Pages

Saturday, October 5, 2013

Sengaja cari nahas

Salah laku jalan raya bermaksud tindak-tanduk pengguna jalan raya yang salah dan mungkin membawa kepada kemalangan jalan raya. Dalam konteks etika salah laku jalan raya biasanya berkait dengan sikap pengguna.
Salah laku jalan raya adalah sesuatu yang mengancam keselamatan pengguna. Terdapat kajian mengatakan yang faktor manusia adalah faktor tunggal dalam 57% daripada kemalangan jalan raya. Daripada itu, masalah ini haruslah diberi perhatian pelbagai pihak. 
Salah laku jalan raya boleh berlaku dalam pelbagai bentuk dan di mana saja. Secara kasarnya ia boleh dibahagi kepada tiga kategori besar iaitu kecuaian memandu, memandu secara terburu-buru dan keganasan jalan raya. 

Antara tiga kategori ini, kecuaian adalah penyumbang terbesar dan hari ini ia adalah penyakit paling berbahaya kerana kebanyakan anak muda terjerumus dalam punca kematian jalan raya ini.

Perlakuan ini boleh menyebabkan kecelakaan kepada diri pemandu itu sendiri dan juga kepada pengguna jalan raya lain. Maka dari segi etika teleologi, perlakuan ini menepati kriteria sebagai satu kesalahan kerana ia membawa kepada lebih keburukan daripada kebaikan.

Kecuaian memandu secara kasarnya berlaku daripada tiga punca iaitu tekanan jiwa, memandu sambil buat kerja lain dan mabuk. 

Memandu sambil buat kerja lain adalah satu bentuk kecuaian memandu. Kerja yang biasanya dibuat sambil memandu termasuklah bersembang, makan, merokok, membaca SMS malah menulis SMS. 

Perlakuan ini sangat bahaya terutama bagi perlakuan membaca dan menghantar SMS ketika memandu. Memandu sebenarnya penuh dengan perkara di luar dugaan seperti contoh anda mungkin tidak dapat menduga yang terdapat sebuah kereta keluar dari lorong tepi sehingga menghalang laluan anda. Sekiranya perkara ini berlaku ketika anda membaca SMS, kemungkinan besar anda akan terus melanggar kereta itu. 

Alasan yang biasanya diberikan oleh pemandu terutamanya anak muda setiap kali ditahan atas alasan bermain telefon bimbit termasuklah terlalu bosan, kesuntukan masa dan kecemasan. 

Walaupun alasan ini mempunyai logiknya sendiri tapi perlakuan mereka ini tetap menyalahi prinsip moral. Dalam konteks ini, pemandu tidak meletakkan nilai keselamatan di atas nilai yang lain. 

Mereka yang gilakan laman sosial lebih kronik penyakitnya apabila masih boleh memuat naik gambar di Instagram dan Twitter ketika memandu. Alasannya ketika dalam keadaan ‘jam’ ataupun memandu secara perlahan. 

Ada yang masih sempat membalas e-mel atau Facebook sambil memandu kerana untuk hilangkan rasa bosan dan tidak boleh tunggu lama untuk memberi reaksi kepada pesanan ringkas di laman sosial itu. 

Walaupun pihak berkuasa sudahpun menetapkan undang-undang dengan memberikan saman, masih ramai anak muda tidak langsung mengendahkannya, malah lebih aktif bermain laman sosial masing-masing. 

Tiada penyelesaian secara berkesan sepenuhnya bagi mengurangkan masalah ini kerana semuanya bergantung kepada individu terbabit. 

Jika mereka sayangkan nyawa dan keselamatan diri, sudah tentu perkara ini tidak langsung dilakukan. Tapi kebanyakannya yakin dan percaya perlakuan membalas mesej atau sibuk di laman sosial bukanlah perkara serius sehingga boleh mengakibatkan kemalangan. 

Masalahnya jika diri sendiri yang cedera atas kecuaian sendiri tidak mengapa, namun kebanyakan kes kemalangan yang dilaporkan atas sebab kecuaian seperti ini selalunya akan membabitkan orang lain yang tidak bersalah. 

Justeru, kawan-kawan, tunggulah masa lapang dan bukannya ketika memandu untuk membalas mesej dan melayari laman sosial. Jangan sampai sudah terkena baru sibuk nak menyesal.

Sumber: hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment