Pages

Saturday, October 5, 2013

Karakter Tidur

Diriwayatkan daripada Barra’ bin ‘Azib r.a, Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu hendak tidur di tempat pembaringan, kamu hendaklah berwuduk seperti wuduk untuk solat. Kemudian hendaklah kamu baring di lambung kanan kamu.”
Hadis ini mengajar kepada umat Islam supaya baring mengiring sebelah kanan.
Adapun tidur dengan cara yang lain adalah seperti tidur meniarap. Ada fakta mengatakan yang seseorang tidur meniarap di atas perutnya selepas tempoh yang tertentu akan merasai kesusahan untuk bernafas kerana beratnya gumpalan belakang badan yang besar yang menghalang dada daripada meregang dan mengecut ketika menghembus dan menyedut nafas. 

Kedudukan seperti ini juga menyebabkan kesukaran pernafasan yang boleh mengganggu jantung dan otak. Pengkaji dari Australia menyatakan yang berlaku peningkatan kematian kanak-kanak kepada tiga kali ganda apabila mereka tidur meniarap dibandingkan jika mereka tidur di lambung kanan atau kiri.

Majalah Times melaporkan kajian di Britain menunjukkan peningkatan kadar kematian mengejut kanak-kanak yang tidur meniarap.

Tidur telentang pula akan menyebabkan pernafasan dengan mulut kerana mulut akan terbuka ketika menelentang disebabkan regangan rahang bawah. Sepatut dan seeloknya hidung yang bernafas kerana ia terdapat bulu-bulu dan hingus menyaring udara yang masuk dan banyaknya saluran darah disediakan untuk memanaskan udara.

Bernafas dengan mulut lebih menyebabkan seseorang itu terkena selsema di musim sejuk dan juga menyebabkan keringnya gusi yang akhirnya menyebabkan radang.

Tidur mengiring ke kiri pun tidak elok kerana jantung ketika itu dihimpit oleh paru-paru kanan yang mana ia lebih besar daripada paru-paru kiri. Ini memberi kesan pada tugas jantung dan mengurangkan kecergasan jantung lebih-lebih lagi kepada orang tua. Seperti mana perut yang penuh ketika itu akan menekan jantung.

Perbandingan di antara tidur mengiring ke kanan dan tidur mengiring ke kiri mengikut kajian yang dilakukan menunjukkan bahawa makanan yang lalu daripada perut kepada usus berlangsung di antara 2.5 hingga 4.5 jam apabila orang yang tidur mengiring ke kanan. Manakala orang yang tidur mengiring ke kiri memerlukan masa di antara lima hingga lapan jam bagi proses yang sama.

Bagaimanapun tidur yang terbaik adalah dengan kedudukan mengiring ke kanan kerana paru-paru kiri lebih kecil daripada sebelah kanan. Ini menyebabkan jantung menanggung benda yang lebih ringan. 

Hati juga akan dalam kedudukan tetap stabil dan tidak tergantung. Perut akan bertenggek di atasnya dengan baik. Ini memudahkan untuk mengosongkan makanan dari perut selepas proses penghadaman.

Ada pula fakta lain berkaitan tidur mengikut gaya dan maknanya. Umpamanya anak muda atau individu yang tidur gaya bayi. Majoriti wanita tidur dengan gaya ini dan mereka dikatakan lebih tahan lasak, tapi agak sensitif dan ada kalanya pemalu. Golongan ini juga dikatakan mudah dipujuk.

Jika tidur dengan posisi mengiring dengan kedua belah tangan tetap di sisi badan, bermakna orang ini adalah seorang yang bersosial dan mudah bergaul dengan rakan-rakan yang mudah dipercayai.

Gaya tidurnya mengiring sama ada ke kiri atau ke kanan dengan kedua-dua belah tangan di depan badan. Siapa yang tidur dengan gaya ini dikatakan seorang yang berfikiran terbuka tapi pada masa sama suka bersikap sinis, jenis syak wasangka dan degil tanpa mahu mendengar kepada keputusan dibuat.

Gaya ini lazimnya tidur terlentang dengan gaya tangan seperti berpeluk tubuh. Golongan ini dikatakan suka menyendiri, agak pendiam, tidak cerewet dan memandang tinggi pada diri sendiri dan orang lain. 

Golongan ini berpotensi untuk mengalami dengkuran kerana posisi belakang badan yang rata. Mungkin cara tidur seperti ini membuatkan mereka kerap bangun malam tetapi cara tidur seperti ini sebenarnya bukanlah begitu merehatkan.

Golongan yang gemar tidur meniarap dengan tangan di bawah bantal atau tangan diselubungi bantal dan kepala mengiring ke kiri atau kanan, dikatakan orang yang kurang suka menerima kritikan. Golongan ini juga dikatakan sukakan aktiviti luar dan agak tergopoh-gapah dalam tugasan harian mereka.

Gaya tapak Sulaiman adalah gaya tidurnya telentang sambil tangan atau lengan diletakkan di atas kepala dan dahi dikenali sebagai orang yang prihatin dan suka mendengar. Golongan ini juga gemar membantu dan tidak suka jika segala perbuatan mereka diberi penghargaan. Boleh dikatakan golongan ini menghadapi masalah dengkur dan tidur yang tidak lena setiap malam.

Sumber: hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment