Pages

Friday, February 25, 2011

Minum Ais Dan Kesannya


Sama ada pada waktu panas terik atau tidak, minuman sejuk atau berais memang menjadi pilihan masyarakat negara ini tidak kira usia. Biarpun menyedari minuman sejuk tidak begitu elok untuk kesihatan, masih ramai yang memandang remeh mengenai amalan itu kerana belum merasai kesannya. Sejak akhir-akhir ini, ramai yang menerima e-mel daripada rakan atau individu yang menyarankan amalan itu dihentikan kerana ia mungkin boleh menyebabkan banyak penyakit berbahaya. Bunyinya memang menakutkan kerana minuman sejuk dikatakan punca kegemukan selain turut dikatakan boleh menyebabkan serangan penyakit jantung.

Bagaimanapun, Pakar Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Tropicana, Dr Haizal Haron Kamar, menjelaskan tiada sebarang kajian yang membuktikan amalan minum minuman sejuk boleh membekukan makanan berminyak, memperlahankan penghadaman sekali gus menyebabkan lemak berkumpul dan menyempitkan salur darah lalu menyebabkan serangan jantung. Kata Dr Haizal, pembentukan plak di dinding pembuluh darah koronari melalui proses aterosklesoris antara lain disebabkan oleh kandungan darah kolesterol yang berlebihan.

Jelasnya, sebahagian daripada kolesterol berkenaan datang daripada lemak pemakanan yang dihadam dan diserap oleh usus. “Bagaimana kita boleh mengaitkan minuman sejuk dengan penyakit jantung kerana secara logiknya, minum air sejuk boleh memperlahankan penghadaman yang secara langsung mengurangkan lemak dan kandungan kolesterol dalam darah. “Memang sehingga kini tiada kajian atau sebarang bukti untuk menyokong pendapat berkenaan,” katanya. Menurut Dr Haizal, pesakit jantung atau yang pernah menjalani pembedahan jantung juga tidak mempunyai masalah jika mengambil minuman sejuk.

“Apa yang penting di sini bukan minuman itu sejuk atau tidak. “Setiap individu yang berpenyakit atau tidak, perlu minum air kosong sekurang-kurangnya lima gelas sehari. “Terdapat satu kajian di Amerika Syarikat membabitkan lebih 20,000 orang mendapati mereka yang minum air kosong untuk jumlah sedemikian setiap hari mempunyai risiko mati akibat penyakit jantung yang lebih rendah berbanding mereka yang minum dua gelas atau kurang sehari. “Jenis minuman selain daripada air kosong pula boleh meninggikan risiko terbabit,” katanya.

Daripada sudut kecantikan pula, minuman sejuk atau berais harus dijauhi wanita kerana ia dapat menjejaskan kesihatan kulit dan dalaman. Pengasas Jamu Mak Dara, Halimah Shuib, berkata wanita tidak kira yang sudah berkahwin atau belum, perlu mengelakkan minuman sejuk atau berais jika mahu menjaga kecantikan kulit wajah, dalaman dan luaran mereka. 

Kata Halimah, walau bagaimana haus sekali pun, minuman sejuk perlu dijauhkan sebaliknya perlu mengambil air suam meskipun pada waktu tengah hari. “Jika kita mengamalkan minuman berais, badan mudah menjadi kembang dan selain itu, tulang juga mudah berasa sakit dan bisa. “Masalah berkenaan mungkin kurang dirasai ketika muda remaja dan hanya mula dirasai apabila menginjak usia 40 tahun ke atas,” katanya. Bagi wanita yang sudah berkahwin pula, Halimah turut menasihatkan supaya jangan sesekali mengamalkan minuman sejuk kerana ia menjejaskan kesihatan dalaman serta menyejukkan peranakan. Halimah berkata, penyakit hari ini senang singgah pada badan, tetapi ia amat susah untuk pergi iaitu disembuhkan. Justeru, amalan pemakanan sihat dengan membanyakkan minum air kosong atau air suam amat penting kerana ia dapat meneutralkan kembali makanan yang diambil. Jelas Halimah, berdasarkan pengalamannya, individu yang selalu minum air batu atau sering berada dalam pejabat atau rumah yang menggunakan penyaman udara, kulit mereka biasanya kelihatan kering dan tidak bermaya. Amalan minum minuman sejuk atau berais juga dikatakan boleh menyebabkan perut mudah buncit. Katanya, orang tua sering berpesan supaya jangan makan berselang dengan minum kerana ia juga akan menyebabkan perut menjadi buncit.

“Amalan menghirup sup ketika makan nasi juga tidak digalakkan kerana sup juga seperti air, boleh menyebabkan perut membuncit. “Jika minum air, pastikan anda duduk dan jangan sesekali minum berdiri kerana air itu akan terus mengalir ke bahagian peranakan dan menyejukkannya.

“Memang wanita banyak pantang larang terutama dalam aspek pemakanan dan ia tidak boleh dipandang remeh kerana kesannya boleh dirasai selepas melepasi usia 40 tahun. Justeru, paling elok untuk diamalkan ialah air suam atau air kosong saja selain banyakkan makan sayuran,” katanya. Selain itu, minuman sejuk juga tidak elok diberi kepada kanak-kanak kerana ia menyebabkan mereka mudah mengalami batuk, bibir kering atau pecah dan mudah diserang demam. “Ibu bapa perlu memantau amalan berkenaan kerana kanak-kanak memang menggemari minuman sejuk. “Jika kita sayangkan mereka, berilah air kosong kerana ia sememangnya lebih baik untuk kesihatan mereka,” katanya.

Rahsia ais dan air sejuk
■ Air sejuk yang hening dapat menolong pesakit insomnia (sukar tidur) agar dapat kembali tidur seperti biasa.
■ Orang yang tidur dalam udara yang sejuk dan berselimut untuk memanaskan tubuhnya adalah kombinasi yang baik untuk menjaga kesihatan secara menyeluruh dalam jangka masa pendek apatah lagi jangka panjang.
■ Liputan ais di Antartika (daerah Kutub Selatan) dan Artik (daerah Kutub Utara) adalah pengimbang dasar bumi yang amat panas.
■ Kombinasi dalam bumi yang panas dan luaran bumi yang sejuk adalah rahsia keseimbangan tekanan semula jadi alam yang mengawal graviti dan pergerakan bumi pada paksinya.
■ Ais atau air sejuk dapat mengembalikan memori atau sifat pelupa yang keterlaluan.
■ Ais amat diperlukan mana-mana atlet dalam kecederaan yang tidak disangka-sangka,
■ Air sejuk atau ais kini dijadikan bahan perencat kepada kecederaan yang akut seperti demam panas yang biasanya dihidapi bayi yang mempunyai potensi menghidapi penyakit sawan.
■ Air sejuk adalah terapi yang amat popular sebagai penguat tulang yang patah dengan syarat ia dibalut dengan kain hitam.
■ Air sejuk dalam rahsia cuka adalah sangat baik untuk menguatkan tulang yang patah kerana ia dapat menyembuhkan tulang dengan lebih cepat.
■ Air suam dengan rahsia cuka yang diminum akan melemahkan dan mengecutkan sistem aliran darah yang menjadi penyebab utama terjadinya lumpuh.
■ Makruh mengambil air sembahyang (wuduk) pada suhu yang tinggi atau yang terkena panas cahaya matahari yang pasti akan mengganggu sistem deria pada kulit.
■ Air sejuk secara psikologinya amat ditakuti pesakit yang mengalami gangguan jin atau dikuasai unsur spiritual yang jahat.
■ Air sejuk mempunyai nada bunyi dalam tekanan rendah yang amat lembut lagi mengharmonikan.
■ Air sejuk juga dipercayai dapat menguatkan tulang bayi.
■ Air sejuk akan meningkatkan sistem imun yang luar biasa sebagai tenaga pencegahan pelbagai penyakit alahan dan jangkitan.
■ Air sejuk dalam rahsia ais memegang rahsia kepadatan molekul kristal yang paling keras iaitu intan.
■ Air sejuk adalah kuasa penyerap yang amat sesuai dijadikan sistem penghantaran tenaga yang paling cekap sehingga ke dasar sel yang jauh dan menyeluruh.
■ Air sejuk mempunyai daya rangsangan yang boleh mengembalikan semangat yang sudah hilang bagi mereka yang pengsan, gila dan koma untuk kembali sedar.
■ Mandi air sejuk akan menguatkan tulang. Tulang yang berlebihan dengan asid urik akan meningkatkan suhu tulang.
■ Air sejuk lebih stabil molekul atomnya.
■ Air sejuk lebih peka kepada gelombang frekuensi rendah yang dirakamkan melalui niat dalam amalan berwuduk.
■ Air sejuk sesuai dijadikan air penawar kepada orang yang ingin merakamkan bunyi dalaman yang disertai dengan rasa kasih sayang dan keikhlasan.
■ Air kelapa muda bersifat sejuk dan amat baik untuk kesihatan kerana ia berkesan untuk meneutralkan kesan keracunan dan keasidan yang berlebihan di dalam aliran darah. Tubuh secara semula jadi bersifat panas dan ia memerlukan pasangan yang bersifat sejuk.
■ Oksigen dan hidrogen bersifat panas dan ia menguasai bahagian perut. Menjadi suatu kesalahan memulakan amalan pemakanan di waktu pagi dengan unsur yang panas. Minumlah seteguk air sejuk pada awal pagi kerana ia akan menguatkan perut.