Pages

Saturday, April 3, 2010

Demi Jantung, Ubahlah Gaya Hidup

JIKA terdapat satu organ dalam tubuh yang sentiasa sarat dengan
kerja, ia adalah jantung. Ia sentiasa berdegup setiap saat, tidak
pernah berhenti seketika untuk rehat sehinggalah ke hujung nyawa
anda. Jantung adalah organ yang berkuasa, bersaiz kira-kira sebesar
genggaman anda dan bertanggungjawab terhadap pengepaman darah ke
seluruh tubuh.

Bagi orang dewasa yang sihat, tubuh mengandungi kira-kira lima liter
darah yang beredar berulang kali ke seluruh tubuh. Darah tersebut
bergerak dari jantung, masuk ke dalam arteri, kapilari, dan vena
sebelum kembali ke jantung. Keseluruhan kitaran tersebut mengambil
masa kira-kira 60 saat, di mana ketika itu darah mengangkut oksigen
dan nutrien ke semua sel dalam tubuh.

Apabila individu semakin berumur, banyak faktor boleh menjejaskan
fungsi normal jantung seperti stres, tahap kolesterol darah yang
meningkat dan saluran yang tersumbat (aterosklerosis) disebabkan
oleh saluran darah yang telah rosak.

Penyakit jantung adalah satu daripada pembunuh utama lelaki dan
wanita di negara ini. Kegagalan jantung didefinisikan sebagai
ketidakupayaan jantung untuk mengepam darah yang mencukupi untuk
memenuhi keperluan tubuh.

Fungsi pengepaman jantung terbahagi kepada dua fasa: pertama,
keupayaan jantung untuk mengepam darah dengan aktif ke tubuh dan
yang kedua, keupayaan jantung untuk berehat dengan betul supaya
darah boleh kembali ke dalam jantung yang berkeadaan rehat.
Fasa pertama dipanggil sistol; yang kedua dipanggil diastol. Apabila
jantung mula tidak berfungsi, kedua-dua fungsi ini biasanya menjadi
tidak normal.

Dalam buku yang terlaris, Programme for Reversing Heart Disease,
penulisnya Dr. Dean Ornish menawarkan bukti yang didokumenkan bahawa
penyakit jantung boleh dihentikan, atau malah dikembalikan
kesihatannya, dengan hanya menukar gaya hidup, diet, bersenam dan
meditasi.

Walaupun diet adalah penting, Dr. Ornish menyebut bahawa stres dari
segi emosi memainkan peranan penting dalam hampir semua penyakit,
secara langsung atau tidak langsung. Stres dari segi emosi menjerut
arteri dan menyumbatkan darah dengan lebih cepat, yang seterusnya
boleh menyebabkan serangan jantung.

Menyedari risiko anda mendapat penyakit jantung adalah langkah
pertama yang penting. Selain daripada umur dan sejarah keluarga,
tekanan darah tinggi, diabetes, tabiat merokok, obesiti dan tidak
menjalankan aktiviti dari segi fizikal akan meningkatkan risiko
penyakit jantung.

Bagi mengekalkan jantung yang sihat dan membantu mengurangkan risiko
penyakit jantung, adalah penting anda menukar gaya hidup anda dengan
mengikuti diet yang betul (tinggi dalam serat tetapi rendah dalam
makanan diproses dan minyak terhidrogen, kaya dengan minyak omega-
3), menangani stres, berhenti merokok, kerap bersenam, dan memulakan
hubungan kasih sayang dan peribadi yang menyenangkan dengan orang
lain, kerana orang dewasa yang berasa sunyi dan murung lebih berkemungkinan
untuk jatuh sakit dan mati awal.

Contohnya, Chow Kean Mun. Beliau telah melakukan pembedahan pintasan
sebanyak tiga kali 23 tahun yang lalu dan hari ini pada usia 75
tahun, beliau adalah seorang yang sihat. Daripada seorang yang tidak
berbuat apa-apa dan menghisap rokok terus-menerus pada umur 50-an,
lelaki ini telah melakukan perubahan sepenuhnya dalam gaya hidup dan
keperluan dietari beliau.

Ativiti-aktiviti harian beliau termasuklah berjalan cepat, berkebun,
meluangkan masa dengan cucu, mengambil bahagian dalam aktiviti
agama, bermain catur dan kadang-kadang minum bersama rakan-rakannya.
Beliau juga banyak memakan suplemen pemakanan yang berasal daripada
alam semula jadi dan ditanam secara organik seperti Minyak Kelapa Dara.
Oleh kerana makanan yang diproses hari ini dipenuhi dengan bahan
pewarna, perasa dan bahan pengawet yang tidak mempunyai banyak nilai
pemakanan, maka suplementari makanan telah menjadi satu keperluan.
Pengambilan antioksidan yang mencukupi seperti vitamin A, C dan E,
karotenoid, cathechins dan CoQ10 boleh melindungi daripada kerosakan
oksidatif.

Jika meminum 2 sudu minyak kelapa dara sehari boleh menjauhkan anda daripada doktor, gaya hidup sihat boleh menjadikan jantung anda sentiasa berdegup!
Oleh: DR. ABDULl AZIZ KECHIL

Buah Pinggang Jangan Dilupa

DIABETES sebenarnya membahayakan kepada buah pinggang anda. Oleh itu, pengawalan diabetes yang baik mampu mencegah atau proses penyakit buah pinggang dilambatkan.

Andy, seorang pesakit diabetes, berpendidikan tinggi dan mempunyai kerjaya yang mencabar. Dia menganggap penyakit diabetesnya di bawah kawalan.Oleh kerana terlampau sibuk, dia telah membuat rawatan sendiri. Dia tidak meneruskan rawatan susulannya tetapi membeli ubat dari farmasi atau kedai ubat.

Keadaan ini berterusan untuk tempoh yang lama sehingga dia mengalami kelesuan dan berasa mual pada waktu pagi. Keputusan pemeriksaan kesihatannya mengesahkan dia mengalami kegagalan buah pinggang. Diabetesnya juga bertambah teruk. Dia menyesal kerana tidak mendengar nasihat doktor untuk pemeriksaan kesihatan yang patut dilakukan secara kerap.

Salah seorang Pakar perunding nefrologi, Dr S Prasad Menon menyarankan agar kita menjalani ujian buah pinggang bila tiba hari jantung sedunia, kerana apabila fungsi buah pinggang mengalami kerosakan, risiko penyakit kardiovaskular pun bermula. Penyakit kardiovaskular juga menyumbang lebih daripada 50% kematian di kalangan pesakit buah pinggang kronik.Risiko kematian akibat strok, serangan jantung atau penyakit kardiovaskular bagi orang dewasa yang menghidapi kegagalan buah pinggang peringkat akhir meningkat kepada 10 hingga 30 kali.

Menurut Dr S Prasad lagi, ada perkaitan antara jantung dan buah pinggang, dan kaitan ini di namakan sindrom buah pinggang - jantung atau sindrom jantung - buah pinggang di mana pada asasnya, mencadangkan organ organ lain boleh terjejas secara akut atau kronik akibat dari penyakit akut atau kronik yang berlaku pada jantung atau buah pinggang. Jadi, ini bermakna, jika anda melindungi jantung, anda boleh melindungi buah pinggang dan jika anda melindungi buah pinggang, anda boleh melindungi jantung.
Bagaimana jantung dan buah pinggang berkait antara satu sama lain? Menurut Dr.Prasad, buah pinggang juga berfungsi mengawal tekanan darah. Kerosakan fungsi buah pinggang boleh mengganggu tekanan darah. Tekanan darah tinggi juga boleh menambah kerosakan buah pinggang, selain merosakkan saluran darah dan meningkatkan risiko strok dan serangan jantung.

Fungsi rembesan hormon dan penyingkiran air dari badan oleh buah pinggang juga terganggu. Ini boleh menyebabkan bengkak akibat pengumpulan air. Faktor-faktor ini meningkatkan isipadu darah dan fungsi jantung menjadi lemah kerana jantung perlu mengepam darah dengan lebih banyak untuk keperluan seluruh badan. Lama kelamaan, jantung gagal berfungsi. Bagi Dr S Prasad kaitan penyakit jantung dan buah pinggang ini dinamakan dengan ‘pam dan tapis’ kerana jantung mengepam darah ke seluruh badan termasuk untuk kegunaan buah pinggang dan buah pinggang menapis darah. Jika pam rosak maka buah pinggang tidak dapat menjalankan fungsinya sebagai penapis. Maka kedua-dua organ ini perlulah dijaga dengan baik.

Orang awam kini telah mempunyai kesedaran tentang risiko risiko klasik kardiovaskular, jadi mereka mereka berusaha untuk menjaga berat badan, tekanan darah, paras kolesterol gula dalam darah. Merokok meningkatkan risiko penyakit jantung, juga penyakit buah pinggang. Kerosakan pada buah pinggang selalu juga ditandai oleh paras glukosa dan kolesterol dalam darah. Maka, menurut Dr S Prasad lagi, pemeriksaan buah pinggang adalah amat perlu bila seseorang itu berada dalam keadaan ini. Dr S Prasad berpendapat bahawa setiap orang perlu menjalani pemeriksaan tahunan fungsi buah pinggang melalui ujian kehadiran albumin dalam air kencing, sebagai salah satu cara mencegah penyakit kardiovaskular.

