Pages

Monday, July 26, 2010

Senak Perut

Senak perut merupakan segala gangguan yang tidak selesa di dalam perut. Ia ditakrifkan secara amnya sebagai sakit perut yang berpanjangan dan berulang-ulang di tengah-tengah bahagian atas perut.

Berdasarkan penjelasan dari bahagian promosi penyakit, kementerian kesihatan malaysia, gejala tersebut walaupun tidak mengancam nyawa tetapi boleh mendatangkan masalah yang lebih serius sekiranya ia tidak diberikan perhatian pada peringkat awalnya.

Penyebab senak perut secara amnya ialah terlalu banyak makan, makan secara tergesa-gesa, memakan makanan berlemak dan berminyak, pengambilan alkohol berlebihan, mamakan makanan yang berempah dan pedas, menghadapi tekanan perasaan dan kegelisahan, penyakit gastritis akut, penyakit kolesistitis yang kronik, keradangan pankreas yang kronik, ulser duodenum, ulser gaster, dan ubat seperti antibiotik.

Gejala yang berkaitan ialah pedih ulu hati (apabila asid dalam perut bertolak naik melalui esophagus ke atas menyebabkan terasa pedih dan sakit dalam perut) yang menjalar ke bahagian belakang, di sebalik tulang dada. Terasa sebu dan kembung. Loya dan muntah. Sendawa, terasa mengah (kembung berlaku selepas saja makan).
Untuk mengurangkan risiko menghidap senak perut, elakkan makanan yang boleh menyebabkan senak. Jangan makan berlebihan terutamanya makanan yang kaya dengan lemak. Elak dari pengambilan alcohol berlebihan. Untuk pedih ulu hati yang biasa, gunakan ubat antacid atau subsalisilatbismuth. Berehat selepas makan, aktiviti fizikal boleh mengalih pengaliran darah dari perut mengakibatkan penghadaman kurang berkesan. Amalkan kehidupan yang bebas dari tekanan mental.

Berjumpalah doktor sekiranya anda mengalami sakit perut yang berlarutan sehingga lebih dari 6 jam. Ini mungkin merupakan keradangan apendiks, ilser dalam perut, batu karang atau lain-lain penyakit.

Anda memerlukan rawatan apabila berlaku gejala ini, iaitu anda mengalami senak bersama dengan muntah yang berlarutan, muntah darah, mengeluarkan najis berwarna hitam atau terdapat darah di dalamnya. Sakit bahagian atas abdomen yang amat sangat dan senak yang anda hadapi mungkin merupakan masalah batu karang, gastric, masalah pancreas, ulser perut, kanser. Anda mengalami senak yang berulang-ulang dan diselangi dengan sakit abdomen, demam atau air kencing berwarna gelap. Ketakselesaan ini mungkin merupakan tanda-tanda batu karang, ulser dalam perut atau penyakit hati. Jika senak berlaku selepas mengambil produk susu, ia mungkin merupakan alahan kepada laktosa. Elakkan dari mengambil hasil tenusu atau makan ubat seperti lactaid sebelum memkan produk tenusu ini.

Sunday, July 25, 2010

Sembelit

Sembelit ialah pergerakan usus yang tidak kerap atau yang tidak selesa. Pergerakan usus mungkin kecil, keras atau kering. Bilangan kali seseorang membuang air besar dalam sehari adalah berbeza. Ia mungkin 2-3 kali sehari atau sekali dalam 2-3 hari. Seseorang dikatakan mengalami sembelit jika ia membuang air besar hanya dua kali dalam seminggu atau kurang daripada itu dan dikaitkan dengan peneranan ketika membuang air besar. Sembelit adalah lebih biasa di kalangan wanita.

Gejala-gejala

* Najis adalah lebih kering dan keras dan adalah lebih susah untuk membuang air besar
v Meneran semasa membuang air besar
v Sakit semasa pergerakan usus
v Kekejangan di bahagian abdomen

Penyebab-penyebab

1. Sembelit Mudah
A. Stasis rektal, yang mungkin disebabkan oleh
- Tabiat buruk
- Sakit pada bahagian dubur
- Gangguan kesedaran kerana pelalian yang melampau.
B. Stasis kolon, yang mungkin diakibatkan oleh
- pengambilan makanan yang kurang (kekurangan residu selulos di dalam diet seharian)
- perubahan dalam pergerakan usus yang diakibatkan oleh ketidakfungsian endokrin
- contohnya, penggunaan ubat tertentu seperti zat besi, kodein

2. Sembelit organik
Ini mungkin disebabkan oleh
- Keadaan penyakit seperti kencing manis, ulser peptik dengan halangan, keadaan
kemurungan.
- Penyakit kolon, rektal atau pelvis.
- Tekanan ke atas rektum, contohnya semasa mengandung atau disebabkan oleh tumor
di bahagian pelvis.

Runding dengan doktor anda apabila:
v Sembelit muncul sebagai gejala baru selepas umur 40 tahun.
v Sembelit menjadi lebih sakit, teruk dan lebih kerap.
v Terdapat darah di dalam najis - Najis berwarna gelap dan kelihatan seperti tar.
v Terdapat perubahan di dalam pergerakan usus. Sembelit berselang-seli dengan cirit-
birit.
v Sembelit tidak beransur pulih dengan suai-perubatan.

Penanganan

Doktor haruslah dirunding untuk mengenalpasti penyebab sembelit yang kronik
v Sembelit transit perlahan - (disebabkan oleh pengambilan diet beresidu rendah), boleh
dirawat dengan mengubah kepada diet yang tinggi dalam serat, dengan melebihkan
pengambilan cecair dan senaman yang kerap. Makanan yang tinggi dalam serat ialah
bran, buah-buahan kering, kekacang dan pasta. Sayur-sayuran dan buah-buahan
mengandungi selulos tak-terserap dan pektin yang juga berguna di dalam perawatan
sembelit.
v Sediaan famakologi iaitu agen penghasil-pukal seperti metil selulos dan sekam
isphagula yang berguna bila diet sendirian tidak dapat melegakan gejala sembelit.
v Laksatif osmotik, contohnya magnesium sulfat atau magnesium hiroksida adalah juga
berguna.
v Laksatif perangsang - meningkatkan pergerakan usus, contohnya, senna
v Pelembut najis, contohnya cecair parafin, merupakan langah jangka pendek untuk
membantu melembutkan najis dalam penyakit dubur.
v Agen prokinetik, contonya cisapride, yang memendekkan waktu peredaran usus.

Corak Hidup Baru

Pemakanan
- lebihkan serat dalam pemakanan harian anda.
- Minum 6-8 gelas cecair dalam sehari, contohnya jus, air, teh, kopi

Senam
- mula program penyenaman yang baru atau sambung semula sukan yang anda telah
minati dahulu.

Tabiat
- Buang air besar selalu dan jangan tak perendahkan dorongan untuk membuang air besar
- Kawal tekanan dan belajar untuk beristirehat.
- Jangan memberi tekanan yang terlalu banyak pada latihan tandas kanak-kanak.
- Jangan suai-ubat dengan terlalu banyak antasid.

Sembelit tidak harus ditakperendahkan dan harus dirawat pada peringkat awal apabila penyebab masalahnya diketahui selepas dibincang dengan doktor anda.

Saturday, July 24, 2010

Sakit Gusi

PENYAKIT gusi atau juga dikenali sebagai penyakit periodontium adalah antara masalah pergigian yang sering kali menyebabkan kehilangan gigi selain daripada karies gigi. la bukan saja dialami oleh orang dewasa, tetapi juga kerap dialami kanak-kanak.

Penyakit periodontium adalah penyakit membabitkan kerosakan berlaku pada tisu yang menyokong gigi iaitu gusi, tulang dan ligamen periodontium.Ini berpunca daripada satu penyakit awal yang dikenali sebagai gingivitis sehingga keadaan lebih teruk menyebabkan hilang pelekatan gusi dan sokongan tulang.Tanda awal serangan penyakit gusi adalah gusi bengkak, merah dan mudah berdarah apabila disentuh terutama ketika menggosok gigi.Peringkat ini dikenali sebagai gingivitis. la dikatakan mudah berbalik iaitu mudah sembuh jika mendapat rawatan segera.

Tanda seterusnya:

o Kemerosotan gusi yang mendedahkan akar gigi
o Perasaan ngilu (sensitif) pada masa tertentu
o Gigi kelihatan panjang, sakit apabila makan dan mula goyang
o Kedudukan gigi berubah dan mula menjadi Jarang antara satu sama lain
o Nafas berbau busuk dan merasa tidak selesa
o Kelihatan nanah keluar di antara gusi dan gigi
o Gigi tanggal dengan sendiri

Punca penyakit gusi:

o Higin mulut yang tidak dijaga hingga menyebabkan plak bertukar keras menjadi karang gigi atau tartar. Toksin daripada karang gigi menyebabkan gusi bengkak, merah dan berdarah. Jika tidak dirawat, tulang akan rosak, hancur dan poket gusi terjadi, seterusnya gusi menyusut.
o Susunan gigi yang tidak teratur menyebabkan makanan mudah tinggal di celah gigi.
o Bentuk gigi tidak normal sama ada secara semula jadi ataupun disebabkan oleh tampalan yang tidak sempurna.
o Adanya prostesis seperti gigi palsu, korona dan jambatan yang tidak dijaga kebersihannya ataupun dibina sempurna.
o Tabiat mengisar gigi waktu malam (bruksisme), menjelirkan lidah dan menggigit kuku.
o Merokok.
o Perubahan hormon seperti akil baligh, kehamilan dan menopaus.
o Penyakit sistemik seperti diabetes.
o Tekanan.
o Ubat-ubatan seperti ubat perancang dan antidepressant.
o wGenetik atau keturunan.

Langkah pencegahan

o Berkumur setiap kali lepas makan atau minum minuman manis.
o Kurangkan amalan makan antara waktu makan utama.
o Memberus gigi dengan berkesan sekurang-kurangnya 2 kali sehari.
o Tukar berus gigi apabila ia mula membengkok dan tidak tegar atau dalam tempoh 3 bulan untuk mengelakkan pengumpulan bakteria dan pemberusan tidak berkesan.
o Dapatkan pemeriksaan oleh doktor pergigian sekurang-kurangnya dua kali setahun.

Rawatan penyakit periodontium

1. Penskaleran gigi atau mencuci gigi.
2. Pengetaman akar gigi: rawatan lanjutan yang mana karang gigi pada akar gigi dibersihkan dengan alat khas.
3. Pembedahan gusi.
4. Penggunaan antibiotik pada keadaan yang bersesuaian.

Sumber: Berita Harian 26 Okt. 2006

Tuesday, July 20, 2010

Toksin Meracuni Tubuh

KULIT boleh diumpamakan seperti ‘skrin televisyen’ yang boleh memaparkan apa yang berlaku di dalam tubuh manusia. Jika tubuh tidak sihat ia boleh dilihat daripada kulit yang tidak berseri, pucat, berjerawat dan kusam.
Bukan setakat penyakit, kulit juga menjadi ‘agen’ pemberitahuan sama ada seseorang itu diselubungi perasaan tenang, gembira atau sebaliknya.
Justeru, setiap orang pastinya mahu kelihatan segar, bertenaga, berseri dan mempunyai kulit yang mulus menawan. Seringkali kita mengutamakan kecantikan dengan memberi penekanan dari luaran. Tidak kira lelaki mahupun wanita, masing-masing sanggup mengeluarkan sejumlah wang untuk membeli set penjagaan kulit, makanan tambahan dan juga vitamin. Namun, tidak ramai yang terfikir untuk melakukan pembuangan toksin dalam badan. Jika seseorang yang tidak pernah membuang toksin sejak lahir hingga umurnya mencecah 30 tahun, bermakna sudah macam-macam sisa toksin terkumpul dalam badannya. Jika sistem semula jadi tubuhnya tidak mampu untuk membuang toksin tersebut secara semula jadi, itulah yang akan menyebabkan kulit seseorang itu kusam, berjerawat dan banyak lagi keburukan lain. Bertemu dengan Pengurus Produk Juvanex di Cambert (M) Sdn. Bhd., Gracia Ng, menemukan pelbagai skop tentang kebaikan buang toksin dan cara-caranya.
Beliau yang juga seorang ahli farmasi berpengalaman, menerangkan bahawa secara umumnya, jerawat, alahan, selesema, bau badan, mulut bau dan banyak lagi terjadi kerana fungsi pembuangan toksin yang sepatutnya berlaku terjadi sebaliknya. Jadi, toksin itu tetap keluar namun dalam bentuk cela pada kulit manusia. Ng menerangkan, simptom di atas hanya yang boleh dilihat di wajah, sedangkan, di dalam organ tubuh yang tidak pernah dibuang toksin akan menyebabkan kesan yang lebih tidak elok.

“Definisi buang toksin atau lebih popular dengan sebutan detox sebenarnya amat berkait rapat dengan sistem pencernaan dan hati manusia.
“Kebanyakan daripada kita menganggap detox ini hanya melibatkan bahagian pencernaan, tetapi amat penting untuk kita mengetahui bahawa organ hati juga memainkan peranan penting dalam pembuangan toksin dari tubuh badan manusia, iaitu menerusi pembuangan air kencing,” jelasnya ketika ditemui di pejabatnya di Glenmarie, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Menurut Ng, toksin terdapat hampir di semua organ manusia, di mana sebahagian besarnya terhasil apabila sisa makanan yang tidak dicerna sepenuhnya, pemakanan ubat-ubatan kimia, merokok, pengambilan minuman keras dan pemakanan yang tidak seimbang, tidak dapat dikeluarkan dari dalam tubuh. Justeru, sisa-sisa ini akan terkumpul di mana-mana bahagian dalam organ tubuh manusia.

