Pages

Sunday, October 20, 2013

Pengganti kaca mata



Suatu ketika dulu, cermin mata dianggap alat bantuan kepada individu yang mengalami masalah rabun jauh dan dekat. Malah ada yang selesa bertahun-tahun menggunakan cermin mata untuk membantu dalam segenap aktiviti dan urusan pekerjaan. Bagaimanapun, kehadiran kanta lekap memberi alternatif kepada yang sudah bosan dengan kaca mata. Ini peluang kedua mereka untuk bergaya tatkala rimas ketika kaca mata melorot ke bawah. Malah untuk menjaga cermin mata juga bagi sesetengah pemakai ia melecehkan. Apa itu kanta lekap? Alat pembetulan, kosmetik atau kanta terapeutik yang diletakkan pada kornea mata. Ia direka khas ahli kimia Republik Czech, Otto Wichterle.

Kini dengan kepelbagaian warna dan corak, membuatkan mata individu yang memakainya kelihatan cantik dan lebih besar daripada mata asal. Pun begitu, jangan mudah tertipu jika ada yang mengatakan itu adalah mata sebenar mereka. Mungkin sekadar menjaga penampilan diri.


Sejak kebelakangan ini, disebabkan ‘keinginan’ itu melebihi daripada aspek lain, membuatkan sebilangan anak muda tak peduli untuk berjumpa pakar mata atau optometris bertauliah bagi merawat mata, sebelum memakai kanta lekap.


Nak cantik punya pasal, penjagaan dan kebersihan harus juga dititikberatkan. Kanta lekap perlu dibilas menggunakan ubat khas bagi membantu mengurangkan bakteria daripada melekat di situ.

Bagaimanapun, perubahan ketara membuatkan ia dianggap fesyen dan gaya remaja kini, sekali gus seperti menolak fungsi asal kanta lekap. Sehingga ada antara mereka yang tidak kisah untuk mendapatkan kanta lekap yang murah asalkan boleh dibeli de­ngan banyak dan dapat tukar-tukar warna mengikut pakaian.

Perlu diingat, pemakaian kanta lekap tiruan boleh menyebabkan seseorang mengalami masalah teruk di kelopak mata. Malah ada yang melarat menjadi buta akibat memakainya tanpa mendapatkan nasihat pakar.

Persoalannya, adakah mereka yang memakainya benar-benar rabun atau sekadar untuk cantik?

Pun begitu tidak ada salahnya, sekiranya ada remaja menggunakan cara ini untuk cantik asalkan berjumpa pakar bertauliah dan memilih kanta yang bersesuaian agar tak ada kesan buruk kelak.


Komen

Bakteria merebak


“Jika diberi pilihan, saya akan memilih kaca mata berbanding kanta lekap kerana sedia maklum bahawa, ia akan menjejaskan mata jika memakai terlalu lama.

“Jika mereka yang mengalami rabun mata, sebaiknya menggunakan kaca mata walaupun penyembuhan rabun itu berlaku secara perlahan namun ia tak memberikan kesan negatif terhadap mata.

“Walaupun secara zahirnya, pemakaian kanta lekap ini akan menampakkan seseorang itu cantik dan bergaya, namun kita harus tahu implikasi jika tak menjaga kebersihan,” katanya.

Nama: Farhana Suhada Jamaludin, 21
Lokasi: Perak


Sekadar menunjuk

“Pemakaian kanta lekap ini bukannya kehendak dan keperluan individu tetapi sekadar untuk menunjuk bahawa mereka ada mata cantik. Sedangkan mereka yang memakainya tak tahu risiko jika berterusan memakai kanta lekap yang boleh membahayakan mata.

“Saya ada juga terbaca dan mendengar ceramah motivasi berkaitan dengan bahayanya pemakaian kanta lekap ini sehingga saya takut untuk memakainya,” katanya.

Nama: Suraya Mohd Tarmizi, 24
Lokasi: Perak



Sumber: http://www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment