Pages

Wednesday, April 28, 2010

Mencegah Wabak H1N1 Menular

Langkah mencegah dan kesedaran orang ramai perlu untuk mengawal influenza A (H1N1) daripada merebak. Sikap acuh tak acuh hanya menyumbang kepada peningkatan kes. Walaupun catatan kes baru H1N1 masih perlahan namun tiada siapa boleh menjangka apa yang akan berlaku seterusnya.

Setiap langkah pencegahan mesti agar wabak yang pernah menggemparkan negara itu dapat dibendung. Orang ramai perlu faham kenapa wabak ini cepat merebak. Ia merebak melalui air liur dan hingus misalnya apabila kita batuk atau bersin. Walaupun kadar kematian kes H1N1 masih rendah, kita perlu ingat kadar berjangkit selesema H1N1 tinggi dan mudah berbanding penyakit-penyakit lain. Justeru itu, bilangan kes boleh meningkat dengan cepat. Ia mudah berlaku dalam komuniti apabila orang ramai duduk setempat berkelompok dalam jarak yang dekat dan padat.

Cuaca negara yang panas ketika ini mempengaruhi penyebaran wabak ini. Walaupun ada peningkatan kes, masih belum ada gelombang kedua H1N1 kerana ia masih virus yang sama. Dalam hal ini, pakar-pakar perubatan menasihatkan orang ramai meneruskan langkah-langkah pencegahan H1N1 seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.

Antara perkara yang perlu dilakukan bagi mengurangkan penularan jangkitan ini adalah:

* Social distancing iaitu menjarakkan kedudukan sekurang-kurangnya 1 meter dengan individu lain serta meminimumkan majlis perjumpaan.
* Adab batuk yang baik (cough etiquette) .
* Kebersihan tangan dengan mencuci cara betul dan lebih kerap.
* Pengudaraan dalam rumah yang baik.
* Kes-kes berkomplikasi atau berisiko tinggi perlu dapat rawatan di hospital. Pendekatan ini akan memastikan impak negatif penularan pandemik dapat diminimumkan.
* Individu yang mempunyai gejala ringan, serta tiada masalah kesihatan, boleh dirawat di rumah. Mereka perlu berehat dan hanya perlu ke klinik atau hospital apabila gejala menjadi lebih berat atau demam tidak reda selepas dua hari.
* Individu yang bergejala perlu memakai mask termasuk mereka yang berisiko tinggi seperti pesakit asma, obesiti, ibu mengandung, diabetes, dan penyakit kronik paru-paru bila perlu ke tempat awam yang sesak atau ramai orang.
* Majikan dan institusi perlu memantau kehadiran pekerja/ anak murid mereka termasuk mereka yang tidak hadir bertugas atau sekolah kerana sakit.
* Kejadian kes simptom influenza perlu dilaporkan segera kepada Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat.

Pakar-pakar perubatan juga memberitahu, langkah-langkah pencegahan ini perlu diteruskan. namun, masih ada yang lupa hingga mereka lalai tentang risiko jangkitan wabak tersebut. Misalnya, golongan ibu mengandung adalah yang berisiko tinggi. Ini disebabkan lebih mudah mendapat selesema dan jangkitan mereka lebih teruk dan berkomplikasi.

Berikut merupakan golongan yang berisiko dijangkiti wabak ini:
* Kanak -kanak berumur kurang lima tahun.
* Warga tua berumur lebih 65 tahun.
* Wanita hamil.
* Pesakit yang menghidapi penyakit kronik seperti Asma, Kencing manis, Kegagalan buah pinggang, Pesakit yang ambil ubat steroid berpanjangan.
* Orang yang obes.

Bagi ibu mengandung dan berisiko tinggi, elakkan pergi ke tempat orang ramai. Jika perlu membuat pemeriksaan kandungan di hospital, pakailah topeng muka. Selain itu, wanita mengandung serta keluarga perlu mengamal adab kebersihan yang baik. Misalnya, sentiasa membasuh tangan apabila bersiar-siar, di rumah, ke tandas awam dan sebagainya.

Walaupun terdapat vaksin atau rawatan H1N1, orang ramai digalakkan untuk melakukan langkah-langkah pencegahan. Menurut pakar-pakar perubatan kini sudah ada vaksin khusus untuk melindungi diri daripada H1N1.

Antara kumpulan sasar berkeutamaan (sumber Kementerian Kesihatan) pemberian vaksin H1N1 ialah:
* Wanita hamil (18+ minggu kehamilan)..
* Pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang dan menjalani rawatan dialisis.
* Pesakit yang menghidapi penyakit kronik.
* Individu dengan morbid obesiti (iaitu BMI > 35 kilogram/m2) dan/atau menghidapi sebarang penyakit kronik.
* Orang awam yang berkehendakkan dengan tujuan (pengembara).

Oleh kerana bekalan vaksin yang terhad, maka pemberian dilakukan mengikut pendekatan first come, first serve. Penilaian klinikal yang dijalankan oleh pegawai perubatan yang merawat akan diambil kira bagi menentukan kesesuaian seseorang individu bagi menerima vaksin. Selain itu, pesakit juga akan diberikan ubat anti virus.
Buat masa ini terdapat dua jenis ubat antiviral iaitu oseltamivir (Tamiflu®) dan zanamivir (Relenza®) yang boleh digunakan untuk merawat penyakit ini. Ubat ini diberikan kepada pesakit-pesakit berisiko tinggi yang ada gejala demam selesema dan juga pesakit yang di sahkan ada penyakit demam selesema influenza A H1N1.

Dalam pada itu, pakar perubatan menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada, beringat dan elakkan daripada mengunjungi tempat berisiko tinggi. Jika anda demam dan batuk atau sakit tekak serta hidung berair, hidung tersumbat, sakit otot, sakit kepala, menggigil (chills) dan keletihan, yang juga dikenali sebagai gejala influenza-like-illness (ILI) seharusnya anda perlu berjumpa dengan doktor segera terutama bagi yang tergulung dalam yang berisiko tinggi bagi doktor mengesahkan jangkitan H1N1 dan rawatan. Juga bagi mereka yang berisiko tinggi, sebaiknya dapatkanlah vaksin untuk melindungi dari jangkitan virus H1N1. Orang ramai juga perlu mengamalkan kesihatan diri yang baik, mengamalkan etika batuk serta bersin dengan mengunakan perlindungan tisu atau sapu tangan. Kemudian, anda perlu kerap membasuh tangan dengan air dan sabun atau cecair sanitizer selepas menyentuh mulut dan hidung sebelum menyentuh permukaan lain. Sama juga basuh tangan selepas menyentuh permukaan lain sebelum menyentuh muka kita. Jika anda mendapati seseorang itu mempunyai gejala ILI jarakkan diri dengan mereka sekurang-kurangnya satu meter. Sekiranya anda demam, anda boleh makan ubat demam, minum air banyak dan berehat dan jika tidak reda dalam dua hari atau menjadi lebih teruk jumpa doktor cepat.

Friday, April 9, 2010

Khasiat Pisang

• Pisang membantu menurunkan tekanan darah tinggi kerana kandungan potasiumnya yang tinggi.

• Disebabkan permintaan dunia terhadap pisang terlalu tinggi, banyak hutan rimba telah diteroka dan dibersihkan untuk dibuka ladang penanaman pisang.

• Jika anda digigit nyamuk, cubalah gosokkan bahagian dalam kulit pisang pada tempat yang digigit.

• Pisang boleh diberi pada bayi seawal usia tiga bulan sebagai makanan pejal kerana mudah dihadam.

• Pisang rendah dari segi kalori lemak, sodium yang membantu merendah kolestrol.

• Potasium dan magnesium yang terkandung di dalam pisang amat sesuai merawat orang yang mengalami cirit-birit.

• Anaemia ialah penyakit kurang darah. Kerana pisang kaya dengan zat besi, ia boleh merangsang penghasilan haemoglobin di dalam darah.

• Orang yang sedang murung lebih cepat ceria apabila makan pisang. Ini kerana kandungan sejenis protein membantu kita menjadi tenang.

• Cara paling cepat merawat rasa pening-pening ialah dengan meminum minuman susu pisang kocak (banana milkshake) yang dicampur madu. Minuman ini bukan sahaja merawat malah sedap pula

Sunday, April 4, 2010

Apa Itu Denggi?

Penyakit denggi merupakan penyakit berjangkit yang berbahaya dan boleh membawa maut kerana sehingga hari ini belum ada ubat atau penawar untuk mengubati penyakit ini. Denggi boleh terjadi di kalangan orang dewasa dan kanak-kanak akibat daripada gigitan nyamuk aedes.

Penyakit ini biasanya berlangsung selama sepuluh hari dan kadangkala mengambil masa lama untuk pulih sepenuhnya. Penyakit ini kerap berlaku di kawasan bandar berbanding dengan luar bandar.

Penyakit denggi disebabkan oleh sejenis kuman virus yang dipanggil virus denggi. Virus ini tergolong di dalam keluarga togaviridae. Ia merupakan virus yang berkembang biak dalam serangga. Terdapat 4 jenis serotype virus yang telah dikenalpasti iaitu den 1, den 2, den 3 dan den 4. Semua jenis serotype ini boleh merangsang pembentukan antibodi yang berbeza.

Namun begitu, kekebalan yang dihasilkan oleh pertahanan badan tidak menyeluruh terhadap semua jenis virus denggi. Ia akan hanya melindungi individu untuk jenis virus tersebut sahaja. Virus ini masuk ke dalam peredaran darah manusia melalui gigitan nyamuk aedes dan boleh didapati dalam tempoh yang singkat sahaja iaitu empat hingga lima hari pada tahap awal penyakit.

Nyamuk aedes merupakan pembawa bagi kuman virus denggi. Gigitan nyamuk merupakan satu cara penyebaran virus denggi dari seorang ke seorang yang lain. Daripada satu gigitan ia boleh menghisap darah sebanyak dua hingga empat miligram darah iaitu 1.5 kali berat badannya.

Cara penyebarannya ialah melalui gigitan nyamuk aedes orang yang berpenyakit virus denggi kepada orang yang sihat. Terdapat dua jenis denggi yang paling berat iaitu Demam Hemoragik Denggi (DHF) dan Sindrom Kejutan Denggi (DSS).

Terdapat dua jenis penyakit denggi iaitu:

i) Demam denggi klasikal.
Pesakit menunjukkan gejala demam, ruam, sakit badan, sakit sendi dan sakit otot. Gejala penyakit ini biasanya tidak teruk dan jarang menyebabkan kematian. Demam jenis ini juga pernah dinamakan 'demam patah tulang' atau breakbone fever.

ii) Demam denggi berdarah.
Biasanya terjadi di kalangan kanak-kanak terutama dalam lingkungan umur 2-13 tahun. Pada tahap awal (selama 2-4 hari) gejala yang dihidapi adalah sama seperti demam denggi klasikal dan diikuti oleh tahap yang lebih teruk dengan gejala seperti tekanan darah rendah, ruam dan bintik-bintik merah di badan, perdarahan gusi, berak berdarah (najis berwarna hitam) disertai dengan sawan dan tidak sedar diri. Ia sering menyebabkan kematian jika rawatan tidak diberikan dengan segera. Ia juga dipanggil sebagai 'demam berdarah Filipina'.

Tanda-tanda atau gejala:

1. Demam denggi klasikal
Tanda-tanda demam denggi ini bergantung kepada usia pesakit tersebut. Bagi bayi atau kanak-kanak ciri utama ialah ruam yang disertai oleh demam panas. Manakala orang dewasa dan remaja pula demam kuat yang muncul dengan tiba-tiba yang berlangsung selama 2-7 hari, sakit kepala, sakit di belakang mata, sakit otot dan sendi yang diikuti oleh ruam yang timbul pada hari ketiga hingga keempat. Bintik-bintik merah di bawah kulit juga boleh didapati. Dan hasil daripada ujian makmal menunjukkan jumlah leukosit dan platlet dalam darah menurun.

2. Demam denggi berdarah
Demam denggi berdarah mempunyai 4 ciri klinikal utama seperti demam yang sangat panas, perdarahan, pembesaran hati dan kegagalan sistem peredaran darah. Perdarahan yang berlaku adalah seperti bintik-bintik merah di bawah kulit, perdarahan hidung, gusi, darah dalam najis (najis berwarna hitam), kencing berdarah dan kadang kala mendapat haid yang berlebihan.

Pembesaran hati terjadi pada peringkat awal penyakit. Pembesaran hati ini boleh mencapai dua hingga empat sentimeter di bawah tulang rusuk kanan. Kegagalan atau gangguan peredaran ditunjukkan melalui tanda-tanda seperti kesejukan dan kongesti kulit, kebiruan dan peningkatan kadar nadi. Mereka juga kelihatan resah dan lemah dan kemudian dengan cepat mengalami renjatan atau sawan. Keadaan ini juga dipanggil sebagai Dengue Shock Syndrome (DSS).

Setakat ini tiada rawatan yang spesifik bagi membunuh virus denggi. Namun begitu antara rawatan yang biasa dilakukan untuk membantu pesakit deman denggi ialah:

Rawatan:

Rawatan demam denggi klasikal:
Rawatan yang diberi adalah untuk menstabilkan pesakit bergantung kepada keadaan pesakit iaitu mengurangkan demam (suhu badan) dan mengelakkan dari perdarahan berlaku.

Rawatan demam denggi berdarah:
Demam yang sangat panas, kehilangan selera makan dan muntah menyebabkan dehidrasi. Pesakit digalakkan supaya minum air lebih banyak. Demam yang sangat panas juga meningkatkan risiko terjadinya sawan, oleh itu demam patut dikawal dengan antipiretik. Selain itu, pesakit akan diawasi supaya gejala perdarahan dan sawan dapat dikesan awal. Dan masa yang paling genting ialah pada hari ketiga hingga hari ketujuh. Maka pemberian aliran intravena perlu jika sekiranya kiraan hematokrit meningkat kerana ini menggambarkan darjah kehilangan plasma.

Apakah yang akan terjadi sekiranya saya tidak mendapatkan rawatan?

Demam denggi berdarah mempunyai tanda-tanda di atas dan juga pendarahan seperti:

l Mudah lebam
l Pendarahan di bawah kulit, pada hidung atau gusi
l Ia boleh diikuti dengan pendarahan seluruh badan yang juga membawa maut
Sifat nyamuk Aedes
l Gigitan pada waktu pagi dan senja. (5 pagi - 8 pagi dan 5 petang - 8 malam)
l Bertelur dalam air mati yang jernih.
Sumber:Utusan.com

Saturday, April 3, 2010

Demi Jantung, Ubahlah Gaya Hidup

JIKA terdapat satu organ dalam tubuh yang sentiasa sarat dengan
kerja, ia adalah jantung. Ia sentiasa berdegup setiap saat, tidak
pernah berhenti seketika untuk rehat sehinggalah ke hujung nyawa
anda. Jantung adalah organ yang berkuasa, bersaiz kira-kira sebesar
genggaman anda dan bertanggungjawab terhadap pengepaman darah ke
seluruh tubuh.

Bagi orang dewasa yang sihat, tubuh mengandungi kira-kira lima liter
darah yang beredar berulang kali ke seluruh tubuh. Darah tersebut
bergerak dari jantung, masuk ke dalam arteri, kapilari, dan vena
sebelum kembali ke jantung. Keseluruhan kitaran tersebut mengambil
masa kira-kira 60 saat, di mana ketika itu darah mengangkut oksigen
dan nutrien ke semua sel dalam tubuh.

Apabila individu semakin berumur, banyak faktor boleh menjejaskan
fungsi normal jantung seperti stres, tahap kolesterol darah yang
meningkat dan saluran yang tersumbat (aterosklerosis) disebabkan
oleh saluran darah yang telah rosak.

Penyakit jantung adalah satu daripada pembunuh utama lelaki dan
wanita di negara ini. Kegagalan jantung didefinisikan sebagai
ketidakupayaan jantung untuk mengepam darah yang mencukupi untuk
memenuhi keperluan tubuh.

Fungsi pengepaman jantung terbahagi kepada dua fasa: pertama,
keupayaan jantung untuk mengepam darah dengan aktif ke tubuh dan
yang kedua, keupayaan jantung untuk berehat dengan betul supaya
darah boleh kembali ke dalam jantung yang berkeadaan rehat.
Fasa pertama dipanggil sistol; yang kedua dipanggil diastol. Apabila
jantung mula tidak berfungsi, kedua-dua fungsi ini biasanya menjadi
tidak normal.

Dalam buku yang terlaris, Programme for Reversing Heart Disease,
penulisnya Dr. Dean Ornish menawarkan bukti yang didokumenkan bahawa
penyakit jantung boleh dihentikan, atau malah dikembalikan
kesihatannya, dengan hanya menukar gaya hidup, diet, bersenam dan
meditasi.

Walaupun diet adalah penting, Dr. Ornish menyebut bahawa stres dari
segi emosi memainkan peranan penting dalam hampir semua penyakit,
secara langsung atau tidak langsung. Stres dari segi emosi menjerut
arteri dan menyumbatkan darah dengan lebih cepat, yang seterusnya
boleh menyebabkan serangan jantung.

Menyedari risiko anda mendapat penyakit jantung adalah langkah
pertama yang penting. Selain daripada umur dan sejarah keluarga,
tekanan darah tinggi, diabetes, tabiat merokok, obesiti dan tidak
menjalankan aktiviti dari segi fizikal akan meningkatkan risiko
penyakit jantung.

Bagi mengekalkan jantung yang sihat dan membantu mengurangkan risiko
penyakit jantung, adalah penting anda menukar gaya hidup anda dengan
mengikuti diet yang betul (tinggi dalam serat tetapi rendah dalam
makanan diproses dan minyak terhidrogen, kaya dengan minyak omega-
3), menangani stres, berhenti merokok, kerap bersenam, dan memulakan
hubungan kasih sayang dan peribadi yang menyenangkan dengan orang
lain, kerana orang dewasa yang berasa sunyi dan murung lebih berkemungkinan
untuk jatuh sakit dan mati awal.

Contohnya, Chow Kean Mun. Beliau telah melakukan pembedahan pintasan
sebanyak tiga kali 23 tahun yang lalu dan hari ini pada usia 75
tahun, beliau adalah seorang yang sihat. Daripada seorang yang tidak
berbuat apa-apa dan menghisap rokok terus-menerus pada umur 50-an,
lelaki ini telah melakukan perubahan sepenuhnya dalam gaya hidup dan
keperluan dietari beliau.

Ativiti-aktiviti harian beliau termasuklah berjalan cepat, berkebun,
meluangkan masa dengan cucu, mengambil bahagian dalam aktiviti
agama, bermain catur dan kadang-kadang minum bersama rakan-rakannya.
Beliau juga banyak memakan suplemen pemakanan yang berasal daripada
alam semula jadi dan ditanam secara organik seperti Minyak Kelapa Dara.
Oleh kerana makanan yang diproses hari ini dipenuhi dengan bahan
pewarna, perasa dan bahan pengawet yang tidak mempunyai banyak nilai
pemakanan, maka suplementari makanan telah menjadi satu keperluan.
Pengambilan antioksidan yang mencukupi seperti vitamin A, C dan E,
karotenoid, cathechins dan CoQ10 boleh melindungi daripada kerosakan
oksidatif.

Jika meminum 2 sudu minyak kelapa dara sehari boleh menjauhkan anda daripada doktor, gaya hidup sihat boleh menjadikan jantung anda sentiasa berdegup!
Oleh: DR. ABDULl AZIZ KECHIL

Buah Pinggang Jangan Dilupa

DIABETES sebenarnya membahayakan kepada buah pinggang anda. Oleh itu, pengawalan diabetes yang baik mampu mencegah atau proses penyakit buah pinggang dilambatkan.

Andy, seorang pesakit diabetes, berpendidikan tinggi dan mempunyai kerjaya yang mencabar. Dia menganggap penyakit diabetesnya di bawah kawalan.Oleh kerana terlampau sibuk, dia telah membuat rawatan sendiri. Dia tidak meneruskan rawatan susulannya tetapi membeli ubat dari farmasi atau kedai ubat.

Keadaan ini berterusan untuk tempoh yang lama sehingga dia mengalami kelesuan dan berasa mual pada waktu pagi. Keputusan pemeriksaan kesihatannya mengesahkan dia mengalami kegagalan buah pinggang. Diabetesnya juga bertambah teruk. Dia menyesal kerana tidak mendengar nasihat doktor untuk pemeriksaan kesihatan yang patut dilakukan secara kerap.

Salah seorang Pakar perunding nefrologi, Dr S Prasad Menon menyarankan agar kita menjalani ujian buah pinggang bila tiba hari jantung sedunia, kerana apabila fungsi buah pinggang mengalami kerosakan, risiko penyakit kardiovaskular pun bermula. Penyakit kardiovaskular juga menyumbang lebih daripada 50% kematian di kalangan pesakit buah pinggang kronik.Risiko kematian akibat strok, serangan jantung atau penyakit kardiovaskular bagi orang dewasa yang menghidapi kegagalan buah pinggang peringkat akhir meningkat kepada 10 hingga 30 kali.

Menurut Dr S Prasad lagi, ada perkaitan antara jantung dan buah pinggang, dan kaitan ini di namakan sindrom buah pinggang - jantung atau sindrom jantung - buah pinggang di mana pada asasnya, mencadangkan organ organ lain boleh terjejas secara akut atau kronik akibat dari penyakit akut atau kronik yang berlaku pada jantung atau buah pinggang. Jadi, ini bermakna, jika anda melindungi jantung, anda boleh melindungi buah pinggang dan jika anda melindungi buah pinggang, anda boleh melindungi jantung.
Bagaimana jantung dan buah pinggang berkait antara satu sama lain? Menurut Dr.Prasad, buah pinggang juga berfungsi mengawal tekanan darah. Kerosakan fungsi buah pinggang boleh mengganggu tekanan darah. Tekanan darah tinggi juga boleh menambah kerosakan buah pinggang, selain merosakkan saluran darah dan meningkatkan risiko strok dan serangan jantung.

Fungsi rembesan hormon dan penyingkiran air dari badan oleh buah pinggang juga terganggu. Ini boleh menyebabkan bengkak akibat pengumpulan air. Faktor-faktor ini meningkatkan isipadu darah dan fungsi jantung menjadi lemah kerana jantung perlu mengepam darah dengan lebih banyak untuk keperluan seluruh badan. Lama kelamaan, jantung gagal berfungsi. Bagi Dr S Prasad kaitan penyakit jantung dan buah pinggang ini dinamakan dengan ‘pam dan tapis’ kerana jantung mengepam darah ke seluruh badan termasuk untuk kegunaan buah pinggang dan buah pinggang menapis darah. Jika pam rosak maka buah pinggang tidak dapat menjalankan fungsinya sebagai penapis. Maka kedua-dua organ ini perlulah dijaga dengan baik.

Orang awam kini telah mempunyai kesedaran tentang risiko risiko klasik kardiovaskular, jadi mereka mereka berusaha untuk menjaga berat badan, tekanan darah, paras kolesterol gula dalam darah. Merokok meningkatkan risiko penyakit jantung, juga penyakit buah pinggang. Kerosakan pada buah pinggang selalu juga ditandai oleh paras glukosa dan kolesterol dalam darah. Maka, menurut Dr S Prasad lagi, pemeriksaan buah pinggang adalah amat perlu bila seseorang itu berada dalam keadaan ini. Dr S Prasad berpendapat bahawa setiap orang perlu menjalani pemeriksaan tahunan fungsi buah pinggang melalui ujian kehadiran albumin dalam air kencing, sebagai salah satu cara mencegah penyakit kardiovaskular.

Kebanyakan kes pesakit buah pinggang kronik, mereka tidak menyedari penyakit yang mereka hidapi kerana simptom penyakit buah pinggang biasanya muncul pada peringkat yang lebih teruk. Kata dr S Prasad lagi, 10 peratus daripada masyarakat awam menjalani kehidupan harian sambil tidak menyedari fungsi buah pinggang mereka makin merosot setiap hari dan menunggu masa simptom keterukan penyakit buah pinggang muncul seumpama bom jangka. Risiko strok, serangan jantung atau risiko lain penyakit berkaitan yang teruk menjadi tinggi bagi individu yang seperti ini. Dr S Prasad menyarankan agar masyarakat menjalani ujian kehadiran albumin dalam air kencing pada hari jantung sedunia kerana merupakan langkah yang baik. Pengesanan awal adalah yang terbaik, kerana risiko mendapat serangan jantung adalah satu kepastian jika anda penghidap penyakit buah pinggang. Pengesanan awal adalah jauh lebih baik berbanding perlu menjalani dialisis seumur hidup kerana kegagalan buah pinggang peringkat akhir dan sentiasa ketakutan terhadap kematian pramasa akibat penyakit kardiovaskular.
Kepada anda semua, sayangi jantung anda, sayangi buah pinggang anda . jangan biarkan kesengsaraan berlaku akibat kealpaan and sendiri.

