Jual Balik:

Kit Biasiswa:

Koleksi Biasiswa Malaysia 2010

Rahsia Anak Pintar:

Rahsia Anak Soleh:

Jimat elektrik:

mmm

Belajar Bahasa Inggeris:

Nak Berhenti Merokok?

Pertolongan Cemas:

Perfect Slim Diet:

Sunday, August 28, 2011

Jerawat

Jerawat adalah masalah anak remaja tetapi ia juga melibatkan orang dewasa. Jerawat terjadi bila kelenjar minyak mengeluarkan terlalu banyak minyak dan sebum di kulit terutamanya di muka, dada dan belakang. Punca jerawat boleh disebabkan oleh pelbagai faktor. Faktor hormon adalah penyebab utama jerawat bagi wanita dalam lingkungan umur subur.  Majoritinya adalah dalam lingkungan belasan tahun dan awal 20-an. Faktor seperti ahli keluarga yang banyak jerawat juga memainkan peranan. Penggunaan pil perancang, ubat steroid, vitamin B12, kosmetik, pakaian yang ketat atau apa saja yang menutup liang minyak menyebabkan masalah jerawat.  Sebahagian jerawat timbul dari ketegangan dan tekanan emosi yang dihadapi setiap hari. Ini mungkin dari penghasilan minyak dan sebum di kulit yang bertambah dan terdedah kepada asap dan bahan kimia atau faktor alam sekitar seperti cuaca panas. Kebanyakan jerawat akan hilang sendiri jika kulit sentiasa bersih dan sihat.  Tetapi sesetengahnya boleh menjadi teruk dan kronik.  Jerawat juga disebabkan oleh masalah gula dalam darah, radang kulit yang kronik dan juga stres yang melampau. Untuk pengetahuan anda, banyak jenis makanan yang boleh memburukkan lagi keadaan kulit anda yang sedia bermasalah dan seterusnya menyebabkan pertumbuhan jerawat.  Contohnya, jerawat akan tumbuh jika anda kekurangan tidur, menyedut udara yang tercemar dan juga menghadapi tekanan yang teruk akibat kerja dan hal peribadi. Jadi elok adik dapatkan rehat yang secukupnya kerana jerawat mungkin timbul dari perasaan tertekan dan bermasalah yang juga secara tak langsung boleh menganggu aturan tidur seseorang.

Monday, June 20, 2011

Tips Pencegahan Jenayah Rompak, Samun dan Pecah Rumah

1. Jangan biarkan anak-anak tidur di ruang tamu seorang diri (Mereka mungkin menggunakan anak sebagai tebusan).

2. Kunci atau sorokkan semua pisau-pisau yang terdapat di dapur sebelum tidur (Kesemua kes kecurian di dapati pisau hilang dan menurut polis mereka akan mencari pisau dahulu sebelum mencuri bertujuan untuk melindungi diri mereka).
 

3. Sekiranya terdengar/terlihat paip air di luar rumah terbuka pada tengah malam (pukul 12 ke atas), jangan keluar rumah untuk menutup paip tersebut kerana ini adalah taktik terbaru mereka di mana mereka telah menunggu
diluar pintu rumah untuk masuk (Kes terbaru berlaku di Dungun dan PJ).
 

4. Beritahu anak-anak sekiranya hendak ke tandas (jika tandas jauh) di waktu tengah malam, kejutkan ibubapa untuk bersama mereka.
 

5. Jangan simpan barang-barang kemas di dalam almari baju (Cara lama...).
 

6. Bawa alarm kereta bersama semasa tidur, kalau terjaga tengah malam, cuba "on and off" kan balik untuk menakutkan pencuri (Menandakan kita sentiasa peka).
 

7. Tekan butang merah alarm kereta anda jika anda mengesyaki pencuri sudah masuk ke dalam rumah.
 

8. Sekiranya terlihat orang asing yang mencurigakan di kawasan rumah anda, sila dapatkan plet no motor/kereta mereka (Selalunya mereka ini naik motor dan mereka ni biasanya berdua, setiap kali kita lalu depan
mereka, mereka akan menundukkan kepala).
 

9. Pesan dengan jiran, sekiranya ada sesiapa yang datang ke rumah anda dan mengaku saudara anda bertujuan untuk mengambil barang-barang, jangan benarkan, beri nombor telefon pejabat kepada jiran supaya mereka boleh memaklumkan pada anda.
 

10. Semasa tidur, pastikan handphone anda berada di sisi atau pastikan juga Cordless Phone anda berada di sisi anda ataupun sambungkan satu extension dalam kamar tidur anda. Ini memudahkan anda membuat
panggilan kecemasan sekiranya anda terasa kehadiran pencuri di dalam rumah anda.
 

11. Adakan senarai nombor telefon kecemasan 999 seperti polis, bomba , 991 atau sebagainya. Pastikan nombor-nombor ini disimpan dalam handphone anda. Kalau boleh, hafal nombor tersebut. Ini memudahkan
anda untuk membuat sebarang panggilan telefon.
 

12. Kalau berkemampuan, pasangkan alat pengesan kecurian di rumah atau automatik alarm.
 

13. Lampu porch & lampu belakang rumah sebaiknya jenis automatik ,ia akan menyala bila malam, baik semasa kita ada di rumah atau pergi makan angin.
 

14. Kalau perlu mengambil cuti panjang,sentiasa memberitahu jiran2 anda supaya mereka dapat membantu menyimpan surat dlm mail box. Peti surat yg penuh membantu pencuri menghidu ketiadaan tuan rumah.

15. Kalau kawasan anda kerap berlaku kecurian, buat permohonan rasmi dari Balai Polis berdekatan supaya ada anggota polis buat rondaan yang kerap di kawasan anda.
 

16. Kereta PROTON merupakan kenderaan yang paling mudah dicuri. Kalau kereta anda baru dibeli, sekurang-kurangnya anda perlu mengunci gear & stering sebelum tidur (Sebenarnya masih boleh dicuri, tetapi ia dapat membantu melambatkan pencuri).
 

17. Kalau ada anak-anak perempuan, sebaik-baiknya pintu biliknya dikunci dari dalam (Sebab ada pencuri yg mengambil kesempatan seksual) dan anda perlu ada kunci pendua sekiranya berlaku kebakaran.
 

18. Sekurang-kurangnya simpan kayu hoki atau baseball di bawah katil anda buat mempertahankan diri dari pencuri yang ganas.
 

19. Jangan letak kunci bawah pasu bunga/mail box/alang pintu/tepi tingkap bila keluar (Pencuri dah lama tau taktik ni...). Lebih selamat beri pada jiran yang kita kenal rapat.
 

20. Kalau menyewa di rumah baru, pastikan anda menukar padlock baru,kerana mungkin penyewa terdahulu
masih mempunyai kunci pendua.
 

21. Kurangkan pendedahan dan pergaulan anda dengan pekerja asing.

Sunday, April 10, 2011

Pencetus Strok

PERNAHKAH anda berdepan situasi jantung tiba-tiba berdegup kencang, berpeluh, dada merasa seperti dihimpit, pening, loya, hendak pitam, sukar bernafas dan letih tidak semena-mena. Jika ini terjadi anda mungkin mengalami masalah Fribilasi Atrial (Atrial Fribillation) atau keadaan di mana jantung berdegup secara tidak sekata iaitu terlalu pantas atau terlalu perlahan.
Apa yang menakutkan, tiada tanda-tanda jelas yang boleh mengesan awal masalah Aritmia atau rentak jantung tidak sekata ini. Malah orang yang mengalaminya punya lima kali ganda kemungkinan diserang angin ahmar berbanding mereka yang tidak mengalaminya. Angin ahmar atau istilahnya serangan otak, yang dikaitkan dengan masalah FA adalah lebih serius dan dikaitkan dengan lebih banyak kehilangan upaya diri berbanding angin ahmar yang bukan disebabkan FA.

Menurut Pakar Runding Kardiologi dan Presiden Majlis Stroke Malaysia, Dr Razali Omar FA berlaku apabila isyarat elektrik gagal diterima menyebabkan ruang atas jantung (Atria) berdenyut pantas dan tidak sekata. Ini menyebabkan darah memenuhi ruang ini. Memandangkan degup yang tidak sekata tadi ia gagal mengepam semua darah ke bahagian bawah jantung (Ventrikel), menyebabkan jantung gagal berdegup dengan efektif.

“Orang yang mengalami FA, punya lima kali ganda lebih mungkin menghidap angin ahmar berbanding mereka tanpa FA,” katanya ketika pembentangan kertas kerja mengenai Angin Ahmar yang dikaitkan Fribilasi Atrial sempena kempen mencegah 1 Misi 1 Juta - Mendalami Punca Strok.

Mengikut kajian, 15 juta kalangan dewasa Amerika Syarikat menderita serangan angin ahmar setiap tahun, 5 juta mati akibatnya manakala 5 juta lagi hilang upaya diri secara kekal. Keadaan ini bukan saja memberikan kesan buruk kepada keadaan kewangan negara tetapi juga membabitkan hal penjagaan.

Menurut Pakar Runding Neurologi dan Presiden Majlis Neurosains Malaysia, Dr Hamidon Basri, kajian terbaru juga menunjukkan sejumlah 5.7 juta kes angin ahmar berlaku di negara membangun seperti Malaysia disebabkan meningkatnya beban akibat kerancakan perkembangan ekonomi dan transisi epidimiologi.

“Di Malaysia, 10,000 kes baru dikesan setiap tahun di mana 50 peratus daripadanya memerlukan penjagaan sepenuh masa akibat hilang upaya diri kekal,” katanya pada majlis anjuran bersama Boehringer Ingelheim, Majlis Strok Malaysia dan Majlis Neurosains Malaysia baru-baru ini.

Jenis angin ahmar terbahagi kepada dua kategori utama iaitu Iskemia dan pendarahan. Iskemia biasanya diakibatkan oleh bekuan darah yang melekat pada salur darah (trombosis), atau oleh bekuan darah yang bebas (embolisme). Pendarahan pula boleh berbentuk pendarahan dalam otak atau di bawah membran tengah antara tiga membran di dalam otak. Hampir 80 peratus daripada semua angin ahmar diakibatkan oleh Iskemia.

Beza usia bagi mereka yang mengalami serangan otak di rantau Asia dengan bangsa kulit putih juga mengejutkan iaitu mengikut kajian, orang Asia mengalami masalah ini 10 tahun lebih awal berbanding orang kulit putih.

“Keadaan ini amat membimbangkan, ketika ia melanda populasi kulit putih pada usia lanjut, sebaliknya di Asia ia dialami peringkat umur yang masih muda dan produktif serta punya tanggungan keluarga,” katanya menambah satu lagi faktor meningkatnya jumlah angin ahmar akibat tabiat melengah-lengahkan rawatan kerana serangan tidak serius dan lebih selesa berjumpa bomoh mahupun berubat sendiri.

Bila serangan lebih serius berlaku, semuanya sudah terlambat kerana pesakit hanya punya masa tiga hingga empat jam untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya. Selain itu faktor tidak tahu tanda awal, tinggal sendirian, jauh dari hospital, kesesakan lalu lintas dan hospital tanpa kemudahan yang lengkap menjadi antara penghalang.

75 peratus pesakit datang lewat ke hospital, 65 peratus tidak tahu mengenai tanda awal, 78 peratus bergantung pada keluarga seperti tunggu anak balik, dapatkan pendapat lain dan sebagainya. Angin ahmar mengambil masa yang lama untuk menyerang untuk itu, pencegahan harus bermula dari peringkat awal seperti melakukan aktiviti fizikal, selain mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Info: Kenali angin ahmar dengan F.A.S.T

• Face - cuba senyum, jika sebelah muka seakan bengkok atau jatuh individu ini mungkin mengalami angin ahmar
• Arms - angkat kedua belah tangan, jika ada kesukaran dengan salah satu, ia mungkin satu petanda.
• Speech - cuba bercakap. Jika sebutannya tidak jelas atau tidak boleh bercakap, ia juga satu tanda
• Time - sekiranya mana-mana satu simptom ini muncul, hubungi 911 segera bagi memastikan pesakit tiba di hospital dengan pantas.

Cegah Angin Ahmar dengan:

• Kawal kencing manis
• Kawal tekanan darah
• Kawal tahap kolesterol
• Berhenti merokok
• Bersenam.

Sumber: Berita Harian

Saturday, April 9, 2011

Ergonomik

Bidang ergonomik merupakan satu kajian tentang hubungan antara faktor anatomi, psikologi, dan fisiologi manusia dengan persekitaran kerjanya yang melibatkan penggunaan peralatan. Ianya harus mengutamakan ciri-ciri keselamatan, keselesaan, kecekapan pengendalian alatan serta tidak memudaratkan kesihatan manusia. Menurut kamus oxford, ergonomik bermaksud suatu kajian saintifik tentang hubungan antara pekerja (manusia) dengan persekitaran mereka.

Istilah ergonomik diambil daripada perkataan Greek iaitu ‘Ergos’ yang memberi maksud kerja atau tugas, dan digabungkan dengan perkataan ‘Nomos’ yang bermaksud peraturan atau undang-undang. Dengan kata lain, ergonomik ditakrifkan sebagai penggunaan sains biologi dengan mengaitkan sains kejuruteraan untuk mencapai penyesuaian yang optima di antara manusia dengan kerjanya dan manfaatnya diukur dalam bentuk kecekapan, keselesaan, keselamatan serta kesihatan manusia semasa berkerja.

Ergonomik bertujuan untuk memastikan supaya sesuatu kerja atau peralatan yang digunakan serta persekitaran tempat kerja tersebut boleh disesuaikan dengan keadaan tubuh manusia. Dengan ini ia dapat memaksimakan keselesaan pekerja, keselamatan, produktiviti dan kecekapannya.

Tuesday, March 15, 2011

Telefon Bimbit Rosakkan Sperma?

Golongan lelaki mungkin perlu berhati-hati apabila menyimpan telefon bimbit di dalam poket seluar selepas ini berikutan dakwaan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bahawa tindakan itu boleh membawa kesan kepada sistem reproduktif mereka.


CAP mendakwa perbuatan menyimpan telefon bimbit di dalam poket seluar yang sering dilakukan kaum lelaki menyebabkan mereka berdepan risiko kerosakan sperma serta mati pucuk. Presidennya, S.M. Mohamed Idris berkata, keputusan itu berdasarkan hasil kajian pihaknya tahun lalu yang menunjukkan kaitan di antara sperma yang berkualiti rendah dengan tempoh penggunaan telefon bimbit dalam sehari. Jelas beliau, hasil kajian itu menunjukkan pengguna yang membuat panggilan lebih daripada empat jam sehari mempunyai bilangan sperma yang paling kurang dan paling rendah kualitinya. "Penemuan itu menyarankan bahawa berjuta-juta lelaki di dunia kemungkinan menghadapi kesukaran untuk menjadi bapa kerana penggunaan telefon bimbit yang meluas.

"Oleh itu, penggunaan telefon bimbit secara berlebihan menjadi satu faktor yang menyumbang kepada penurunan bilangan sperma selain obesiti, merokok, stres, pencemaran dan bahan kimia yang mengganggu hormon," katanya pada sidang akhbar di pejabat CAP di sini hari ini. S.M. Mohamed berkata, lelaki yang membawa telefon bimbit yang diletakkan di bahagian tali pinggang atau dalam poket dengan 'keypad' mengarah ke luar pula akan menghadapi kesan yang tinggi kerana antena berada di belakang dan lebih hampir dengan tubuh. Katanya, wanita yang sering meletakkan telefon bimbit di dalam beg sandang yang tergantung di sebelah payu dara turut mendapat kesan terhadap kesihatan dalamannya.

