tempat yang jauh daripada kesibukan dan kehidupan rutin.

8. PERMOHONAN- Doa kepada Allah supaya merapatkan kasih sayang antara pasangan suami isteri serta dijauhi daripada godaan kemewahan dan keseronokan dunia.

Rahsia Anak Pintar:

Rahsia Anak Soleh:

Belajar Bahasa Inggeris:

Kit Biasiswa:

Koleksi Biasiswa Malaysia 2010

Jimat Elektrik:

Perfect Slim Diet:

Kerja Kerajaan:

Pertolongan Cemas:

Nak Berhenti Merokok?:

Jual Balik:

Artikel Yang Sering Dibaca Pelawat KEKAL SIHAT: