BEKAM adalah satu subjek yang besar biarpun ia sekadar satu cabang dalam perubatan alternatif. Mengikut definisi ia adalah kaedah rawatan yang menggunakan alat seperti gelas, tanduk atau buluh yang menyedut permukaan kulit untuk mengeluarkan angin, darah, toksik, darah beku atau kekotoran.
Pengamal kaedah perubatan bekam, Dr Nik Fairuz Hakim Nik Omar, dari Pusat Perubatan Homeopathy dan Akupuntur Dr Nik Omar, Shah Alam, berkata bekam atau Al-Hijamah adalah amalan sunnah yang hampir dilupakan orang Islam sendiri. Ia adalah terapi perawatan yang mampu menyembuhkan pelbagai penyakit yang disyorkan Nabi Muhammad SAW dan direstui amalannya oleh Allah SWT.
Ada beberapa jenis bekam yang diamalkan di dunia seperti bekam kering (angin), bekam basah (darah), bekam magnet, bekam elektronik dan bekam akupuntur.
“Hampir 60 peratus bekam yang diamalkan di seluruh dunia terdiri daripada bekam kering (angin). Bekam angin pula terbahagi kepada beberapa jenis iaitu magnet dan akupuntur (aku-bekam). Bekam jenis ini tidak menyakitkan dan amat sesuai digunakan untuk merawat pelbagai jenis penyakit seperti sakit kepala, muntah, resdung, masalah hati, sakit belikat, urat saraf, sakit leher, berdengkur, buah pinggang, buasir dan pelbagai lagi,” katanya.
Bekam basah atau bekam darah pula menguasai 30 peratus teknik berbekam dan terbahagi kepada dua iaitu bekam darah moden dan bekam darah sunnah (mengikut sunnah Rasulullah). Perbezaan bekam moden dengan sunnah ialah bekam moden menggunakan jarum, boleh dilakukan mengikut kelapangan pesakit tidak mengira waktu, sekerap dua kali seminggu dan tidak kisah jika pengamalnya lelaki atau perempuan.
Bekam sunnah pula menggunakan pisau cukur kerana mengikut satu ayat iaitu ‘shartah’ yang bermaksud toreh. Bekam jenis ini dilakukan pada hari tertentu iaitu pada tanggal 17, 19 dan 21 mengikut kalendar Islam dan afdal dilakukan pada Khamis, Jumaat dan Isnin. Hari perlu dielakkan ialah Rabu.
Mengikut tulisan Ibnu Sina, waktu terbaik untuk berbekam ialah antara jam 2 petang hingga 3 petang dan seharusnya dilakukan selepas mandi, kecuali bagi orang yang darahnya kental, harus mandi air panas sehingga tubuhnya berasa hangat sebelum berbekam.
Kata Dr Nik Fairuz, jenis bekam biasanya mengikut pilihan pesakit yang kebanyakan bertujuan membuang angin dan darah kotor.
“Kebanyakan mereka yang mengunjungi pusat rawatan ini memilih untuk berbekam atas saranan dan nasihat rakan-rakan yang pernah merasai kebaikan berbekam terutama amalan bekam sunnah,” katanya yang menjelaskan pesakit yang menderita barah, ketumbuhan yang mencurigakan, fibroid (sista), lupus (SLE), kudis kronik, jangkitan, sawan (gila babi), HIV/Aids, orang fobia, mengandung, penyakit kelamin dilarang berbekam.
“Kami tidak merawat kanser, tetapi tidak dinafikan ada pesakit yang datang untuk berbekam atas fahaman dan keyakinan seperti diriwayatkan Abu Hurairah yang berkata Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa berbekam pada tanggal 17, 19 dan 21, maka ia akan menyembuhkan semua penyakit.” (Hadis riwayat Abu Daud),” katanya.
Dr Nik Fairuz mendapat tauliah pakar bekam daripada Fakulti Perubatan Homeopati Malaysia (Fahom).
Amalan bekam darah dahulunya biasa dilihat di tepi-tepi jalan, dan pengamal bekam sebegini biasanya mewarisi teknik bekam secara turun temurun. Tidak dinafikan teknik ini pernah dilabel sebagai perubatan jalanan kerana amalan kebersihan seperti peralatan serta cara darah kotor dilupuskan diragui.
Apapun jenis bekam yang dipilih, bagi yang berminat dengan rawatan ini, mereka perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai maklumat serta kemungkinan termasuk pantang larang dan tahap kepakaran pengamal bekam. Beberapa perkara yang boleh berlaku ketika dan selepas bekam termasuk pitam, pening, kebas, pendarahan, lebam, kulit melecet, jangkitan, gatal-gatal, sakit bahagian bekam dan keguguran.
Pengamal bekam hendaklah bertauliah dan tahu apa yang dilakukan, mematuhi undang-undang perubatan mengikut Akta Perubatan 1971, memahami dan mengikut peraturan pengamalan, menjaga kebersihan dan tidak berbekam pada bahagian yang dilarang.
“Antara garis panduan pengamal yang bertauliah perlu mengikut Akta Perubatan 1971 seperti tidak boleh mengisytiharkan bahawa teknik ini boleh menyembuhkan penyakit yang mustahil untuk disembuhkan, selain tidak boleh menggunakan peralatan seperti doktor,” jelasnya yang mula berminat terhadap teknik bekam ketika menuntut di Hospital Besar Kalubowila Colombo, Sri Lanka Selatan pada 1999.
Terbaru, timbul cadangan Kementerian Kesihatan untuk menimbang menggunakan akta untuk menguatkuasakan peraturan pengamal bekam iaitu mereka perlu mendalami ilmu bekam sekurang-kurangnya tiga tahun sebelum menjadi pengamal bertauliah.
Bagaimanapun, usul ini masih pada peringkat perbincangan disebabkan kebanyakan pengamal bekam di negara ini mewarisi teknik ini secara turun-temurun.
Dari segi sejarah, penggunaan teknik bekam paling awal dikesan melalui amalan kaum Nabi Lut yang membaling batu kepada orang asing yang memasuki ke kampung mereka. Pendatang yang luka kepalanya kemudian dikejar dan diminta membayar wang sebagai habuan kerana mengeluarkan darah dari kepala mereka.
INFO: Bekam
• Mereka yang berusia 4 hingga 65 tahun boleh berbekam.
• Kebiasaannya, rawatan bekam kering mengambil masa antara 15 hingga 20 minit.
• Sesi terapi bekam darah tidak melebihi 30 minit.
• Jumlah darah tidak melebihi 5 hingga 10 mililiter.
Sumber:Berita Harian.