Beliau mendakwa pihak pengeluar alat komunikasi itu sendiri telah mengeluarkan peringatan mengenai risiko penggunaannya terhadap kesihatan pengguna. "Misalnya, syarikat Apple dalam buku panduannya telah memberi amaran kepada pengguna agar menjauhkan Iphone dalam jarak sekurang-kurangnya 15 milimeter daripada tubuh. "Syarikat Blackberry pula menasihatkan pelanggannya supaya menggunakan telefon bimbit bebas wayar atau menjarakkannya seinci dari tubuh wanita hamil dan bahagian bawah perut remaja. Bagaimanapun, pengguna masih tidak mempedulikan kesan yang akan mereka tanggung itu," katanya.
Justeru, S.M. Mohamed menggesa para pengguna supaya tidak menggunakan telefon bimbit kecuali dalam kes-kes kecemasan dan sekiranya perlu gunakan pembesar suara pada jarak 20 sentimeter dari kepala.
Sumber:Utusan.com.my

Friday, February 25, 2011

Minum Ais Dan Kesannya


Sama ada pada waktu panas terik atau tidak, minuman sejuk atau berais memang menjadi pilihan masyarakat negara ini tidak kira usia. Biarpun menyedari minuman sejuk tidak begitu elok untuk kesihatan, masih ramai yang memandang remeh mengenai amalan itu kerana belum merasai kesannya. Sejak akhir-akhir ini, ramai yang menerima e-mel daripada rakan atau individu yang menyarankan amalan itu dihentikan kerana ia mungkin boleh menyebabkan banyak penyakit berbahaya. Bunyinya memang menakutkan kerana minuman sejuk dikatakan punca kegemukan selain turut dikatakan boleh menyebabkan serangan penyakit jantung.

Bagaimanapun, Pakar Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Tropicana, Dr Haizal Haron Kamar, menjelaskan tiada sebarang kajian yang membuktikan amalan minum minuman sejuk boleh membekukan makanan berminyak, memperlahankan penghadaman sekali gus menyebabkan lemak berkumpul dan menyempitkan salur darah lalu menyebabkan serangan jantung. Kata Dr Haizal, pembentukan plak di dinding pembuluh darah koronari melalui proses aterosklesoris antara lain disebabkan oleh kandungan darah kolesterol yang berlebihan.

Jelasnya, sebahagian daripada kolesterol berkenaan datang daripada lemak pemakanan yang dihadam dan diserap oleh usus. “Bagaimana kita boleh mengaitkan minuman sejuk dengan penyakit jantung kerana secara logiknya, minum air sejuk boleh memperlahankan penghadaman yang secara langsung mengurangkan lemak dan kandungan kolesterol dalam darah. “Memang sehingga kini tiada kajian atau sebarang bukti untuk menyokong pendapat berkenaan,” katanya. Menurut Dr Haizal, pesakit jantung atau yang pernah menjalani pembedahan jantung juga tidak mempunyai masalah jika mengambil minuman sejuk.

“Apa yang penting di sini bukan minuman itu sejuk atau tidak. “Setiap individu yang berpenyakit atau tidak, perlu minum air kosong sekurang-kurangnya lima gelas sehari. “Terdapat satu kajian di Amerika Syarikat membabitkan lebih 20,000 orang mendapati mereka yang minum air kosong untuk jumlah sedemikian setiap hari mempunyai risiko mati akibat penyakit jantung yang lebih rendah berbanding mereka yang minum dua gelas atau kurang sehari. “Jenis minuman selain daripada air kosong pula boleh meninggikan risiko terbabit,” katanya.

Daripada sudut kecantikan pula, minuman sejuk atau berais harus dijauhi wanita kerana ia dapat menjejaskan kesihatan kulit dan dalaman. Pengasas Jamu Mak Dara, Halimah Shuib, berkata wanita tidak kira yang sudah berkahwin atau belum, perlu mengelakkan minuman sejuk atau berais jika mahu menjaga kecantikan kulit wajah, dalaman dan luaran mereka. 

Kata Halimah, walau bagaimana haus sekali pun, minuman sejuk perlu dijauhkan sebaliknya perlu mengambil air suam meskipun pada waktu tengah hari. “Jika kita mengamalkan minuman berais, badan mudah menjadi kembang dan selain itu, tulang juga mudah berasa sakit dan bisa. “Masalah berkenaan mungkin kurang dirasai ketika muda remaja dan hanya mula dirasai apabila menginjak usia 40 tahun ke atas,” katanya. Bagi wanita yang sudah berkahwin pula, Halimah turut menasihatkan supaya jangan sesekali mengamalkan minuman sejuk kerana ia menjejaskan kesihatan dalaman serta menyejukkan peranakan. Halimah berkata, penyakit hari ini senang singgah pada badan, tetapi ia amat susah untuk pergi iaitu disembuhkan. Justeru, amalan pemakanan sihat dengan membanyakkan minum air kosong atau air suam amat penting kerana ia dapat meneutralkan kembali makanan yang diambil. Jelas Halimah, berdasarkan pengalamannya, individu yang selalu minum air batu atau sering berada dalam pejabat atau rumah yang menggunakan penyaman udara, kulit mereka biasanya kelihatan kering dan tidak bermaya. Amalan minum minuman sejuk atau berais juga dikatakan boleh menyebabkan perut mudah buncit. Katanya, orang tua sering berpesan supaya jangan makan berselang dengan minum kerana ia juga akan menyebabkan perut menjadi buncit.

“Amalan menghirup sup ketika makan nasi juga tidak digalakkan kerana sup juga seperti air, boleh menyebabkan perut membuncit. “Jika minum air, pastikan anda duduk dan jangan sesekali minum berdiri kerana air itu akan terus mengalir ke bahagian peranakan dan menyejukkannya.

“Memang wanita banyak pantang larang terutama dalam aspek pemakanan dan ia tidak boleh dipandang remeh kerana kesannya boleh dirasai selepas melepasi usia 40 tahun. Justeru, paling elok untuk diamalkan ialah air suam atau air kosong saja selain banyakkan makan sayuran,” katanya. Selain itu, minuman sejuk juga tidak elok diberi kepada kanak-kanak kerana ia menyebabkan mereka mudah mengalami batuk, bibir kering atau pecah dan mudah diserang demam. “Ibu bapa perlu memantau amalan berkenaan kerana kanak-kanak memang menggemari minuman sejuk. “Jika kita sayangkan mereka, berilah air kosong kerana ia sememangnya lebih baik untuk kesihatan mereka,” katanya.

Rahsia ais dan air sejuk
■ Air sejuk yang hening dapat menolong pesakit insomnia (sukar tidur) agar dapat kembali tidur seperti biasa.
■ Orang yang tidur dalam udara yang sejuk dan berselimut untuk memanaskan tubuhnya adalah kombinasi yang baik untuk menjaga kesihatan secara menyeluruh dalam jangka masa pendek apatah lagi jangka panjang.
■ Liputan ais di Antartika (daerah Kutub Selatan) dan Artik (daerah Kutub Utara) adalah pengimbang dasar bumi yang amat panas.
■ Kombinasi dalam bumi yang panas dan luaran bumi yang sejuk adalah rahsia keseimbangan tekanan semula jadi alam yang mengawal graviti dan pergerakan bumi pada paksinya.
■ Ais atau air sejuk dapat mengembalikan memori atau sifat pelupa yang keterlaluan.
■ Ais amat diperlukan mana-mana atlet dalam kecederaan yang tidak disangka-sangka,
■ Air sejuk atau ais kini dijadikan bahan perencat kepada kecederaan yang akut seperti demam panas yang biasanya dihidapi bayi yang mempunyai potensi menghidapi penyakit sawan.
■ Air sejuk adalah terapi yang amat popular sebagai penguat tulang yang patah dengan syarat ia dibalut dengan kain hitam.
■ Air sejuk dalam rahsia cuka adalah sangat baik untuk menguatkan tulang yang patah kerana ia dapat menyembuhkan tulang dengan lebih cepat.
■ Air suam dengan rahsia cuka yang diminum akan melemahkan dan mengecutkan sistem aliran darah yang menjadi penyebab utama terjadinya lumpuh.
■ Makruh mengambil air sembahyang (wuduk) pada suhu yang tinggi atau yang terkena panas cahaya matahari yang pasti akan mengganggu sistem deria pada kulit.
■ Air sejuk secara psikologinya amat ditakuti pesakit yang mengalami gangguan jin atau dikuasai unsur spiritual yang jahat.
■ Air sejuk mempunyai nada bunyi dalam tekanan rendah yang amat lembut lagi mengharmonikan.
■ Air sejuk juga dipercayai dapat menguatkan tulang bayi.
■ Air sejuk akan meningkatkan sistem imun yang luar biasa sebagai tenaga pencegahan pelbagai penyakit alahan dan jangkitan.
■ Air sejuk dalam rahsia ais memegang rahsia kepadatan molekul kristal yang paling keras iaitu intan.
■ Air sejuk adalah kuasa penyerap yang amat sesuai dijadikan sistem penghantaran tenaga yang paling cekap sehingga ke dasar sel yang jauh dan menyeluruh.
■ Air sejuk mempunyai daya rangsangan yang boleh mengembalikan semangat yang sudah hilang bagi mereka yang pengsan, gila dan koma untuk kembali sedar.
■ Mandi air sejuk akan menguatkan tulang. Tulang yang berlebihan dengan asid urik akan meningkatkan suhu tulang.
■ Air sejuk lebih stabil molekul atomnya.
■ Air sejuk lebih peka kepada gelombang frekuensi rendah yang dirakamkan melalui niat dalam amalan berwuduk.
■ Air sejuk sesuai dijadikan air penawar kepada orang yang ingin merakamkan bunyi dalaman yang disertai dengan rasa kasih sayang dan keikhlasan.
■ Air kelapa muda bersifat sejuk dan amat baik untuk kesihatan kerana ia berkesan untuk meneutralkan kesan keracunan dan keasidan yang berlebihan di dalam aliran darah. Tubuh secara semula jadi bersifat panas dan ia memerlukan pasangan yang bersifat sejuk.
■ Oksigen dan hidrogen bersifat panas dan ia menguasai bahagian perut. Menjadi suatu kesalahan memulakan amalan pemakanan di waktu pagi dengan unsur yang panas. Minumlah seteguk air sejuk pada awal pagi kerana ia akan menguatkan perut.

Tuesday, February 15, 2011

Seks Hebat Selepas Usia 50?

Sekadar hiasan...
TIDAK ramai yang mahu memperkatakan tentang seks selepas menopaus (bagi wanita) dan lelaki yang mencecah usia 50 tahun. Kalangan masyarakat timur yang terikat dengan budaya dan agama, seks bukan topik yang boleh dibual bicara secara bebas. Apatah lagi seks pada usia emas.

Tentu ada segan dan silu mahu bercakap tentang isu itu lantaran pada usia emas, ramai yang percaya seks bukan sesuatu yang penting. Malah, ada wanita yang terus meminggirkan seks biar pun hakikatnya ruang dan waktu untuk bersama pasangan amat terbuka luas selain tidak lagi ‘diganggu’ anak-anak yang telah dewasa. Lain pula ceritanya bagi lelaki. Usia bukan faktor, walaupun ada istilah andropaus untuk merujuk kepada ‘kebolehan’ mereka tetapi lelaki selalu mendakwa ‘boleh’ tidak kira berapa usia.

Hakikatnya seks pada usia emas tidak hanya terbatas di ranjang. Kemesraan, belaian, jalan berpimpin tangan serta saling mencurahkan perasaan mesti terus dipupuk. Tanggapan bahawa seks dan usia emas tidak lagi berjalan seiring menjadi salah satu punca kadar perceraian di kalangan warga emas semakin meningkat.
Lantaran kekosongan waktu tidak diisi, kesunyian tidak dirawat menjadikan usia emas ‘titik’ pemula kepada pasangan suami isteri memulakan hidup baru dengan memilih untuk bersendirian atau mencari ‘teman’ baru.
Seperti mana kita sering melihat pasangan warga emas dari Eropah terutamanya menghabiskan usia tua melancong sambil mengembalikan kehangatan ‘bercinta’, itulah sebenarnya salah satu cara untuk memastikan rumahtangga yang dibina kekal ke akhir hayat.

Kajian Pengarah San Diego Sexual Medicine Alvarado Hospital, Irwin Goldstein mendapati seks yang paling hebat di muka bumi ini adalah selepas usia 50 tahun.

Tentu timbul persoalan benarkah begitu dan mengapa?
“Anda tidak perlu risau didatangi haid, anak-anak di dalam rumah dan boleh mengadakan hubungan seks di mana-mana bilik yang anda suka,’’ katanya.
Menurut seorang lagi penyelidik, seks semasa usia 40-an bukannya tidak hebat, tetapi wanita masih terikat dengan jadual menyediakan makan tengah hari, ‘berperang’ dengan karier dan paling penting mengelak daripada hamil.
“Usia 40 ke 50 ada titik kebimbangan bagi kebanyakan wanita kerana mereka masih boleh hamil.
‘‘Apabila menopaus kebimbangan itu lenyap,’’ kata profesor perubatan, fisiologi dan biofizik University of Colorado Health Science Center, Denver.
Fikirkan, tanpa tampon, pelapik seluar dalam, pil, diafgram, IUD atau kondom, apa lagi yang lebih teruja selain menikmati seks tanpa ada rasa kecamuk di dalam fikiran.
Selepas berusia 50 tahun, kemungkinan anak-anak mengganggu mana-mana sesi ‘bilik tidur’ atau mengejutkan anda di tengah malam amat jarang berlaku. Semestinya keadaan itu merupakan peluang yang ditunggu-tunggu kebanyakan pasangan suami isteri dalam proses mendapatkan kepuasan daripada hubungan seks yang mereka jalin.

Tiada gangguan, jawapannya seks berlangsung secara ‘aman’, tidak juga perlu melakukannya dalam keadaan terburu-buru atau berhati-hati.
Faktor itu dilihat oleh Profesor Madya Amanda Richards yang juga pakar perbidanan di University of Miami Miller School of Medicine sebagai amat penting.
‘‘Anak-anak semakin berdikari dan pasangan suami isteri mempunyai lebih masa untuk diri dan hubungan mereka sendiri,’’ katanya.
Ingat watak Mrs. Robinson dalam siri The Graduate pada tahun 1960-an? Warga emas tahu apa yang mereka mahukan semasa di kamar tidur dan tidak segan silu untuk berterus terang mengenainya.
Kesihatan kurniaan Allah swt perlulah dijaga...

“Menopaus adalah masa yang amat penting bagi kebanyakan wanita. Ramai yang sedar mereka telah mengetepikan kepentingan seksualiti sejak sekian lama, dan jika kesempatan yang ada tidak digunakan sepenuhnya, tidak akan ada peluang lagi untuk mereka.

“Terdapat data menunjukkan wanita semakin relak dan selesa dengan pasangan masing-masing apabila meningkat usia. Keadaan itu boleh menambah baik prestasi seksual mereka,’’ kata Dr. Richard dalam satu jurnal kesihatan.

Jika nafsu seks merupakan satu masalah, pengurusan hormon yang kini banyak ditawarkan di klinik-klinik boleh membantu. Sementara penggunaan terapi penggantian hormon secara tradisional yang mengandungi estrogen dan progestin tidak lagi digalakkan kerana risiko terhadap kesihatan dan jantung, masih ada pilihan lain.

Terapi hormon yang mementingkan testosterone telah diuji dan dikaji sebagai salah satu cara untuk merangsang nafsu tanpa kesan sampingan. Memang benar perubahan hormon semasa pertengahan usia boleh menyebabkan kekeringan vagina.Tetapi keadaan itu boleh dijadikan alasan untuk mencuba dan melalui pengalaman baru yang lebih menarik hasil penggunaan cecair pelincir yang direka khas untuk mengatasi masalah tersebut

“Kekeringan vagina selepas menopaus akan mendorong wanita bereksperimen dengan cecair pelincir yang direka khas untuk membantu merehatkan otot-otot sekeliling bagi menikmati seks selepas menopaus,’’ kata Dr. Richard. Selain gangguan anak-anak, nafsu dan hormon, usia 50 tahun adalah masanya untuk menikmati faedah sebenar selepas dibelenggu pelbagai hutang untuk membeli rumah serta kenderaan yang selesa.
Anda boleh melakukan hubungan seks di mana-mana saja yang anda inginkan di rumah yang bukan lagi milik bank.

