Cahaya matahari yang dipancarkan mengandungi spektrum cahaya bermula dari jarak gelombang 10 nonometer (nm) hingga ke 100 mikrometer (m) iaitu dari gelombang sinaran gamma hingga ke gelombang radio. Di antara spektrum gelombang cahaya ini terdapat spektrum cahaya yang dapat dilihat dengan mata kasar. Bagaimana kita mengenali dan menghayati alam adalah dengan menggunakan jarak gelombang. Jarak gelombang adalah asas kepada kita mengenali dunia. Kita menerima dan menganalisis jarak gelombang tertentu dengan dua organ utama iaitu mata dan telinga. Kita melihat cahaya melalui mata dan menangkap bunyi dengan telinga. Dari gelombang radio hingga pancaran gamma, jarak gelombang semakin memendek, menyebabkan frekuensinya bertambah dan akan menyebabkannya menghasilkan tenaga yang semakin bertambah. Ini bermakna gelombang ini semakin berupaya menembusi sesuatu dan amat berbahaya pada mata.
Pendedahan pada cahaya matahari terlalu lama juga boleh mengakibatkan ketajaman penglihatan menurun, kehilangan kontras, silau, pening dan keletihan visual.
Spektrum cahaya yang dapat dilihat dengan mata kasar adalah berjarak gelombang antara 380nm hingga 780nm iaitu antara cahaya Ultraungu (UV) dan Infra merah (IR).
Ini bermakna, mata manusia hanya mampu melihat cahaya antara jarak gelombang ini sahaja (380nm hingga 780nm). Mata manusia tidak berupaya mengenal pasti berbagai elemen cahaya mengikut berbagai jarak gelombang yang lain. Cahaya UV, cahaya biru dan cahaya IR boleh menyebabkan kerosakan pada tisu-tisu mata. Oleh itu, penggunaan cermin mata hitam yang sesuai adalah perlu bagi mengelakkan kesan negatif yang disebabkan oleh cahaya tersebut ke atas tisu mata. Cermin mata hitam selalunya dipakai untuk menghalang kesan cahaya matahari yang boleh mengganggu penglihatan dan merosakkan sel-sel mata. Dalam kes-kes tertentu ia juga dipakai untuk kelihatan menarik. Cermin mata hitam dipakai seharusnya bukan sekadar untuk penampilan tetapi yang lebih penting adalah sebagai alat yang boleh menghalang kesan resapan cahaya UV, cahaya biru dan juga IR yang akan merosakkan tisu mata. Cahaya UV dan cahaya biru juga mempunyai kesan resapan 10 kali lebih tinggi dibandingkan dengan cahaya IR. Sebahagian besar cahaya UV dari matahari diserap oleh lapisan ozon di atmosfera, namun sebahagian daripadanya masih dapat sampai ke permukaan bumi. Pendedahan pada cahaya UV yang lama boleh menyebabkan kerosakan pada mata seperti masalah katarak.
Jadi cahaya UV berkenaan perlu dihalang daripada meresap masuk ke dalam mata.
Kegunaan cermin mata hitam
Cermin mata hitam yang sesuai perlulah memenuhi ciri-ciri berikut;
1. Mampu menghalang silau dari cahaya yang terlalu terang.
2. Boleh menyerap cahaya Ultraungu (UV) dan cahaya biru.
3. Diameter cermin agak besar untuk melindungi mata.
4. Boleh menghalang impak dari objek yang melayang ke arah mata.
5. Tiada gangguan imej permukaan (surface distortion).
Dari ciri-ciri tersebut, cermin mata hitam yang baik perlulah mempunyai cermin gelap yang menghalang silau, dibuat dari bahan yang tahan lasak dan mempunyai kualiti menyerap cahaya UV. Malaysia adalah sebuah negara yang beriklim tropika. Keadaan panas terik dengan keterangan cahaya yang tinggi amat menyilaukan mata. Kandungan UV yang tinggi pula akan memberi kesan kepada mata. Pendedahan pada sinar UV untuk tempoh yang lama boleh menyebabkan masalah katarak kerana sebahagian besar cahaya UV akan diserap oleh kanta mata. Penyerapan cahaya UV lama-kelamaan mungkin membawa kepada kanta mata menjadi semakin gelap. Sekiranya anda menggunakan cermin mata yang murah dan tidak mengikut piawaian, ia mungkin tidak berupaya menapis cahaya UV.
Ini akan menyebabkan kerosakan tisu-tisu mata seperti tisu pada bahagian kelopak mata yang boleh membawa kepada kanser pada bahagian tersebut. Secara amnya, bila kita memakai cermin mata hitam, saiz bukaan pupil akan membesar kerana cermin tersebut mengurangkan cahaya terang daripada masuk ke dalam mata. Sekiranya cermin tersebut tiada perlindungan UV, lebih banyak cahaya UV dari matahari akan masuk ke dalam mata melalui pembukaan anak mata yang lebih besar pada ketika itu. Ini akan menyebabkan kerosakan kepada lebih banyak tisu mata. Bukan sahaja bahagian kornea dan kanta mata, cahaya UV juga boleh terus ke retina yang boleh menyebabkan kerosakan tisu-tisu retina.
Kerosakan tisu retina boleh menyebabkan kebutaan. Terdapat juga beberapa sebab lain mengapa orang menggunakan cermin mata hitam selain perlindungan UV, seperti;
1. Tujuan kosmetik (penampilan)
2. Bersukan atau riadah
3. Mengelak malu (menyorokkan muka)
Selain masalah tiada fungsi perlindungan UV, terdapat juga cermin mata hitam murah yang tidak dibuat dengan bahan yang tahan lasak.
Cermin mata hitam sebegini bukan sahaja tidak melindungi mata akibat penggunaan bahan tidak berkualiti, malahan boleh menyebabkan masalah seperti:
1. Pening.
2. Silau semakin teruk.
3. Keletihan mata.
4. Imej tidak sekata.
Oleh itu, sekiranya anda ingin membeli cermin mata hitam, berbincang dengan pakar mata untuk mendapat ciri-ciri perlindungan yang diperlukan di samping mendapatkan rupa penampilan yang lebih menawan.
Sumber: intim.wordpress.com
No comments:
Post a Comment