Pages

Monday, August 23, 2010

Kegunaan dan Khasiat Halia


Halia dikatakan ditanam di China sejak berkurun-kurun lamanya. Malah, tanaman itu dikatakan berkemungkinan berasal dari negara tersebut.

Masyarakat di China dipercayai telah menggunakan halia dalam amalan perubatan sejak 2,500 tahun lalu. Mereka bergantung kepada khasiat halia untuk mengatasi pelbagai penyakit seperti masalah kesejukan anggota badan terutama di bahagian tangan dan kaki. Gejala itu berpunca daripada gangguan atau masalah pengaliran darah.
  
Perubatan Moden

Khasiat halia dalam merawat pelbagai penyakit bukan saja diketahui menerusi kaedah tradisional malah dibuktikan oleh pakar-pakar perubatan moden.

Menurut satu laporan, kandungan aktif dalam halia yang dikenali sebagai gingeroles memberi kesan apabila ia meresap ke dalam badan.

Halia atau nama saintifiknya Zingiber officinale dari keluarga zingiberaceae kaya dengan kandungan kalium (125 miligram), fosforus (63mg) dan kalsium tenaga (52 kilokalori) selain protein, karbohidrat, gentian, vitamin C dan niasin.

Perisa Masakan

Di kalangan masyarakat Malaysia, halia bukan saja berkhasiat malah menjadi perisa atau sebahagian daripada ramuan masakan.

Selain berbau harum, campuran halia dalam masakan menjadi pembuka selera makan. Selalunya halia ditumbuk atau dimayang halus, ditumis bersama perencah lain untuk masakan sup, kari, sambal, rendang dan tomyam.



Buang Angin

Dalam perubatan alternatif, halia yang ditumbuk atau air rebusannya digunakan sebagai ubat minum atau sapu.

Seperti yang diketahui umum, air rebusan halia yang dicampur lada hitam boleh menghilangkan angin di perut. Air rebusan ini sesuai untuk wanita yang baru bersalin dan mereka yang mengalami masalah angin seluruh badan.


Banyak Kegunaan

Bagi mereka yang terseliuh anggota badan, halia tua yang ditumbuk halus dan dipupuk di tempat tersebut boleh mengelakkan angin memasuki bahagian berkenaan.

Halia juga boleh mengubati penyakit sendi, cirit-birit, kekurangan tenaga, pening kepala dan demam panas. Selain itu, halia membantu menghadam makanan, mengawal hati daripada kesejukan dan menghilangkan bau busuk mulut.



Pengambilan halia juga mencegah rasa pening dan mual atau motion sickness semasa menaiki kenderaan serta membuang kahak dan lendir yang melekat di halkum.

Halia juga membantu menguatkan tenaga batin iaitu menambahkan air mani.

Sumber: www.sihatselalu.com.my

Kebaikan Halia

Walaupun cuaca di negara sememangnya tidak bersalji, tetapi menikmati teh halia yang panas dan beraroma tatkala hujan lebat sememangnya dapat memanaskan badan di samping memberikan seribu satu ketenangan.

Teh halia sememangnya terkenal dengan segala kebaikan dan juga sebagai penambah perisa kepada banyak hidangan. Walaupun pada dasarnya kelihatan seperti biasa, namun herba ini telah digunakan semenjak sekian lama. Seteguk teh halia pastinya memberikan sensasi dan rasa panas ke seluruh tubuh anda. Sifat panas yang terdapat pada akar halia memberikan lebih banyak fungsi perubatan - sama ada dalam keadaan kering ataupun mentah. Akar halia bertindak sebagai pemanas, salap, julap, pembuka selera makan, perangsang, dan juga penawar yang baik untuk ketidakhadaman. Inilah sebabnya akar halia kering ditanam dan digunakan untuk memulihkan pelbagai penyakit seperti batuk, selesema, loya, muntah - muntah, cirit- birit, radang sendi, senak perut, mabuk laut, kolik, kolera, asma, sakit kepala dan juga anoreksia.

Halia juga digunakan secara meluas di dalam bidang aromaterapi - dengan mengekstrak esen daripada akar halia yang kering, belum dikupas dan masih tertanam. Minyak halia yang telah diekstrak kemudiannya digunakan dengan mencampurkannya dengan minyak kayu cedar, cendana dan patchouli yang menghasilkan bau campuran haruman kayu - kayuan dan herba. Dapatkah anda bayangkan kenikmatan bauan ini sambil mendapatkan urutan belakang yang melegakan?

Salah satu bahan utama di dalam minyak halia adalah oleoresin dan terpenes, yang berfungsi membersihkan limfa, antiseptik, masalah sembelit yang ringan, dan memperbaiki kualiti rangsangan. Menurut kajian, halia telah dibuktikan dapat menurunkan kadar penyerapan kolesterol di dalam hati dan darah, ini bermakna ia mengurangkan kadar kolesterol dalam darah. Kajian juga menunjukkan halia juga dapat mengubati penyakit migrain dan sakit kepala. Kandungan shogoals dan gingerols yang terdapat di dalam halia juga dapat meneutralkan asid di dalam perut, merangsang pengeluaran jus penghadaman dan juga membantu memperbaiki otot - otot penghadaman.

Lain kali jika anda berasa kurang sihat atau menghidapi selesema, cubalah minum segelas teh halia. Menurut kepercayaan masyarakat Cina, tenaga yangyang terdapat pada halia dapat memanaskan paru - paru dan perut. Di bawah adalah resipi teh halia untuk anda cuba:

4 gelas air
2 inci halia segar
Hirisan lemon dan madu ( sebagai penambah perisa )

Kupas dan hiris akar halia. Isikan air ke dalam periuk dan biarkan ia mendidih. Tambahkan sehiris halia ke dalam air yang mendidih. Kecilkan api, tutup periuk dan biarkan selama lebih kurang 15-20 minit, Tapiskan air tersebut, dan tambahkan lemon dan madu sebagai penambah perisa.