Tidak semua wanita sesuai lakukan pembedahan kosmetik
KITA diciptakan Tuhan berbeza secara fizikal dan keinginan untuk cantik itu adalah sebahagian daripada naluri manusia. Justeru, kemajuan perubatan mengambil kesempatan menerusi penemuan moden seperti teknologi pembesaran payu dara.
Pakar bedah plastik dan kosmetik Asia dan Malaysia mengakui fenomena peningkatan jumlah wanita yang mahu menjalani pembedahan payu dara. Alasannya cukup mudah, inginkan penghidupan lebih berkualiti. Keadaan ini agak membimbangkan apabila peningkatan itu sama dengan pertambahan permintaan untuk pembedahan pembetulan akibat kegagalan pembedahan sebelumnya.
Pengerusi Simposium Pakar Bedah Payu Dara (ABAS), Dr Charles Randquist yang berkunjung ke Malaysia baru-baru ini mengakui ramai wanita kurang faham mengenai bidang tugas sebenar pakar bedah kosmetik.
“Ada yang menyangka pembedahan kosmetik seperti pembedahan kelopak mata boleh dilakukan pakar kecantikan, hakikatnya pakar kecantikan dan pengamal perubatan am belum cukup terlatih untuk melakukan pembedahan, termasuk menyedut lemak, membesarkan payu dara, atau pembedahan kosmetik lain seperti rekonstruksi,” kata pakar dari Stockholm, Sweden itu.
Realitinya, tidak semua wanita perlu atau sesuai melakukan pembedahan kosmetik.
Kata Randquist, pakar perlu memahami dalam apa juga situasi sekali, cara terbaik untuk membina kerjaya pengamal perubatan beretika ialah mengecewakan individu yang tidak sepatutnya melakukan pembedahan yang dikehendakinya dengan menjelaskan risiko yang bakal dihadapi.
“Apa yang saya maksudkan ialah peraturan tertinggi pakar bedah ialah bersifat jujur dengan diri sendiri dan pesakit kerana tidak semua pesakit memerlukan pembedahan dan hanya doktor layak menasihatkan pesakit sewajarnya,” katanya.
Beliau yang menimba pengalaman sebagai pakar pembedahan payu dara sejak 1997, berkata sekiranya pakar sendiri berasakan pembedahan tidak akan membawa kebaikan kepada pesakit, maka mereka (pakar kosmetik) perlu menolaknya.
“Saya percaya jika kita melakukan kerja dengan telus, seharusnya kita menerima ganjaran yang setimpal. Hakikatnya, kejujuran adalah pelaburan terbaik,” katanya.
Randquist berkata, pakar bedah kosmetik perlu meletakkan standard terbaik dalam amalan kedoktoran. Jika semuanya bersandarkan wang ringgit, ini bermakna dari segi etikanya, kerjaya perubatan umpama diperolok-olokkan.
Perhimpunan 60 pakar bedah kecantikan dari seluruh dunia sempena simposium tiga hari di Hospital Gleneagles Intan, di sini, baru-baru ini bertujuan berkongsi kepakaran, selain membincangkan teknologi implan dan surgeri terkini payu dara dengan menampilkan sembilan pakar bedah terkenal dari Sweden, Brazil, Singapura, Korea Selatan, China, Jepun, Amerika Syarikat, Kanada dan Malaysia.
Rantau Asia melahirkan ramai pakar payu dara, sayangnya ia masih ketinggalan dari segi perangkaan saintifik berhubung pembesaran payu dara.
“Oleh kerana itulah kami memilih untuk menganjurkan ABAS di Asia dan Malaysia sebagai hos agar kami dan rakan sekerja di rantau Asia dapat berkongsi pengetahuan sekali gus mengurangkan kadar komplikasi dan trauma,” katanya
INFO: Senario pembedahan payu dara di Malaysia:
• Trend ini meningkat di kalangan wanita Malaysia, terutama kaum Cina.
• Pelanggan biasanya terpedaya dengan saranan pakar kecantikan untuk melakukan pembedahan menggunakan khidmat doktor yang diterbangkan dari China yang kosnya lebih murah.
• Caj ‘pakar satu malam’ yang diterbangkan dari China antara RM8,000 ke RM20,000
• Caj pakar bedah kosmetik bertauliah untuk bentuk implan airmata RM12,000 hingga RM16,000 dan bentuk implan bulat RM10,000-RM14,000.
• Ada 45 pakar bedah plastik bertauliah diiktiraf di Malaysia dan layak menjalankan semua bentuk pembedahan kecantikan.
Sumber:www.bharian.com.my
No comments:
Post a Comment