“Sisa-sisa ini akan terkumpul untuk satu jangka masa dan menghasilkan toksin. Sepatutnya semua sisa-sisa ini dikeluarkan dengan cara semula jadi ░░░░░ dua organ utama utama iaitu hati dan usus.
“Jadi kalau kita hendak pembersihan yang menyeluruh, dua organ tersebut perlu diberi perhatian kerana ia merupakan organ yang terlibat dalam pembersihan sisa toksin dari dalam badan,” ujar Ng.

Rutin pembuangan air besar terganggu

Antara kaedah penyingkiran toksin secara semula jadi ialah melalui perkumuhan seperti pembuangan air besar yang perlu berlaku sekurang-kurang sekali sehari bagi orang norma.
“Pengalaman saya sebagai seorang ahli farmasi, wanita lebih kerap mengalami masalah pembuangan air besar. Ada kes seorang wanita yang hanya membuang air besar seminggu sekali.

“Sebenarnya masalah ini berkaitan dengan corak pemakanan yang tidak betul seperti kurang mengambil makanan berserat dan minum air masak, kurang bersenam serta pengambilan ubat termasuk ubat untuk kurus. “Sebenarnya, sebarang pengambilan ubat untuk kurus yang melawaskan pembuangan air besar akan menyebabkan gangguan pada rutin pembuangan air lebih-lebih lagi apabila mereka menghentikan pengambilan tersebut. Mereka ini akan terdedah kepada penyakit sembelit,” cerita Ng berdasarkan pengalamannya. Jelasnya, proses membuang air besar yang normal dan baik untuk seseorang ialah sekali sehari. Tapi jika seseorang tidak membuang air dengan kadar yang sepatutnya, kemungkinan besar, najis yang berada di dalam usus akan menjadi hitam dan melekat pada dinding usus seterusnya menjadi toksin dalam tubuh.

“Selalunya seseorang hanya akan mengambil tindakan sekiranya sesuatu penyakit telah berlaku. Seperti yang kita ketahui, banyak penyakit bermula daripada usus, sebab organ tersebut menjadi tempat pengumpulan toksin.
“Jika ia tidak dikeluarkan maka toksin itu diserap semula dalam badan,” katanya. Justeru, apabila tubuh tidak pernah melakukan proses detox atau nyah toksin sejak lahir, biasanya tubuh akan menghantar ‘tanda’. Sakit kepala adalah salah satu daripada tanda toksin yang banyak dalam badan,” jelas Ng.

Tanda-tanda seseorang itu banyak toksin

Menurut Gracia, seseorang yang mempunyai toksin berlebihan dalam badan akan berasa letih tanpa sebarang sebab, susah bangun tidur dan bahagian keliling mata gelap. Bahagian-bahagian tertentu di permukaan kulit seperti di bahagian bawah lengah, celah paha dan sebagainya juga akan kelihatan gelap daripada warna asal kulit. “Banyak angin, alahan, inflamasi pada sendi, sinus, berat badan meningkat, kehadiran selulit, masalah jerawat dan banyak lagi. Semua ini adalah tanda-tanda bahawa tubuh perlu menjalani proses nyah toksin bagi membersihkan ruang yang tersumbat. “Detox umpama ‘agen’ pencuci yang ‘mengikis’ dinding usus yang terlekat dengan sisa buangan yang tidak pernah dibuang dalam tempoh yang sepatutnya.”

Toksin berlebihan mempengaruhi emosi

Ng yang turut membuat pemerhatian mendalam tentang proses nyah toksin mendapati, terdapat kajian yang menunjukkan bahawa jika seseorang mengalami toksin berlebihan dalam badan ia bukan hanya melibatkan fungsi anatomi tubuh tetapi emosi juga.

“Kita mungkin pernah terserempak atau melihat seseorang yang terlalu curiga dengan kebersihan. Contohnya, jika individu tersebut telah membasuh tangan, kemudian dia tersentuh sesuatu yang kita nampak bersih tapi tidak padanya dan dia cepat-cepat mencuci semula tangannya. “Ini adalah salah satu simptom yang mengaitkan dengan toksin berlebihan dalam tubuh individu tersebut. “Selain itu, individu yang kerap marah-marah, emosional dan sering tidak tenang, antara lain juga disebabkan oleh kandungan toksin yang berlebihan dalam tubuh. “ Ini kerana lymphatic system (sistem limfa) jika tidak berfungsi sepatutnya menjadikan seseorang tidak boleh duduk diam, degil, tidak yakin dengan kebersihan dan kelam kabut,” katanya.

Buang toksin tidak sesuai untuk ibu mengandung

Ibu mengandung atau yang sedang menyusukan bayi tidak dicadangkan membuang toksin, tetapi bagi ibu yang sedang merancang untuk hamil boleh mengamalkan detox sambil mengambil ubat seperti asid folik untuk perkembangan janin.

Selain itu, membuang toksin menyediakan tubuh badan yang lebih bersih untuk bakal ibu mengandung kelak.
“Selepas bersalin dan menyusukan anak adalah disarankan untuk seseorang ibu itu melakukan detox untuk mengembalikan kesegaran serta susuk tubuh yang lebih segar dan menawan,” ujar Ng.

Cara ekstrem buang toksin

Menurut Ng, antara cara lain yang popular digunakan untuk membuang toksin ialah diet jus dan diet air. Tetapi ada juga yang memilih cara yang lebih ekstrem iaitu melalui proses yang dinamakan colonic irrigation atau mencuci usus. Cara ini dibuat dengan memasukkan tiub ke dalam usus dan menyedut kotoran yang ada di dalamnya. “Cara ini agak mahal dan hanya boleh dilakukan oleh pengamal perubatan yang diiktiraf,” ujarnya sebelum mengakhiri perbualan.

Ulser Mulut

Ulser mulut merupakan luka dalam mulut yang berwarna putih atau kuning yang dikelilingi oleh warna kemerahan dan menyakitkan.

Apakah yang menyebabkan ulser mulut?

Penyebab sebenar ulser mulut tidak diketahui. Ia mungkin terjadi disebabkan oleh :
 Stres
 Perubahan hormon
 Jangkitan (infeksi)
 Kekurangan zat makanan
 Alahan
 Radioterapi
 Kimoterapi

Tanda-tanda (simptom)

Tanda-tanda ulser mulut termasuk :
 Rasa membakar dalam mulut
 Kesakitan
 Tidak selesa
 Hilang selera makan
 Demam

Berapa lama ulser mulut akan sembuh?

Kesakitan biasanya akan berkurangan dalam tempoh 3-4 hari tetapi ulser akan mengambil masa selama 10-14 hari untuk sembuh.

Perhatian

Dapatkan pemeriksaan di klinik pergigian jika ulser berlanjutan selepas dua minggu untuk memastikan ia bukan lesi kanser dan pra-kanser.

Apa yang boleh anda lakukan?

Untuk melegakan rasa sakit, anda boleh mencuba petua-petua berikut :
 Gunakan bahan kumuran antiseptik
 Sapu gel atau krim penahan sakit
 Kekalkan kebersihan mulut yang baik
 Makan makanan lembut
 Elakkan makan makanan panas dan pedas
 Banyakkan minum air

Petua Ulser Mulut

Kebanyakkan orang akan mengalami sakit ulser mulut ( mata ikan atau lompangan ) sekurang² sekali dalam hidup. Biasanya ia akan pulih sendiri dalam masa kurang daripada 2-3 minggu. Walaupun teramatlah sakit dan pedih ( nak makan pun tak de selera ) ia tidaklah serius dan juga tidak berjangkit.

Selalunya tanda² penyakit ini adalah bulat berwarna putih atau sedikit kuning. dan dikelilingi oleh persekitaran yang agak merah. Rasa sakit terutamanya bila ulser tersentuh dengan makanan atau minuman.

Antara sebab² terjadinya ulser mulut kerana kecederaan di lapisan nipis mulut seperti tergigit, terkena makanan tajam atau air yang terlalu panas.
Ada beberapa petua biasa untuk menghilangkan kesakitan akibat ulser mulut antaranya jangan makan makanan yang terlalu pedas, minuman berasid, guna antiseptik untuk berkumur, minum air dengan banyak , letakkan ketulan ais di tempat yang sakit dan letak gel untuk ulser – Bonjela.

Cubit sekeping asam keping/ asam gelugor, sebesar jari kelingking, tekapkan di tempat ulser tersebut. Biarkan sekejap dalam 2-3 minit. Memang akan rasa pedih tetapi selepas kesakitan selama 3 minit ( macam masak meggie je ni ) bahagian ulser tersebut akan terus baik. Cubalah , Insya Allah berkesan.

Petua ini tidak berkesan sekiranya anda menelan asam keping tersebut seperti anda menelan pil penahan sakit

Sunday, July 11, 2010

10 Tips Penjagaan Mata Bagi Pengguna Komputer

Berapa jam anda berada di depan skrin komputer setiap hari, siang dan malam?
Kini, penggunaan komputer tidak dapat dielakkan, samada di rumah atau pejabat. Semua kerja memerlukan komputer, lebih-lebih lagi kepada kaki pelayar internet di mana sebahagian besar masa di habiskan di depan skrin komputer/laptop.
Mata yang sentiasa memandang skrin komputer berjam-jam sudah tentu berasa strain dan letih.

Di sini dipaparkan 10 tips penjagaan mata yang berguna kepada pengguna:

1. Lakukan Pemeriksaan Mata
Individu yang banyak menggunakan komputer perlulah menjalani pemeriksaan mata sekurang-kurangnya setahun sekali. Bagi yang baru mendapat pekerjaan yang bersangkut paut dengan penggunaan komputer, anda perlulah membuat check-up mata untuk menentukan tahap penglihatan dan kesihatan mata. Pemeriksaan ini adalah penting untuk mencegah sindrom yang mungkin berlaku dan dapat mengesan masalah rabun atau ‘dry eye’. Menurut Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH), pemeriksaan mata bagi pekerja industri yg menggunakan komputer adalah sangat perlu. Individu perlulah melaporkan pada pakar mata atau Optometris berapa kerap penggunaan komputer dalam satu-satu masa.

2. Gunakan Pencahayaan yang Bersesuaian
Keletihan pada mata akibat penggunaan komputer bertambah apabila terdapat cahaya yang berlebihan dari sumber luar (matahari) dan lampu di dalam rumah atau pejabat. Sepatutnya, pencahayaan sekeliling bagi penggunaan komputer perlu lah separuh lebih malap dari, cahaya lampu yang digunakan di rumah dan pejabat kebiasaannya.
Gunakan lampu pejabat atau bilik yang mempunyai intensiti yang rendah atau menggunakan bilangan lampu/bulb yg sedikit sahaja. Kalau boleh jangan menggunakan komputer di tepi tingkap yang banyak cahaya matahari. Tutup tingkap dan sumber cahaya berlebihan untuk keselesaan.

3. Kurangkan Silau
Keletihan mata akibat silau dari sumber cahaya boleh terjadi akibat pembalikan cahaya dari permukaan dinding, skrin komputer dan sebagainya. Elakkan penggunaan dinding bilik yang berwarna terang, seperti putih dan gunakan skrin komputer yang ada filter cahaya. Bagi pemakai cermin mata, pastikan kanta anda mempunyai Anti-Reflection Coating (Multicoating) untuk meminimumkan kesan silau pada mata sekaligus mengurangkan stress pada mata kita.

4. ‘Upgrade’ Monitor
Monitor jenis lama (CRT) akan menghasilkan ‘flicker’ yang menjadi sumber dan faktor utama SPK. ‘Flicker’ akan menjadi lebih kelihatan jika monitor hanya mempunyai refresh rate kurang dari 75 Hz. Tetapkan refresh rate monitor lebih dari 75 Hz untuk keselesaan semasa penggunaan komputer. Seeloknya tukarlah kepada monitor LCD seperti yg terdapat pada skrin laptop. Skrin jenis flat ini perlu lah mempunyai ‘dot-pitch’ yang rendah (kurang dari 0.28mm) untuk penggunaan yang memberikan kurang beban pada mata. Pilihlah skrin LCD yang bersaiz besar untuk lebih selesa.

5. Ubahsuai Keterangan dan Kontras Tulisan dan Latar Belakang Komputer
Saiz font perlulah bersesuaian dengan tahap penglihatan selesa kita dan jangan terlalu kecil. Objek atau tulisan perlu berlainan kontras untuk mengelakkan ketidakselesaan pada mata. Sebagai contoh tulisan hitam perlulah dipadankan dengan latar belakang berwarna terang dan jangan sesuaikan dgn latar belakang gelap ataupun berserabut dengan pelbagai warna.

6. Kelipkan Mata Dengan Kerap
Cuba senaman ini: Setiap 20 minit penggunaan komputer, berhenti seketika dan kelipkan mata secara perlahan2 (seperti mata orang nak tertidur) sehingga menutup mata seluruhnya. Ulang sebanyak 10 kali dan kemudian teruskan kerja kembali.
Mengikut kajian, individu yang menggunakan komputer, akan kurang berkelip. Kekurangan kelipan mata akan menyebabkan air mata akan menyejat dam meninggalkan lapisan mata tidak mempunyai perlindungan. Fenomena ini disebut ‘Dry Eye’.
Pengguna komputer perlulah menyediakan sebotol ‘artificial tears’ untuk membasahkan mata apabila terasa kering dan berpasir. Keadaan mata kering ini semakin teruk apabila berada dalam bilik atau pejabat yang berhawa dingin.

7. Rehatkan Pandangan
Setelah otot-otot penglihatan memfokus lama pada skrin komputer, rehatkanlah otot-otot terbabit dengan cuba memandang objek jauh seketika setiap 20 minit. Ini dapat mengurangkan kesan stress pada bebola mata anda. Satu lagi latihan yang dapat dilakukan adalah dengan melihat objek jauh selama 10-15 saat dan kemudian kembali melihat objek dekat selama 10-15 saat juga. Ulangi selama 4-5 kali. Latihan ini penting supaya otot-otot fokus tidak kejang akibat penggunaan komputer yang berlebihan. Jika otot-otot fokus kejang, pengguna2 komputer akan kabur melihat objek-objek jauh selepas penggunaan komputer.

8. Luangkan Masa Untuk Berehat
Menurut kajian NIOSH, pengguna komputer yg berehat hanya 5 minit tetapi sebanyak 4 kali sepanjang hari lebih baik dan melegakan berbanding darpada pengguna komputer yang berehat 15 minit sebanyak 2 kali sepanjang hari. Dalam kes ini, kuantiti rehat adalah lebih penting dari masa rehat yg lama. Apabila rehat, lakukanlah ‘stretching’ bahu, leher serta belakang badan untuk melegakan otot-otot yang terlibat.

9. Ubahsuai Susunan Meja Kerja Anda
Jika anda perlu melihat bersilih ganti antara ‘print copy’ dan skrin komputer, letakkan ‘print copy’ bersebelahan dengan monitor dengan menggunakan ‘stand’ untuk mengelakkan keletihan pada otot-otot mata. Boleh gunakan lampu meja tetapi jangan suluh pada skrin komputer atau mata anda.

Ubah suai kerusi anda sama level dengan skrin komputer supaya skrin komputer terletak 10-15 darjah bawah dari satah penglihatan anda. Ubahsuai juga jarak antara mata dan skrin komputer seeloknya sejauh 50 -100 cm (20-40 inci). Berada terlalu dekat dengan monitor/skrin memang sedikit membahayakan bagi mata kita. Seharusnya kita menjaga jarak pandang ke monitor kita dengan baik.

10. Memakai Cermin Mata Khas Untuk Penggunaan Komputer
Pengguna komputer yang berpanjangan (walaupun yang tidak rabun) boleh menimbangkan untuk memakai cermin mata khas untuk memberikan keselesaan dalam melakukan pelbagai kerja dekat.

Dapatkan info dari Optometrist yang berhampiran tentang kanta khas ini. Rujuklah jenama-jenama terkenal di pasaran seperti Hoya Remark dan Essilor Anti-Fatigue.
Jangan terkeliru dengan kanta yang kononnya sebagai kanta untuk komputer tetapi berharga murah. Kanta ini hanya memberi perlindungan terhadap cahaya berlebihan yang dihasilkan oleh komputer tetapi tidak memberi apa-apa fungsi dalam mengelakkan stress pada mata dan SPK keseluruhannya.

Saturday, July 10, 2010

Keracunan Makanan

Keracunan makanan adalah satu masalah gangguan sistem badan manusia yang mana disebabkan oleh kita terhidu, tersentuh mahupun makan bahan kimia yang beracun yang biasanya daripada bengkel, makmal dan juga makanan yang dimakan oleh kita.
Untuk mengatasi masalah ini, pengguna iaitu kuta hendaklah mengamalkan pemilihan makanan bersih da seimbang. Jika makan di luar, kita hendaklah makan di kedai yang bersih yang mana telah digredkan oleh kementerian kesihatan. Kita hendaklah menjauhi gerai-gerai atau gerai makan yang tidak mengamalkan kebersihan kerana jika kita makan di gerai tersebut, kebarangkalian untuk kita mengalami keracunan makanan adalah tinggi.

Risiko untuk kita mengalami keracunan makanan di rumah juga adalah tinggi jika kita tidak mengamalkan penyediaan dan pemilihan makanan yang bersih. Jika tidak mengikut amalan-amalan kebersihan semasa menyedia, menyimpan, menghidang dan juga semasa makan makanan. Patuhi amalan-amalan yang baik untuk mencegah keracunan makanan seperti
• Basuh tangan selepas ke tandas dan sebelum mengendali, menyedia dan menyentuh makanan
• Jangan ambil makanan dengan tangan. Gunakanlah penceduk, garpu, sudu atau penyepit yang bersih
• Gunakanlah alat-alat yang bersih untuk menyediakan makanan. Jangan gunakan alat-alat yang sama bagi makanan mentah dan yang dimasak
• Simpan atau tudung makanan supaya terlindung dari lalat, serangga dan habuk
• Simpan semua bahan makanan yang mudah rosak seperti daging, ikan, ayam, sayur dan susu di dalam peti sejuk sehingga diperlukan. Jika tidak mempunyai peti sejuk, sebaik-baiknya beli bahan makanan untuk keperluan hari itu sahaja.

Friday, July 9, 2010

Pemilihan Makanan Mengikut Islam Yang Patut Diamalkan

Tubuh badan manusia adalah satu organisma hidup yang amat hebat kerana berkeupayaan untuk mengawal, membesar, memperbaiki, dan mempertahankan diri sekiranya kita mengamalkan pengambilan makanan yang seimbang, bermutu tiinggi dan semula jadi.
Di dalam memilih makanan, Islam menekankan agar umatnya mencari yang halal serta baik. Ini kerana faham halalan tayyiban yang dianjurkan dalam Al Quran mencerminkan kepada kita bahawa Islam itu syumul hatta di dalam bab pemilihan makanan sekalipun diperincikan dengan faham yang cukup lengkap panduannya.
Intipatinya mudah,
• pilih makanan yang halal
• sumber rezeki yang halal
• menekankan unsur mutu makanan iaitu pemakanan yang sihat serta makanan yang baik dan bersih untuk kesihatan.

Jika sebelum ini kita hanya terus menyuapkan apa yang kita mahu makan ke dalam mulut kita, ubah pemikiran kita kepada berfikir sejenak sama ada makanan yang kita makan itu halal ataupun tidak. Ini juga adalah untuk kebaikan kita dan juga generasi kita.

Makanan yang kita makan adalah bermutu jika menepati cirri-ciri makanan yang seimbang. Kita hendaklah memikirkan demi kebaikan kita untuk memantapkan lagi kesihatan kita. Salh bin Saad pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW mengamalakan pemakanan buah tembikai berserta dengan buah tamar dan amalan ini merupakan satu pendekatan yang dipamerkan oleh baginda dalam pola pemakanan yang seimbang.

Mungkin di kalangan kita tidak memperhalusi erti tayyib sebenar dan mengambil mudah tentangnya sebelum ini. Namun, kita boleh menanamkan niat agar kita menekankan soal keselamatan makanan yang merangkumi soal kebersihan dan keracunan makanan. Apabila ingin mengubah selera makan diluar, sebagai pengguna yang bijaksana perlulah memilih kedai yang bersih, halal dan selamat. Penyajian makanan juga tidak meragukan kita. Di dalam satu hadis, Anas Ibn Malik meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW membersihkan buah kurma terlebih dahulu sebelum makan. Ini menunjukkan walaupun buah kurma itu makanan yang segar, ia mungkin tercemar oleh debu atau benda- benda lain yang menyebabkan ia tidak elok untuk dimakan. Oleh itu, membasuhnya adalah salah satu cara untuk kita mengekalkan keselamatan makanan tersebut.

Dalam sudut lain mengenai pemakanan, kadang- kadang ramai di antara kita bimbang dengan penampilan saiz badan masing- masing terutamanya wanita. Mungkin ada di kalangan kita mengalami masalah kegemukan. Kegemukan bukan sekadar masalah lahiriah tetapi dari sudut kesihatan ia mungkin mendatang bahaya yang lebih besar iaitu penyakit berkaitan jantung. Ia amat membimbangkan kerana penyakit ini dapat membunuh manusia secara senyap tanpa disedari. Oleh itu, pemakanan yang sihat dapat menjamin bentuk badan yang cantik secara langsung kesihatan yang baik. Bagi yang memiliki bentuk badan yang tidak memuaskan, dengan gaya pemakanan yang seimbang dan senaman yang berkala dapat menurunkan berat badan kepada bentuk yang diingini. Oleh itu, tiket atas dasar kesihatan mungkin menjadi satu titik tolak untuk kita berusaha mencapai berat badan yang unggul dalam memperbaiki taraf kesihatan yang lebih baik. Dengan azam yang kental, kita dapat menterjemahkan impian kita kepada kenyataan.
Sumber: http://tenagadalaman.wordpress.com