Penyakit Buasir

Penyakit buasir atau hemoroid adalah penyakit yang terjadi pada bahagian dubur. Penyakit ini dapat dikesan apabila saluran dubur membengkak. Ianya boleh berlaku sama ada di dalam dubur atau di kawasan luar. Biasanya pesakit akan berasa sakit kesan tekanan otot dubur ke atas bengkak tersebut sehingga menyebabkan proses pembuangan air besar menjadi amat perit.

Bengkak itu terjadi disebabkan oleh pengembangan saluran darah pada sel-sel yang melapisi saluran dubur. Selain bengkak pada saluran dubur, pendarahan semasa membuang air besar juga terjadi disebabkan oleh luka apabila najis keras bergesel dengan buasir .

Terdapat empat peringkat atau darjah yang menggambarkan keseriusan penyakit buasir tersebut :

Tahap 1
Berlaku pendarahan dan bengkak menonjol keluar.

Tahap 2:
Disebabkan oleh pergerakan usus, bengkak akan keluar tetapi secara spontan akan kembali ke dalam (saluran dubur ).

Tahap 3:
Keadaan yang sama seperti tahap dua, tetapi bengkak tersebut akan hanya berada di dalam setelah ditolak masuk secara fizikal.

Tahap 4:
Darah pekat keluar, menyebabkan rasa sakit dan susah untuk meneran. Buasir akan berada di luar kawasan dubur.

Faktor atau penyebab penyakit buasir ialah :
• Regangan yang melampau semasa pergerakan usus atau ketika sembelit.
• Cirit-birit yang kronik.
• Kurangnya pengambilan makanan berserat dalam diet harian.
• Mengandung atau bersalin.

Simptom-simptom penyakit buasir ialah :
• Rasa sakit yang berdenyut-denyut.
• Pendarahan berlaku selepas dan sebelum membuang air besar.
• Darah menitis dan tersembur keluar dari saluran dubur.
• Dalam tempoh pendarahan ini, pesakit itu boleh mengalami kekurangan darah.
• Ada yang tidak mengalami pendarahan, tetapi dikenali sebagai pembengkakan dubur.

Bengkak ini keluar selepas membuang najis. Kadangkala untuk tempoh sementara, kurang sakit tetapi ada rasa gatal-gatal.
Mereka yang mengalami symptom-simptom berkenaan perlu berjumpa dengan doktor untuk rawatan lanjut. Satu per tiga daripada pesakit mampu mengatasi rasa sakit dan juga pendarahan setelah mendapatkan rawatan. Sehingga kini pesakit diberi pilihan rawatan yang sesuai oleh doktor setelah pemeriksaan dilakukan ke atas pesakit. Rawatan yang diberi berdasarkan tahap penyakit buasir yang dihidapi.Biasanya pesakit lambat berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut kerana adanya khabar angin mengatakan rawatannya agak menyakitkan. Pada hari ini, terdapat teknik rawatan yang baru, misalnya Procedure for Prolapsed Haemorrhoids (PPH).

PPH adalah teknik pembedahan yang mamppu mengurangkan kesakitan kerana prosedur rawatannya dilakukan pada kawasan berkenaan dan tidak mengambil masa yang lama, hanya beberapa minit sahaja.

Pesakit yang menerima rawatan PPH mempunyai beberapa kelebihan seperti :
• Kurang rasa sakit dan gatal-gatal.
• Tempoh berada di hospital yang singkat.
• Pesakit boleh kembali melakukan aktiviti harian secara normal selepas beberapa hari menerima rawatan PPH.
• Kos rawatan juga lebih rendah malah pesakit tidak perlu mengambil pil penahan sakit seperti mana rawatan konvensional.
Sumber maklumat : Wanita, September 2005