Pages

Sunday, May 30, 2010

Migraine

Pengenalan

Migraine ialah satu keadaan di mana sakit kepala terjadi disebabkan oleh aliran darah dan perubahan kimia diotak. Perubahan ini akan menyebabkan arteri yang membekalkan darah ke otak tersekat dan menimbulkan sakit kepala yang diikuti oleh rasa tidak selesa pada perut, loya dan pening. Ia juga kadangkala menimbulkan kesan kepada pandangan.

Jenis-jenis atau Punca Penyakit

Migraine juga ialah sejenis penyakit keturunan. Wanita mempunyai kecenderungan mengidap migrain yg lebih tinggi daripada lelaki.

Sintom

1. Biasanya pesakit mengalami gejala gangguan saraf seperti gangguan kepada pandangan seperti titik buta dan melihat motif seperti zig zag sebelum mengalami sakit kepala

2. Kadang-kadang pesakit melihat sinar cahaya yang amat terang hingga tersa seperti hampir buta

3. Selalunya gejala (1) dan (2) akan berlaku selama 15 hingga 20 minit dan diikuti dengan sakit kepala yang amat sangat. Pesakit akan biasa mengalami sakit kepala yang teruk dan berdenyut denyut disebelah atau satu bahagia kepala sahaja.

4. Ini akan diikuti oleh muntah atau cirit-birit.

SENARAI BACAAN AYAT-AYAT PENAWAR UNTUK PENYAKIT MIGRAINE:

A. Amalan Minggu Pertama dan Kedua:

1. Surah Al-Qasas ayat 51 hingga 59, baca 3 kali selepas solat Magrib atau Isyak dan mohon doa kepada Allah s.w.t.

2. Surah Muhammad ayat 21 hingga 32, baca 3 kali selapas solat Subuh atau waktu pagi dan mohon doa kepada Allah s.w.t.

B. Amalan minggu ketiga dan keempat:

1. Surah Asy-Syura ayat 17 hingga 26, baca 3 kali selepas solat Magrib atau Isyak dan mohon doa kepada Allah s.w.t.

2. Surah An-Naml ayat 71 hingga 81, baca 3 kali selapas solat Subuh atau waktu pagi dan mohon doa kepada Allah s.w.t.

Saturday, May 22, 2010

Refleksologi


Ketidakselesaan pada telapak dan tulang kaki boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit seperti sakit pinggang, bahu, tengkuk dan sembelit kerana kesihatan kaki memberi kesan besar terhadap organ dalaman individu.Rawatan refleksologi kaki membantu individu mencapai tahap kesihatan yang lebih berkualiti kerana ia disifatkan sebagai terapi alternatif dengan mengaplikasi urutan pada titik tertentu di tapak kaki.
Refleksologi juga dikatakan sebagai rawatan yang berguna untuk kesihatan badan kerana kajian membuktikan refleksologi membantu mengurangkan tekanan dan mempengaruhi sistem saraf utama supaya kembali kepada kadar yang optimum.

Ilmu refleksologi; iaitu mengurut titik refleksi yang terdapat di sekitar tapak kaki pesakit. Cara pengubatan ini berasal dari China dan telah diamalkan beribu tahun lamanya sebelum berkembang ke seluruh dunia. Antara keistimewaan pengubatan secara urut refleksi ni adalah ia selamat dan mudah cuma rasa sakit sedikit semasa diurut. Rasa sakit merupakan penunjuk kepada masalah kesihatan tubuh badan anda.

Kaki adalah anggota yang sangat kompleks merangkumi 26 tulang, 57 sendi, 107 ligamen dan 19 otot. Kecederaan tulang, sendi dan ligamen mampu memberi komplikasi kesihatan tubuh seseorang antaranya rasa lenguh lutut, tegang pada bahagian bahu dan masalah buang air besar. Secara semula jadi, tulang tapak kaki manusia agak melengkung. Ia bagi memberikan kekuatan yang lebih untuk menyokong berat badan dan pergerakan. Bagaimanapun, kedudukan tulang tapak kaki boleh berubah jika ia menerima tekanan terus menerus dan tidak diberikan perhatian sewajarnya.

Maksud Titik Refleksi adalah ‘titik pusat urat saraf’. Setiap titik ada kaitan dengan organ tubuh tertentu, jadi dengan mengurut bahagian refleksi akan melancarkan perjalanan darah pesakit. Setiap titik urutan pada tapak kaki mampu melancarkan pengaliran darah sekali gus memelihara anggota tubuh yang lain misalnya urutan pada tengah tapak kaki berkesan untuk merangsang tindak balas terhadap kawasan refleks adrenal dalam tubuh selain membantu melancarkan sistem penghadaman.

Lengkungan tulang tapak kaki setiap orang tidak sama. Secara umumnya ia boleh dibahagikan kepada tiga iaitu lengkungan normal, tinggi atau rendah. Kajian mendapati individu yang memiliki lengkungan tulang tapak kaki normal lebih beruntung kerana tekanan berat badan dapat diagihkan sama rata pada keseluruhan tapak kaki sekali gus kedudukan pergerakan mereka lebih stabil.

Urutan refleksologi kaki ini sesuai kepada semua peringkat umur selain memberi kesegaran berpanjangan, rawatan berkenaan juga membantu meningkatkan daya ketahanan diri dan menambah keselesaan ketika bergerak. Setiap tekanan pada kedua-dua belah tapak kaki akan dilakukan berulang iaitu tiga hingga lima kali. Tekanan pada 30 titik urutan ini mewakili pelbagai organ dalam badan antaranya hati, pundi kencing, jantung, lutut, siku, tulang belakang, dubur dan kerongkong.

Urutan ini juga sesuai bagi warga tua yang mengalami sakit sendi dan sengal tulang kerana ia mengembalikan semula kedudukan lengkungan tulang pada tapak kaki yang tidak sejajar selain sesuai kepada wanita yang gemarkan aktiviti lasak. Kebiasaannya masalah kaki tidak dapat dikesan dalam tempoh singkat dan kesakitan mula dirasai apabila usia mencecah 30 tahun. Kesakitan kaki mempengaruhi fungsi asas kaki selain membataskan pergerakan.

Langkah pencegahan perlu dengan memastikan otot, tulang, sendi dan ligamen sentiasa terpelihara. Wanita tidak boleh mengabaikan penjagaan kaki kerana ia sama penting dengan anggota badan yang lain seperti wajah, rambut dan kuku. Urutan refleksologi kaki ini dilakukan kurang daripada satu jam. Bagi individu yang mengalami masalah bisa pada bahagian tapak kaki disaran melakukan rawatan ini untuk memperoleh kelegaan. Individu digalakkan minum banyak air masak selepas sesi urutan agar toksin lebih mudah dibuang dari badan.

Kelebihan rawatan

Melancarkan pengaliran darah
Meningkatkan daya tahan individu
Mengurangkan risiko tulang reput
Menyeimbangkan kedudukan badan
Melancarkan pergerakan
Menguatkan otot kaki
Mengurangkan risiko kencing tidak lawas
Menguatkan tulang dan pinggul
Mengurangkan risiko sakit sendi
Mengurangkan rasa letih
Mengelak risiko sembelit
Mengurangkan masalah usus
Mengurangkan masalah pada bahagian peranakan.

Refleksologi: Kenali Titik Refleksi Anda



Pentingnya Perjalanan Darah yang Lancar

Untuk membolehkan badan kita berfungsi secara normal, setiap organ memerlukan darah kerana darahlah yang membawa zat makanan yang diperlukan oleh badan seperti oksigen, hormon, antibodi serta membawa keluar bahan buangan kotor(toksin) dalam badan. Lancarnya perjalanan darah maka makin sihatlah badan kita. Jika salah satu organ badan sakit, maka ia memerlukan perjalanan darah yang lancar untuk membantu menyembuhkan penyakit itu.

Tanda-tanda sakit semasa diurut

Seperti yang disebutkan tadi, jika perjalanan darah tidak lancar, organ tubuh akan terhalang dari mendapat zat makanan, manakala bahan buangan yang patut dikeluarkan tertahan-tahan maka kotoran/toksin tu mendap dalam saluran darah. Maka fungsi bahagian badan anda akan terganggu sebab tak cukup darah dan zat makanan, lalu timbullah penyakit. Biasanya pakar urutan ini dapat meneka penyakit yang dialami kerana titik refleksi yang sakit akan rasa macam berpasir, maksudnya ada mendapan toksin dalam saluran darah. Jika rasa sakit semasa diurut, itu tandanya bahagian badan berkenaan ada penyakit. Jadi itulah perlunya ia diurut untuk melancarkan perjalanan darah supaya darah terus membawa zat makanan manakala mendapan toksin dapat dikeluarkan.


Wednesday, May 19, 2010

Pendarahan Darah Haid Yang Berlebihan (Menorrhagia)

Menorrhagia bermaksud pendarahan darah haid yang lebih dari 80ml setiap kitaran haid. Agak sukar untuk menentukan pendarahan berlebihan secara objektif, akan tetapi kalau pendarahan haid itu menyebabkan kualiti hidup seseorang wanita itu terjejas, ia boleh diklasifikasikan sebagai menorrhagia. Ini termasuk terpaksa menggunakan dua tuala wanita sekali gus, atau pendarahan yang hingga melimpah mengotori kain atau tilam.

Sebab-Sebab

Kebanyakkan kes tidak mempunyai sebab-sebab tertentu. Di antara sebab-sebab yang boleh dikenal pasti adalah:
• Gangguan hormon menyebabkan pendarahan rahim
• Polip pangkal rahim atau rahim (ketumbuhan bukn kanser dari selaput rahim atau serviks)
• Endometriosis (selaput dalam rahim yang terdapat di luar rahim secara
tidak normal)
• Fibroid (ketumbuhan dari otot rahim)
• Kekurangan atau berlebihan rembesan hormon tiroid dari kelenjar tiroid

Sebab-sebab lain:
• Akil baligh atau permulaan haid
• IUCD (Alat mencegah kehamilan di dalam rahim)
• Cystic glandular hyperplasia (masalah selaput rahim yang tebal)
• Penyakit radang pelvis (PID) yang kronik (Hyperlink PID)
• Sindrom Polycystik ovari (PCOS)

Sebab-sebab yang jarang:
• Masalah kelenjar pituitari atau rembesan hormon prolactin yang berlebihan.
• Penyakit hati atau ginjal
• Penyakit darah
• Kanser Endometrium (kanser selaput rahim)
• T.B. endometrium (T.B. selaput rahim)

Sesetengah ubat-ubatan boleh menyebabkan pendarahan haid yang banyak seperti ubat yang boleh mencairkan darah atau kemoterapi (untuk kanser).

Diagnosa

Sejarah pesakit perlu ditanya oleh doktor supaya dapat mencari sebab-sebab pendarahan haid (seperti di atas). Anda akan ditanya berapa tuala wanita (pad) yang digunakan sehari termasuk simptom-simptom lain (seperti kekurangan darah dsb). Anda mungkin diminta mengisi satu borang carta yang boleh menolong memberi gambaran ringkas kadar darah haid yang anda alami.
Ujian darah boleh mengesan anaemia (kurang darah), yang boleh disebabkan oleh pendarahan yang banyak dan berlebihan. Ujian Ultrasound rahim boleh mengesan fibroid, polip atau kanser. Jikalau doktor anda tidak dapat mengesan sebab-sebab pendarahan, anda akan dirujuk kepada pakar ginekologi untuk rawatan lanjutan.

Rawatan

Rawatan termasuk ubat-ubatan dan pembedahan.


Asid Tranexamic adalah ubat yang paling mujarab. Ia boleh mengurangkan pendarahan haid dan diambil pada hari-hari haid sahaja. Ia tidak mengurangkan masa pendarahan tetapi lebih mengurangkan kuantiti pendarahan. Ubat-ubat lain seperti anti-radang (Mefenamic acid - Ponstan) juga boleh digunakan. Ia mungkin kurang efektif berbanding asid tranexamic tetapi boleh mengurangkan sakit senggugut.

Pil perancang boleh mengurangkan pendarahan haid berlebihan, sakit sengugut dan pada masa sama menghindar mengandung.

Pembedahan pula termasuk pembedahan membuang rahim (hysterectomy) atau membuang selaput rahim (endometrium). Prosedur membuang selaput rahim ini dipanggil ablasi endometrium. Ablasi ini merangkumi pembakaran dengan tenaga elektrik atau gelombang mikro. Mereka yang menjalani pembedahan hysterectomy tidak akan mengalami pendarahan haid lagi, akan tetapi keperluan membuat pembedahan ini perlu diimbang kosnya yang mahal dan kesan sampingan lain.

Ablasi endometrium adalah pilihan yang baik jikalau pesakit tidak mahu menjalani pembedahan histerektomi. Rawatan ablasi yang menggunakan gelombang mikrowave boleh didapati di kebanyakan hospital-hospital besar di Malaysia.
Sumber : www.infosihat.com

Penjagaan Kaki


Mengapa penjagaan kaki penting?
• Fungsi penting kaki ialah untuk menampung berat badan
• Kaki yang tidak dijaga dengan baik akan menimbulkan banyak masalah
• Masalah kaki akan mempengaruhi gaya berjalan dan imej diri seseorang

Apakah penyebab biasa masalah kaki anda?
• Penyakit
• Saiz kasut yang tidak sesuai
• Kaki yang dimamah usia
• Peredaran darah yang kurang baik
• Kuku kaki yang tidak dipotong dengan betul

Bagaimana menjaga kaki anda?
• Periksa kaki dengan kerap
• Amalkan kebersihan kaki yang baik
• Pilih kasut yang sesuai
• Galakkan pengaliran darah ke kaki dengan:
- Senaman berkala
- Urutan lembut pada kaki
- Rendamkan kaki dalam air suam
- Rehatkan kaki ke paras yang sedikit tinggi selepas lama berdiri atau bila
berasa letih
• Elakkan aktiviti yang boleh mengurangkan peredaran darah ke kaki seperti:
- Tekanan akibat kasut yang ketat
- Duduk terlalu lama
- Duduk bersilang kaki terlalu lama
- Memakai seluar atau stoking kaki yang ketat

Bagaimana cara memilih kasut yang sesuai?
• Gunakan kasut yang sesuai dengan aktiviti yang dilakukan
• Ukur kaki sebelum membeli kasut kerana lebar kaki mungkin meningkat dengan usia
• Beli kasut pada waktu petang kerana kaki akan mengembang setelah berjalan seharian
Cuba kedua-dua belah kasut dan berjalan sekeliling kedai kasut untuk menguji
keselesaan kasut
• Pastikan ada ruang untuk jari-jari kaki anda bergerak
• Pilih kasut yang lembut pada bahagian atas, dibuat dari bahan yang mudah lentur agar sesuai dengan bentuk kaki. Kulit lembut adalah pilihan terbaik kerana ia tidak menyakitkan kaki
• Pilih tapak kasut yang tebal dan lembut dari buatan yang baik. Ia dapat mengurangkan tekanan semasa berjalan, terutama di atas permukaan yang keras
Sumber: infosihat

Bau Makanan Buka Selera Anak

RAMAI ibu bapa berasakan oleh kerana anak-anak mereka sudah cukup 'besar' untuk ke sekolah, mereka juga telah cukup matang untuk memilih makanan sendiri. Anak-anak yang bersekolah berada dalam peringkat umur yang mudah dipengaruhi. Mereka meluangkan lebih banyak masa bersama rakan dan terlibat dalam aktiviti kokurikulum.Televisyen dan komputer menjadi teman setia apabila mereka pulang ke rumah. Besar kemungkinan itulah sumber utama yang mempengaruhi mereka, bukan orang yang paling penting dalam hidup pada masa itu - iaitu anda.

Namun demikian, anak anda masih boleh menjadikan anda sebagai teladan. Gunakan kelebihan ini untuk mengajar mereka di rumah tentang kebaikan dan khasiat pemakanan, tabiat makan yang sihat, dan aktiviti fizikal. Dengan berbuat demikian, anda mempengaruhi pilihan makanan mereka apabila berada di luar. Lebih penting lagi, anda juga mempengaruhi pilihan makanan mereka pada masa hadapan.

Anda boleh memperkasakan anak-anak untuk membuat pilihan yang bijak dalam soal makanan dengan:

1. Memperkasakan diri anda

Dapatkan nasihat daripada pakar pemakanan atau doktor keluarga bagi memperkasakan diri anda dengan pengetahuan mengenai asas pemakanan yang sihat dan cara terbaik untuk memberi anak anda makan. Anda juga boleh membaca tentang pemakanan yang sihat untuk melengkapkan diri dengan maklumat yang betul. Anda akan lebih berkeupayaan untuk mengajar dan memperkasakan anak-anak apabila anda sendiri yakin dengan pengetahuan yang diperolehi.

2. Menjadi suri teladan
Oleh kerana anak anda mudah terpengaruh, anda perlu berusaha untuk menjadi contoh yang baik dalam soal pemakanan dan cara hidup yang sihat. Ini termasuk mengamalkan tabiat makan yang baik, gaya hidup aktif dan menjaga kebersihan diri. Sebagai contoh, apabila anda makan sayur, pastikan anda tidak lupa untuk memberitahunya betapa lazat dan sihatnya sayur yang anda makan. Besar kemungkinan anak anda akan mengikut jejak anda dan mula makan sayur.

3. Mulakan dari kecil
Anda perlu menyemai tabiat makan yang sihat dalam diri anak anda sejak mereka kecil. Mulakan dengan sesuatu yang mudah, tetapi penting. Sebagai contoh, pastikan dia mengambil sarapan setiap pagi sebelum pergi ke sekolah. Anda juga boleh menyediakan makanan dengan cara yang sihat supaya dia boleh mengamalkan tabiat makan yang sihat sejak kecil. Atau, anda boleh menjelaskan kepadanya tentang pentingnya makanan dan snek. Beritahu bahawa makanan harian akan memanfaatkan kesihatan dan akan membolehkannya membesar dan menjadi seorang budak yang kuat dan pintar. Ini akan meningkatkan kemungkinan anak untuk mengamalkan tabiat makan yang sihat dan membuat pilihan makanan yang bijak bukan sahaja di sekolah, tetapi juga sepanjang hayatnya.

4. Jangan putus asa.
Salah satu cara penting untuk menyemai pengetahuan tentang pemakanan yang baik adalah dengan bersabar. Jangan putus asa jika anak anda masih tidak mahu makan sayuran walaupun sudah lima kali diminta. Bersabarlah dan terus mencuba lagi.

Petua berikut sedikit sebanyak dapat menjadikan pembelajaran tentang pemakanan lebih menyeronokkan.

• Berbelanja bersama
Ini adalah peluang baik untuk mendidik anak tentang makanan mentah, seperti sayur-sayuran, supaya dia dapat mengenal bau dan teksturnya.
Masak bersama
Sebagai permulaan, anda boleh menyediakan sarapan bersama anak pada hujung minggu.
Makan bersama
Galakkan keluarga anda untuk makan bersama setiap hari.
• Bermain bersama
Bermain dengan anak adalah cara yang baik untuk anda sekeluarga melakukan aktiviti fizikal.
• Berkomunikasi bersama
Sentiasa luangkan masa untuk berbual dan mendengar rintihan atau luahan hati anak anda.
Ketahui lebih lanjut tentang cara membesarkan anak-anak sihat untuk negara lebih sihat menerusi pelbagai bahan dan aktiviti pendidikan Bulan Pemakanan Sihat Malaysia 2010 (NMM '10) yang dimuatkan dalam laman web www.nutriweb.org.my.

Sumber:Utusan Malaysia

Saturday, May 15, 2010

Khasiat Kekacang



Kekacang dan legum diambil sebagai sumber protein menggantikan daging. Ia juga membantu menstabilkan paras glukos dalam darah, menyeimbangkan tindak balas elektrolit dalam tubuh dan meningkatkan kadar metabolisme serta fungsi tubuh dan otak. Merujuk fahaman orang Timur, kesemua fungsi ini dikawal oleh buah pinggang dan kelenjar adrenal. Kerana itu kekacang dan legum juga dikelaskan sebagai makanan penyokong buah pinggang. Untuk engoptimumkan pengambilan khasiatnya, kekacang seeloknya dimasak dengan minyak atau diambil bersama makanan berasaskan minyak. Misalnya, orang Arab memasak kacang kuda menjadi hummus (dicampur minyak zaitun), orang Jepun masak dengan rumpai laut dan minyak rumpai laut manakala orang Mexico memasak bersama minyak dan cili.

Kacang soya

Mengandungi asid amino dan sumber protein terbaik. Kacang soya seeloknya dijadikan minuman atau dimasak ketika pucuknya tumbuh seperti tauge. Untuk memasak kacang soya, rendam selama enam hingga lapan jam. Kemudian rebus dalam air yang ditapis. Kacang soya tidak boleh dimakan mentah kerana ia keras dan mungkin mengandungi toksik.

Fungsi: Mengekalkan kesihatan pankreas dan hempedu, meningkatkan perjalanan darah dan penglihatan, meningkatkan kuantiti susu badan, menyingkirkan toksin dan keracunan makanan, bertindak sebagai diuretik, mengelak loya dan masalah kulit serta sembelit.

Kacang soya hitam

Fungsi: Melindungi limpa dan pankreas, menggalakkan perjalanan darah, menyeimbangkan paras elektrolit dalam badan, mengelak masalah batu karang, bertindak sebagai diuretik, melegakan radang, menggalakkan metabolisme, mengurangkan masalah sakit belakang, mengelakkan osteoporosis, sakit di lutut, kejang dan juga radang pada saluran kencing.

Kacang hijau

Asal dari Pakistan, kini boleh didapati di kebanyakan negara Asia Tenggara. Mengandungi karbohidrat, fiber, protein, vitamin dan mineral terhidrat.
Fungsi: Meneutralkan toksin dalam tubuh, menyeimbang kesihatan hati dan hempedu; mengurangkan radang, melegakan jangkitan salur kencing, mengurangkan pengumpulan air, tekanan darah tinggi, asid gastrik dan masalah jantung serta darah.

Dhal

Mengandungi 26 peratus protein.
Fungsi: Meningkatkan metabolisme buah pinggang, menyuburkan perjalanan darah ke jantung dan mengekalkan fungsi otot serta kepadatan tulang.

Kacang kuda

Sumber terbaik zink, folat, protein, fiber, karbohidrat dan rendah lemak.
Fungsi: Mengekalkan kesihatan pankreas, usus kecil dan jantung; menyeimbangkan sistem hormon tubuh.
Sumber: Utusan Malaysia

Monday, May 10, 2010

Piramid Makanan

Pengenalan
Pengambilan makanan yang sihat dapat memastikan bahawa tubuh badan dan otak kita dapat menerima semua nutrien yang mencukupi bagi membolehkan ianya berfungsi dengan baik.

Piramid Makanan Malaysia digunakan sebagai panduan dalam penyediaan makanan sihat.

piramid makanan

Berapakah kuantiti makanan yang seharusnya diambil?
Anda perlulah mengambil makanan mengikut sajian makanan yang telah disarankan oleh Piramid Makanan Malaysia.

Setiap individu mempunyai saiz sajian yang berbeza-beza mengikut tahap aktiviti fizikal masing-masing. Contohnya, seorang atlit atau seseorang yang aktif dalam sukan memerlukan saiz sajian makanan yang lebih besar berbanding mereka yang kurang aktif.

Berapakah kalori yang diperlukan?
Saranan Pengambilan Nutrien Malaysia (RNI) boleh digunakan sebagai panduan dalam mendapatkan jumlah kalori harian yang diperlukan oleh seseorang.

Kegagalan dalam mematuhi panduan tersebut boleh mengakibatkan berlakunya masalah kekurangan berat badan, berlebihan berat badan dan kegemukan / obesity.

Rancanglah Menu harian anda dengan baik bagi memastikan makanan yang anda ambil itu dapat memenuhi keperluan kalori harian anda.

Bagaimana dengan makanan snek?
Pengambilan makanan snek juga turut membekalkan nutrien dan tenaga kepada kita. Namun, pengambilan makanan snek perlulah hanya dijadikan sebagai makanan tambahan kepada menu utama dan bukannya sebagai pengganti kepada menu utama tersebut.
Piramid Makanan Malaysia turut menyarankan jenis-jenis makanan snek yang boleh diambil oleh kita.

Adakah makanan segera itu baik?
Makanan segera boleh diambil sebagai sebahagian daripada sajian sihat harian anda.

Namun, makanan segera kebiasaannya adalah tinggi dalam :

* Kalori.
* Lemak.
* Kolesterol.
* Natrium.
* Protein.

Makanan segera juga mempunyai kandungan gentian dan vitamin yang rendah.

Hadkan pengambilan makanan segera sehingga 1 hingga 2 kali sebulan serta makan dan pilihlah makanan segera dengan bijak.

Sarapan Pagi Penting Untuk Kesihatan

Ingin ketahui rahsia untuk menjadi bijak, gembira dan langsing tubuh badan? Jangan sesekali tinggalkan sarapan pagi!

Namun ramai yang tidak menyedari perkara itu. Memulakan hari dengan sarapan pagi adalah penting bagi membantu seseorang untuk berfikir, merasa dan kelihatan lebih baik. Ia juga penentu suasana untuk hari itu yang seterusnya.

"Kajian baru-baru ini menunjukkan bahawa mereka yang kerap mengambil sarapan pagi mempunyai sikap yang lebih positif, langsing dan mempunyai prestasi mental yang lebih baik," kata pakar nutrisi Nestle Malaysia, Cher Siew Wei.

Ini kerana badan kita menggunakan gula atau glukos dalam darah untuk tenaga. Apabila kita bangun daripada tidur, paras gula dalam darah adalah rendah kerana kita 'berpuasa' semalaman. Jadi, dengan pengambilan sarapan pagi yang penuh khasiat dan seimbang, ia akan membantu menyumbangkan tenaga yang cukup untuk memulakan hari anda.

Berat badan dan mood

Siew Wei berkata, memulakan hari dengan sarapan yang seimbang khasiatnya mempunyai kesan positif ke atas kepekaan, tumpuan dan membantu pelajar dan pekerja meningkatkan sikap yang positif terhadap pelajaran atau tugas masing-masing.

"Tidak menghairankan, jika diberi sarapan yang kaya dalam karbohidrat yang kompleks seperti roti jagung, minuman bijirin penuh dan sarapan bijirin penuh, akan meningkatkan paras glukos otak," kata beliau.

Makan untuk turunkan berat badan mungkin satu konsep yang paradoks kepada sesetengah orang. Namun begitu, kajian telah membuktikan bahawa makan sarapan pagi membantu membendung selera anda untuk hari berkenaan di samping mempertingkatkan metabolisme . Ini sudah pasti membantu seseorang untuk mengurangkan berat badan.

Siew Wei berkata, peningkatan metabolisme bermula dengan pembakaran maksimum jumlah kalori untuk menjana aktiviti anda.

Adakah anda seorang penggemar karbohidrat yang sedang berusaha untuk mengurangkan berat badan? Sarapan pagi adalah masa terbaik untuk mengambil karbohidrat memandangkan anda mempunyai masa sepanjang hari untuk membakar dan menggunakannya sebagai tenaga untuk badan dan otak untuk bekerja. tetapi, pastikan untuk memilih bijian penuh yang tinggi serat.

Pengambilan karbohidrat waktu pagi adalah 'lesen' untuk anda tanpa menjejaskan usaha menguruskan badan.

Siew Wei berkata, mereka yang meninggalkan sarapan pagi juga dilihat cenderung memilih makanan yang mengandungi tinggi kalori pada waktu makan berikutnya. Untuk jangka panjang, ini boleh membawa kepada pembentukan penyakit kronik.

"Banyak kajian menunjukkan hubungan antara pengambilan sarapan pagi dan pengurusan berat badan. Satu kajian oleh Jurnal Penyelidikan Obesiti pada 2002 melaporkan bahawa 3,000 sukarelawan di Amerika Syarikat mendapati 78 peratus daripada mereka berjaya mengurangkan berat badan dan mengekalkan berat badan itu hasil pengambilan sarapan pagi setiap hari.

"Hasilnya mendapati bahawa pengambilan sarapan pagi setiap hari adalah satu bentuk lumrah untuk mengekalkan penurunan berat badan," kata beliau.

Rutin pagi

Satu lagi kajian oleh Universiti Texas, El Paso di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa mengambil sarapan pagi boleh meningkatkan pengeluaran leptin, sejenis hormon yang menyekat selera.

Bagaimanapun kajian Nutrisi Dewasa Malaysia (2003) menunjukkan bahawa satu daripada 10 orang dewasa Malaysia tidak mengambil sarapan pagi.

Satu kajian bersama oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Nestle mengenai Status Nutrisi dan Tabiat Diet Pelajar Sekolah Rendah di Malaysia (2007-2008) menunjukkan bahawa satu daripada tiga pelajar sekolah rendah pergi ke sekolah dengan perut kosong.

Alasannya? Daripada 11,371 pelajar sekolah rendah, 45 peratus berkata, mereka tidak mengambil sarapan pagi kerana tidak mempunyai masa, 22.2 peratus tidak lapar manakala 17.6 peratus tidak berselera.

"Tiada selera atau tiada masa untuk sarapan pagi adalah sama dengan 'saya tidak mempunyai masa untuk bersenam' sebagai alasan," kata Siew Wei.

"Jika anda mahu membiasakan semula diri untuk bersarapan pagi tetapi 'tiada selera' menjadi halangan, mulakan dengan sesuatu yang sedikit dan senang untuk disediakan dan tumpukan perhatian untuk menjadikannya sebagai sebahagian daripada rutin pagi," katanya.

Tiada istilah lambat untuk sarapan pagi! Sarapan pagi ditafsirkan sebagai hidangan pertama pada hari anda yang perlu diambil dalam tempoh satu jam selepas bangun daripada tidur.

"Jadi, walaupun anda bangun hampir waktu makan tengah hari, makanlah sesuatu. Ia masih dianggap sarapan pagi," kata Siew Wei.

Sesetengah kita mungkin memilih untuk menunggu waktu makan tengah hari dan mengambil kedua-duanya sekali. Siew Wei menasihatkan agar ini tidak dilakukan.

"Sarapan pagi adalah permulaan pengambilan makanan selepas 'berpuasa' waktu tidur, jadi sekiranya anda bangun lewat, jangan tunggu untuk hidangan makanan selepasnya. Makan dulu sesuatu.

"Anda tidak boleh menggantikan sarapan pagi dengan memakan lebih pada waktu makan tengah hari. Ia tidak berkesan cara itu. Malah, ia boleh membahayakan tubuh dan kesihatan," katanya. - Bernama

Saturday, May 8, 2010

Pengisian Kerohanian Cara Sekat Laman Web Lucah

Baru-baru ini negara digemparkan dengan berita yang menyatakan betapa mudahnya kanak-kanak boleh mengakses 1.5 juta laman web lucah. Ini ditambah lagi dengan kewujudan 33 juta laman pornografi yang dikunjungi pengguna internet saban hari. Persoalan seperti punca wujudnya laman web berkenaan, siapa yang bertanggungjawab dan cara penyelesaiannya pasti akan meniti di kalangan kita yang risau mengenai risiko pencemaran budaya dan jati diri generasi muda hari ini. Pelbagai saranan, tindakan serta penguatkuasaan undang-undang telah dikenakan kepada pesalah yang menodai kesucian golongan juvana kini. Daripada penerbitan gambar, poster, kaset, pita video, VCD, DVD, kini mereka maju ke depan dengan memuat turun perisian berbaur lucah ke ruang siber.

Internet yang mula diperkenalkan lewat abad lalu, telah banyak menyumbang kepada penetapan landasan kemajuan sesebuah negara. Perniagaan maya, promosi barangan, kemudahan persidangan video dan bertukar-tukar idea ekonomi, dilihat mengangkat martabat internet sebagai wahana kemajuan tamadun manusia kini. Tetapi, bagaimana pula peranan internet untuk melahirkan tamadun keinsanan? Lihat sajalah di kafe siber, kemudahan internet pada sebahagian besar anak muda hari ini tidak lain hanyalah sebagai ruang sembang kosong, memeriksa kandungan e-mel, bermain permainan visual secara local area network, memuat turun nada dering dan terkini, melawat laman web porno sekadar untuk merasai kenikmatan sementara.

Ada apa dengan laman porno ini, sehinggakan ramai yang ketagih mengaksesnya? Apa sebenarnya yang dicari dan sejauh mana ia mencemar akal budi? Jawapannya mudah. Ramai yang akan menjawab, ‘Alaa, sekadar suka-suka’, mengurangkan tekanan, ingin tahu dan tidak kurang juga yang memberi alasan tidak sengaja. Menghalang pengaksesan laman lucah ini cara terbaik yang mampu dilaksanakan secara gerak gempur teknikal. Kita berharap agar usaha ini mampu menyekat sebahagian besar laman lucah berkenaan.

Di sebalik sekatan akses ini, perlu dilihat apa yang bakal berlaku pasca sekatan jutaan laman pornografi ini? Apa yang terjadi, apabila si penagih dadah misalnya, dirampas daripada mulutnya dadah yang sedang gian dihisap? Pasti dia berusaha mencari bekalan dadah lain, biarpun terpaksa mencuri dan sanggup membunuh. Inilah yang menjadi kerisauan, apabila pelanggan laman lucah ini tiba-tiba gagal menemui laman lucah yang boleh diakses, lantas bertindak mencari jalan yang lebih buruk untuk memuaskan nafsunya. Di sinilah Islam berperanan menawarkan bukan saja pakej sekatan yang bersifat teknikal, malah seiring dengannya, perisian kerohanian. Sejarah umat terdahulu menyaksikan keruntuhan sesebuah tamadun bangsa sentiasa bertitik tolak daripada hati yang kotor. Terbentuknya hati yang kotor itu, selalu dikaitkan dengan mata yang selalu memandang perkara yang diharamkan Allah, tangan yang melakukan kerja keji dan kaki yang sering melangkah ke tempat dosa.
Penyelesaian yang boleh diusahakan bersama adalah menyekat laman lucah ini, menyucikan hati dengan hiburan yang mendidik jiwa dan menyayangi sesama kita.

Sumber: http://www.pkpim.net

Friday, May 7, 2010

Durian Belanda - Penawar Sebenar Kanser

Durian Belanda atau Soursop, buah dari pohon Graviola adalah pembunuh
semulajadi sel kanser yang ajaib dengan 10 ribu kali lebih kuat dari
pada terapi kemo. Tapi kenapa kita tidak tahu?

Kerana salah satu perusahaan dunia telah menutup rahsia penemuan
penyelidikan tentang khasiat buah ini sebaik mungkin, mereka ingin
agar dana penyelidikan yang dikeluarkan sangat besar, selama
bertahun-tahun, ditambah pula keuntungan yang melimpah dengan cara
menjadikan pohon Graviola Sintetis sebagai bahan utama ubat rawatan
kanser.

Pohonnya rendah, di Brazil dinamai 'Graviola', di Sepanyol 'Guanabana'
bahasa Inggeris dipanggil 'Soursop'. Di Indonesia, dikenali sebagai
buah Sirsak manakala di Malaysia dipanggil sebagai Durian Belanda.
Buahnya agak besar, kulitnya berduri lembut, isi buah berwarna putih,
rasanya masam-masam manis, dimakan dengan cara membuka kulitnya atau dibuat jus.

Khasiat dari buah durian belanda ini memberikan kesan anti tumor /
kanser yang sangat kuat, dan terbukti secara perubatan menyembuhkan
segala jenis kanser. Selain menyembuhkan kanser, buah ini juga
berfungsi sebagai anti bakteria, anti fungus, berkesan melawan
berbagai jenis parasit dan cacing, menurunkan tekanan darah tinggi,
kemurungan, stress, dan menormalkan kembali sistem saraf yang kurang
baik.

Salah satu contoh betapa pentingnya kewujudan Institut Sains Kesihatan
bagi orang-orang Amerika adalah kerana institut ini telah membuka
tabir rahsia buah ajaib ini. Fakta yang membingungkankan adalah: Jauh
dipedalaman hutan Amazon, tumbuh 'pohon ajaib', yang akan merubah cara
berfikir anda, doktor anda, dan dunia mengenai proses penyembuhan
kanser dan harapan untuk bertahan hidup.

Hasil penyelidikan membuktikan “pohon ajaib” dan buahnya ini :

i) Menyerang sel kanser secara efektif dan semulajadi, TANPA rasa
mual, berat badan turun, rambut gugur, seperti yang terjadi pada
terapi kemo.

ii) Melindungi sistem kekebalan tubuh dan mencegah dari jangkitan yang
mematikan.

iii) Pesakit merasakan lebih kuat, lebih sihat selama proses perawatan
/ penyembuhan.

iv) Menambah tenaga dan penampilan fizikal semakin bertambah baik.
Sumber berita sangat mengejutkan ini berasal dari salah satu pengeluar
farmasi terbesar di Amerika. Buah Graviola telah diuji lebih dari 20
makmal, sejak tahun 1970-an hingga beberapa tahun berikutnya.

Hasil ujikaji dari ekstrak (sari) buah ini adalah :

1. Secara berkesan memilih sasaran dan membunuh sel jahat dari 12
jenis kanser yang berbeza, diantaranya kanser : Usus Besar, Payu Dara,
Prostat, Paru-Paru dan Pankreas.

2. Daya kerjanya 10,000 kali lebih kuat dalam memperlambatkan
pertumbuhan sel kanser dibandingkan dengan Adriamycin dan Terapi Kemo
yang biasa digunakan!

3. Tidak seperti terapi kemo, ekstrak buah ini secara selektif hanya
memburu dan membunuh sel-sel jahat dan TIDAK membahayakan atau
membunuh sel-sel yang sihat.

Penyelidikan telah dilakukan secara ekstensif pada pohon “ajaib”
ini,selama bertahun-tahun tapi kenapa kita tidak tahu langsung
mengenai hal ini ? Jawabnya adalah : Begitu mudah kesihatan kita,
kehidupan kita, dikendalikan oleh yang memiliki wang dan kekuasaan!

Salah satu perusahaan ubat terbesar di Amerika dengan aset jutaan
dollar melakukan penyelidikan luar biasa pada pohon Graviola yang
tumbuh dihutan Amazon ini. Ternyata beberapa bahagian dari pohon ini :
kulit kayu, akar, daun, isi buah dan bijinya, selama berabad-abad
lamanya telah menjadi penawar bagi suku Indian di Amerika Selatan
untuk menyembuhkan : sakit jantung, asma, masalah berkaitan hati dan
rematik. Dengan bukti-bukti ilmiah yang minimum, perusahaan yang
mengumpulkan dana dan sumber usaha manusia yang sangat besar bagi
tujuan melakukan penyelidikan dan berbagai ujian. Hasilnya sangat
menakjubkan. Graviola secara ilmiah telah terbukti sebagai agen
pembunuh sel kanser yang berkesan !

Tapi… kisah Graviola hampir berakhir disini. Kenapa?

Dibawah undang-undang persekutuan, sumber bahan semulajadi untuk ubat
adalah DILARANG dipatentkan.

Perusahaan menghadapi masalah besar dan mereka berusaha sedaya upaya dengan pembiayaan sangat besar untuk membuat klon tiruan dari Graviola
ini agar ianya dapat dipatentkan sehingga dana yang dikeluarkan untuk
penyelidikan dan ujian dapat dituntut dan bahkan mengaup keuntungan
besar. Tapi usaha ini tidak berhasil kerana Graviola tidak berjaya
diklon. Perusahaan gigit jari setelah mengeluarkan dana jutaan dolar
untuk usaha penyelidikan mereka.

Ketika mimpi untuk mendapatkan keuntungan besar beransur-ansur pudar,
kegiatan penyelidikan juga turut berhenti. Lebih parah lagi,
perusahaan menutup projek ini dan memutuskan untuk TIDAK menerbitkan
hasil penyelidikan ini.

Beruntunglah, ada salah seorang ilmuwan dari kumpulan penyelidik tidak
sanggup melihat kekejaman ini terjadi. Dengan mengorbankan kerjayanya,
dia menghubungi sebuah perusahaan yang biasa mengumpulkan bahan-bahan bersumberkan semulajadi dari hutan Amazon untuk penghasilan penawar.

Ketika para pakar penyelidik dari Institut Sains Kesihatan mendengar
berita keajaiban Graviola, mereka mulai lakukan usaha penyelidikan.
Hasilnya sangat mengejutkan. Graviola terbukti sebagai pohon pembunuh
sel kanser yang berkesan.

The National Cancer Institute mulakan penyelidikan ilmiah yang pertama
pada tahun 1976. Hasilnya membuktikan bahawa daun dan batang kayu
Graviola mampu menyerang dan menghancurkan sel-sel jahat kanser.
Sayangnya hasil ini hanya untuk keperluan dalaman dan tidak
dihebahkan.

Sejak 1976, Graviola telah terbukti sebagai pembunuh sel kanser yang
luar biasa pada ujikaji yang dilakukan oleh 20 makmal bebas yang
berbeza.

Satu kajian yang dihasilkan oleh the Journal of Natural Products
menyatakan bahawa kajian yang dilakukan oleh Catholic University di
Korea Selatan, mendakwa bahawa salah satu unsur kimia yang terkandung
di dalam Graviola, mampu memilih, membezakan dan membunuh sel kanser
usus besar dengan 10,000 kali lebih kuat berbanding dengan Adriamycin
dan terapi kemo!

Sebuah kajian di Purdue University pula membuktikan bahwa daun
Graviola mampu membunuh sel kanser secara berkesan, terutama sel
kanser: Prostat, Pankreas, dan Paru-paru.

Setelah hampir 7 tahun tidak ada berita mengenai Graviola, akhirnya
berita keajaiban ini pecah juga, melalui informasi dari Lembaga-lembaga seperti disebutkan terdahulu.

Kisah lengkap tentang Graviola, dimana memperolehnya, dan bagaimana
cara memanfaatkannya, dapat dijumpai dalam Beyond Chemotherapy: New
Cancer Killers, Safe as Mother’s milk, sebagai bonus istimewa percuma
terbitan Health Sciences Institute. Sekarang anda tahu manfaat durian
belanda yang luar biasa ini. Rasanya manis-manis masam begitu
menyegarkan. Buah yang 100% semulajadi tanpa sebarang kesan sampingan.
Sumber: Hamba Allah.

Sunday, May 2, 2010

Garam Berlebihan Bawa Penyakit

APA yang anda makan hari ini? Kalau di rumah, anda mungkin dapat mengawal makanan sekeluarga. Di luar sama ada anak anda di sekolah atau pasangan anda di pejabat, mereka mungkin makan makanan yang anda bekalkan atau membeli makanan yang dijual di kafe, restoran atau kantin.

Misalnya, apabila loceng berbunyi di akhir sesi sekolah, lain pula ceritanya. Anak-anak mungkin mengisi perut dengan snek atau makanan ringan apalagi jika masih ada banyak duit belanja di saku.
gula. Ada juga snek yang disertakan dengan barang permainan yang dijadikan sebagai umpan pembelian.

Snek semakin menjadi isu besar khususnya dalam kalangan generasi muda yang juga boleh menjurus kepada pelbagai isu kesihatan jika dibiarkan berleluasa.
Si ibu yang mengandung pula tidak boleh berpisah dengan jeruk. Kata mereka, ia menjadi kegemaran untuk menghilangkan rasa loya. Benar atau tidak, orang ramai juga perlu mengkaji kandungan garam pada jeruk. Ia mungkin memberi kesan pada ibu dan bayi yang dilahirkan.

Lain pula ceritanya warga kota yang gemarkan makanan yang diproses dalam tin seperti sardin dan sebagainya. Kesibukan berkerja atau tempat membeli makanan segar yang terhad menggalakkan senario ini. Mungkin tidak salah tetapi cuba baca label makanan tersebut kerana ia mungkin mengandungi garam yang berlebihan.Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan menyuarakan kebimbangan masyarakat dalam pengambilan garam. Ramai tidak menyedari garam juga memberi kesan terhadap kesihatan. Jiika gula popular dengan kencing manis, garam pula sering dikaitkan dengan darah tinggi. Malah, garam juga menjadi ibu segala penyakit kerana masalah darah tinggi boleh memberi kesan kepada jantung, buah pinggang, masalah obesiti dan sebagainya.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, selain daripada mengurangkan pengambilan gula, orang ramai disarankan supaya mengurangkan pengambilan garam ataupun natrium dan sodium dalam makanan.

Saranan pengurangan garam tidak melebihi satu sudu atau lima gram dibuat berikutan hasil kajian di Hong Kong yang mendapati beberapa produk makanan dalam tin seperti daging lunceon dan sardin mempunyai kandungan natrium atau sodium yang tinggi. Kajian tersebut yang dilaporkan agensi berita antarabangsa pada 15 April lalu, mendapati kandungan natrium dalam makanan melebihi saranan pengambilan harian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Seperti yang ditegaskan Tiong Lai, daging lunceon dan sardin dalam tin merupakan makanan yang terproses dan mengandungi garam, air dan bahan pengawet seperti natrium nitrat, kalium nitrat, natrium nitrit atau kalium nitrit. Natrium boleh digunakan sebagai ramuan makanan atau bahan pengawet.

Di Malaysia, pelabelan bagi nitrat tidak diwajibkan memandangkan fokus pelabelan pemakanan hanya bagi empat nutrien utama -- tenaga, protein, karbohidrat dan lemak, dengan pemantauan ke atas kandungan natrium hanya dibuat bagi makanan terproses.
Di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, standard bagi garam (natrium klorida) ditetapkan di bawah peraturan 283, di mana garam perlu mengandungi tidak kurang daripada 95 peratusan natrium klorida.

Bagaimanapun, beberapa standard makanan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 mempunyai peruntukan membenarkan penambahan garam, dengan peruntukan khusus bagi paras garam atau natrium yang perlu tambah seperti untuk belacan, cincalok, sos ikan, ikan kering dan pekasam (jeruk).

Liow berkata, peraturan Diet Makanan 2010 menyarankan pengambilan garam tidak melebihi satu sudu atau lima gram garam, bersamaan 2000 miligram natrium sehari, dan ini selaras dengan saranan WHO (2007).

"Berdasarkan kajian pengambilan makanan di kalangan Orang Dewasa Malaysia 2002/2003, pengambilan natrium di kalangan rakyat Malaysia adalah sebanyak 2,575 miligram sehari. "Ini menunjukkan rakyat Malaysia mengambil natrium melebihi jumlah yang disarankan. Kajian yang sama juga mendapati pengambilan garam yang tinggi dikaitkan dengan peningkatan tekanan darah," katanya. Berdasarkan Panduan Diet Malaysia 2010 yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, terdapat beberapa contoh makanan yang tinggi kandungan natrium melebihi paras 480 mg natrium seperti -- kacang panggang (tin), sayur/sayur jeruk (tin), sup tomato (tin), ayam goreng (makanan segera), kari ayam (tin), kiub ayam, rendang daging (tin), kari daging (tin) dan sardin (tin).
Selain itu kicap pekat dan kicap cair, kondimen seperti sos tomato/cili/tiram, cincalok dan belacan juga melebihi paras 480 mg natrium.

Sehubungan itu, Liow menyeru orang ramai mengurangkan penggunaan garam dan sos dalam makanan selain kurangkan pengambilan makanan dalam tin, dijeruk atau makanan digaramkan seperti telur masin. "Utamakan makanan segar seperti daging segar berbanding daging ditinkan. Rendam dahulu makanan yang bergaram (seperti ikan masin/ikan bilis) sebelum dimasak untuk membuang garamnya. "Sekiranya membeli makanan terproses, baca panel maklumat pemakanan pada label makanan untuk mengetahui kandungan garam dan pilihlah produk yang mengandungi kurang kandungan natrium," katanya.

Kesedaran

Sementara itu, menurut Pakar Pemakanan Hospital Pantai Ampang, Nor Lizawati Che' Lah, natrium sebenarnya perlu untuk melancarkan proses bendalir dalam badan. Namun kandungan natrium perlu ada hadnya kerana jika berlebihan, ada yang tidak boleh dibuang. Ia sekali gus memberi kesan kepada kesihatan.

"Pengambilan garam yang normal adalah 2400 miligram sodium atau satu sudu teh garam. Menurut kajian di Amerika, pengambilan garam melebihi 3,000 miligram akan meningkat cara pengambilan makanan segera.
Sebaliknya, dalam makanan yang diproses terdapat 75 peratus garam yang tersembunyi," katanya. Tambah Nor Lizawati, jika pengambilan garam diambil secara berlebihan, ia akan menyebabkan penyakit darah tinggi, jantung, osteoporosis, kanser perut, gastrik dan buah pinggang.

Mengakui hakikat kewujudan pelbagai jenis garam, Nor Lizawati berpendapat, kandungan atau kesannya tidak jauh berbeza. Misalnya, ada kajian yang dilakukan ke atas garam laut, kandungan mineral lebih baik daripada biasa dan ia lebih masin. Namun, terdapat garam tiruan seperti pan salt. Ia mungkin lebih masin dan lama-kelamaan lebih pahit daripada garam biasa. Mengulas kesedaran masyarakat tentang isu ini, ia masih ditahap yang rendah. Nor Lizawati memberitahu, walaupun ada kempen mengurangkan garam dan menggantikannya dengan rempah atau perahan limau, garam masih menjadi perisa utama.Antara langkah pencegahan yang boleh dilakukan adalah memesan makanan kurang garam dan MSG ketika makan di restoran.

Berdasarkan pengalaman Nor Lizawati, beliau pernah berdepan dengan pesakit darah tinggi yang baru berusia 12 tahun. Hakikatnya, garam bukan sahaja menyebabkan penyakit tersebut, ia juga menjadi punca utama obesiti."Apabila kita makan makanan yang mengandungi lebih garam, kita akan berasa cepat haus. Justeru itu, seseorang itu tidak akan berasa puas minum air kosong dan dia lebih gemarkan minum air jus atau manis. Kemudian, dia akan berasa nak makan lebih. Akhirnya, dia tidak dapat mengawal pemakanan dan berat badannya mencapai paras obesiti.

Bagi ibu mengandung, pada trimester kedua dan ketiga, mereka tidak digalakkan mengambil garam berlebihan seperti jeruk buah kerana ia akan menyebabkan kaki bengkak.

Penyelesaian kepada masalah ini, orang ramai digalakkan makan lebih buah-buahan dan sayur-sayuran.
Sumber: Utusan Malaysia