Adakah anda antara yang cepat letih dan mengantuk walaupun anda sudah tidur lapan jam?. Mengapa ini berlaku? Hal ini mungkin disebabkan badan anda dipenuhi toksin. Ramai yang tidak dapat mengenal pasti kenapa badan seseorang itu terlalu letih atau penat. Ia menyebabkan fizikal dan mental lemah untuk melakukan aktiviti harian. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada merawat, itulah ungkapan yang sering kita dengar. Mungkin ada kebenarannya. Sebagai individu, kita perlu mengamalkan gaya hidup sihat untuk menjamin kesejahteraan hidup. Menurut Pakar Perunding Perubatan dan Kesihatan, Datuk Dr. Sidiq Mohamed, mencegah lebih daripada merawat sesuatu penyakit. Aspek menjaga pemakanan amat penting kerana ia merupakan punca kandungan angin dan toksin dalam badan. Hakikatnya, kita memang terdedah kepada toksin tanpa disedari melalui kehadiran bahan kimia dalam makanan dan minuman serta bahan pencemar dalam udara. Di samping itu, tekanan kerja juga boleh menambahkan pengumpulan toksin di dalam badan kita. Pengumpulan toksin yang berlebihan memberikan tekanan kepada organ kita dan memaksanya bekerja lebih keras. Kejadian ini bukan saja akan melupuskannya nutrien penting, malahan ia akan menghakis tenaga, lalu melemahkan sistem imun kita terhadap jangkitan penyakit. Berikutan itu, seseorang akan sentiasa menghadapi masalah hidung berair, demam, peluh berbau, sukar membuang air kecil, mengantuk, sakit badan dan sukar bernafas. Wanita pula lazimnya mengalami kitaran haid tidak tetap atau kesakitan ketika datang haid. Semua ini disebabkan toksin dalam badan yang tidak dapat disingkirkan. Beliau memberitahu, keadaan ini berpunca daripada kawalan pemakanan yang tidak tepat. Jika seseorang mengubah tabiat pemakanan sebaik menyedari tanda-tanda
jangkitan penyakit pada peringkat pertama lagi, mereka sebenarnya boleh mengelak daripada dijangkiti penyakit terbabit. Datuk Dr. Sidiq mencadangkan agar setiap individu memperbanyakkan makanan buah-buahan dan sayur-sayuran. Selain memberi tenaga, makanan tersebut menggalakkan sistem perkumuhan di dalam badan berjalan lancar. Mungkin ini berbeza dengan cara hidup mereka yang bergantung kepada ubat-ubatan. Cara semula jadi menjaga kesihatan melalui amalan pemakanan yang sihat. Proses nyahtoksin secara semula jadi ini amat penting untuk memastikan badan, terutama sistem perkumuhan dapat berfungsi dengan optimum. Bukan saja penyerapan nutrien akan menjadi lebih efektif dan proses pencernaan menjadi lebih baik, malahan kita akan mendapati bahawa badan kita akan berasa lebih cergas dan bertenaga. Selain itu, ramai yang tidak menyedari kebaikan makanan semula jadi seperti kelapa dara atau muda. Tidak seperti lain-lain minyak sayur yang akan menjadi toksik dengan cepat apabila dipanaskan (terutama jika digunakan berkali-kali), minyak kelapa dara berbeza kerana sifatnya tidak berubah walaupun dikenakan suhu tinggi. Justeru, ia minyak paling selamat digunakan untuk menggoreng. Ini kerana walaupun dipanaskan, minyak kelapa dara masih mempunyai sifat antioksidan. "Ia harus digunakan seperti minyak lain, sama ada dalam masakan atau tujuan kecantikan, bukan dimakan begitu saja. "Di dalam badan, minyak kelapa dara tidak ditukarkan kepada lemak (seperti semua minyak sayur lain), sebaliknya terus sampai ke hati untuk diguna sebagai tenaga. Penggunaan minyak kelapa dara boleh mengurangkan kesan tindakan radikal bebas ini kerana ia mengandungi antioksidan," katanya.
Bagaimana kita tahu kandungan toksin di dalam darah? Menurut Datuk Dr. Sidiq pemeriksaan darah untuk memastikan apa yang terkandung di dalam darah perlu dilakukan. Menerusi pemeriksaan darah Live Blood Cell Analysis dan Dried Blood Oxidation Test, seseorang boleh mengenal pasti tahap kesihatan mereka secara terperinci. "Selalunya seseorang pesakit berjumpa doktor hanya apabila sakit untuk mendapatkan ubat. Ia tidak salah tetapi pesakit perlu diberi saranan tentang langkah pemakanan atau gaya hidup agar ia selalu sihat dan untuk mengelakkan daripada penyakit kronik yang merbahaya seperti kanser," jelasnya. Misalnya, untuk mereka yang mengalami sakit darah tinggi, kencing manis, kolesterol tinggi dan serangan jantung, magnesium adalah bahan galian amat diperlukan untuk memulihkannya. Ini ialah kerana kekurangan magnesium dalam badan adalah satu satu faktor penyebab timbulnya penyakit tersebut. Banyak kajian telah menunjukkan yang lebih 80 peratus manusia kekurangan magnesium terutama dalam sel-sel organ mereka. Mereka yang mengalami penyakit- penyakit itu juga disaran untuk melebihkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan kerana ia mengandungi banyak garam galian seperti magnesium, mangan dan zink yang sangat penting . Ini juga mustahak untuk seseorang mengelak daripada menghidapi penyakit tersebut. "Magnesium daripada buah-buahan dan sayuran mempunyai penyerapan yang lebih baik daripada pil," jelasnya. Magnesium ini pernah disebut sebagai The Missing Link in Health. Sebagai vitamin tambahan magnesium boleh diambil dalam bentuk magnesium klorida atau dipanggil magnesium oil. Inilah yang paling disyorkan kerana ia juga akan menguatkan sistem imun atau daya tahanan badan. Kalau ditambah dengan vitamin C dan zink, mungkin boleh mengelak kita daripada serangan wabak selsema H1N1 yang merebak sekarang. Selain itu, di kedai farmasi banyak terdapat pil magnesium oksida. "Ia boleh diambil 800 miligram sehari tetapi 10 peratus sahaja magnesium jenis ini akan meresap masuk ke dalam badan kita dan 90 peratus keluar ikut najis. Untuk pengetahuan, memakan magnesium secara berlebihan tidak membahayakan kerana yang lebih itu akan keluar mengikut najis," katanya. Ungkapan 'anda adalah apa yang dimakan'' jelas menggambarkan kepentingan makanan dalam hidup manusia. Nikmat menjamah makanan bukan sekadar memenuhi keperluan mengisi perut kosong, sebaliknya bahan yang dicerna menjadi penentu tahap kesihatan individu. Berikanlah peluang untuk tubuh kita menerima makanan sepatutnya. Anda akan dapat merasai kesannya pada waktu singkat. Memang, perubahan ini bukanlah sesuatu yang mudah, tapi cubalah berubah peringkat demi peringkat demi kesihatan yang baik dan hidup berkualiti.
Sumber:http://www.utusan.com.my/utusan
No comments:
Post a Comment