Pada usia tersebut juga kedudukan kewangan pasangan semakin kukuh, oleh itu menikmati makan malam mewah dan romantik pastinya mampu merangsang keinginan untuk hubungan yang lebih intim.
Pastinya, wanita menopaus tidak lari daripada dilanda stres. Tetapi pada usia tersebut, anda tidak akan berasa tertekan disebabkan oleh kerja seperti mana ketika berusia 20an, 30an dan 40an. Wanita menopaus selalunya telah mencapai kemuncak kerjaya, justeru mereka kurang berasa tertekan. Tekanan atau stres mempunyai kesan negatif kepada keinginan seksual. ‘‘Salah satu mimpi ngeri banyak wanita menopaus bukannya kebebasan untuk mengadakan hubungan seks di mana sahaja tetapi mempunyai pasangan yang tidak boleh ‘beraksi’ di mana-mana sahaja,’’ kata Dr. Goldstein.

Apa juga masalah - ejakulasi pra-matang, kegagalan erektil dan hormon yang rendah - sentiasa ada rawatan susulan daripada dunia perubatan moden yang boleh membantu menyelesaikan masalah tersebut.
‘‘Wanita menopaus kebiasaannya mempunyai pasangan yang lebih berusia, di mana, jika mahu dikaitkan dengan soal ‘prestasi, lebih bersifat terbuka dan bersedia menggunakan pelbagai kaedah untuk mendapatkan pengalaman seksual yang lebih memuaskan,’’ kata Dr. Richard.h
Sumber:Utusan.com.my

Sunday, February 6, 2011

Tangani Tekanan Di Pejabat


DUNIA pekerjaan memberi pengaruh yang cukup terkesan dalam kehidupan. Apa tidaknya satu pertiga daripada kehidupan seharian diluangkan di tempat kerja. Keadaan ini, jika bijak dikawal akan meningkatkan produktiviti dan motivasi kepada seseorang, tetapi jika sebaliknya akan memberi impak negatif kepada diri sendiri.

Pakar Psikiatris di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari menjelaskan, tekanan sebenar yang dihadapi di tempat kerja merupakan tindak balas fizikal, emosi dan juga mental seseorang terhadap sebarang perubahan atau tuntutan kerja. Biarpun ia bukan satu penyakit kronik, namun begitu, jika tekanan adalah tinggi dalam jangka masa yang panjang ia boleh menjejaskan kesihatan dan kreativiti. ''Banyak implikasi negatif berlaku apabila seseorang tidak dapat mengawal tekanan kerjanya. Panas baran, murung, gelisah, kelesuan, resah, ketakutan dan hilang tumpuan adalah antara kesannya. "Keadaan ini jika dibiarkan akan memudaratkan diri sendiri serta kesihatan," katanya. Ujarnya, kebiasaan pekerja yang tertekan akan menunjukkan ciri-ciri negatif kepada dirinya, malah dari sudut produktiviti kerja pula turut terjejas sehingga boleh menjejaskan motivasi seseorang itu.

Dalam laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, tekanan di pejabat dilabel sebagai 'Penyakit' abad ke-20 dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga melaporkan bahawa tekanan ialah Epidemik Dunia.  Malah WHO juga menjangkakan bahawa tekanan di tempat kerja merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada semua lima penyakit utama di dunia iaitu penyakit jantung, kemurungan melampau, kemalangan jalan raya, strok dan penyakit paru-paru yang kronik menjelang tahun 2020.

Di Malaysia, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (1996) menunjukkan kadar prevalen kemurungan ialah pada 11 peratus, kejadian bunuh diri yang tinggi iaitu 2,000 orang setahun dengan purata 7 orang sehari dan 13.7 peratus remaja Malaysia khususnya pelajar menghadapi masalah kesihatan berkaitan mental. Ditanya apakah punca utama sehinggakan berlaku tekanan di tempat kerja, Dr. Muhammad Muhsin menjelaskan pelbagai faktor boleh mendorong seseorang itu menjadi tertekan. Antaranya suasana kerja, persekitaran yang bising, interaksi dan pelbagai lagi.

Selain itu, situasi tekanan dengan tugasan yang diberikan oleh majikan juga mendorong seseorang itu lebih tertekan. ''Keadaan ini menyebabkan pekerja berasa bosan untuk datang bekerja sehingga menyebabkan dia suka mengasingkan diri daripada pekerja-pekerja lain,'' ujarnya. Situasi ini juga akan mendorong untuk pekerja itu menjadi malas ke pejabat sehinggakan merasakan dirinya tidak sesuai dengan tugasan yang diberikan kerana terlalu rendah taraf atau terlalu terbeban. Bagaimanapun ketika ditanya mengenai strategi untuk mengurangkan tekanan di pejabat, beliau menjelaskan, pelbagai cara boleh digunakan, bagaimanapun ia bergantung kepada diri seseorang itu. ''Bagi sesetengah individu bersukan boleh melegakan tekanan yang dihadapi namun bagi sesetengah orang pula meluah atau berkongsi cerita kepada seseorang adalah cara terbaik untuk melegakan tekanan yang di hadapi.