Kebanyakan kes pesakit buah pinggang kronik, mereka tidak menyedari penyakit yang mereka hidapi kerana simptom penyakit buah pinggang biasanya muncul pada peringkat yang lebih teruk. Kata dr S Prasad lagi, 10 peratus daripada masyarakat awam menjalani kehidupan harian sambil tidak menyedari fungsi buah pinggang mereka makin merosot setiap hari dan menunggu masa simptom keterukan penyakit buah pinggang muncul seumpama bom jangka. Risiko strok, serangan jantung atau risiko lain penyakit berkaitan yang teruk menjadi tinggi bagi individu yang seperti ini. Dr S Prasad menyarankan agar masyarakat menjalani ujian kehadiran albumin dalam air kencing pada hari jantung sedunia kerana merupakan langkah yang baik. Pengesanan awal adalah yang terbaik, kerana risiko mendapat serangan jantung adalah satu kepastian jika anda penghidap penyakit buah pinggang. Pengesanan awal adalah jauh lebih baik berbanding perlu menjalani dialisis seumur hidup kerana kegagalan buah pinggang peringkat akhir dan sentiasa ketakutan terhadap kematian pramasa akibat penyakit kardiovaskular.
Kepada anda semua, sayangi jantung anda, sayangi buah pinggang anda . jangan biarkan kesengsaraan berlaku akibat kealpaan and sendiri.

Penyakit Buasir

Penyakit buasir atau hemoroid adalah penyakit yang terjadi pada bahagian dubur. Penyakit ini dapat dikesan apabila saluran dubur membengkak. Ianya boleh berlaku sama ada di dalam dubur atau di kawasan luar. Biasanya pesakit akan berasa sakit kesan tekanan otot dubur ke atas bengkak tersebut sehingga menyebabkan proses pembuangan air besar menjadi amat perit.

Bengkak itu terjadi disebabkan oleh pengembangan saluran darah pada sel-sel yang melapisi saluran dubur. Selain bengkak pada saluran dubur, pendarahan semasa membuang air besar juga terjadi disebabkan oleh luka apabila najis keras bergesel dengan buasir .

Terdapat empat peringkat atau darjah yang menggambarkan keseriusan penyakit buasir tersebut :

Tahap 1
Berlaku pendarahan dan bengkak menonjol keluar.

Tahap 2:
Disebabkan oleh pergerakan usus, bengkak akan keluar tetapi secara spontan akan kembali ke dalam (saluran dubur ).

Tahap 3:
Keadaan yang sama seperti tahap dua, tetapi bengkak tersebut akan hanya berada di dalam setelah ditolak masuk secara fizikal.

Tahap 4:
Darah pekat keluar, menyebabkan rasa sakit dan susah untuk meneran. Buasir akan berada di luar kawasan dubur.

Faktor atau penyebab penyakit buasir ialah :
• Regangan yang melampau semasa pergerakan usus atau ketika sembelit.
• Cirit-birit yang kronik.
• Kurangnya pengambilan makanan berserat dalam diet harian.
• Mengandung atau bersalin.

Simptom-simptom penyakit buasir ialah :
• Rasa sakit yang berdenyut-denyut.
• Pendarahan berlaku selepas dan sebelum membuang air besar.
• Darah menitis dan tersembur keluar dari saluran dubur.
• Dalam tempoh pendarahan ini, pesakit itu boleh mengalami kekurangan darah.
• Ada yang tidak mengalami pendarahan, tetapi dikenali sebagai pembengkakan dubur.

Bengkak ini keluar selepas membuang najis. Kadangkala untuk tempoh sementara, kurang sakit tetapi ada rasa gatal-gatal.
Mereka yang mengalami symptom-simptom berkenaan perlu berjumpa dengan doktor untuk rawatan lanjut. Satu per tiga daripada pesakit mampu mengatasi rasa sakit dan juga pendarahan setelah mendapatkan rawatan. Sehingga kini pesakit diberi pilihan rawatan yang sesuai oleh doktor setelah pemeriksaan dilakukan ke atas pesakit. Rawatan yang diberi berdasarkan tahap penyakit buasir yang dihidapi.Biasanya pesakit lambat berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut kerana adanya khabar angin mengatakan rawatannya agak menyakitkan. Pada hari ini, terdapat teknik rawatan yang baru, misalnya Procedure for Prolapsed Haemorrhoids (PPH).

PPH adalah teknik pembedahan yang mamppu mengurangkan kesakitan kerana prosedur rawatannya dilakukan pada kawasan berkenaan dan tidak mengambil masa yang lama, hanya beberapa minit sahaja.

Pesakit yang menerima rawatan PPH mempunyai beberapa kelebihan seperti :
• Kurang rasa sakit dan gatal-gatal.
• Tempoh berada di hospital yang singkat.
• Pesakit boleh kembali melakukan aktiviti harian secara normal selepas beberapa hari menerima rawatan PPH.
• Kos rawatan juga lebih rendah malah pesakit tidak perlu mengambil pil penahan sakit seperti mana rawatan konvensional.
Sumber maklumat : Wanita, September 2005