Pages

Saturday, October 5, 2013

Karakter Tidur

Diriwayatkan daripada Barra’ bin ‘Azib r.a, Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu hendak tidur di tempat pembaringan, kamu hendaklah berwuduk seperti wuduk untuk solat. Kemudian hendaklah kamu baring di lambung kanan kamu.”
Hadis ini mengajar kepada umat Islam supaya baring mengiring sebelah kanan.
Adapun tidur dengan cara yang lain adalah seperti tidur meniarap. Ada fakta mengatakan yang seseorang tidur meniarap di atas perutnya selepas tempoh yang tertentu akan merasai kesusahan untuk bernafas kerana beratnya gumpalan belakang badan yang besar yang menghalang dada daripada meregang dan mengecut ketika menghembus dan menyedut nafas. 

Kedudukan seperti ini juga menyebabkan kesukaran pernafasan yang boleh mengganggu jantung dan otak. Pengkaji dari Australia menyatakan yang berlaku peningkatan kematian kanak-kanak kepada tiga kali ganda apabila mereka tidur meniarap dibandingkan jika mereka tidur di lambung kanan atau kiri.

Majalah Times melaporkan kajian di Britain menunjukkan peningkatan kadar kematian mengejut kanak-kanak yang tidur meniarap.

Tidur telentang pula akan menyebabkan pernafasan dengan mulut kerana mulut akan terbuka ketika menelentang disebabkan regangan rahang bawah. Sepatut dan seeloknya hidung yang bernafas kerana ia terdapat bulu-bulu dan hingus menyaring udara yang masuk dan banyaknya saluran darah disediakan untuk memanaskan udara.

Bernafas dengan mulut lebih menyebabkan seseorang itu terkena selsema di musim sejuk dan juga menyebabkan keringnya gusi yang akhirnya menyebabkan radang.

Tidur mengiring ke kiri pun tidak elok kerana jantung ketika itu dihimpit oleh paru-paru kanan yang mana ia lebih besar daripada paru-paru kiri. Ini memberi kesan pada tugas jantung dan mengurangkan kecergasan jantung lebih-lebih lagi kepada orang tua. Seperti mana perut yang penuh ketika itu akan menekan jantung.

Perbandingan di antara tidur mengiring ke kanan dan tidur mengiring ke kiri mengikut kajian yang dilakukan menunjukkan bahawa makanan yang lalu daripada perut kepada usus berlangsung di antara 2.5 hingga 4.5 jam apabila orang yang tidur mengiring ke kanan. Manakala orang yang tidur mengiring ke kiri memerlukan masa di antara lima hingga lapan jam bagi proses yang sama.

Bagaimanapun tidur yang terbaik adalah dengan kedudukan mengiring ke kanan kerana paru-paru kiri lebih kecil daripada sebelah kanan. Ini menyebabkan jantung menanggung benda yang lebih ringan. 

Hati juga akan dalam kedudukan tetap stabil dan tidak tergantung. Perut akan bertenggek di atasnya dengan baik. Ini memudahkan untuk mengosongkan makanan dari perut selepas proses penghadaman.

Ada pula fakta lain berkaitan tidur mengikut gaya dan maknanya. Umpamanya anak muda atau individu yang tidur gaya bayi. Majoriti wanita tidur dengan gaya ini dan mereka dikatakan lebih tahan lasak, tapi agak sensitif dan ada kalanya pemalu. Golongan ini juga dikatakan mudah dipujuk.

Jika tidur dengan posisi mengiring dengan kedua belah tangan tetap di sisi badan, bermakna orang ini adalah seorang yang bersosial dan mudah bergaul dengan rakan-rakan yang mudah dipercayai.

Gaya tidurnya mengiring sama ada ke kiri atau ke kanan dengan kedua-dua belah tangan di depan badan. Siapa yang tidur dengan gaya ini dikatakan seorang yang berfikiran terbuka tapi pada masa sama suka bersikap sinis, jenis syak wasangka dan degil tanpa mahu mendengar kepada keputusan dibuat.

Gaya ini lazimnya tidur terlentang dengan gaya tangan seperti berpeluk tubuh. Golongan ini dikatakan suka menyendiri, agak pendiam, tidak cerewet dan memandang tinggi pada diri sendiri dan orang lain. 

Golongan ini berpotensi untuk mengalami dengkuran kerana posisi belakang badan yang rata. Mungkin cara tidur seperti ini membuatkan mereka kerap bangun malam tetapi cara tidur seperti ini sebenarnya bukanlah begitu merehatkan.

Golongan yang gemar tidur meniarap dengan tangan di bawah bantal atau tangan diselubungi bantal dan kepala mengiring ke kiri atau kanan, dikatakan orang yang kurang suka menerima kritikan. Golongan ini juga dikatakan sukakan aktiviti luar dan agak tergopoh-gapah dalam tugasan harian mereka.

Gaya tapak Sulaiman adalah gaya tidurnya telentang sambil tangan atau lengan diletakkan di atas kepala dan dahi dikenali sebagai orang yang prihatin dan suka mendengar. Golongan ini juga gemar membantu dan tidak suka jika segala perbuatan mereka diberi penghargaan. Boleh dikatakan golongan ini menghadapi masalah dengkur dan tidur yang tidak lena setiap malam.

Sumber: hmetro.com.my

Beringat Sebelum Kena

Jenayah dan kes ragut di Malaysia terutamanya di ibu negara semakin membimbangkan. Ada kes ibu sedang sarat mengandung, terbunuh semasa kejadian ini, ada yang cedera parah, muka ditoreh dengan pisau cukur ketika melawan peragut dan bermacam-macam lagi.
Realitinya peragut tidak mengenal mangsa dan mereka jauh lebih kejam dan tidak punya hati perut berbanding binatang. Kalau dinamakan peragut, wanita tidak perlu membawa beg tangan pun boleh diragut kerana itu memang kerja dan mata pencarian mereka sehari-hari. 
Walaupun kaum lelaki juga menjadi mangsa, tetapi jumlahnya sedikit dibandingkan wanita. Sebelum ini, kita digemparkan kejadian di mana peragut menjadikan seorang wanita hamil sebagai mangsa, akibatnya wanita itu terjatuh dari motosikal dan akhirnya maut. 

Apabila diragut, biarkan saja barang-barang diambil peragut tidak guna itu. Jangan sesekali cuba untuk melawan kerana ia lebih membahayakan diri sendiri. Yang penting sekarang ini, nyawa anda.

Kita banyak mendengar mengenai pelbagai penyelesaian yang diberikan kepada jenayah ini yang rata-rata­nya hanya bersifat menyalahkan si mangsa dengan nasihat agar lebih berhati-hati, tidak berjalan seorang diri, membawa beg tangan bertentangan dengan sebelah jalan dan sebagainya.

Namun, ini semua tetap tidak mampu untuk menghalang peragut daripada meneruskan aktiviti mereka. Natijahnya, menurut statistik kes ragut pada 2009 di Kuala Lumpur saja setakat Mac tahun itu, terdapat 1,915 kes ragut dilaporkan iaitu secara puratanya 21 kes sehari! 

Statistik ini membuktikan yang si peragut masih bermaharajalela mencari mangsa tanpa sebarang rasa takut mahupun bersalah.

Letak segala statistik atau laporan sekali pun, ia bukan jaminan jenayah ini mampu diselesaikan. Namun, sebagai orang awam yang boleh dijadikan sasaran selaku mangsa kepada pihak tidak bertanggungjawab ini, mungkin kita harus pertimbangkan beberapa langkah ini. 

1. Jangan letak beg tangan dalam bakul terbuka di depan motosikal.

2. Simpan beg tangan dalam ruang atau tempat simpan berpenutup pada motosikal.

3. Bawa dompet yang boleh disimpan dalam kocek.

4. Bawa payung untuk melindungi diri bila berdepan penjenayah.

5. Berjalan bertentangan arus kenderaan supaya boleh nampak tindakan mencurigakan.

6. Berhati-hati setiap masa dan tunjukkan kelakuan seolah-olah sangat cermat.

7. Berwaspada mengeluarkan duit daripada mesin ATM atau ketika keluar masuk bank.

8. Ketika berjalan, rapatkan beg tangan ke badan dan pegang erat dengan kedua-dua tangan.

9. Jangan tinggalkan dompet atau beg tangan atas meja ketika makan di kedai.

10. Jangan tunjukkan pamerkan kandungan dompet, terutama wang tunai atau barang kemas.

Sumber: hmetro.com.my

10 Bahasa Popular

‘Hello’ mungkin ungkapan biasa dan sudah bosan didengar setiap hari. SHUHADA MANSOR mahu anda pelbagaikan sapaan dalam bahasa popular lain seluruh dunia. Jangan malu untuk mencuba!
Ni hao
Kalau ditanya bahasa apa paling banyak digunakan manusia di muka bumi, mungkin sebahagian akan menjawab bahasa Inggeris. Ternyata salah kerana bahasa yang paling banyak digunakan adalah bahasa Mandarin.

Oleh kerana popular, jangan pula beranggapan mudah untuk mempelajarinya kerana menghafal satu perkataan Mandarin mempunyai empat intonasi berbeza dengan empat makna berlainan. Bahasa Mandarin mengalahkan bahasa Inggeris dengan perbandingan 2:1 berdasarkan kajian ke atas lebih sejuta orang.

Untuk mengatakan ‘hello’ dalam bahasa Mandarin adalah ‘ni hao’.


Inggeris

Bahasa Inggeris menduduki tangga kedua tertinggi diucapkan manusia di dunia. Ia juga adalah bahasa rasmi yang banyak digunakan di negara dunia.

Antara negara yang mempraktikkan bahasa ini ialah New Zealand, Amerika Syarikat, Australia, England, Zimbabwe, Afrika Selatan dan Kanada.

Jumlah pengguna bahasa ini adalah 508 juta orang.


Namaste

Bahasa ketiga terbanyak digunakan di dunia adalah bahasa Hindi. Bahasa yang digunakan di negara India ini tidak dapat mengungguli bahasa Inggeris kerana ada sebahagian kawasan di India juga menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa harian.

Bahasa ini digunakan 497 juta orang. Ucapan ‘hello’ dalam bahasa Hindi adalah ‘namaste’.


Hola

Bahasa keempat terbanyak digunakan adalah bahasa Sepanyol. Di samping digunakan di negara asal iaitu Sepanyol, ia juga boleh dikatakan digunakan seantero Amerika Tengah dan Amerika Selatan termasuk Cuba.

Sejumlah bahasa Sepanyol diserap masuk ke dalam bahasa Inggeris seperti tornado, bonanza, patio, enchilada, taco, grande, alligator, barbeque, bravo, cafetaria, cargo, coccaine, guerrilla, lasso dan lainnya.

Ia digunakan 392 juta manusia. Katakan ‘hola’ untuk mengungkapkan ‘hello’ dalam bahasa Sepanyol.


Zdravstvuite

Bahasa kelima terbanyak adalah bahasa Russia. Selain Russia, bahasa ini juga digunakan di Georgia, Kyrgyzstan, Kazakhstan dan Moldova.

Ia tergolong antara enam bahasa rasmi yang digunakan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Digunakan 277 juta manusia, ucapkan ‘zdravstvuite’ apabila ingin menyapa ‘hello’ dalam bahasa Russia.


Assalamualaikum

Assalamualaikum adalah perkataan bahasa Arab iaitu salah satu bahasa tertua di dunia. Digunakan di kawasan negara Timur Tengah seperti Arab Saudi, Kuwait, Iraq, Syria, Jordan, Lubnann dan Mesir.

Di samping itu, kitab suci al-Quran tertulis dalam bahasa Arab, dengan berjuta-juta orang di negara lain juga menggunakan bahasa ini.

Pada 1974 bahasa Arab ditetapkan sebagai bahasa rasmi keenam di PBB. Digunakan oleh 246 juta manusia, ‘assalamualaikum’ bermaksud salam sejahtera diungkapkan sebagai ganti ‘hello’.


Acay

Bahasa ketujuh terbanyak adalah bahasa Benggali. Bahasa yang digunakan di Bangladesh dan wilayah tertentu di India, komuniti di Asia Selatan seperti Burma (suku Rohingya) sedang memperjuangkan bahasa ini untuk menjadi bahasa rasmi ketujuh PBB. Digunakan oleh kira-kira 230 juta orang, katakan ‘acay’ untuk ucapkan ‘hello’.


Bom dia

Bahasa kelapan paling banyak dituturkan adalah bahasa Portugis. Kegigihan penjelajah terkenal, Vasco da Gama yang menjelajah tujuh benua untuk mencari daerah jajahan sejak abad ke-12 menjadikan bahasa ini terkenal.

Selain Portugis, Brazil, Macau, Angola, Venezuela, Mozambia dan Timor Timur menggunakan bahasa ini. Pengguna bahasa ini seramai 191 juta orang.

Untuk menyapa ‘hello’ katakan ‘Bom dia’. Unik!


Apa khabar

Bahasa kesembilan terbanyak digunakan di dunia adalah bahasa Indonesia. Berasal daripada bahasa Melayu dan banyak digunakan di Indonesia, Malaysia dan Brunei.

Tidak hairan ia tercatat antara paling popular kerana bilangan penduduk Indonesia keempat teramai di dunia. Jumlah pengguna bahasa ini seramai 159 juta orang. 

‘Apa khabar’ semua?

Bonjour

Bahasa Perancis menduduki tempat ke-10. Dinobatkan sebagai bahasa romantis selain digunakan di negara asalnya, negara seperti Belgium, Kanada, negara Afrika seperti Rwanda, Cameron, Guinea, Pantai Gading, Congo, Niger juga Haiti.

Daripada penelitian, lebih 30 peratus bahasa Inggeris adalah serapan daripada bahasa Perancis. Antaranya lcarrot, lemon, apricot, saxophone, silhouette, aisle, cream, caramel, croissant dan banyak lagi.

Jumlah penutur bahasa ini seramai 129 juta. Sinari hari anda dengan ucapkan ‘bonjour’ untuk menyapa seseorang.

Sumber: hmetro.com.my

Sengaja cari nahas

Salah laku jalan raya bermaksud tindak-tanduk pengguna jalan raya yang salah dan mungkin membawa kepada kemalangan jalan raya. Dalam konteks etika salah laku jalan raya biasanya berkait dengan sikap pengguna.
Salah laku jalan raya adalah sesuatu yang mengancam keselamatan pengguna. Terdapat kajian mengatakan yang faktor manusia adalah faktor tunggal dalam 57% daripada kemalangan jalan raya. Daripada itu, masalah ini haruslah diberi perhatian pelbagai pihak. 
Salah laku jalan raya boleh berlaku dalam pelbagai bentuk dan di mana saja. Secara kasarnya ia boleh dibahagi kepada tiga kategori besar iaitu kecuaian memandu, memandu secara terburu-buru dan keganasan jalan raya. 

Antara tiga kategori ini, kecuaian adalah penyumbang terbesar dan hari ini ia adalah penyakit paling berbahaya kerana kebanyakan anak muda terjerumus dalam punca kematian jalan raya ini.

Perlakuan ini boleh menyebabkan kecelakaan kepada diri pemandu itu sendiri dan juga kepada pengguna jalan raya lain. Maka dari segi etika teleologi, perlakuan ini menepati kriteria sebagai satu kesalahan kerana ia membawa kepada lebih keburukan daripada kebaikan.

Kecuaian memandu secara kasarnya berlaku daripada tiga punca iaitu tekanan jiwa, memandu sambil buat kerja lain dan mabuk. 

Memandu sambil buat kerja lain adalah satu bentuk kecuaian memandu. Kerja yang biasanya dibuat sambil memandu termasuklah bersembang, makan, merokok, membaca SMS malah menulis SMS. 

Perlakuan ini sangat bahaya terutama bagi perlakuan membaca dan menghantar SMS ketika memandu. Memandu sebenarnya penuh dengan perkara di luar dugaan seperti contoh anda mungkin tidak dapat menduga yang terdapat sebuah kereta keluar dari lorong tepi sehingga menghalang laluan anda. Sekiranya perkara ini berlaku ketika anda membaca SMS, kemungkinan besar anda akan terus melanggar kereta itu. 

Alasan yang biasanya diberikan oleh pemandu terutamanya anak muda setiap kali ditahan atas alasan bermain telefon bimbit termasuklah terlalu bosan, kesuntukan masa dan kecemasan. 

Walaupun alasan ini mempunyai logiknya sendiri tapi perlakuan mereka ini tetap menyalahi prinsip moral. Dalam konteks ini, pemandu tidak meletakkan nilai keselamatan di atas nilai yang lain. 

Mereka yang gilakan laman sosial lebih kronik penyakitnya apabila masih boleh memuat naik gambar di Instagram dan Twitter ketika memandu. Alasannya ketika dalam keadaan ‘jam’ ataupun memandu secara perlahan. 

Ada yang masih sempat membalas e-mel atau Facebook sambil memandu kerana untuk hilangkan rasa bosan dan tidak boleh tunggu lama untuk memberi reaksi kepada pesanan ringkas di laman sosial itu. 

Walaupun pihak berkuasa sudahpun menetapkan undang-undang dengan memberikan saman, masih ramai anak muda tidak langsung mengendahkannya, malah lebih aktif bermain laman sosial masing-masing. 

Tiada penyelesaian secara berkesan sepenuhnya bagi mengurangkan masalah ini kerana semuanya bergantung kepada individu terbabit. 

Jika mereka sayangkan nyawa dan keselamatan diri, sudah tentu perkara ini tidak langsung dilakukan. Tapi kebanyakannya yakin dan percaya perlakuan membalas mesej atau sibuk di laman sosial bukanlah perkara serius sehingga boleh mengakibatkan kemalangan. 

Masalahnya jika diri sendiri yang cedera atas kecuaian sendiri tidak mengapa, namun kebanyakan kes kemalangan yang dilaporkan atas sebab kecuaian seperti ini selalunya akan membabitkan orang lain yang tidak bersalah. 

Justeru, kawan-kawan, tunggulah masa lapang dan bukannya ketika memandu untuk membalas mesej dan melayari laman sosial. Jangan sampai sudah terkena baru sibuk nak menyesal.

Sumber: hmetro.com.my