''Semua ini bergantung kepada diri seseorang bagaimana dirinya untuk melepaskan perasaan itu," jelasnya. Katanya lagi, bercuti juga mampu memberikan kelegaan kepada pekerja itu kerana melupakan seketika masalah yang dihadapi. Bagaimanapun dalam masa sama, cubalah berkongsi cerita dengan orang yang paling rapat dengan kita antaranya seperti suami, ibu bapa atau rakan.
Katanya, melalui perkongsian cerita itu ia mampu mengalihkan perasaan tertekan dan juga marah itu menjadi reda. Bagaimanapun, bagi yang beragama Islam digalakkan juga untuk bermunajat kepada Allah dengan berdoa atau melakukan solat-solat sunat. Selain itu, tegasnya, kehidupan yang sihat adalah sesuatu cara yang paling baik untuk menyelesaikan masalah tekanan. ''Tidak salah kalau kita bahagikan masa antara kerjaya dan juga diri sendiri kerana pengurusan masa yang betul mampu memberikan ketenangan pada seseorang,'' ujarnya serius.
Sumber:Utusan.com.my

Look at the 3 pictures. The more the figures are moving, the more stressed are you.
Tests among murder-convicted people has shown that the first eight "circles" are moving very fast round

Tuesday, February 1, 2011

Petua Berlari

Teknik larian yang betul melibatkan kedudukan badan, dari kepala hingga hujung jari kaki.

1. Kepala
- Kekalkan kedudukan asal
- Elakkan melihat ke bawah

2. Bahu
- Berlari dengan bahu di belakang dada, bukan depan
- Longgarkan bahu serta tenang

3. Dada
- Halakan dada ke depan
- Angkat dada dan pamerkan gaya 'bangga' anda

4. Lengan
- Elakkan menghayun tangan ke kiri atau ke kanan
- Gerakkan tangan mengikut arah larian anda
- Rapatkan siku ke tubuh untuk kelihatan aerodinamik
- Longgarkan jari dan tangan

5. Pinggul
- Jangan hayun kiri atau kanan seperti seorang model
- Pinggul seolah-olah mengetuai bahagian yang lain, paling depan

6. Kaki
- Jangan berlari dengan kaki ke depan
- Kaki harus sama lurus dengan pinggul

Petua umum

- Jangan lompat atas atau bawah, bayangkan anda terapung
- Cari rentak pernafasan yang sesuai untuk anda, bernafas melalui mulut
- Panaskan badan terlebih dahulu dan sejukkan badan sebelum berhenti
- Badan sentiasa berada dalam keadaan hidrat (cukup air)
- Jangan berlari ketika kenyang atau lapar
- Untuk menambahkan kekuatan otot paha dan betis, anda boleh menarik tayar.

Sumber: http://martialarts.com.my

Friday, January 28, 2011

Senaman Menarik Nafas


Tarik nafas melalui hidung...
Menarik Nafas secara betul merupakan sejenis senaman merehatkan minda dan badan yang paling mudah. Dengan hanya menarik nafas secara betul, ianya boleh melepaskan tekanan badan dan melapangkan fikiran, selain daripada meningkatkan kesihatan fizikal dan mental.

Pada masa tekanan perasaan berlaku, kita akan hanya menyedut udara secara ringkas dan singkat. Keadaan ini lazimnya kita tidak sedari. Perbuatan demikian mengurangkan bekalan oksigen yang kita ambil dan boleh menyebabkan stress bertambah. Untuk mengurangkan tekanan ini, cubalah teknik berikut;

1. Tegakkan badan anda (bak kata orang ... duduk secara mendada....) hhehe.. INGAT!! duduk tegak adalah PENTING!!

2. Letakkan kedua tangan anda di perut (atas pusat)

3. Tarik nafas perlahan-lahan menggunakan hidung, sambil tangan menekan perut (lepas ni kosong la perut)

4.  Tahan nafas anda dalam kiraan 2-5.. (ikut la kemanpuan sendiri...) kang biru pulak muka... kalau nak lebi mudah, tekan perut sedikit..

5. Lepaskan udara secara perlahan-lahan... perlahan......lahan... (nikmati saat tersebut...) 

Kebiasaanya melepaskan udara lebih lama daripada menyedut udara... (Psst..jgn yg lain terlepas pula - jenuh menghidu.. :)

6.  Lakukan beberapa kali...

7. Boleh juga dilakukan secara baring.... lebih nikmat dan membolehkan  tidur anda lebih lena....

Saturday, January 15, 2011

Petua Mengelakkan Demam


Demam adalah tindak balas normal badan terhadap sebarang jangkitan dan penyakit-penyakit lain. Ia bukanlah satu penyakit tetapi gejala yang selalunya menandakan anda mempunyai penyakit-penyakit yang ringan (tidak serius). Suhu badan normal adalah 37°C, jika melebihi tahap ini anda akan disahkan demam.

Satu petua yang diamalkan oleh orang-orang dahulu adalah seperti berikut:

Amalkan mandi dengan menjirus dari bahagian bawah iaitu kaki sebelah kanan dahulu. Kemudian diikuti kaki sebelah kiri, lalu naik sedikit demi sedikit hingga ke paras lutut, peha, pinggang, dada dan bahu. Apabila kesemua bahagian bahu ke bawah sudah basah maka barulah menjirus bahagian kepala. InsyaAllah dengan izin Allah swt anda jarang atau payah untuk mengidap penyakit demam. Jika anda belum mengamalkan petua ini, ada baiknya anda mencubanya. Sekiranya demam berterusan, sila berjumpa doktor.

Rahsia Anak Pintar:

Rahsia Anak Soleh:

Belajar Bahasa Inggeris:

Kit Biasiswa:

Koleksi Biasiswa Malaysia 2010

Jimat Elektrik:

Perfect Slim Diet:

Kerja Kerajaan:

Pertolongan Cemas:

Nak Berhenti Merokok?:

Jual Balik:

Artikel Yang Sering Dibaca Pelawat KEKAL SIHAT: