Ubat bantu hadkan masalah tubuh terketar-ketar, tingkatkan kualiti hidup pesakit
MASA depan anda tidak semestinya gelap andainya disahkan menghidap Parkinson. Biarpun ia bukan penyakit yang dapat dipulihkan, masih ada beberapa cara untuk mengubatinya dengan lebih berkesan bagi mengurangkan simptom penyakit ini.
Kebanyakan simptom ini disebabkan kekurangan dopamine dan ubat yang lazimnya digunakan pula cuba mengambil alih atau meniru fungsi dopamine yang bertindak membantu mengurangkan gerak tubuh terketar-ketar dan memperlahankan masalah pergerakan badan.
Ada beberapa jenis ubat-ubatan baru yang kini dikaji kemampuannya, termasuk dipercayai dapat memperlahankan penularan penyakit itu. Kebanyakannya menjanjikan peluang cerah memperbaiki kualiti hidup pesakit yang menghidapinya.
Dalam usaha mengubati Parkinson, ada beberapa kelas ubat-ubatan berbeza digunakan bagi peringkat penyakit berlainan sama ada digabung atau secara sendiri. Ini bergantung kepada tahap penyakit, usia pesakit dan toleransi terhadap rawatan perubatan. Malah rawatan awal bergantung kepada individu.
Kelas ubat-ubatan yang digunakan termasuk levodopa, dopamine agonists, COMT-inhibitors, MAO-B-inhibitors dan ubat anticholinergic. Ada beberapa jenis ubat-ubatan baru yang masih pada peringkat kajian yang mampu memperlahankan penyakit ini. Kebanyakannya mampu mempertingkatkan kualiti hidup pesakit yang menghidap penyakit ini.
Levodopa misalnya, menjadi ubat paling kerap digunakan untuk Parkinson dan cukup berkesan dalam usaha mengurangkan tiga simptom utama penyakit ini - pergerakan yang perlahan, ketegangan dan terketar-ketar.
Dopamine agonist bertindak dengan mempertingkatkan aktiviti dopamine dalam otak. Ia bertindak dengan meniru fungsi dopamine yang berkurangan bagi pesakit Parkinson. Kajian menunjukkan rawatan awal menggunakan dopamine agonist mampu mengurangkan insiden komplikasi motor.
Ubat Penyekat COMT pula berfungsi menyekat tindakan catechol-O-methyl transferase (COMT) - sejenis enzim yang memetabolismakan lepodova sebelum sampai ke otak. Ubat ini biasa digunakan bersama levodopa, membantu memanjangkan tindakan lepodova bagi memastikan dos lebih kuat dibekalkan kepada pesakit - lebih menambahkan kadar dopamine dan meningkatkan mobiliti fizikal.
Penyekat-MAO-B turut digunakan bersama kombinasi levodopa dan dikatakan sangat berkesan pada peringkat awal Parkinson kerana dapat melengahkan penyakit daripada serius. Penyekat MAO-B membantu mengurangkan simptom Parkinson dengan menyekat monoamine oxidase-B (MAO-B) yang merosakkan dopamine.
Akhir sekali, anticholinergic iaitu ubatan sokongan yang digunakan untuk mengurangkan kimia semula jadi dalam otak - acetylcholine yang mengaktifkan otot. Bagaimanapun, anticholinergics membantu menurunkan kadar kimia dalam apa disifatkan ‘pemancar’ saraf ini bagi mengurangkan simptom Parkinson. Ia berguna bagi merawat pesakit yang mengalami simptom seperti masalah terketar-ketar.
Oleh itu, pemantauan tetap oleh pakar saraf, pesakit dan penjaga cukup penting bagi memastikan dos betul dan jenis ubat-ubatan (secara kombinasi) untuk merawat kerana setiap kes adalah unik.
Kita juga perlu tahu ubatan yang disarankan kepada pesakit Parkinson ada kesan sampingannya seperti loya, muntah dan pening. Kesan sampingan paling serius ialah gerakan tubuh secara tiba-tiba yang biasanya tidak dapat dikawal pesakit atau menjangka gerakan tubuh yang tersentak akibat rawatan levodopa yang berterusan.
Masalah ini tidak boleh dipulihkan kerana akan hadir sepanjang hayat. Keadaan ini juga penyebab utama timbulnya stigma sosial, menyebabkan pesakit Parkinson malu untuk berhadapan dengan masyarakat. Oleh itu, rawatan menggunakan levodopa dielakkan pada peringkat awal Parkinson (5-10 tahun), bertujuan mengelak perkembangan gerakan tubuh tiba-tiba atau dyskinesia pada peringkat seterusnya.
Ubat jenis Dopamine agonist juga boleh menyebabkan kesan sampingan seperti loya, pening, mengantuk, kekeliruan dan tekanan darah rendah. Mujur, dengan kemunculan ubat-ubatan baru seperti Ropinirole, kekerapan kesan sampingan berkurangan dan diharapkan ubatan yang bakal muncul di masa depan mengurangkan lagi kekerapan kesan sampingan.
Perlu diingat, hidup dengan Parkinson bermaksud memahami keadaan dan peka kepada setiap simptom yang ada bagi memudahkan doktor menjalankan rawatan dengan lebih efektif.
Penulis ialah Pakar Runding Neurologi, Hospital Pantai Cheras. Untuk maklumat lanjut mengenai Parkinson, lawati www.lloydtan-trust.com.
Sumber: Berita Harian
No comments:
Post a Comment